Categories
AGENDA NASIONAL

Kaut hasil laut, RM700 juta aset nelayan asing dirampas

PASIR PUTEH, 4 OKT: Hampir RM700 juta aset nelayan asing yang digunakan bagi mengaut hasil laut negara ini dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sejak tahun 2019 hingga September lepas.

Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata jumlah rampasan itu melibatkan nilai bot, lelongan hasil tangkapan, denda serta kompaun yang dilaksanakan melalui Op Naga dan Op Kuda Laut di seluruh negara.

“Menerusi Op Naga, Maritim merampas 303 bot dengan nilai rampasan berjumlah RM445 juta termasuk bot dan hasil lelongan, selain 2,000 kru bot nelayan terdiri daripada warga Vietnam dan Indonesia ditahan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan rasmi ke Pusat Tahanan Vesel Maritim Malaysia Kelantan, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Maritim Kelantan Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman.

Mohd Zubil berkata menerusi Ops Kuda Laut pula sebanyak 149 bot dirampas dengan nilai keseluruhan RM224 juta sementara 1,516 kru nelayan asing ditahan.

“Sejak penubuhan Maritim Malaysia, saya anggarkan sudah berbilion nilai rampasan melibatkan aset nelayan asing ini dilakukan. Apa yang boleh saya rumuskan 90 peratus bot yang menceroboh masuk ke perairan negara ini adalah milik nelayan Vietnam,” tambahnya.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

90 peratus perairan Malaysia bebas pencerobohan bot nelayan asing

SERDANG, 4 DIS: Sebanyak 90 peratus kawasan perairan negara kini bebas daripada pencerobohan bot nelayan asing sejak Ops Naga dijalankan April lepas, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Sepanjang tempoh itu, katanya sebanyak 160 bot nelayan asing telah ditahan di kawasan Laut China Selatan dan Selat Melaka, sekali gus membawa kepada peningkatan ketara kepada hasil tangkapan laut oleh nelayan tempatan di Pantai Timur dan Pantai Barat.

“Operasi tidak terhad kepada menahan bot nelayan asing tetapi turut membanteras penggunaan alatan tangkapan seperti bubu naga yang boleh memusnahkan ekosistem laut,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Dialog Pembaharuan Industri Perikanan Negara di sini hari ini.

Berikutan itu, Salahuddin berkata Kabinet telah bersetuju Ops Naga yang melibatkan kolaborasi lima kementerian termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diteruskan sehingga ke satu tempoh masa yang akan diputuskan kelak.

Ini, katanya selepas Kabinet bersetuju kolaborasi yang turut melibatkan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Luar itu banyak memberi manfaat kepada nelayan melalui tindakan mengekang aktiviti pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara.

Katanya beliau telah meminta Timbalan Ketua Setiausaha kementerian yang kini menjalankan tugas-tugas Ketua Setiausaha Datuk Salim Parlan untuk berbincang dengan Agensi Penguatkuasaan Maratim Malaysia (APMM) supaya bot nelayan asing dan peralatan tangkapan yang dirampas melalui Ops Naga diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan penguatkuasaan.

Pada 3 Oktober lepas, lapan bot asing yang ditahan dalam Ops Naga dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM12 juta dilupuskan melalui kaedah penenggelaman di perairan Pulau Kapas, Marang, Terengganu selepas selesai proses perundangan.

Dalam pada itu, Salahuddin mengingatkan pemegang lesen bot nelayan supaya tidak menggunakan bot atau vesel masing-masing bagi mengangkut atau membawa pendatang asing kerana tindakan tersebut bertentangan dengan undang-undang dan syarat pemberian lesen di mana pelakunya boleh dikenakan tindakan tegas.

Menurutnya, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan kepadanya tentang kewujudan aktiviti tersebut yang dilakukan oleh segelintir nelayan dan kementerian sedang menunggu laporan tepat dan lengkap mengenainya untuk tindakan lanjut.

“Lesen diberi untuk menangkap ikan bukannya mengangkut orang asing. Jika ditangkap pihak berkuasa, ia bukan lagi di bawah bidang kuasa kementerian… jadi, jangan susahkan diri membuat kerja yang jelas menyalahi undang-undang,” katanya.

Ditanya mengenai usaha kerajaan membantu nelayan berdepan musim tengkujuh khususnya di Pantai Timur, Salahuddin berkata kementerian telah memberi kebenaran khas iaitu lesen Pukat Tunda Musim Tengkujuh (PTMT) kepada nelayan bot pukat tunda bagi membantu golongan terbabit menjalankan aktiviti di laut.

Beliau berkata kebenaran khas PTMT dibenarkan hanya untuk tempoh tiga bulan bermula November lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lupus bot nelayan asing: Perbincangan MoA-KDN peringkat akhir

KUALA LUMPUR, 31 JUL: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) kini dalam proses perbincangan akhir bersama Kementerian Dalam Negeri tentang kaedah melupuskan bot-bot nelayan asing yang dirampas kerana menangkap ikan di perairan negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihaknya juga sedang meneliti kaedah yang tepat bagi memusnahkan bot-bot nelayan asing itu.

“Sama ada bom, bakar atau tenggelam itu kami sedang bincang. Mungkin dalam masa dua minggu akan ada satu acara untuk menunjukkan kepada pihak antarabangsa bahawa kita serius menangani isu pencerobohan nelayan asing.

“Saya juga telah mendapat taklimat daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) bahawa telah ada beberapa bot nelayan Vietnam yang telah dilucutkan hak oleh mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) ke-34/2019 di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Nekmat Abdul Hamid Bahari dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil.

Terdahulu, Salahuddin dalam ucapannya berkata beliau telah bertemu Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia Susi Pudjiastuti baru-baru ini dan mengagumi ketegasan Indonesia dalam menangani isu pencerobohan kapal nelayan asing di Indonesia.

“Tidak ada kapal nelayan asing (di Indonesia), mereka dihalau balik semua. Bot-bot besar diharamkan, tiada soft landing, tarik semua lesen.

“Bot asing masuk, bom. Indonesia buat tiga tahun. Tahun pertama maki hamun, sumpah namun, masuk tiga tahun ikan tuna datang berenang ke pantai,” katanya.

Salahuddin berkata apabila pihaknya bertegas, hasil laut juga akan meningkat dan ia akan mendatangkan pendapatan lumayan khususnya pada nelayan negara.

Semalam, media melaporkan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia sedang meneliti untuk mencontohi dasar kerajaan Indonesia dengan memusnahkan atau menenggelamkan kapal nelayan asing yang ditahan menceroboh perairan negara.

Beliau berkata, terdapat cadangan supaya perkara itu dilaksanakan namun, perlu mendapat nasihat daripada Peguam Negara.

Awal bulan ini, Salahuddin berkata, tindakan menenggelamkan bot nelayan asing yang mencerobohi perairan Malaysia hanya akan dipertimbangkan jika langkah menangani pencerobohan nelayan asing pada masa ini termasuk penubuhan pasukan petugas khas oleh Kabinet tidak berkesan.

– BERNAMA