Categories
EXCO SELANGOR

TNB, Air Selangor diarah potong bekalan kilang pencemar air

KLANG, 8 SEPT: Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) sudah diarahkan memotong bekalan elektrik dan air di kilang disyaki menjadi punca pencemaran yang menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor dihenti tugas Khamis lalu.

EXCO Kerajaan Tempatan berkata arahan Kerajaan Negeri menerusi Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bagi mengelakkan kilang berkenaan dari kembali beroperasi.

“Untuk makluman, kilang tersebut tidak pernah mendapat lesen perniagaan kerana tidak mempunyai pelan kelulusan merancang (KM), sekiranya tiada KM, kita tidak boleh beri lesen.

“Oleh itu tindakan tegas akan diambil, kita akan potong bekalan elektrik dan air supaya mereka tidak lagi beroperasi,” kata Ng Sze Han kepada media berhubung isu kilang penyelenggaraan jentera dikesan mencemarkan air di Sungai Gong, Rawang dekat sini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan lesen perniagaan sementara kepada penjaja di Tapak Penjaja Hadapan Econmart, Sungai Bertek dan Tapak Penjaja Simbang Empat, Teluk Pulai di sini hari ini.

Semalam, MPS memaklumkan kilang itu dikesan beroperasi tanpa lesen atau kebenaran sejak 2014 serta tidak pernah membuat apa-apa permohonan lesen.

Pihak berkuasa tempatan itu menampal notis di bawah Seksyen 70 (1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 iaitu membina bangunan tanpa kebenaran dan sekiranya pemilik gagal memberi maklum balas dalam tempoh tiga hari, MPS akan merobohkan struktur bangunan didirikan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Baiki paip pecah capai tahap 92 peratus

SHAH ALAM, 22 JULAI: Pembaikan paip pecah di kawasan tanah mendap di simpang jalan antara Jalan Johan Setia dan Jalan Langat, Klang mencapai tahap 92 peratus sehingga jam 9 pagi ini.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) berkata bekalan air ke kawasan Johan Setia mula disalurkan sejak jam 8 pagi tadi selepas kerja pembaikan paip siap lebih awal daripada yang dijadualkan.

Keadaan jalan raya mendap seluas kira-kira 30 meter persegi di Jalan Klang-Banting berhampiran lampu isyarat Kampung Johan Setia menghala ke Banting ketika tinjauan pada 21 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Pembaikan paip bocor yang menyalurkan air ke kawasan Pandamaran juga siap dilaksanakan lebih awak iaitu jam 4 pagi hari ini dan bekalan air di seluruh kawasan Pandamaran pulih sepenuhnya,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Beliau berkata bekalan air kecemasan melalui lori tangki ke kawasan di wilayah Klang dan Kuala Langat masih digerakkan dan pengguna boleh menghubungi talian 15300 dan WhatsApp 019-2800919 atau 019-2816793 untuk memohon bantuan bekalan air kecemasan.

Semalam dilaporkan, beberapa kawasan di Klang dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual akibat paip pecah di lokasi tanah mendap di tapak kerja Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) GS10.