Categories
AGENDA NASIONAL

Syarat import lembu diperketat, elak penyakit kulit

KOTA BHARU, 5 JUN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengetatkan syarat import lembu hidup dari luar negara bagi mencegah penularan penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) yang kini menular di beberapa negara Asia.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata selaras dengan itu Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) diminta memperkemaskan kawalan di pintu masuk negara dan mengambil tindakan ke atas mana-mana lembu import yang menunjukkan gejala penyakit LSD di setiap stesen kuarantin.

Beliau berkata pihaknya juga memohon kerjasama pemain industri termasuk pengimport, peraih dan perternak lembu supaya segera menghubungi pejabat JPV di negeri atau daerah berdekatan sekiranya mengesyaki ternakan lembu di dalam jagaan atau kandang menunjukkan gejala LSD.

Katanya, pensampelan akan dijalankan untuk tujuan pengesahan penyakit dan ternakan lembu yang dijangkiti perlu diasingkan serta dilupuskan menerusi penyembelihan di rumah sembelih swasta yang dilesenkan.

“JPV juga mengaktifkan program pemantauan bagi mengesan, mengawal dan mencegah penularan penyakit LSD pada ternakan lembu di seluruh negara.

Setakat ini sebanyak 81,252 ekor ternakan lembu di 9,108 premis atau ladang telah diperiksa dah mendapati 89 ekor atau 0.1 peratus menunjukkan gejala jangkitan LSD dan sudah dilupuskan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Che Abdullah juga memaklumkan berita yang tular berkaitan “Elakkan membeli daging segar yang dijangkiti penyakit lembu di Perak” adalah tidak benar.

Katanya, penyakit LSD tidak menjangkiti manusia dan menafikan gambar individu yang tular dengan gejala di bawah mata yang dikatakan akibat dijangkiti LSD adalah tidak benar.

Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata walaupun LSD tidak menyebabkan kematian yang tinggi terhadap lembu tetapi ia memberi kesan ekonomi kepada pemain industri penternakan lembu dan kerugian akibat lembu menjadi kurus, penurunan pengeluaran susu, keguguran dan kemandulan kepada lembu jantan.

“Setakat ini tiada rawatan khusus untuk penyakit LSD dan lembu yang dijangkiti boleh diberikan rawatan bagi mengelak jangkitan sekunder menerusi pemberian antibiotik, anti-inflamatori dan vitamin,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Tingkat bio-sekuriti ladang elak penyakit kulit pada ternakan

SHAH ALAM, 5 JUN: Penternak lembu dan kerbau negeri ini dinasihat meningkatkan bio-sekuriti ladang masing-masing bagi mencegah penyakit kulit kental (LSD) pada ternakan.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata penternak juga perlu mengehadkan bilangan pelawat masuk ke ladang serta memusnahkan tempat pembiakan nyamuk, lalat dan agas supaya jangkitan tidak berlaku.

“Proses pengasapan (fogging) sama ada menggunakan mesin atau tradisional juga boleh dilakukan. Jika mahu menerima ternakan baharu perlu ada permit memindah dan sijil kesihatan sah.

“Penternak perlu mengasingkan ternakan yang demam atau mempunyai gejala LSD dan segera menghubungi Jabatan Perkhidmatan Veteriner (DVS) Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu Izham memaklumkan kes pertama LSD dikesan di Gombak pada Rabu lalu selepas lima lembu pedaging menunjukkan tanda jangkitan.

Pada 2 Jun, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mengesan penyakit tersebut pada 42 lembu hidup dari Thailand yang dikuarantin.

Jumlah itu sebahagian daripada 1,434 lembu yang diimport pada 26 April lalu, yang diasingkan sebelum dibenarkan masuk ke negara ini.

Penyakit LSD menular di Asia sejak 2019 antaranya di Bangladesh, India, China dan terbaharu Thailand.