Categories
NASIONAL SELANGOR

Noh Omar Jahil Soal Urusan Pentadbiran

SHAH ALAM, 17 OKT : Datuk Seri Noh Omar disifatkan seorang menteri yang jahil dan tidak tahu soal urusan pentadbiran apabila mengeluarkan kenyataan mengenai Kerajaan Negeri Selangor menghalang projek pengairan bagi pesawah.

Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari berkata, projek yang diusahakan Noh itu langsung tidak dimaklumkan kepada Kerajaan Negeri selaku pihak yang bertanggungjawab mengawal-selia urusan, pentadbiran serta pembangunan negeri.

“Mana-mana pembangunan yang ingin dibuat mesti mendapat kelulusan pihak berkuasa negeri terlebih dahulu, supaya mereka dapat membuat ulasan jika timbul sebarang masalah.

“Sebagai contoh, jika ingin membuat pembangunan perumahan, mesti mendapatkan kelulusan Kerajaan Negeri, perkara sebegini semua orang tahu. Bukan hentam semberono seolah-olah menteri ini tidak pernah sekolah,” tegas Yaakob dalam kenyataan medianya.

Ujar Yaakob, projek yang didakwa oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu sebagai tindakan menceroboh tanpa izin kerana ia memasuki kawasan hutan.

“Projek tersebut dilakukan oleh pihak Integrated Agricultural Development Area (IADA) adalah projek bagi membina ban atau kolam takungan air tersebut berhadapan dengan masalah kerana memasuki kawasan hutan.

“Akibatnya, kerana tidak merujuk kepada pihak kami, projek tersebut mengakibatkan berlakunya kemusnahan hutan,” katanya

Tambah Yaakob, sepatutnya IADA rujuk kepada Kerajaan Selangor terlebih dahulu, supaya pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dapat turut serta membantu kerja-kerja membina kolam takungan air demi kebaikan rakyat keseluruhan.

“Sebelum Noh Omar menjadi menteri, hubungan saya dan pihak pegawai pusat tiada masalah, malah pihak IADA dan FAMA turut hadir ke mesyuarat yang kami buat.

“Malangnya setelah Noh Omar menjadi menteri, pegawai-pegawai di peringkat pusat  dihalang dari menghadiri mesyuarat saya,” kata Yaakob.

Yaakob berkata, tindakan sedemkian ini sangat merugikan para petani.

“Sepatutnya Noh Omar membuat keputusan yang memihak kepada rakyat daripada kepentingan politik semata-mata,” ujar Yaakob.

Sebelum ini, Noh meminta Kerajaan Selangor untuk tidak menghalang pelaksanaan projek pengairan di kawasan jelapang padi negeri ini dengan pelbagai kerenah birokrasi.

Ia juga berkenaan pemberian permit bagi membolehkan tanah dan batuan dari luar diangkut ke tapak kolam bagi membina ban di kawasan sekeliling seluas 80 hektar, yang boleh menyediakan 1.5 juta meter padu air.

Categories
SELANGOR

RM70,000 Menunggu Pemenang Memancing GP Selangor

SHAH ALAM 05 OKT : Hadiah bernilai lebih RM70,000 bakal menanti peserta dalam Pertandingan Memancing GP Selangor Siri 9 yang akan diadakan pada Ahad ini di Taman Tasik Subang Ria, Subang Jaya.

Pertandingan yang dianjurkan Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Majlis Perbandaran Subang Jaya ( MPSJ) pasti menggamit kaki-kaki pancing untuk menyertainya.

Juara pertandingan bakal membawa pulang wang tunai RM40,000 ; tempat ke dua sebanyak RM14,000 ; ketiga, RM7,000 ; keempat RM1,200  dan kelima RM600.

Hadiah wang tunai turut ditawarkan sehingga tempat ke 40.

Selain itu, turut diwujudkan kategori khas wanita yang menawarkan hadiah wang tunai hingga tempat ketiga.

Peserta juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berupa empat televisyen LCD 32 inci dan 500 kemeja T kepada peserta yang mendaftar awal serta 10 hadiah cabutan bertuah lain.

Yuran penyertaan sebanyak RM90 akan dikenakan setiap seorang dan peserta hanya dibenarkan mendaftar satu joran sahaja.

Kaunter pendaftaran akan dibuka 24 jam bermula 12 tengahari Sabtu ini di lokasi pertandingan.

Sempena pertandingan itu, Exco Permodenan, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan negeri, Dr Yaakob Sapari melepaskan hampir satu tan ikan patin bernilai RM5,000 ke Tasik Subang Ria sebagai simbolik perasmian.

Untuk keterangan lanjut, peserta boleh menghubungi talian 013-358206, 016-2937741 dan 013-3838655.