Categories
AGENDA SUKANKINI

Liga Malaysia: Maksimum 20,000 penonton masuk stadium

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan bahawa 50 peratus daripada kapasiti tempat atau maksimum 20,000 penonton di negeri Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan hadir di stadium bagi menyaksikan perlawanan Piala Malaysia 2021.

Dalam kenyataan hari ini, MFL turut memaklumkan kebenaran ke stadium bagi negeri Fasa 3 PPN adalah 30 peratus daripada kapasiti tempat atau maksimum 10,000 penonton, manakala bagi negeri Fasa 2 PPN adalah 20 peratus atau maksimum 5,000 penonton.

“Berdasarkan SOP (prosedur operasi standard) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS), jumlah penyokong yang dibenarkan memasuki stadium adalah mengikut fasa.

“Apa yang pasti ia menjadi satu langkah yang baik bagi melonjakkan kembali industri bola sepak negara apatah lagi kita sedang meraikan ulang tahun ke-100 Piala Malaysia,” kata Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan.

Ab Ghani berkata MFL turut memberi kebenaran kepada kelab untuk menentukan jumlah kemasukan penonton berdasarkan kemampuan mereka dari aspek pengurusan, petugas stadium dan pasukan keselamatan pada hari perlawanan.

Bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan individu yang lengkap vaksinasi dibenarkan hadir menonton perlawanan sukan dan rekreasi, kecuali kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, berkuat kuasa 1 Okt.

Ismail Sabri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 berkata kehadiran itu meliputi sebelum, semasa dan selepas acara dengan syarat penonton atau penyokong memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan dan minum sepanjang berada di stadium.

Sementara itu, Ab Ghani berkata mana-mana pasukan yang ingin membenarkan penonton hadir ke stadium bagi perlawanan persahabatan sepanjang tempoh saingan Piala Malaysia berehat sehingga 28 Okt ini, perlu memaklumkan kepada MFL terlebih dahulu.

“SOP yang lengkap berkenaan penyokong masuk ke stadium bermula 29 Okt ini akan diberikan kepada pasukan dalam tempoh terdekat,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Penyokong setuju penonton Liga-M di stadium perlu ambil vaksin

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Cadangan mewajibkan pengambilan vaksin sebagai antara syarat utama membenarkan penyokong masuk ke dalam stadium dijangka mampu meningkatkan kesediaan orang ramai untuk mengambil vaksin Covid-19.

Beberapa wakil penyokong pasukan Liga Malaysia (Liga-M) bersetuju dengan cadangan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu sebelum ini yang diyakini mampu mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan penonton di stadium.

Presiden Anak Selangor Fan Club (Selangor FC), Mohd Faizal Wahid berkata sudah sampai masanya Liga-M mengikuti majoriti penganjuran kejohanan serta liga bola sepak luar negara yang telah mula mewajibkan pengambilan vaksin kepada penyokong yang ingin menyaksikan perlawanan pasukan masing-masing.

“Bagi saya ini jalan terbaik bagi memudahkan lagi kemasukan penyokong ke stadium, kita lihat di luar negara pun, penonton sudah boleh masuk ke stadium dengan jumlah yang lebih ramai ekoran sudah mengambil vaksin.

Malah, saya jangkakan sesetengah penyokong yang selama ini macam bimbang atau malas hendak ambik vaksin, mungkin akan mengubah keputusan mereka jika langkah ini diwajibkan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan MFL semalam.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dalam satu laporan media menyatakan pihaknya bersedia berbincang dengan kerajaan bagi membenarkan kemasukan semula penyokong ke stadium termasuk bersikap terbuka membenarkan penyokong yang telah divaksin sahaja masuk ke stadium pada aksi Liga-M.

Sementara itu, wakil penyokong TokGajah.com (Sri Pahang FC), Mohamad Fauzi Abdul Manaf mengakui cadangan berkenaan sememangnya pilihan terbaik buat semua dalam masa sekarang namun mengharapkan peraturan itu dapat dikuatkuasakan selepas program imunisasi negara sudah mencapai angka imuniti kelompok yang memuaskan.

“Saya juga mencadangkan jika ada penonton yang belum mengambil vaksin tetapi mahu hadir ke stadium mungkin boleh dikenakan syarat membuat (ujian saringan) RTK-Antigen, ini sebagai satu pilihan kepada penyokong,” katanya.

Wakil penyokong Ultras Penang (Penang FC), Zamzuri Ibrahim pula melihat langkah MFL itu bersesuaian dengan situasi terkini selain dapat membuktikan kepada pihak luar yang Liga-M turut serius dalam menangani penularan pandemik Covid-19.

Setelah berehat hampir dua bulan, saingan Liga-M bakal kembali bersambung bulan depan dengan Liga Premier bermula pada 3 Julai manakala Liga Super pula pada 24 Julai.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis nafi stadium tertutup Shah Alam tempat tampung pesakit Covid-19

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Polis menafikan sekumpulan individu ditempatkan di sebuah stadium tertutup di Shah Alam ekoran berlaku kesesakan di Hospital Sungai Buloh yang tidak dapat menampung jumlah pesakit Covid-19 seperti tular di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed mengesahkan berita yang disebarkan melalui video klip itu adalah berita palsu.

“Masyarakat diminta bertenang dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang bentuk berita palsu yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Arjunaidi juga menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang perkongsian atau menyebarkan sebarang berita yang diperoleh daripada sumber yang tidak sahih.

Tegasnya perbuatan tersebut boleh mencetuskan suasana panik, tidak harmoni dan menggugat ketenteraman awam sambil meminta orang ramai mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa terlebih dahulu tentang kesahihan sesuatu isu atau berita.

-BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Stadium MPAJ bernilai RM23 juta dengan RM1.3 juta GST

OLEH NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 9 APR: Projek Stadium Mini Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang menelan belanja RM23 juta turut membabitkan RM1.3 juta bayaran Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan Kerajaan Persekutuan.

Yang Dipertua MPAJ, Abd Hamid Hussain, berkata, stadium mini itu dibina sepenuhnya melalui peruntukan MPAJ sendiri.

“Syukur ke hadrat Allah, berkat usaha gigih seluruh warga kerja MPAJ menempuh pelbagai rintangan dan halangan akhirnya stadium ini dapat dibina dan disiapkan serta dirasmikan pada pagi ini dengan peruntukan MPAJ sendiri, bernilai RM23 juta dengan RM1.3 juta GST.

“Pembinaan telah dimulakan pada hujung 2015 dan siap pada bulan April ini,” katanya pada Majlis Perasmian Stadium MPAJ 2018 di Pandan Perdana di sini, hari ini.

Jelasnya, sama seperti projek pembangunan lain, pembinaan stadium itu berjaya dilaksanakan disebabkan keadaan kewangan MPAJ yang baik, langkah penjimatan, ketelusan dan kerja kuat semua pegawai dan kakitangan

Katanya, stadium dilengkapi beberapa ciri teknologi terkini dan mengikut piawaian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Katanya lagi, antara ciri terdapat di stadium itu termasuklah penggunaan rumput sintetik untuk memberi penggunaan maksimum kepada pengguna disebabkan sifatnya yang tahan lasak dan boleh digunakan dalam semua keadaan cuaca.

“Adalah diharapkan supaya masyarakat setempat menghargai stadium ini dan menggunakan dengan sebaik mungkin dan tidak melakukan vandalisme atau merosakkanya,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR SUKANKINI

MB: Stadium MPAJ wujudkan pelancongan sukan, platform cungkil bakat

OLEH NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 8 APR: Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), mampu merancakkan lagi sektor pelancongan sukan di Selangor khasnya di kawasan pentadbiran MPAJ sendiri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal ini kerana stadium bernilai RM23 juta itu memiliki kemudahan serba canggih yang mampu menarik minat pelbagai pihak menganjurkan pertandingan di stadium itu.

“Saya percaya kemudahan yang ada ini dapat menarik minat pelbagai pihak untuk menganjurkan pelbagai aktiviti sukan di dalam stadium dan akhirnya kawasan ini akan menjadi tumpuan pelancong sukan di Daerah Ampang dan MPAJ.

“Saya juga percaya dengan aktiviti ini dapat merancakkan lagi mencipta peluang pekerjaan dan pulangan ekonomi kepada negeri dan rakyat di kawasan ini,” katanya pada Majlis Perasmian Stadium Mini MPAJ di sini, hari ini.

Jelasnya, kerancakan aktiviti sukan ini juga akhirnya akan melahirkan bakat sukan baru yang boleh diketengahkan di kalangan generasi muda.

Katanya, stadium yang siap awal pada bulan April itu juga menjadi satu lagi platform terbaik untuk masyarakat tempatan mengukuhkan perpaduan dan keharmonian sesama mereka.

“Kita juga maklum aktiviti sukan adalah aktiviti yang dapat menjalin hubungan baik di antara rakyat negara ini tanpa mengira kaum agama dan latar belakang, aktiviti sukan mampu memperkukuhkan perpaduan rakyat dan keharmonian kita dalam Selangor ini,” katanya.

Sementara itu, pada majlis yang dihadiri lebih 6,000 hadirin itu turut dihadiri Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari dan Ahli Dewan Negeri (ADN) di Parlimen Ampang.

Categories
SELANGOR

MPAJ lakar sejarah miliki stadium sendiri

OLEH NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 8 APR: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menempa sejarah tersendiri apabila berjaya memiliki stadium mininya sendiri selepas 25 tahun penubuhannya.

Yang Dipertua MPAJ, Abd Hamid Hussain berkata, stadium mini dibiayai sepenuhnya melalui peruntukan MPAJ sendiri dengan peruntukan RM23 juta.

“MPAJ adalah pihak berkuasa tempatan (PBT), terakhir di Selangor memiliki stadium sendiri setelah 25 tahun penubuhannya.

“Pembinaan stadium ini dimulakan pada penghujung tahun 2015 dan siap pada bulan April ini dan dibina di atas tanah seluas 5.87 ekar dengan kapasiti 1,050 tempat duduk sahaja,” katanya pada Majlis Perasmian Stadium MPAJ 2018 di Pandan Perdana di sini, hari ini.

Jelasnya, pembinaan stadium ini melengkapkan lagi keperluan tempat bersukan atau beriadah untuk penduduk di kawasan pentadbiran MPAJ.

Katanya, stadium itu jelas mendapat sambutan menggalakkan masyarakat setempat apabila awal-awal lagi sudah mendapat tempahan sewaan daripada pelbagai pihak untuk menggunakan stadium terbabit untuk acara sukan.

Katanya lagi, stadium mini itu juga mampu menjadi platform masyarakat di situ mengukuhkan perpaduan melalui aktiviti sukan diadakan.

“Ini adalah komitmen MPAJ untuk menjadikan Ampang Jaya sebagai satu kawasan yang harmoni, selesa untuk didiami,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Pembinaan Stadium MPAJ beri manfaat 800,000 penduduk

Oleh: ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 5 MEI – Penduduk Ampang Jaya bakal menikmati kemudahan stadium mini pertama milik Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Pandan Perdana, dekat sini, yang dijangka siap Mei 2017.

Yang Dipertuanya, Abd Hamid Abdul Hussain, berkata pembinaan stadium itu adalah tangungjawab awam MPAJ untuk memastikan masyarakat tidak tercicir menerima fasiliti di kawasan berkenaan.

“Dengan kepadatan 800,000 penduduk, MPAJ masih tiada tempat sesuai untuk kita menganjurkan acara atau karnival sukan selain daripada kemudahan padang di Pandan Indah dan dewan orang ramai.

stadium“Semua PBT di Selangor sudah mempunyai stadium sendiri. Ini masa sesuai sebuah stadium di Ampang dibina untuk kemudahan dan keperluan awam terutama dengan mengambil kira faktor penduduk yang semakin meningkat,” katanya selepas Majlis Hi-Tea Apresiasi Media MPAJ di Hotel De Palma, di sini, semalam.

Projek menelan kos RM16 juta itu dimulakan, sejak 16 November lalu yang dibina di atas tapak seluas 2.37 hektar 400 meter dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Abd Hamid berkata, stadium dengan kapasiti 1,100 tempat duduk itu turut dilengkapi kemudahan trek larian 400 meter, padang bola sepak dan kawasan tempat letak kenderaan.

“Kita sedang mempertimbang untuk membuka trek laluan berjalan kaki atau jogging. Namun, kemudahan untuk trek itu perlu ditempah terlebih dahulu,” katanya.

Sebelum ini, sebahagian daripada tapak asal stadium mini itu mempunyai dua struktur bangunan lapangan sasar latihan golf Pandan Perdana dan medan selera.

Tapak itu juga diwartakan Kerajaan Negeri sebagai kawasan lapang dan sesuai untuk pembinaan stadium serta digunakan sebagai padang bola sepak.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Ahmad Zahid Harus Terbuka Terhadap Perhimpunan Aman

himpunan suara rakyat kelana jaya crowd 03

SHAH ALAM 23 MEI : Naib Presiden Pas Salahuddin Ayob menggesa Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya bersikap rasional dan terbuka terhadap penganjuran himpunan aman.

Salahuddin berkata himpunan-himpunan tersebut adalah cara rakyat terutamanya anak muda menzahirkan rasa tidak puas hati  berkaitan perjalanan pilihanraya ke-13 yang dilihat tidak telus dan penuh kepincangan.

“Saya melihat dan yakin serta percaya bahawa semua himpunan-himpunan yang dianjurkan ini adalah himpunan biasa, perhimpunan aman.

?Anak-anak muda datang tanpa senjata tanpa ada niat untuk mereka melakukan kekerasan ataupun jauh sekali daripada menggulingkan Kerajaan dengan cara kekerasan,? kata Salahuddin.

Beliau memberi respons terhadap amaran Ahmad Zahid yang dikeluarkan pada 20 Mei lalu terhadap sesiapa yang menyertai atau menganjurkan himpunan untuk mengkritik Kerajaan Persekutuan.

Sejak 8 Mei, Pakatan Rakyat telah menganjurkan beberapa siri himpunan yang dinamakan ?Blackout 505? bagi membantah keputusan pilihanraya ke-13 yang didakwa sarat dengan penipuan.

Himpunan-himpunan tersebut yang dianjurkan di padang atau stadium telah berjaya mengumpul berpuluh ribu orang yang datang dengan berpakaian hitam.

Akhbar ?The Sun? melaporkan Ahmad Zahid sebagai berkata sesiapa yang menyertai atau melibatkan diri di dalam himpunan-himpunan tersebut harus bersedia menghadapi tindakan undang-undang.

“Dato Zahid jangan bimbang kalau dia bersifat rasional atau beliau bersifat lebih objektif itu ini sendiri dengan sendiri akan menaikkan imej beliau sebagai Menteri dalam Negeri yang baru.

?Jadi saya harap tindakan-tindakan selanjutnya akan diperhitungkan dengan cermat dan juga saya rasa ini penting bagi kita memberikan ruang yang lebih demokratik pada rakyat negara kita”.