Categories
GLOBAL

Jutaan pekerja bakal hilang kerja jika sengketa perdagangan berterusan

LONDON 20 OKT: Perang perdagangan yang semakin sengit mengundang ‘risiko sebenar’ terhadap ekonomi global, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), Roberto Azevedo dalam ucapannya di London kelmarin.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terlibat dalam kancah perang perdagangan dengan China. Beliau melaksanakan tarif bernilai berbilion-bilion dolar bagi menangani defisit perdagangan dengan Beijing dan membendung amalan perdagangan yang merugikan Washington.

Trump juga menyasarkan Kesatuan Eropah (EU), manakala Azevedo memberitahu pemimpin-pemimpin perniagaan dalam ucapannya di Mansion House bahawa perang perdagangan AS-China itu tidak menampakkan tanda akan reda, lantaran, beliau merayu kepada pemimpin-pemimpin dunia supaya kembali ke meja rundingan.

“Ketegangan yang kian memuncak dan berterusan ini mencetuskan risiko sebenar,” kata Azevedo dalam amarannya.

Amaran tersebut seiring dengan kenyataan pakar-pakar ekonomi bahawa kegagalan dalam kerjasama perdagangan antarabangsa akan menyaksikan lonjakan tarif yang akan meleburkan 17 peratus pertumbuhan perdagangan global dan 1.9 peratus pertumbuhan ekonomi dunia.

“Ini akan mengakibatkan pekerja, firma dan komuniti terjejas,” kata Azevedo.

“Berjuta-juta pekerja akan hilang pekerjaan dan perlu mencari pekerjaan baharu. Firma-firma pula terpaksa mencari produk dan pasaran baharu,” tambahnya.

Menjawab dakwaan bahawa amalan perdagangan berat sebelah tidak mendapat hukuman setimpal di bawah sistem sedia ada, Azevedo berkata, penyelesaian politik mengenainya perlu dicapai dan beliau mahu pemimpin-pemimpin dunia berusaha ke arah itu pada sidang kemuncak G20 di Argentina, bulan depan.

Trump sehingga kini menguatkuasakan tarif bernilai AS$250 bilion (RM1.03 trilion) terhadap barangan China yang diimport AS dan mengancam untuk bertindak lebih drastik.

SUMBER: AFP

Categories
EKONOMI

BNM: Malaysia dijangka terima kesan minimum perang perdagangan AS-China

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Malaysia dijangka menerima kesan minimum daripada perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China kerana negara ini adalah sebuah ekonomi terbuka yang kecil, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bagaimanapun, jika perang perdagangan itu terus memuncak, seluruh ekonomi global akan menerima kesannya dan pertumbuhan dunia dijangka merosot sebanyak 0.5 peratus menjelang 2020, kata Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

“Meskipun begitu, satu daripada kekuatan ekonomi kita adalah kita mempunyai struktur ekonomi yang pelbagai.

“Justeru, walaupun eksport kita mungkin akan terjejas oleh pertumbuhan perlahan ekonomi global namun aktiviti domestik akan terus bertahan dan ini akan menyediakan asas bagi pertumbuhan dalam senario sedemikian,” katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2018, di sini, hari ini.

Mengenai aliran keluar besar-besaran dalam kalangan bukan pemastautin dalam suku kedua 2018, Nor Shamsiah berkata ini disebabkan terutamanya oleh faktor-faktor luaran.

“Faktor utamanya adalah berkaitan ketidakpastian tentang fasa penormalan dasar monetari Amerika Syarikat, keduanya ketegangan perdagangan dan ketiga perkembangan berkaitan lira Turki.

“Perkembangan luaran menjadi penyumbang utama bagi aliran keluar asing besar-besaran…bagaimanapun pada Julai dan Ogos, kita menyaksikan aliran keluar yang agak sederhana,” katanya.

Sementara itu Nor Shamsiah berkata pendedahan risiko Malaysia kepada krisis kewangan dan lira Turki yang meruncing adalah kecil.

“Sebagai contoh dari segi pendedahan hutang korporat kepada Turki hanya 0.17 peratus dan dari segi pendedahan kepada hutang dalam nilai lira Turki malahan lebih kecil pada 0.03 peratus daripada jumlah hutang luaran korporat,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI GLOBAL

Perang perdagangan Washington tidak akan jejaskan Beijing

BEIJING 4 OGOS: China semalam memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa tindakan meningkatkan perang perdagangan hanya akan ‘mengecewakan dunia’ ketika Washington mengugut mahu menaikkan tarif terhadap AS$200 bilion (RM814.7 bilion) eksport Beijing ke AS.

Beijing berkata, langkah itu, sekiranya dilaksanakan, akan memaksa ia bertindak balas bagi mempertahankan kepentingan China, perdagangan bebas dan status quo antarabangsa.

 

“AS tidak mempedulikan dunia. Tindakan keras dan berlembut Washington terhadap Beijing tidak akan mendatangkan kesan, malah, ia hanya akan mengecewakan semua negara dan wilayah yang menentang perang perdagangan,” kata Kementerian Perdagangan China dalam satu kenyataan sambil menambah, Beijing masih berharap situasi tersebut akan berubah.

Jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang menyifatkan tindakan AS sebagai ‘peras ugut’ dan mendesak Washington supaya kembali rasional serta tidak bertindak melulu.

“Ia hanya akan menya­kitkan mereka,” katanya.

Presiden AS, Donald Trump meminta Wakil Perdagangan AS untuk menimbangkan cadangan menaikkan tarif kepada 25 peratus terhadap import China berbanding cukai 10 peratus sebelum ini, kata utusan berkenaan, Robert Lighthizer kelmarin.

“Kami sangat jelas mengenai ­perubahan spesifik yang perlu China lakukan. Malangnya, di sebalik mengubah tindak-tanduk berbahaya itu, China secara haram telah bertindak balas terhadap pekerja, petani, penternak dan perniagaan AS,” kata Lighthizer dalam satu kenyataan.

AS telah mengenakan tarif 25 peratus ke atas import China bernilai AS$34 bilion (RM138 bilion), manakala tarif tambahan AS$16 bilion (RM65 bilion) akan dilaksanakan dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Pada 10 Julai lalu, Washington mendedahkan senarai tambahan import China bernilai AS$200 bilion merangkumi pelbagai produk seperti jentera elektrik, barangan kulit dan makanan laut yang akan dikenakan duti import 10 peratus.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Perang Perdagangan: Keputusan Trump menyemarak kemarahan China

WASHINGTON 4 APR: Pentadbiran Trump menyemarakkan lagi ketegangan perdagangan dengan China apabila mengumumkan tarif 25 peratus ke atas 1,300 teknologi perindustrian, pengangkutan dan produk perubatan bagi memberi tekanan ke atas Beijing untuk membuat perubahan dalam dasar berkaitan harta intelek.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) mendedahkan senarai, kebanyakannya produk bukan pengguna, dengan anggaran import kira-kira AS$50 bilion yang pastinya akan memberi kesan kepada rantaian bekalan pengilang di AS.

Senarai itu merangkumi daripada kimia hingga ke peti TV, kenderaan bermotor dan komponen elektronik.

Penerbitan senarai tarif itu akan disusuli ulasan orang awam dan perundingan selama dua bulan, yang mana selepas itu USTR akan mengeluarkan ‘kesungguhan muktamad’ ke atas senarai produk itu.

Tarif itu akan dibentang kepada umum pada 15 Mei.

Pengumuman itu segera mendapat reaksi keras kedutaan China di Washington.

Kementerian Perdagangan China berkata, ia akan mengambil langkah mengambil langkah pada skala dan kekuatan sama ke atas produk AS.

“Kami memiliki keyakinan dan keupayaan untuk membalas kepada mana-mana langkah perlindungan oleh AS,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik agensi berita rasmi Xinhua.

Kementerian itu tidak mendedahkan langkah tindak balas yang akan diambil, tetapi ahli ekonomi berpandangan sasaran utama ialah import kacang soya, pesawat dan mesin.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

China sedia hadapi perang perdagangan dengan AS

GLOBAL 24 MAC: China memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa negara itu ‘tidak gentar untuk perang perdagangan’ sewaktu mengancam mengenakan tarif bernilai AS$3 bilion (RM11.7 bilion) ke atas produk AS sebagai balasan terhadap barangan import China oleh Presiden Donald Trump.

Beijing mengumumkan satu senarai produk yang mungkin dikenakan duti import sehingga 25 peratus, termasuk buah-buahan segar hingga daging babi dan wain.

 

Negara itu bagaimanapun menangguhkan seketika tindakan bagi menunjukkan kesediaan untuk berunding mengenai perkara berkenaan.

Tindakan terbaru itu menyebabkan beberapa pasaran saham merudum susulan peningkatan kebimbangan bahawa AS yang menuduh China mencuri harta intelek secara besar-besaran dan amalan tidak adil lain boleh mengundang perang dagangan yang memudaratkan.

“China sebolehnya tidak mahu terbabit dalam perang perdagangan tetapi kita tidak gentar untuk melancarkan perang perdagangan,” menurut Kementerian Perdagangan China.

Beberapa jam sebelumnya, Trump telah menandatangani satu perintah bagi mengenakan sekatan ke atas pelaburan China di AS dengan menyatakan tindakan itu yang ‘pertama daripada banyak lagi’.

“Kami mempunyai satu situasi kecurian harta intelek betul-betul hebat sedang berlaku,” kata Trump ketika beliau menandatangani perintah dagangan baharu yang mungkin menyaksikan pengenaan duti import setinggi 25 peratus.

Kementerian Perdagangan China memberi amaran bahawa tarif sebanyak 15 peratus ke atas 120 barangan bernilai hampir AS$1 bilion (RM3.9 bilion) termasuk buah-buahan segar, kacang dan arak akan dikenakan jika AS gagal mencapai satu ‘perjanjian ganti rugi dagangan’ dalam suatu rangka masa tidak ditetapkan secara spesifik.

Langkah kedua pula akan menyaksikan tarif sebanyak 25 peratus dikenakan ke atas lapan jenis barangan bernilai kira-kira AS$2 bilion (RM7.8 bilion) termasuk daging babi dan skrap aluminium, sebaik sahaja ‘melakukan penilaian lanjut berhubung impak tindakan AS terhadap China’, menurut ke­nyataan sama.

Senarai itu tidak termasuk kacang soya dengan akhbar rasmi milik kerajaan China, Global Times mencadangkan komoditi itu sepatutnya menjadi sasaran Beijing.

Sekiranya tindakan itu diambil, ia akan memberi tamparan hebat kepada petani-petani AS kerana satu pertiga bekalan kacang soya AS dieksport ke China dengan transaksi berjumlah AS$14 bilion (RM54.8 bilion) tahun lalu.
SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Perang ekonomi: China sedia ambil tindakan ke atas Amerika

BEIJING 8 MAC: China akan mengambil maklum balas perlu sekiranya berlaku peperangan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Luar Wang Yi hari ini, sementara memberi amaran perang seperti itu hanya akan membahayakan semua pihak.

Presiden Donald Trump dijangka mengenakan tarif 25 peratus ke atas keluli import dan 10 peratus ke atas aluminium import minggu ini, tetapi Rumah Putih berkata ia memberi pengecualian 30 hari kepada Mexico, Kanada dan beberapa negara lain berasaskan keselamatan nasional.

Langkah itu bertujuan menangani import murah, terutamanya dari China, yang didakwa menjejaskan industri dan pekerjaan AS.

Pentadbiran Trump berhadapan tentangan kepada cadangan tarif itu daripada tokoh Republikan sendiri dan pegawai perniagaan bimbang yang impak ke atas ekonomi negara itu.

Ketegangan perdagangan dengan AS menjadi penting dan menerajui senarai risiko di hadapi China tahun ini, kata Zhou Hao, ahli ekonomi kanan di Commerzbank, kepada Reuters Global Markets Forum minggu ini, dan data terkini negara itu menunjukkan eksport menokok 44.5 peratus pada Februari berbanding setahun lalu.

Wang, bercakap pada acara sampingan di parlimen China, berkata China dan AS tidak perlu menjadi pesaing, dan sejarah menunjukkan peperangan perdagangan adalah cara yang tidak betul untuk menyelesaikan masalah.

“Terutamanya dalam globalisasi hari ini, memilih perang perdagangan adalah preskripsi yang silap. Hasilnya akan hanya membahayakan.

“China harus mengambil maklum balas yang patut dan perlu,” kata Wang.

SUMBER: REUTERS