Categories
AGENSI SELANGOR

Kerjasama NGO bantu capai objektif kebajikan rakyat Selangor

 

SHAH ALAM, 9 SEPT: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS)
sentiasa membuka ruang dan peluang untuk berkolaborasi bersama badan bukan
kerajaan (NGO) lain.

Yang DiPertuanya, Masdiana Muhamad berkata, kolaborasi melalui perkongsian
bijak supaya perlaksanaan sebarang aktiviti dapat dioptimumkan bagi mencapai
objektif untuk kebajikan khususnya rakyat Selangor.

Katanya, dengan gandingan itu, secara tidak langsung akan memperkasa peranan
NGO dan memastikan kredibiliti dalam masyarakat agar tidak dipertikaikan
terutama dari aspek legitimasi pertubuhan dan penilaian kendiri.

“Pada hari ini, NGO merupakan entiti penting dalam sistem pentadbiran di Malaysia.

“Kekuatan dan idea di sebalik pertubuhan seperti menyediakan peluang
pendidikan dan kemahiran, memperkasa ekonomi wanita, membantu mangsa bencana alam dan memperjuangkan isu berkaitan hak kemanusian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra PEKAWANIS Bersama NGO
Peringkat Negeri Selangor 2019, di Kediaman Dato’ Menteri Besar, di sini.

Hadir sama Penaung PEKAWANIS, Yang Amat Mulia Tengku Putri, Datin Paduka
Hajjah Arafiah ibni almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Masdiana berkata, NGO memainkan peranan besar terutama dalam sektor yang tidak
dipenuhi dalam perkhidmatan kerajaan.

“Ia disebut sebagai sektor ketiga yang membantu menyelesaikan masalah negara
dan menangani pelbagai keperluan sosial termasuk isu kemiskinan serta
pengangguran kearah kesejahteraan rakyat.

“Justeru, PEKAWANIS sentiasa membuka ruang untuk berkolaborasi bersama NGO
lain bagi memartabatkan dan membantu rakyat Selangor khususnya,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Suri Rumah Teruja Projek Laman Dapur Bantu Jana Pendapatan Keluarga

BESTARI JAYA,18 SEPT : Dengan peruntukan sebanyak RM2,500, Hafizah Ismail,50, teruja apabila projek Laman Dapur kelolaan Kerajaan Negeri Selangor  menjana pendapatan suri rumah sepertinya.

Beliau yang mengusahakan projek menanam sayur kacang bendi mengajak wanita Selangor agar menyertai program ini.

Katanya sejak menceburkan diri dalam projek ini pendapatan beliau semakin meningkat hasil tanaman pertanian yang diusahakan di sekeliling rumahnya.

“Kita juga tidak perlu untuk program seperti Laman Dapur ini, kita boleh memulakan sendiri bagi menanam sayuran dan lain-lain yang mana benihnya boleh dibeli di kedai-kedai yang mana kawasan sekeliling yang kosong boleh ditanam dengan sayuran bagi meningkatkan pendapatan sara diri,” katanya.

Bagi Norlela Idris,30, berkata beliau mengharapkan dapat memperkembangkan bakat dan usaha khsusunya dalam bidang pertanian yang mempunyai potensi luas.

“Saya mendapat banyak pelajaran dalam program ini tentang teknik pertanian yang betul dan berkesan,” ujarnya.

Dalam program ini seramai 18 peserta untuk peringkat pertama yang terpilih daripada seluruh negeri menghadiri sesi taklimat teori dan praktikal itu yang diberi penjelasan  berkenaan penananam Kacang Bendi menggunakan teknik beg kompos dengan betul dan sistematik.

Sejumlah RM50,000 diperuntukkan untuk melaksanakan projek Laman Dapur ini bagi membantu golongan wanita khususnya suri rumah meningkatkan sumber pendapatan keluarga.

Perkara ini nyatakan isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Tunut ketika melancarkan program Laman Dapur yang diadakan di pekarangan rumah seorang peserta, Hafizah Ismail di Kampong Harmoni Ijok di sini yang dijadikan tapak contoh projek penanaman sayur Kacang Bendi.

Memperolehi peruntukan di bawah Geran Selangorku, Salbiah berkata program kali ini mendapat tunjuk ajar  dan nasihat  bagi peserta menjayakan projek berkenaan.

Ujarnya, projek pertanian yang dilaksanakan adalah mengikuti kaedah mesra alam yang akan menggunakan baja kompos dan penjagaan yang lebih ekonomik dan mudah dikendalikan.

“Kita tidak mahu orang-orang kampung terutama kaum ibu-ibu tunggal dan juga ibu-ibu yang mempunyai kelapangan masa ketinggalan bagi meningkatkan sara hidup.

“Dan kita juga mahu golongan wanita ini sentiasa cergas dan sihat dengan pelbagai aktiviti berguna serta bermanfaat,” ujar Salbiah yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis).

Ujar Salbiah lagi, walaupun projek laman dapur sudah dimulakan sejak 2009, namun banyak cabaran yang dihadapi untuk menjayakan projek sebelum ini apabila Jabatan Pertanian tidak dapat meneruskan kerjasama dan bimbingan kepada peserta menyebabkan projek tidak mencapai matlamat.