Categories
AGENDA AGENSI

Air Selangor naik taraf sistem urus aduan pelanggan 

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Penggunaan teknologi ‘Robotic Process Automation’ (RPA) atau Proses Automasi Robotik untuk mempercepatkan proses pengurusan aduan antara penambahbaikan yang bakal dilaksanakan Pusat Panggilan Air Selangor menerusi talian 15300 bermula 1 Julai ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata melalui penambahbaikan itu, setiap aduan yang didaftarkan akan sentiasa dipantau bagi memastikan tindakan diambil berdasarkan tempoh masa yang telah ditetapkan berserta tindakan susulan.

Beliau berkata jumlah talian panggilan masuk juga akan ditingkatkan dengan menambah bilangan pegawai pusat panggilan yang bertugas selain meminimumkan jumlah panggilan terabai melalui jadual tugas yang lebih sistematik berpandukan analisis masa sebenar (RTA).

“Inisiatif ini seiring dengan usaha Air Selangor untuk mencapai standard persijilan antarabangsa ‘Customer Operation Performance Certification’ (COPC) atau Persijilan Prestasi Operasi Pelanggan peringkat global dan ISO 18295 ‘Customer Contact Centre’ (CCC) menjelang 2023,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Melalui inisiatif ini juga, semua panggilan pelanggan dijawab dalam tempoh masa mengikut Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA) yang ditetapkan iaitu dalam tempoh 30 saat selepas pelanggan membuat pilihan menerusi sistem Interactive Voice Response (IVR).

“Ini sekali gus akan mengurangkan masa menunggu sebelum pelanggan menerima layanan pegawai pusat panggilan,” katanya.

Elina berkata saluran komunikasi pelanggan Air Selangor untuk pertanyaan dan aduan berbentuk bukan panggilan telah ditambah baik dan diperkemas.

Beliau berkata sebarang aduan dan pertanyaan boleh disalurkan ke ‘Help Centre’ di laman sesawang www.airselangor.com dan Aplikasi Air Selangor.

Kaedah pengisian borang panduan di Help Centre akan memudahkan aduan dan pertanyaan pelanggan diambil tindakan segera.

“Pelanggan akan dimaklumkan berkaitan penerimaan aduan menerusi e-mel atau SMS. Pelanggan juga boleh menyemak status aduan dari semasa ke semasa sehingga aduan diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata dengan penambahbaikan saluran komunikasi pelanggan tersebut bermula 1 Julai ini, perkhidmatan e-mel [email protected], khidmat pesanan ringkas dan aduan menerusi Aplikasi WhatsApp akan ditamatkan.

“Mulai 1 Julai 2021, hanya pelanggan yang telah mendaftar e-Bil sahaja akan mendapat akses penuh Aplikasi Air Selangor. Ini termasuk akses untuk mendapatkan maklumat akaun pelanggan, penyata bil air bulanan, trend penggunaan air dan penyata pembayaran bil.

“Bagi pelanggan yang belum mendaftar e-Bil, akses mereka hanya terhad kepada maklumat status bekalan air, semakan baki bil, pembayaran bil serta menghantar aduan dan pertanyaan sahaja.

Justeru katanya, pelanggan disarankan supaya mendaftar e-Bil sama ada menerusi Aplikasi Air Selangor atau melalui pautan https://update.airselangor.com dengan segera.

“Sejak dilancarkan pada Januari 2018 sehingga 15 Jun 2021, sebanyak 937,371 akaun telah mendaftar e-Bil dan menerima bil air bulanan melalui e-mel atau Aplikasi WhatsApp.

“Bagi pelanggan yang menerima bil bulanan mereka melalui Aplikasi WhatsApp, Air Selangor turut menyediakan kemudahan membuat pembayaran secara dalam talian melalui perkhidmatan FPX mulai 1 Julai 2021.

Aplikasi Air Selangor boleh dimuat turun menerusi Apple App Store, Google Play Store atau Huawei App Gallery,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Shah Alam, Klang dan Gombak antara kawasan terawal terima air

SHAH ALAM, 14 JULAI: Shah Alam serta sebahagian wilayah Klang dan Gombak dijangka menerima bekalan air lebih awal berbanding tempat lain, kata pengarah Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Abas Abdullah berkata baki daripada 290 kawasan lain terjejas akan menerima bekalan sama secara berperingkat sehingga Jumaat ini.

“Sepanjang tempoh gangguan ini, 93 lori tangki membawa bekalan air bersih akan digerakkan namun hari ini hanya dihantar ke 82 premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

“Air Selangor turut menempatkan 82 tangki statik di sekolah sebagai persediaan untuk pembukaan sesi persekolahan bermula esok. Ini bagi memastikan aktiviti harian sekolah dapat diteruskan seperti biasa,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Abas, pihaknya turut menyediakan poster ingatan kepada orang awam bagi pematuhan tatacara operasi piawai (SOP), penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka ketika mengambil air.

Bermula hari ini hingga Jumaat, kawasan di wilayah Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat mengalami gangguan susulan kerja penambahbaikan dan penggantian aset kritikal di Loji LRA SSP3 mulai jam 9 pagi ini.

Kerja bertujuan membolehkan loji beroperasi lebih cekap dan memastikan peralatan berada dalam keadaan baik.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Capai 72 peratus, kerja tambah baik LRA dijangka siap malam ini

SHAH ALAM, 14 JULAI: Kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air SSP3 (LRA SSP3) mencapai 72 peratus setakat jam 4.30 petang tadi dan ia lebih cepat daripada sasaran awal, kata pengarah Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd ( Air Selangor).

Abas Abdulah berkata ia meningkat 19 peratus berbanding tempoh dirancang dan proses penggantian aset itu dijangka siap jam 11 malam ini.

“Kerja penambahbaikan serta pemulihan loji dianggarkan selama 24 jam dan dimulakan jam 9 pagi tadi.

“Air Selangor beri jaminan gangguan bekalan air selama 80 jam ini akan pulih secara berperingkat mulai esok bergantung ketinggian kawasan,” katanya pada sidang media hari ini.

Abas berkata henti tugas loji terbabit telah mengurangkan pengeluaran air bersih sebanyak 472 juta liter sehari berbanding kapasiti normal 800 juta liter sehari.

Bermula hari ini hingga Jumaat, kawasan di wilayah Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat mengalami gangguan susulan kerja penambahbaikan dan penggantian aset kritikal di Loji LRA SSP3 mulai jam 9 pagi ini.

Kerja bertujuan membolehkan loji beroperasi lebih cekap dan memastikan peralatan berada dalam keadaan baik.

Tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air berbeza mengikut kawasan terjejas, bergantung kepada lokasi premis pelanggan.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang https://www.hentitugasssp3.airselangor.com/ untuk merujuk peta kawasan mengalami gangguan air.

Categories
AGENSI SELANGOR

Gangguan bekalan air di Ampang pulih 87.5 peratus

SHAH ALAM, 8 FEB: Gangguan bekalan air di kawasan terjejas sekitar Ampang ekoran paip pecah di Rumah Pam Hulu Klang mencapai tahap 87.5 peratus pulih setakat jam 1 tengah hari tadi, kata ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Abdul Halem Mat Som berkata bagaimanapun lapan kawasan masih belum pulih sepenuhnya dan bantuan bekalan air menerusi lori tangki terus digerakkan dengan tumpuan ke lokasi berkenaan.

Katanya, kawasan terbabit adalah Kampung Tasik Permai, Kampung Ampang Indah, Kampung Ampang Campuran, Taman Fairuza Ampang, Taman Permai Jaya Ampang, Kampung/Taman Tasek Tambahan, Tmn Sri Bayu Ampang dan Taman Sri Baru Ampang.

“Kita sedang berusaha mempercepatkan proses pemulihan dengan meningkatkan tekanan dan menstabilkan aliran bekalan di sistem agihan.

“Air Selangor memohon kerjasama pelanggan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan lancar bagi kawasan masih terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelanggan boleh terus ke Pusat Khidmat Setempat (PKS) di Aeon Big Ampang, Taman Dagang Permai, Ampang dan Pili Awam Lembah Jaya untuk mendapatkan bantuan atau hubungi talian 15300.

Air Selangor akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi telefon pintar Air Selangor dan laman sesawang di www.airselangor.com

Categories
AGENSI SELANGOR

Kerja pemulihan bekalan air di Ampang capai 84.4 peratus

SHAH ALAM, 8 FEB: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan masalah bekalan air yang terjejas di Ampang berikutan paip pecah di Rumah Pam Hulu Klang mencapai tahap 84.4 peratus sehingga jam 7 pagi ini, kata ketua komunikasi korporatnya.

Abdul Halem Mat Som berkata ia membabitkan 54 kawasan pulih sepenuhnya manakala 10 lagi ekoran kedudukan premis yang berada di penghujung kawasan agihan dan tinggi.

“Air Selangor memohon kerjasama pelanggan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar.

“Bantuan bekalan air menerusi lori tangki terus digerakkan dan pengguna boleh mendapatkan bantuan dengan terus ke Pusat Khidmat Setempat di Aeon Big Ampang, Taman Dagang Permai, Ampang dan pili awam Lembah Jaya atau hubungi talian 15300,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Air Selangor menjelaskan perkembangan terkini berkaitan insiden itu boleh diikuti menerusi medium komunikasinya termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi telefon pintar Air Selangor dan laman sesawang di www.airselangor.com .

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bekalan air di Selangor pulih 99 peratus

SHAH ALAM, 30 SEPT: Proses pemulihan bekalan air di empat wilayah di Selangor yang terjejas akibat pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Semenyih, mencapai tahap 99 peratus sehingga jam 6 pagi tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, pemulihan di Hulu Langat telah dilakukan sepenuhnya manakala tiga yang lain iaitu Petaling pada tahap 99 peratus serta Kuala Langat dan Sepang (98 peratus).

Beliau berkata, pihaknya terus menjalankan operasi seterusnya dan menjangkakan proses berakhir pada jam 6 petang ini.

“Segala usaha diambil bagi memulihkan bekalan air kepada pelanggan yang terjejas mengikut sasaran.

“Bantuan lori tangkai air digerakkan dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) akan terus beroperasi 24 jam sehari sehingga bekalan air pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Untuk maklum balas, pengguna boleh merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com bagi mendapatkan maklumat serta status terkini.

Sebarang bantuan boleh diperoleh dengan menghubungi talian 15300 atau WhatsApp ke 019-281 6793 / 019-280 0919.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kerja pembaikan paip pecah Lebuhraya Persekutuan dilanjutkan

SHAH ALAM, 2 OGOS: Kerja pembaikan paip pecah di KM 6.6, Lebuhraya Persekutuan terpaksa dilanjutkan berikutan kerosakan dan situasi sukar dihadapi di kawasan tapak berkenaan.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, berikutan itu sasaran masa kerja pembaikan siap pada jam 12 malam ini tidak dapat dicapai dan proses berkaitan diteruskan.

“Seperti dimaklumkan, lokasi paip pecah berada pada kedalaman melebihi 5 meter dan kerosakan pada paip bersaiz 800 milimeter yang pecah adalah serius selain terdapat kabel utiliti merumitkan lagi kerja pembaikan.

“Ia perlu dilaksanakan dengan berhati-hati bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

“Sehubungan itu, sasaran jangka masa kerja pembaikan siap tidak dapat ditentukan
buat masa ini dan kami akan memberikan makluman status terkini dari semasa
ke semasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya melakukan segala usaha bagi mempercepatkan proses pembaikan dan memohon maaf atas segala kesulitan terutama kepada pengguna lebuh raya.

Orang ramai diminta merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor di Google Play atau Appstore untuk maklumat dan status terkini.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kerja baikpulih paip pecah Lebuhraya Persekutuan dilanjut hingga tengah malam

SHAH ALAM, 2 OGOS: Kerja baikpulih paip pecah di Lebuhraya Persekutuan terpaksa dilanjutkan sehingga jam 12 tengah malam ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, perkara itu berlaku disebabkan kerumitan kerja membabitkan kabel utiliti berdekatan jajaran paip pecah berkenaan.

Beliau berkata, berikutan itu sasaran jangka siap perlu dilanjutkan berbanding sasaran asal sebelumnya iaitu pada jam 6 petang, hari ini.

“Paip pecah yang berada pada kedalaman lima meter itu perlu dilaksanakan secara berhati-hati bagi mengelakkan risiko kemalangan dan memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

“Pihak kami memahami kesulitan dihadapi terutama pengguna jalan raya yang menggunakan lebuh raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, segala usaha telah diambil bagi mempercepatkan kerja pembaikan.

Katanya, Air Selangor memohon maaf atas kesulitan dan pengguna boleh merujuk kepada aplikasi Air Selangor untuk maklumat serta status terkini kerja pembaikan juga jangka masa siap.

Sebelum ini, dilaporkan dua lorong paling kanan di Kilometer 6.6 Lebuhraya Persekutuan menghala ke ibu negara berhampiran Kompleks Kolam Air Pantai, terpaksa ditutup berikutan insiden paip pecah di laluan itu sejak kelmarin.

Insiden paip pecah berkenaan turut menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di dua kawasan Wilayah Petaling membabitkan Seksyen 11 dan 16 Petaling Jaya, Jalan Pantai Baharu serta Lingkaran Syed Putra.

Categories
AGENSI SELANGOR

Paip pecah, dua kawasan Petaling alami gangguan

SHAH ALAM, 1 OGOS: Dua kawasan di wilayah Petaling mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan paip pecah di KM6.6 Lebuhraya Persekutuan berhampiran Kolam Air Pantai Kompleks, hari ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan & Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, insiden itu berpunca daripada kerja dilakukan pihak ketiga.

“Penutupan bekalan air sementara dan tidak berjadual bagi pelaksanaan kerja pembaikan iaitu Seksyen 11 dan 16 serta Jalan Pantai Baharu juga Lingkaran Syed Putra Wilayah Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Raof berkata, pihaknya sudah memulakan proses kerja pembaikan dan mengambil segala usaha bagi mempercepatkan kerja baik pulih paip yang pecah.

“Air Selangor juga sudah melaporkan insiden ini kepada pihak berkuasa dan berkaitan,” katanya.

Pengguna dinasihatkan untuk merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor di Google Play atau Appstore untuk maklumat dan status terkini kerja pembaikan serta jangka masa siap.

Categories
BERITA UTAMA

Kerja pembaikan LRA Sungai Selangor ditangguh

SHAH ALAM, 19 JUL: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menangguhkan kerja pembaikan Logi Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 pada Selasa depan berikutan insiden pencemaran bau di kawasan LRA berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berkata, pihaknya mengesan berlaku pencemaran bau di muka sauk LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3, antara jam 2 hingga 2.30 petang tadi yang merekodkan bacaan 4 Ton serta menyebabkan ketiga-tiga logi terpaksa dihentitugas.

“Memandangkan insiden ini membabitkan hentitugas tiga loji utama dengan skala kawasan terjejas yang besar, Air Selangor telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan Kod Merah (ERP Kod Merah).

“Kami juga telah memaklumkan insiden ini kepada Kerajaan Negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selain menghubungi Unit Bencana Negeri bagi membantu kami menangani situasi ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kadar kadar bau di muka sauk LRA Sungai Selangor Fasa 3 mencatatkan bacaan bau ton sifar pada jam 5 petang dan telah kembali beroperasi, manakala LRA 1 dan 2 baru sahaja mencatatkan ton sifar pada jam 7 petang serta dalam proses pengoperasian semula.

Katanya, Air Selangor dan pihak berkuasa negeri masih tidak dapat mengesan punca pencemaran dan insiden ini mungkin boleh berulang maka pihaknya tidak dapat memberi jangka masa pemulihan bekalan air buat masa ini.

“Kami memohon maaf di atas segala kesulitan dihadapi semua pelanggan akibat insiden ini,” katanya.

Seperti dimaklumkan sebelumnya, sebanyak 1,133 kawasan membabitkan 1,166,842 akaun pelanggan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang / Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas dengan gangguan air tidak berjadual berikutan insiden berkaitan.

Categories
SELANGOR

Bekalan air Petaling dijangka pulih 6 pagi esok

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 28 JUN: Gangguan bekalan air yang melanda 66 kawasan di Petaling sudah mencapai tahap 95 peratus pemulihan dan dijangka pulih sepenuhnya mulai jam 6 pagi esok.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, di Sepang, Kuala Langat dan Hulu Langat dijangka pulih sepenuhnya jam 6 petang ini.

“Bagi kawasan Kuala Langat gangguan bekalan pulih hampir 95 peratus membabitkan 83 kawasan dan dijangka akan pulih sepenuhnya 8 malam ini.

“Kawasan Hulu Langat pula sudah mencapai tahap 94 peratus pemulihan bekalan membabitkan 223 kawasan dan akan pulih sepenuhnya jam 6 petang ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, segala usaha diambil termasuk meningkatkan tekanan dan aliran di sistem agihan bagi mempercepatkan proses pemulihan keseluruhan kawasan terjejas.

“Bantuan lori tangki air tetap terus bergerak dan pusat khidmat setempat masih beroperasi bagi menyalurkan bantuan sehingga bekalan pulih sepenuhnya.

“Pengguna diminta merujuk ke laman sesawang www.syabas.com.my, aplikasi telefon bimbit Air Selangor, Facebook dan Twitter Air Selangor untuk maklumat dan status terkini yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, gangguan bekalan air itu terjadi susulan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih dan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih yang berlaku sejak Rabu lalu.

Categories
SELANGOR

Kerja pembaikan paip pengepaman Sungai Garing selesai

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 24 MEI: Kerja kecemasan pembaikan paip pengepaman yang pecah berdekatan Sungai Garing, Rawang sudah siap dilaksanakan pada jam 2 pagi tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, bekalan air ke kawasan terjejas juga sudah dibuka dan pemulihan bekalan secara berperingkat sedang berlangsung.

“Pihak kami berusaha mempercepatkan pemulihan bekalan dan mengurangkan
impak gangguan kepada pelanggan yang terjejas.

“Kerjasama pelanggan sepanjang tempoh gangguan dan pemulihan ini amatlah
dihargai serta pihak kami memohon maaf atas segala kesulitan,” katanya dalam kenyataan.

Pelanggan boleh hubungi Air Selangor di talian 15300 atau Whatsapp ke 019-2816793 atau 019-2800919 untuk bantuan.

Pelanggan juga boleh merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor atau laman sesawang www.syabas.com.my untuk maklumat dan status terkini yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa.