Categories
AGENDA SUKANKINI

Liga Malaysia: Maksimum 20,000 penonton masuk stadium

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan bahawa 50 peratus daripada kapasiti tempat atau maksimum 20,000 penonton di negeri Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan hadir di stadium bagi menyaksikan perlawanan Piala Malaysia 2021.

Dalam kenyataan hari ini, MFL turut memaklumkan kebenaran ke stadium bagi negeri Fasa 3 PPN adalah 30 peratus daripada kapasiti tempat atau maksimum 10,000 penonton, manakala bagi negeri Fasa 2 PPN adalah 20 peratus atau maksimum 5,000 penonton.

“Berdasarkan SOP (prosedur operasi standard) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS), jumlah penyokong yang dibenarkan memasuki stadium adalah mengikut fasa.

“Apa yang pasti ia menjadi satu langkah yang baik bagi melonjakkan kembali industri bola sepak negara apatah lagi kita sedang meraikan ulang tahun ke-100 Piala Malaysia,” kata Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan.

Ab Ghani berkata MFL turut memberi kebenaran kepada kelab untuk menentukan jumlah kemasukan penonton berdasarkan kemampuan mereka dari aspek pengurusan, petugas stadium dan pasukan keselamatan pada hari perlawanan.

Bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan individu yang lengkap vaksinasi dibenarkan hadir menonton perlawanan sukan dan rekreasi, kecuali kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, berkuat kuasa 1 Okt.

Ismail Sabri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 berkata kehadiran itu meliputi sebelum, semasa dan selepas acara dengan syarat penonton atau penyokong memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan dan minum sepanjang berada di stadium.

Sementara itu, Ab Ghani berkata mana-mana pasukan yang ingin membenarkan penonton hadir ke stadium bagi perlawanan persahabatan sepanjang tempoh saingan Piala Malaysia berehat sehingga 28 Okt ini, perlu memaklumkan kepada MFL terlebih dahulu.

“SOP yang lengkap berkenaan penyokong masuk ke stadium bermula 29 Okt ini akan diberikan kepada pasukan dalam tempoh terdekat,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Golongan warga emas, kanak-kanak tidak galak ke stadium

PUTRAJAYA, 19 MAC: Golongan warga emas dan kanak-kanak tidak digalakkan menonton perlawanan bola sepak apabila kebenaran kehadiran penonton ke stadium bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) berkuat kuasa 1 April ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata ketika ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sedang memperhalusi mekanisme dan tatacara operasi piawai (SOP) berhubung kebenaran kehadiran penonton ke stadium.

Menurut beliau, pihaknya tidak pernah menghalang kumpulan berisiko dijangkiti Covid-19 menonton perlawanan di stadium, malah tiada undang-undang melarang warga emas dan kanak-kanak berbuat demikian.

“Ada macam-macam yang akan diperhalusi antaranya penjualan tiket yang mesti dilakukan secara dalam talian, dari segi perniagaan trak makanan juga masih ada SOP perlu dipatuhi termasuk juga soal kehadiran kanak-kanak.

“Kanak-kanak tidak digalakkan pergi walaupun tiada undang-undang yang boleh menghalang mereka untuk pergi, sama seperti untuk golongan 60 tahun ke atas. Ini kumpulan dianggap yang mudah (dijangkiti) dan terdedah,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Jawatankuasa ‘Panel of Experts’ KBS di sini, hari ini.

Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri dan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras menjadi dua venue terawal yang bakal menerima semula kehadiran penonton masing-masing pada 2 dan 3 April apabila saingan Liga-M kembali bersambung selepas jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hujung bulan ini.

Kedua-dua stadium itu yang merupakan gelanggang tuan rumah pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC dipilih menjadi projek perintis menilai keberkesanan protokol pengurusan penonton.

Reezal Merican berharap penyokong dapat mematuhi SOP ditetapkan dan menjaga tingkah laku semasa berada di stadium supaya protokol pengurusan penonton dapat dibuktikan keberkesanannya kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“POC (bukti konsep) ini amat penting. Jika saya seorang bercakap untuk menyakinkan kerajaan tidak cukup, saya minta juga sokongan daripada kalangan peminat sukan dalam usaha KBS menyemarakkan kembali kerancakan penonton ke stadium.

“Kalau mereka (penonton) gagal menunjukkan testimoni yang menyakinkan, barangkali ia tidak akan menjadi realiti untuk perlawanan berikutnya,” jelas beliau.

Terdahulu, Reezal Merican menyerahkan surat pelantikan kepada 25 individu yang menganggotai Jawatankuasa ‘Panel of Experts’ dengan mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Borhan Dolah dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa itu.

Beliau berkata pelantikan itu sebagai satu lagi kolaborasi strategik KBS dalam mendapatkan idea dan pandangan segar berhubung pembangunan belia dan sukan negara.

– BERNAMA