Categories
ADN SELANGOR

DUN Sentosa tubuh sukarelawan, galak anak muda sertai misi bantuan

KLANG, 18 FEB: Dewan Undangan Negeri Sentosa melancarkan kumpulan sukarelawan sendiri minggu hadapan bagi membantu penduduk berdepan masalah.

Wakil rakyat Dr G Gunaraj berkata pasukan dikenali ‘Khidmat 100’ itu bukan hanya berbakti kepada masyarakat sekitar DUN sahaja sebaliknya sedia digerakkan ke seluruh negara.

“Penubuhan ini susulan pelancaran pasukan Khidmat Untuk Malaysia (Khidmat) pada awal bulan ini selain kita mahu anak muda aktif membantu golongan masyarakat.

“Kumpulan sukarelawan ini dilancarkan pada Sabtu minggu hadapan melibatkan 100 ahli untuk peringkat awal. Kita jangka lebih ramai akan sertai pasukan ini ,” katanya.

Pada 6 Februari Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Khidmat bagi membantu kebajikan rakyat terutama ketika berdepan bencana.

Inisiatif yang merupakan kesinambungan penubuhan Sukarelawan Selangor (SERVE) itu bertujuan meringankan beban dan derita masyarakat selain melahirkan sifat kemanusiaan dalam diri ahlinya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Program khas bantu peniaga kecil terjejas SOP Thaipusam

SHAH ALAM, 17 JAN: Satu program khas diperkenalkan bagi membantu peniaga kecil yang terkesan akibat perlaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) perayaan Thaipusam.

Pegawai khas perhubungan masyarakat Dato’ Menteri Besar berkata beliau akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini bagi mendapatkan tempat perniagaan sementara buat peniaga terbabit.

Menurut Dr G Gunaraj, kebanyakan usahawan berkenaan sudah mengeluarkan modal termasuk sebahagian daripadanya membuat pinjaman bagi persiapan membeli barang niaga.

“Justeru, saya melalui pejabat Hal Ehwal Masyarakat kepada Dato’ Menteri Besar mengambil satu tanggungjawab memperkenalkan program membantu peniaga kecil yang terkesan ini.

“Saya akan bekerjasama dengan PBT di Selangor bagi mendapatkan tempat perniagaan sementara untuk suatu tempoh ditetapkan kepada mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Gunaraj berkata ahli majlis dan Ketua Komuniti India Selangor turut bersama membantu bagi menggerakkan program itu terutamanya di Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor.

“Inisiatif ini sedikit sebanyak dapat membantu peniaga kecil memasarkan produk mereka yang telah tersedia untuk jualan sempena perayaan Thaipusam,” kata Ahli Dewan Negeri Sentosa.

Pada 12 Januari lalu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata kerajaan membenarkan hanya gerai jualan kekal di bawah pengurusan kuil beroperasi sepanjang perayaan Thaipusam manakala gerai jualan sementara dalam bentuk promosi atau jualan di dalam atau luar kawasan kuil tidak dibenarkan dalam usaha membendung wabak Covid-19.

Katanya, upacara ‘paal koodam’ atau menjunjung belanga mengandungi susu, aktiviti sembahyang serta perjalanan pedati dibenarkan tanpa melibatkan acara ‘kavadi’ bagi perayaan kali ini dengan mengikut SOP.

Upacara ‘paal koodam’ dibenarkan bermula 14 hingga 19 Januari dengan penetapan jumlah kehadiran berbeza mengikut kuil.

Manakala upacara sembahyang secara bersesi iaitu 12 sesi dari 16 hingga 17 Januari serta 19 Januari bermula 5 pagi hingga 5 petang, manakala 18 sesi bagi 18 Januari bermula 5 pagi hingga 11 malam dengan jumlah kehadiran mengikut kuil masing-masing.

Categories
AGENDA EXCO NASIONAL SELANGOR

Stesen sisa pepejal dipantau lancarkan pembersihan pascabanjir, mangsa terus dibantu

SHAH ALAM, 24 DIS: Pemantauan dijalankan di stesen pemindahan sementara sisa pepejal bagi memastikan kelancaran proses pembersihan pascabanjir di negeri ini.

EXCO kerajaan tempatan berkata tindakan itu dijalankan bersama KDEB Waste Management (KDEBWM) iaitu agensi Kerajaan Negeri yang mengendalikan kerja pembuangan sampah domestik dan pukal itu.

“Pemantauan keadaan stesen pemindahan sementara bersama KDEBWM bagi memastikan kerja pembersihan sampah pascabanjir lancar dan dapat memenuhi keperluan semasa.

“Walaupun dalam kapasiti tinggi, namun urusan ini tidak akan dilengahkan,” kata Ng Sze Han menerusi Facebook.

Sementara itu, KDEBWM menjelaskan operasi pembersihan pascabanjir telah dimulakan hari ini di beberapa kawasan terjejas antaranya di Hulu Langat, Puchong, Meru, Semenyih dan Kampung Bestari Jaya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Dr G Gunaraj bersama pasukan sukarelawan membantu penduduk terjejas di kawasannya semalam dengan mengedarkan barang keperluan asas dan mengesahkan borang tuntutan banjir dibuat mereka.

“Sampai jam 2 pagi untuk kerja mengemaskan semua diteruskan. Terima kasih kepada sukarelawan yang menolong tanpa mengira masa dan penat,” katanya.
Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunaraj membantu seorang penduduk terjejas banjir mengisi borang tuntutan pada 23 Disember 2021. Foto Facebook YB Gunaraj

Manakala Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa Mohd Sa’adon Muah bersama Pengerusi Ketua komuniti India Kapar K Chelvaraj Muniandy dan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) Sementa menghulurkan bantuan segera berupa barang keperluan dan wang tunai kepada satu keluarga mangsa banjir yang mendirikan khemah sementara di Jalan Benteng Kapar.

Mohd Sa’adon memaklumkan pihaknya sedang mencari rumah sementara untuk keluarga terdiri daripada 10 orang termasuk dua kanak-kanak yang tiada tempat tinggal apabila terpaksa keluar dari rumah sewa serta selepas pusat pemindahan sementara Sekolah Rendah Agama Kapar ditutup semalam.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri Sementa Mohd Sa’adon Muah (kanan) meninjau kawasan khemah penempatan sementara yang menempatkan sebuah keluarga di Jalan Benteng, Kapar pada 23 Disember 2021. Foto Facebook PKM Penyelaras DUN Sementa
Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat Sentosa cadang anjur rumah terbuka pandu lalu

RAWANG, 4 NOV: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa bercadang meraikan sambutan Deepavali dengan menganjurkan rumah terbuka secara pandu lalu dalam masa terdekat.

Dr G Gunaraj berkata pihaknya mengambil inisiatif itu bagi meraikan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN)nya susulan tidak dapat berkumpul secara beramai-ramai.

“Biarpun sudah beralih ke fasa empat, kita perlu berjaga-jaga dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Untuk rumah terbuka secara pandu lalu, saya jangka menyediakan 1,000 bungkusan makanan kepada penduduk,” katanya ditemui sempena Majlis Rumah Terbuka Deepavali di sini hari ini.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ditemani isteri Datin Seri Masdiana Muhammad tiba kira-kira jam 11 pagi ke kediamannya dan meluangkan masa hampir satu jam beramah mesra bersama tetamu serta menikmati juadah seperti nasi beriyani dan tosai.

Turut hadir Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli, ADN Rawang Chua Wei Kiat dan Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen.

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat Sentosa agih 1,500 bakul makanan sempena Deepavali

RAWANG, 4 NOV: Sebanyak 1,500 bakul makanan diagih kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa sempena sambutan Deepavali.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dr G Gunaraj berkata agihan bakul makanan berupa kelengkapan perayaan itu dilakukan sejak tiga minggu lalu.

“Selain itu kita juga melancarkan Program Jelajah Sentosa bersama beberapa kuil untuk memberi bantuan.

“Turut diadakan Ziarah Kasih iaitu melawat keluarga kurang berkemampuan seperti kehilangan suami dan mengalami masalah kesihatan,” katanya ditemui sempena Majlis Rumah Terbuka Deepavali di kediamannya di sini hari ini.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ditemani isteri Datin Seri Masdiana Muhammad tiba kira-kira jam 11 pagi ke kediaman Gunaraj dan meluangkan masa kira-kira satu jam beramah mesra bersama tetamu serta menikmati juadah seperti nasi beriyani dan tosai.

Turut hadir Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli, ADN Rawang Chua Wei Kiat dan Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Pelbagai bangsa rai Deepavali bawa kebaikan dalam bermasyarakat

RAWANG, 4 NOV: Kehadiran Dato’ Menteri Besar hari ini ke Majlis Rumah Terbuka Deepavali Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa membuktikan keharmonian kaum di negara ini.

Dr G Gunaraj berkata kepelbagaian dimiliki menyatukan semua dan menyaksikan perayaan itu diraikan bersama serta membawa kebaikan.

“Kita seharusnya bersyukur kerana berpeluang menyambut Deepavali selepas lebih 18 bulan duduk di rumah sahaja (akibat Covid-19).

“Bagaimanapun, pastikan semua mengikut tatacara operasi piawai (SOP) seperti memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Seri Amirudin Shari atas kesudian menghadiri majlis rumah terbuka Deepavalinya di Bandar Country Homes di sini.

Amirudin ditemani isteri Datin Seri Masdiana Muhammad tiba kira-kira jam 11 pagi ke kediaman Gunaraj dan meluangkan masa hampir satu jam beramah mesra bersama tetamu serta menikmati juadah seperti nasi beriyani dan tosai.

Turut hadir Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli, ADN Rawang Chua Wei Kiat dan Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen.

Categories
ADN SELANGOR

Urus jenazah berpusat atasi sesak di bilik mayat, ringan beban waris

SHAH ALAM, 18 JULAI: Langkah Kerajaan Negeri mewujudkan Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat mampu mengatasi masalah kesesakan di bilik mayat dan meringankan beban waris.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa berkata pihaknya menyambut baik inisiatif dijalankan dan berterima kasih kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kerana menyediakan tempat khusus bagi tujuan berkenaan.

“Ia secara tidak langsung dapat mengurangkan limpahan jenazah di hospital. Usaha itu juga melegakan ramai dan meringankan beban waris yang sebahagiannya golongan rentan serta bergantung hidup kepada mangsa,” kata Dr G Gunaraj menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau turut meminta Kerajaan Negeri menjelaskan dengan lebih terperinci mekanisma akan dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi proses pengebumian dan pengurusan krematorium jenazah.

Katanya, ini kerana perkara utama yang sering menjadi cabaran kepada waris mangsa Covid-19 adalah kos pengebumian.

Semalam, Kerajaan Negeri bersetuju supaya Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Klang dijadikan tempat khusus pengurusan jenazah sama ada bagi Islam atau bukan Islam.

Tanah perkuburan bagi mangsa Covid-19 beragama Islam adalah di Tanah Perkuburan Seksyen 21 dan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang manakala bagi bukan Islam akan dirujuk kepada PBT untuk urusan pengebumian serta krematorium bersesuaian.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Benarkan NGO, korporat beli vaksin, edar percuma kepada rakyat

SHAH ALAM, 27 JUN: Kerajaan harus membenarkan badan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan individu membeli vaksin bagi diedarkan secara percuma kepada kepada orang awam.

Ahli Dewan Negeri Sentosa, Dr G Gunaraj berkata banyak pihak yang sanggup mengeluarkan dana sendiri untuk membantu masyarakat mendapatkan vaksin sekali gus mempercepat imuniti kelompok.

“Perkara ini wajar diberi perhatian kerajaan kerana secara tidak langsung mewujudkan sikap tanggungjawab dalam masyarakat untuk bantu memerangi krisis pandemik.

“Kegagalan kerajaan mengendalikan pemberian vaksin menderitakan rakyat yang bertarung nyawa melawan virus itu,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau turut menempelak kenyataan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin yang meminta rakyat pergi ke pihak swasta jika ingin segera mendapatkan vaksin dengan kos ditanggung sendiri.

“Kerjasama menyeluruh antara kerajaan dan pihak yang sanggup menyediakan vaksin amat perlu. Ini kerana rakyat semakin derita, jadi vaksin perlu disegerakan,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Sentosa sedia lebih RM10,000 bantu keluarga terjejas pandemik

SHAH ALAM, 28 MEI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa memperuntuk lebih RM10,000 untuk mengagih barangan dapur untuk golongan memerlukan berikutan penularan Covid-19.

Ahli Dewan Negerinya berkata sumbangan kepada 120 keluarga terjejas itu merangkumi bekalan makanan asas seperti tepung, beras, gula, kicap, biskut dan mee segera.

“Bantuan ini bertujuan meringankan beban mereka terutama yang kehilangan pendapatan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.0) ketika ini.

“Semoga inisiatif ini sedikit sebanyak membantu dan DUN Sentosa akan berusaha menolong lebih ramai penduduk yang terkesan,” kata Dr G Gunaraj ketika dihubungi SelangorKini.

Susulan peningkatan kes Covid-19 saban hari, beliau menggesa masyarakat terus mengamalkan kawalan kendiri dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Categories
ADN SELANGOR

ADN nasihat rakyat waspada PKP Pemulihan, biasakan diri norma baharu

SHAH ALAM, 13 JUN: Rakyat diingatkan terus berwaspada walaupun negara kini berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan, kata ahli dewan negeri (ADN) Sentosa.

Dr G Gunaraj berkata peniaga dan pelanggan perlu patuh tatacara operasi piawai (SOP) bagi memastikan jumlah kes Covid-19 tidak bertambah.

“Sebelum ini banyak perkara positif yang kita belajar daripada PKP termasuk dapat meluangkan masa bersama keluarga. Justeru, saya minta kerajaan kaji semula mengenai pembukaan premis perniagaan 24 jam yang dianggap tiada keperluan terutama pada fasa pemulihan ini,” katanya.

Sementara itu, ADN Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof  harap rakyat dapat biasakan diri dengan norma baharu iaitu terus amalkan penjarakan sosial dalam rutin harian.

“PKP Pemulihan adalah fasa paling penting kerana kita diberikan lebih kebebasan tetapi pada masa sama diberi tanggungjawab untuk menjaga diri dan orang sekeliling. Saya harap kita akan terus biasakan diri dengan norma baharu dan jangan terleka,” kata beliau.

Mengenai kebenaran operasi semula pasar malam, pasar pagi dan beberapa premis beliau menginagtkan ibu bapa tidak membawa anak kecil atau warga emas ke tempat berkenaan bagi mengelakkan risiko jangkitan.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Sasar satu rumah satu tong sampah di DUN Sentosa

SHAH ALAM, 23 FEB: Setiap rumah di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa perlu dibekalkan tong sampah bagi mengelakkan taburan sisa di jalan raya, kata ahli dewan negerinya (ADN).

Dr G Gunaraj berkata ketika ini penduduk terpaksa menggantung beg plastik sampah di hadapan pintu pagar yang akhirnya menyebabkan lambakan.

“Saya sudah bertemu dengan Majlis Perbandaran Klang supaya setiap rumah yang membayar cukai tahun ini dibekalkan tong sampah seperti dilaksanakan pihak berkuasa tempatan lain,” katanya ketika Majlis Minum Petang ADN Sentosa bersama media di Kafe The View i-City di sini, hari ini.

Sementara itu, Gunaraj berkata media cetak masih memainkan peranan penting dalam kalangan masyarakat walaupun media sosial semakin berkembang pesat.

“Media (cetak) inilah yang menyampaikan dasar kerajaan dengan lebih tepat dan pantas, malah fakta yang dibekalkan juga lebih dipercayai berbanding media sosial,” katanya.

 

Categories
ADN SELANGOR

Gunaraj: Segera lapor jika lihat insiden pembakaran terbuka

SHAH ALAM, 29 JAN: Penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa dinasihatkan segera melaporkan insiden pembakaran terbuka membabitkan sisa buangan kabel elektrik supaya tindakan pencegahan dapat dilakukan segera.

Mengakui ia bukan perkara baharu, Ahli Dewan Negerinya Dr G Gunaraj berkata kejadian itu menyebabkan kacau ganggu dan pencemaran alam sekitar.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya kejadian ini dan berharap pihak berkuasa lebih aktif memantau. Jika tidak dikawal secara menyeluruh, saya bimbang individu tidak bertanggungjawab akan terus mengambil kesempatan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Gunaraj berkata aduan boleh disalurkan kepada Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa yang mendapat kerjasama penduduk bagi memantau isu di kawasan sekitar.

Pada 27 Januari lalu, satu pembakaran terbuka membabitkan sisa buangan kabel wayar dilaporkan berlaku di Jalan Sungai Jati.

Susulan itu, Majlis Perbandaran Klang bertindak menyita bahan berkenaan.