Categories
NASIONAL SELANGOR

Pemilik kilang menyembunyikan diri?

DSC_0371RAWANG, 3 SEPT : Majlis Perbandaran Selayang (MPS) masih belum berjaya menjejaki pemilik sebenar kilang penyelenggaraan lori sampah yang didakwa menyebabkan pencemaran.

Penolong Pegawai Penguatkuasa MPS, Paramasivam Chelliah berkata, semasa serbuan dilakukan di kilang terbabit, pemiliknya dikatakan gagal hadir ke lokasi kerana berada di luar kawasan.

Namun, beliau hairan bagaimana pemilik kilang itu boleh mengeluarkan kenyataan terbuka kepada sebuah media arus perdana pada 1 September lepas yang menunjukkan seolah-olah dirinya teraniaya.

“Semasa kita membuat operasi, pihak MPS hanya dapat berhubung dengan Penyelia sahaja. Kami tidak pasti bagaimana The Star boleh menghubungi pemilik kilang itu.

“Dia (pemilik) boleh keluarkan sebarang kenyataan yang mengatakan dia tidak bersalah, tetapi kita ada bukti yang cukup untuk mengesahkannya,” katanya mengulas kenyataan pemilik kilang terbabit.DSC_0366 (1)

Sebelum ini, akhbar berbahasa Inggeris itu melaporkan pemilik kilang itu menyalahkan pekerjanya kerana membuang minyak terpakai ke dalam sungai.

Pemilik itu juga mendakwa telah memecat empat orang pekerja di kilang terbabit dengan serta merta.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kilang buang minyak ke Sungai Selangor dikenakan 14 kompaun

DSC_0326RAWANG, 3 SEPT : Kilang yang didakwa bertanggungjawab ke atas gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Lembah Klang dikenakan 14 kompaun berjumlah RM34,000 kerana tidak mematuhi syarat pembuangan sisa pepejal.

Selain itu juga, Kilang itu juga didapati bersalah kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen selama 10 tahun.

“Mereka mempermainkan kita dengan mengatakan kilang ini hanya berfungsi sebagai tempat penyimpanan lori, tetapi apabila kita buat serbuan, banyak aktiviti berlaku di sini.

“Pemilik kilang juga adalah kontraktor persendirian di mana dia membawa sampah domestik ke sini untuk diasingkan sebelum dikitar semula,” kata Penolong Pegawai Penguatkuasa MPS, Paramasivam Chelliah.

Menurut beliau lagi, selain MPS, pihak kilang juga berhadapan tindakan daripada Lembaga Air Selangor (Luas), Pejabat Tanah dan Daerah serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.DSC_0318

Antara kesalahan yang juga dikenalpasti adalah struktur bangunan tidak menepati spesifikasi. Kilang terbabit pernah disaman sebelum ini atas kesalahan gangguan bau berdasarkan aduan daripada penduduk setempat.

Pihak berkuasa tempatan bertindak pantas menyita kilang tersebut pada 31 Ogos lalu. Selain disita, 20 barangan turut dirampas seperti alatan kimpalan dan dua lori tangki yang mengandungi minyak hitam.

Anggota penguatkuasa ditempatkan bagi memastikan tiada operasi berlangsung sehingga proses pemutihan dilakukan.

“Kami haramkan segala aktiviti dan melarang keras lori daripada masuk ke kawasan ini berdasarkan arahan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sendiri,” kata Paramasivam.

“Kita akan terus menyita tempat ini sehingga arahan pelepasan dikeluarkan daripada Yang Dipertua MPS sendiri,” tegas beliau.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rumah urut ‘extra’ diserbu MPS

OPS rumah urut MPS

RAWANG 12 JUN : Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyerbu tiga premis perniagaan tanpa lesen di bandar ini yang dipercayai menawarkan perkhidmatan urutan “extra”  dengan layanan wanita selain urutan refleksologi.

Ketika serbuan dilakukan di salah satu premis ‘pusat refleksologi’ itu, pihak penguatkuasa MPS mengesan seorang wanita dipercayai warga asing yang berada di premis berkenaan.

Penolong Pegawai Penguatkuasa MPS, C Paramasivam berkata, operasi tersebut dijalankan selepas mendapat maklumat awam dan pihaknya mengenalpasti sasaran ditetapkan.

Menurutnya, operasi tersebut melibatkan seramai 63 orang anggota penguatkuasa MPS.

“Ketiga-tiga premis tersebut dikenalpasti tidak memiliki lesen perniagaan dikeluarkan MPS. Semuanya dikenakan tindakan mengikut Seksyen 3 Undang-Undang Pusat Kecantikan MPS 2007.

“Denda dikenakan ke atas pihak terlibat adalah sebanyak RM1,000,” katanya kepada media selepas operasi di sini hari ini.

Paramasivam menjelaskan antara barangan dirampas adalah adalah kerusi, meja, tilam dan kerusi refleksologi.

Beliau berkata, ketiga-tiga premis tersebut disita MPS dan dilarangkan menjalankan perniagaan selepas ini.

Operasi dijalankan, katanya, adalah berterusan setiap bulan bagi membanteras kegiatan perniagaan seperti itu.

Difahamkan, pihak yang menjalankan perniagaan tersebut menyewa premis tersebut daripada pemilik bangunan berkenaan.