Categories
AGENDA NASIONAL

TLDM guna elemen 6D halang pencerobohan, jenayah

DI ATAS KAPAL KD LEKIU, 7 JUN: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengetengahkan konsep 6D ke dalam elemen cegah rintang dalam mengekang pencerobohan bot pendatang tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan.

Konsep 6D berkenaan adalah Pencegahan (Deter), Pengesanan (Detect), Penghindaran (Deny), Pelencongan (Detour), Penahanan (Detain) dan Pengusiran (Deportation).

Pegawai Memerintah Kapal Diraja (KD) Lekiu Kpt Shaiful Nizam Abdul Manan berkata konsep 6D berkenaan dilaksanakan menerusi atur gerak aset TLDM, KD Lekiu dan helikopter Super Lynx.

Beliau berkata demikian kepada Bernama yang mengikuti Op Benteng bagi mengawasi perairan di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di sekitar perairan Selat Melaka Utara.

Menerusi pelaksanaan bersepadu antara agensi operasi benteng (Op benteng) turut menggunakan pendekatan konsep 6D yang diaplikasikan dalam elemen cegah rentang aset-aset milik TLDM.

“Konsep berkenaan dilihat mampu diterap sesuai dengan kemampuan serta keupayaan kapal perang milik TLDM dalam menghadapi ancaman luar.

“Keupayaan khusus daripada segi sensor di atas kapal ini juga mampu melaksanakan pengawasan dalam mengekang unsur-unsur pendatang tanpa izin daripada menghampiri perairan wilayah maritim negara,” katanya.

Shaiful Nizam turut mengambil contoh penggunaan helikopter Super Lynx pada 16 April lepas apabila TLDM bersama tentera udara berjaya memintas 200 pendatang tanpa izin daripada menceroboh masuk ke perairan negara.

“Penggunaan Super Lynx berjaya menghindari bot pendatang tanpa izin daripada memasuki perairan Selat Melaka Utara negara dan dengan itu kami juga mampu mengelakkan sebarang cubaan pendaratan bot-bot ini sekali gus mengiringi mereka keluar dari perairan negara,” katanya.

Pada 16 April, Bernama melaporkan kira-kira 200 pendatang tanpa izin etnik Rohingya menyeludup masuk ke negara ini menerusi perairan Langkawi berjaya dipatahkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

90 peratus perairan Malaysia bebas pencerobohan bot nelayan asing

SERDANG, 4 DIS: Sebanyak 90 peratus kawasan perairan negara kini bebas daripada pencerobohan bot nelayan asing sejak Ops Naga dijalankan April lepas, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Sepanjang tempoh itu, katanya sebanyak 160 bot nelayan asing telah ditahan di kawasan Laut China Selatan dan Selat Melaka, sekali gus membawa kepada peningkatan ketara kepada hasil tangkapan laut oleh nelayan tempatan di Pantai Timur dan Pantai Barat.

“Operasi tidak terhad kepada menahan bot nelayan asing tetapi turut membanteras penggunaan alatan tangkapan seperti bubu naga yang boleh memusnahkan ekosistem laut,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Dialog Pembaharuan Industri Perikanan Negara di sini hari ini.

Berikutan itu, Salahuddin berkata Kabinet telah bersetuju Ops Naga yang melibatkan kolaborasi lima kementerian termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diteruskan sehingga ke satu tempoh masa yang akan diputuskan kelak.

Ini, katanya selepas Kabinet bersetuju kolaborasi yang turut melibatkan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Luar itu banyak memberi manfaat kepada nelayan melalui tindakan mengekang aktiviti pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara.

Katanya beliau telah meminta Timbalan Ketua Setiausaha kementerian yang kini menjalankan tugas-tugas Ketua Setiausaha Datuk Salim Parlan untuk berbincang dengan Agensi Penguatkuasaan Maratim Malaysia (APMM) supaya bot nelayan asing dan peralatan tangkapan yang dirampas melalui Ops Naga diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan penguatkuasaan.

Pada 3 Oktober lepas, lapan bot asing yang ditahan dalam Ops Naga dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM12 juta dilupuskan melalui kaedah penenggelaman di perairan Pulau Kapas, Marang, Terengganu selepas selesai proses perundangan.

Dalam pada itu, Salahuddin mengingatkan pemegang lesen bot nelayan supaya tidak menggunakan bot atau vesel masing-masing bagi mengangkut atau membawa pendatang asing kerana tindakan tersebut bertentangan dengan undang-undang dan syarat pemberian lesen di mana pelakunya boleh dikenakan tindakan tegas.

Menurutnya, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan kepadanya tentang kewujudan aktiviti tersebut yang dilakukan oleh segelintir nelayan dan kementerian sedang menunggu laporan tepat dan lengkap mengenainya untuk tindakan lanjut.

“Lesen diberi untuk menangkap ikan bukannya mengangkut orang asing. Jika ditangkap pihak berkuasa, ia bukan lagi di bawah bidang kuasa kementerian… jadi, jangan susahkan diri membuat kerja yang jelas menyalahi undang-undang,” katanya.

Ditanya mengenai usaha kerajaan membantu nelayan berdepan musim tengkujuh khususnya di Pantai Timur, Salahuddin berkata kementerian telah memberi kebenaran khas iaitu lesen Pukat Tunda Musim Tengkujuh (PTMT) kepada nelayan bot pukat tunda bagi membantu golongan terbabit menjalankan aktiviti di laut.

Beliau berkata kebenaran khas PTMT dibenarkan hanya untuk tempoh tiga bulan bermula November lepas.

-BERNAMA