Categories
AGENDA NASIONAL

Penganalisis jangka ekonomi pulih lebih kukuh tahun depan

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Pertumbuhan ekonomi negara berkemungkinan besar pulih secara lebih kukuh pada 2021 dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada +6.5 peratus hingga +7.5 peratus daripada +5.5 peratus hingga +8.0 peratus, didorong oleh langkah rangsangan fiskal dan monetari.

CGS-CIMB Securities Sdn Bhd berkata walaupun perkembangan ekonomi itu menjejaki aliran pada tempoh sebelum Covid-19 sehingga 2021, namun kenyataan dasar BNM baru-baru ini menunjukkan bahawa penetapan monetari pada masa ini adalah memadai.

“Kami mengulangi unjuran Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus pada akhir 2021 dan mengandaikan bahawa kadar faedah penanda aras itu akan berlanjutan pada paras itu,” katanya dalam nota penyelidikan.

Bagaimanapun, CGS-CIMB berkata pelaksanaan pusingan kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan Covid-19 sejak 14 Oktober lepas dijangkakan mengekalkan penguncupan ekonomi negara pada suku keempat 2020.

Sementara itu, Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengekalkan unjuran KDNK benar tahunan yang konservatif pada -5.4 peratus bagi 2020 dan +5.1 peratus pada 2021 dengan prospek itu ditentukan oleh elemen seperti pandemik, politik dan dasar.

Ketua Ahli Ekonominya, Suhaimi Ilias berkata aliran KDNK benar Malaysia bagi suku setakat tahun ini adalah sejajar dengan ekonomi besar, sedang pesat membangun dan ekonomi serantau lainnya.

Menurutnya, ini termasuk unjuran KDNK bagi suku keempat 2020 Malaysia pada -2.8 peratus tahun ke tahun yang menggambarkan terdapat cabaran bagi proses pemulihan di tengah-tengoh gelombang ketiga Covid-19, pusingan kedua PKPB sejak pertengahan Oktober lepas yang dilanjutkan sehingga 9 Dis, 2020.

PKPB itu kini merangkumi sembilan negeri dan tiga Wilayah Persekutuan yang menyumbang 84 peratus kepada KDNK Malaysia.

“Unjuran kami bagi 2020 menunjukkan KDNK benar suku keempat tahun ini akan menguncup sebanyak -2.8 peratus tahun ke tahun walaupun ia dijangkakan terus berkembang dengan pelarasan bukan bermusim +2.6 peratus untuk suku ke suku.

“Angka tersebut turut mengandaikan bahawa impak ekonomi semasa PKPB adalah kurang teruk berbanding sewaktu PKP. BNM pula mengunjurkan impak penyusutan KDNK daripada PKPB sekarang adalah antara RM17 bilion hingga RM22 bilion berbanding RM30 bilion hingga RM40 bilion ketika PKPB,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penganalisis: Amanah perlu buktikan kredibiliti

SHAH ALAM, 10 JAN: Pakatan Harapan (Pakatan) menandatangani perjanjian tataetika semalam bagi mengukuhkan hubungan antara parti dalam gabungan berkenaan.

Pengukuhan itu penting dilakukan bagi mengelak kemelut sama berulang sebagaimana berlaku sebelum ini.

Perjanjian tataetika Pakatan membabitkan KEADILAN, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) menjadi panduan kepada mereka untuk menyelesaikan konflik, membuat keputusan dan membina perpaduan, bahkan ia tidak pernah dilakukan.

Laporan dipetik dari The Malaysian Insider bagaimanapun memberi gambaran Amanah dijangka akan berdepan kesukaran dengan menerima peruntukan kerusi lebih kecil pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ujian pertama dihadapi Pakatan baru-baru ini adalah pembahagian kerusi ahli majlis pihak berkuasa tempatan di Selangor dengan Amanah memperoleh lapan kerusi.

IMG_1254Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed, berkata Amanah adalah parti serpihan PAS dan perlu membuktikan kredibiliti mereka sebagai parti politik yang berwibawa sebelum mampu membuat tuntutan untuk bertanding dalam PRU-14.

Beliau berkata, Amanah juga seharusnya berterima kasih kepada rakan komponen Pakatan di Selangor kerana bermurah hati memberikan lapan kerusi ahli majlis PBT kepada mereka.

“Amanah tidak wajar mohon lebih kerusi, mereka belum ada kredibiliti. Pemimpin mereka dulu parti lain, tidak wajar minta lebih kerusi,” kata Pensyarah Undang-Undang Universiti Utara Malaysia (UUM) itu.

Beliau berkata, kepimpinan Pakatan Harapan juga sudah pasti menilai keupayaan Amanah sebelum menyerahkan mana-mana kerusi untuk dipertandingkan parti itu pada PRU-14 yang perlu diadakan selewat-lewatnya 2018.

“Apa yang dilakukan Pakatan di Selangor refleksi kepada yang akan berlaku kepada mereka dalam pembahagian kerusi untuk PRU14.

dr.dzul“Kita juga tidak pasti calon Amanah mampu memenangi kerusi dalam PRU-14,” katanya.

Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Aris Arif Mundayat pula berpendapat, Amanah mempunyai kekuatan lebih kecil berbanding rakan mereka dalam Pakatan.

“Amanah lebih kecil, kekuatan mereka belum terbukti dan masih baru sertai struktur ahli majlis PBT,” katanya.

Bagaimanapun Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad berpandangan berbeza dengan berkata, beliau tidak khuatir perkara itu kerana blok pembangkang akan menandatangani persetujuan secara kolektif bagi tujuan itu.

“Saya sangat positif mengharapkan komponen dapat buktikan mereka faham dan tahu tuntutan serta manfaat politik.

“Macam mana sukar dalam pembahagian kerusi, ia dapat diselesaikan Majlis Presiden Pakatan Harapan,” katanya.

Walaupun tidak menolak akan wujud masalah pembahagian kerusi untuk pembangkang pada PRU-14, beliau positif dengan semangat setia kawan dalam Pakatan dengan penganjuran konvensyen presiden bagi memuktamadkan kerjasama.

-NFN-