Categories
AGENSI SELANGOR

LZS bina rumah baharu, salur bantuan kepada balu anak lima

SHAH ALAM, 12 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) membantu membina rumah baharu untuk balu lima anak yang mana empat daripadanya adalah pelajar tahfiz.

Agensi berkata Arlyiza Ramli yang sebelum ini tinggal di Kuala Selangor hanya menjana pendapatan dengan mengambil upah mengasuh kanak-kanak.

“Namun, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kebanyakan ibu bapa tidak lagi menghantar anak mereka ke rumahnya menyebabkan beliau hilang punca pendapatan.

“Pihak zakat juga mengambil inisiatif membantu beliau dari segi kewangan dan makanan bulanan, yuran serta keperluan sekolah bagi meringankan bebannya,” kata LZS menerusi Facebook.

Tambahnya, kesemua sumbangan adalah hasil caruman zakat orang ramai.

“Semoga Allah memberkati harta dan kehidupan para pengeluar zakat dan asnaf di negeri Selangor,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Faedah Perkeso bantu waris tanggung keluarga

KUALA SELANGOR, 3 JUN: Penerimaan faedah pencen penakat seumur hidup Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) disifatkan sebagai bantuan ‘tidak disangka’ dalam meringankan lagi beban tanggungan keluarga, kata balu seorang pekerja Jabatan Teknologi Maklumat TV3.

Sharanizawati Shaari, 38, yang menerima pencen penakat itu hari ini berkata walaupun kematian suaminya, Mohamed Shamry Saiful Bahri pada 20 Mei lepas berlaku tiba-tiba, namun beliau berterima kasih atas tindakan Perkeso yang menghubunginya bagi tujuan penyerahan faedah berkenaan.

“Walaupun kami sekeluarga masih bersedih atas pemergian suami kerana arwah tidak menunjukkan apa-apa simptom yang dia menghidap sebarang penyakit, faedah diterima daripada Perkeso ini dapatlah mengurangkan kesedihan itu.

“Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat digunakan untuk membesarkan anak-anak,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Sharanizawati menerima pencen penakat dan faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000 disampaikan oleh Timbalan Pengarah Perkeso Selangor, Mohammad Ramli Ahmad Dahalan di rumahnya di Sri Pristina, Sungai Buloh.

Allahyarham Mohamed Shamry, 39, pekerja di Jabatan Teknologi Maklumat TV3 sejak 18 tahun lepas, meninggal dunia empat hari sebelum sambutan Aidilfitri baru-baru ini akibat komplikasi pendarahan otak.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga anak iaitu Muhammad Sheth Samuel, 11, Muhammad Sheth Shazriel, 9, dan Muhammad Sheth Shafeydaniell, 5.

Sementara itu, Mohammad Ramli berkata Skuad Perkeso Prihatin sentiasa mengambil langkah proaktif dengan membuat semakan caruman sebaik menerima maklumat mengenai kematian pekerja termasuk yang tular di media sosial untuk menyalurkan bantuan.

“Bagi kes ini, semakan mendapati arwah layak menerima faedah Perkeso iaitu faedah pengurusan jenazah dan pencen penakat jadi kami segerakan penyaluran bantuan berkenaan.

“Kami akan sedaya upaya bantu waris sekiranya semakan mendapati orang berinsurans Perkeso (pekerja) layak menerima faedah. Cuma kami berharap, waris dan orang berinsurans peka dan tahu hak mereka untuk segera menghubungi pihak kami jika berlaku kematian atau menghidapi sakit kronik semasa bekerja,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, sekiranya ada waris yang baru mengetahui mereka layak menerima faedah Perkeso adalah digalakkan membuat permohonan bantuan dalam kadar segera memandangkan tidak semua pihak peka mengenai penyaluran faedah berkenaan.

-BERNAMA