Categories
ADN SELANGOR

Urus jenazah berpusat atasi sesak di bilik mayat, ringan beban waris

SHAH ALAM, 18 JULAI: Langkah Kerajaan Negeri mewujudkan Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat mampu mengatasi masalah kesesakan di bilik mayat dan meringankan beban waris.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa berkata pihaknya menyambut baik inisiatif dijalankan dan berterima kasih kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kerana menyediakan tempat khusus bagi tujuan berkenaan.

“Ia secara tidak langsung dapat mengurangkan limpahan jenazah di hospital. Usaha itu juga melegakan ramai dan meringankan beban waris yang sebahagiannya golongan rentan serta bergantung hidup kepada mangsa,” kata Dr G Gunaraj menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau turut meminta Kerajaan Negeri menjelaskan dengan lebih terperinci mekanisma akan dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi proses pengebumian dan pengurusan krematorium jenazah.

Katanya, ini kerana perkara utama yang sering menjadi cabaran kepada waris mangsa Covid-19 adalah kos pengebumian.

Semalam, Kerajaan Negeri bersetuju supaya Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Klang dijadikan tempat khusus pengurusan jenazah sama ada bagi Islam atau bukan Islam.

Tanah perkuburan bagi mangsa Covid-19 beragama Islam adalah di Tanah Perkuburan Seksyen 21 dan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang manakala bagi bukan Islam akan dirujuk kepada PBT untuk urusan pengebumian serta krematorium bersesuaian.

Categories
AGENDA NASIONAL

Urusan jenazah berpusat dapat kurangkan kesesakan bilik mayat

SHAH ALAM, 17 JULAI: Kerajaan Selangor bersetuju supaya tiga hospital di negeri ini dijadikan tempat khusus pengurusan jenazah Covid-19 bagi mengatasi kesesakan bilik mayat sedia ada.

Dato’ Menteri Besar berkata hospital tersebut adalah Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Klang yang akan mengurus hal ehwal berkaitan mangsa sama ada muslim atau bukan Islam.

“Saya harap dengan adanya inisiatif Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat, tempoh masa mengurus dapat disingkatkan selain mengatasi kesesakan atau limpahan mayat,” kata  Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi kenyataan hari ini

Selain itu, Amirudin berkata berhubung tanah perkuburan bagi jenazah mangsa Covid-19 beragama Islam adalah di Tanah Perkuburan Seksyen 21 dan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang.

Manakala, beliau berkata jenazah mangsa bukan Islam pula akan dirujuk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan pengebumian dan urusan krematorium bersesuaian.

“Saya turut berhubung dengan Kementerian Luar Negeri bagi menyelaraskan urusan jenazah yang bukan warganegara.

“Semoga semua usaha ini dapat memelihara kebajikan rakyat kerana aspek kesihatan awam adalah antara salah satu agenda utama Kerajaan Negeri,” katanya lagi.