Categories
NASIONAL SELANGOR

Iskandar cadang tingkat peranan LPHS

Iskandar Lawatan Tapak Projek RMM 01

PANDAN, 28 OGOS: Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar Ir. Iskandar Abdul Samad bercadang memberi peranan membina rumah mampu milik kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Mencontohi Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB) Singapura, Iskandar berpendapat langkah itu perlu bagi merancakkan lagi projek-projek rumah mampu milik untuk rakyat Selangor.

“Kita masih belum buat satu keputusan, kalau boleh kita nak tingkatkan bukan sahaja LPHS tetapi satu badan baru untuk membina rumah mampu milik secara khusus seperti ‘Housing Development Board’ di Singapura,” katanya Iskandar.

Majoriti projek perumahan mampu milik di Singapura dibangunkan dan diurus oleh badan awam. Sebanyak 80% rakyat Singapura mendiami estet yang mengandungi pangsapuri HDB, sekolah, pasaraya, klinik, medan makan serta kemudahan rekreasi dan sukan. 95% dari mereka memiliki rumah yang mereka diami.

“Kalau dahulu pihak LPHS hanya bertindak sebagai badan yang mengendalikan polisi perumahan, sekarang ini kita nak satu badan baru untuk membina rumah juga selain daripada PKNS ataupun PNSB untuk membina rumah,” cadang beliau.

Sebelum ini, LPHS menganjurkan seminar teknik pembinaan rumah dengan mudah dan murah, yang dihadiri pakar-pakar daripada syarikat luar negara untuk membantu meningkatkan pembinaan rumah mampu milik di negeri ini.