Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Lebih 2,000 penyewa aset PBT terjejas PKP dapat moratorium

SHAH ALAM, 8 JULAI: Kerajaan Negeri meluluskan pemberian moratorium kepada penyewa aset pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak dapat beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penangguhan bayaran itu dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 2,000 penyewa aset PBT seperti gerai.

“Keputusan pemberian moratorium ini baru diluluskan dalam mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini (7 Julai). Moratorium bagi bulan Jun dan Julai diberikan kepada penyewa dan tidak ada dalam Pakej Kita Selangor 2.0.

“Ini menunjukkan Kerajaan Negeri sentiasa perbaiki dan mendengar keperluan orang ramai serta kalau ada kemampuan pasti dilaksanakan,” katanya pada ruang bicara di Facebook Bernama TV malam tadi.

Pada 9 Jun, Amirudin mengumumkan seramai 40,000 usahawan Hijrah diberikan moratorium bayaran pinjaman selama satu setengah bulan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Inisiatif yang memberi impak kewangan berjumlah RM11.35 juta disalurkan susulan Kerajaan Negeri memahami kesukaran golongan itu akibat pelaksanaan PKP yang menjejaskan perniagaan dan gangguan aliran tunai.

Categories
AGENDA NASIONAL

MKN tidak arah penyewa kondominium diwajib jalani saringan

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak pernah mengeluarkan polisi atau arahan yang mewajibkan penyewa termasuk penyewa warga asing atau pelawat melakukan ujian saringan Covid-19 untuk memasuki apartment, kondominium atau kawasan perumahan tertutup.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata agensi tersebut tidak menghalang pihak pengurusan kondominium atau kawasan perumahan berbuat demikian bagi menjaga keselamatan penduduk.

“Kawasan perumahan, kondominium atau apartment tertutup adalah kawasan persendirian yang mana pengurusan boleh membuat peraturan di dalam kawasan mereka.

“Malah mereka boleh membuat peraturan menyekat pelawat, contohnya di Sarawak, orang luar tidak dibenarkan melawat rumah-rumah panjang,” katanya menerusi hantaran di Twitter hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian mengenai dakwaan daripada beberapa ahli parlimen yang menyatakan keperluan ujian saringan Covid-19 kononnya melibatkan semua penyewa di kondominium.

Semalam, dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ismail Sabri berkata tindakan pihak pengurusan kondominium yang mengarahkan penyewa membuat ujian calitan Covid-19 sebelum memasuki unit kediaman adalah dibenarkan.

-BERNAMA