Categories
AGENDA NASIONAL

20 syarikat Malaysia sertai Ekspo Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi

KUALA LUMPUR, 9 NOV: 20 syarikat Malaysia akan menyertai Pameran dan Persidangan Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi (ADIPEC) 2019 menerusi Misi Peningkatan Eksport Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) ke Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) mulai 11 hingga 14 November.

Penyertaan tinggi oleh syarikat Malaysia itu menunjukkan minat mereka dalam mengembangkan kedudukan eksport masing-masing di rantau Asia Barat walaupun menghadapi pelbagai cabaran ekonomi global, menurut MATRADE dalam kenyataan hari ini.

MATRADE, sebagai agensi penggalakan perdagangan negara, telah menganjurkan penyertaan Malaysia dalam ADIPEC sejak 2010.

MATRADE berkata, Pavilion Malaysia di ADIPEC 2019 akan mempromosikan pelbagai produk dan perkhidmatan minyak dan gas seperti produk penghawa dingin, pengudaraan dan pemanasan, perisian kejuruteraan perindustrian serta perkhidmatan cari gali dan perundingan pengeluaran minyak dan gas.

“Amat penting bagi Malaysia untuk terus meningkatkan tahap kebolehlihatannya dalam acara utama ​​​​​​​ sekali gus memperkukuhkan jenama Malaysia sebagai peserta utama dalam sektor itu,” kata Pengarah Seksyen Minyak dan Gas, Kimia dan Tenaga MATRADE, S Jai Shankar.

Beliau berkata justeru, MATRADE menggalakkan syarikat Malaysia tersebut untuk menyertai aktiviti nilai tambah lain yang diadakan sepanjang acara itu seperti persidangan.

Jumlah nilai eksport barangan minyak dan gas antara Malaysia dan UAE meningkat kepada RM832.5 juta pada tahun lepas berbanding RM251.4 juta pada 2017.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Minat jalankan perniagaan kukuh walaupun ekonomi dunia suram

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Pertumbuhan ekonomi dunia menunjukkan kelembapan, namun minat untuk menjalankan perniagaan dalam kalangan perniagaan antarabangsa tetap kukuh.

Ini terbukti daripada kejayaan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mendapatkan 32 pembeli asing dari 23 negara menyertai Pameran & Persidangan Produk Greentech & Eco Antarabangsa Malaysia ke-10 (IGEM 2019) baru-baru ini.

Bernama berjaya menemu bual tiga tokoh perniagaan asing dari firma pertengahan yang mencari peluang untuk menjalin usaha sama serta mendapatkan bekalan, pada sesi padanan perniagaan yang diatur oleh MATRADE.

Sesi padanan yang dinamakan Program Penyumberan Antarabangsa, yang berlangsung sempena Pameran & Persidangan Produk & Persidangan Greentech & Eco Antarabangsa Malaysia ke-10 (IGEM 2019) merupakan kemudahan utama MATRADE untuk menghubungkan pembekal Malaysia dengan pembeli asing dengan sokongan Malaysian Green Technology Corp.

Salah sebuah syarikat ini ialah syarikat perdagangan Qatar, Arabian Specialised Materials.

Pengurus Pemasarannya, Mohammad Al Jaja berkata, beliau mengenal pasti lima syarikat Malaysia yang berpotensi menjalin usaha sama yang mungkin atau memperoleh sumber produk dari Malaysia.

“Hasilnya setakat ini sangat baik. Kami telah bertemu dengan lebih 15 syarikat, dengan lima merupakan syarikat yang kukuh.

“Ini mungkin akan membawa kepada pengimportan produk dari Malaysia atau usaha sama di Qatar dengan membuka pejabat di Qatar,” katanya.

Mohammad berkata, beliau juga sedang mencari jurutera reka bentuk untuk mengambil bahagian dalam pembinaan sebuah bandar pintar di Qatar memandangkan negara itu sedang bergerak ke arah bindaan dan infrastruktur bandar pintar.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai hubungan erat dengan Qatar dan yakin perdagangan antara kedua-dua negara akan terus kukuh.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Halal Bangladesh, Amirul Chowdhury berkata, beliau sedang mengenal pasti pembekal produk teknologi hijau bagi perkhidmatan pengurusan alam sekitar dan aksesori lampu.

“Saya mengadakan pertemuan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal. Kami merancang untuk bekerjasama untuk komuniti tempatan kami di Bangladesh dalam bidang pembangunan teknologi hijau,” kata Amirul.

Beliau juga berhasrat untuk mengadakan Pameran Halal Antarabangsa Bangladesh tahun depan, serupa MIHAS Malaysia, dan mencari syarikat dengan sistem teknologi hijau untuk turut serta.

Margarita Chow, Perunding Perniagaan Antarabangsa dari syarikat perdagangan Panama, MCLO IBC PTE LTD, yang mengambil bahagian dalam IGEM untuk kali pertama, sedang mencari pembekal Malaysia dalam bidang seperti minyak dan gas, produk elektronik dan tenaga boleh baharu.

“Banyak pembekal berpotensi dalam peralatan keselamatan untuk minyak dan gas, kami juga menemui produk tenaga boleh baharu dan kami berjaya mendapat bakat yang hebat untuk membantu kami mendapatkan pembekal,” katanya.

Pesuruhjaya Perdagangan Matrade di seluruh dunia berjaya menarik penyertaan dari 32 pembeli asing dari 23 negara seperti Argentina, Belanda, Nigeria, Jepun, Kuwait, Mesir, Kemboja, Sri Lanka, Vietnam, India, Indonesia, Thailand, Filipina, Pakistan, India, Poland dan Amerika Syarikat.

IGEM adalah acara perdagangan terbesar di Asia Tenggara dalam teknologi hijau dan penyelesaian eko, menjana berbilion-bilion dalam perniagaan, dengan kehadiran lebih 350,000 pelawat termasuk peserta, orang kenamaan dan syarikat dari lebih 50 negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Firma aeroangkasa Malaysia jana potensi eksport RM219 juta di Jepun

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Usaha mempromosikan kemampuan syarikat-syarikat aeroangkasa Malaysia dalam sektor terbabit di Aeromart Nagoya, Jepun baru-baru ini, terbukti mencatat kejayaan besar apabila firma terbabit menjana potensi eksport bernilai lebih RM219 juta.

Ini dicapai menerusi sesi padanan perniagaan anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) melalui pejabat perdagangannya di Jepun.

Misi ke Aeromart Nagoya pada 24-26 September 2019, juga menyaksikan syarikat-syarikat Malaysia menerima minat positif daripada firma Jepun serta syarikat utama global, kata MATRADE dalam satu kenyataan, hari ini.

Antara syarikat utama itu adalah Mitsubishi Heavy Industries, Kawasaki Heavy Industries, Toyota Tsusho dan Airbus.

Potensi jualan eksport itu membabitkan bidang yang merupakan kepakaran Malaysia seperti komponen pesawat dan pemasangannya, bahagian dan komponen sayap pesawat serta perkhidmatan seperti pendidikan dan latihan penerbangan, sokongan dan penyelesaian penerbangan.

“Selain itu, syarikat-syarikat Malaysia juga terbabit dalam rundingan projek dengan syarikat-syarikat Jepun yang bernilai RM376.9 juta melibatkan industri seperti pemesinan bahagian enjin, penuangan beracuan, sayap dan bahagian lain pesawat.”

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Wan Latiff Wan Musa menyifatkan Jepun sebagai hab aeroangkasa paling penting di rantau ini dan pasaran tersebut juga berpotensi mewujudkan peluang dan kerjasama rantaian bekalan baharu.

“Nagoya adalah ibu kota Wilayah Aichi Prefecture iaitu kluster industri aeroangkasa terbesar Jepun. Pada masa ini, nilai pengeluaran industri aeroangkasa Jepun adalah AS$20 bilion (RM83.6 bilion) dengan 83 peratus disumbangkan oleh sektor pesawat.

“Ini memaparkan prospek besar untuk syarikat-syarikat Malaysia kerana membolehkan mereka menawarkan produk atau perkhidmatan berkualiti pada harga kompetitif,” katanya.

Misi ke Aeromart Nagoya itu disokong oleh Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA) iaitu persatuan yang diwujudkan menerusi fasiliti MATRADE pada 2015.

Pada misi itu, MAIA mengendalikan taklimat mengenai kemampuan industri aeroangkasa Malaysia kepada kalangan pemain industri global bagi memberi gambaran menyeluruh mengenai sektor itu yang memberangsangkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Matrade akan kembangkan kehadiran sektor O&G Malaysia di Afrika

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) kini meningkatkan usahanya untuk mengembangkan kehadiran sektor minyak dan gas (O&G) Malaysia di Afrika dengan menerajui Misi Pemecut Eksport (EAM) ke dua negara pengeluar minyak utama di rantau itu.

EAM, mengikut kenyataan oleh Matrade, secara khususnya diwujudkan untuk membantu syarikat Malaysia memanfaatkan peluang yang luas dalam sektor O&G dan tenaga di Nigeria dan Ghana.

Ia akan dianjurkan di Abuja, Nigeria mulai hari ini hingga Rabu depan dan di Accra, Ghana dari Rabu hingga Jumaat depan.

Pengarah Minyak dan Gas, Kimia dan Tenaga, Matrade, Jai Shankar, yang mengetuai misi itu berkata EAM akan membantu meningkatkan minat dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (SME) Malaysia dalam sektor minyak dan perkhidmatan gas serta peralatan (OGSE) untuk meneroka peluang di Afrika.

Menurutnya benua itu berpotensi untuk menjadi benua pengeluar minyak utama pada masa depan.

“Misi khusus itu sesuai untuk syarikat-syarikat Malaysia yang mencari pasaran khusus dan pasaran pertumbuhan tinggi untuk meningkatkan pendapatan eksport mereka.

“Selain itu, kebarangkalian PKS untuk mendapatkan projek dan membuka operasi di pasaran membangun adalah lebih tinggi,” katanya.

Jai berkata bagi mempromosi PKS Malaysia dalam sektor OGSE, syarikat perlu menunjukkan keupayaan dan kepakaran mereka dalam menyediakan produk dan perkhidmatan bertaraf dunia.

Menurut Matrade, misi itu akan melibatkan enam syarikat Malaysia, yang mewakili produk dan perkhidmatan daripada pelbagai segmen dalam industri.

Selain sesi mesyuarat perniagaan yang disusun khas, syarikat-syarikat Malaysia juga akan mengambil bahagian dalam perbincangan meja bulat dengan pemimpin industri dari syarikat-syarikat minyak milik negara Nigeria dan Ghana.

Terdapat beberapa peluang daripada usaha oleh Nigerian Petroleum Development Company untuk meningkatkan aktiviti penerokaan sebagai sebahagian daripada sasarannya untuk menjadi pemain huluan terbesar di Nigeria, kata Matrade.

Nigerian Petroleum Development Company ialah anak syarikat Nigeria National Petroleum Corporation.

Bagi Ghana, Matrade berkata negara itu sedang giat mencari penglibatan syarikat-syarikat asing dalam sektor minyak dan gasnya, terutama dalam aktiviti huluan seperti yang ditunjukkan oleh pelancaran pelesenan luar pesisir pertamanya pada Oktober, 2018, dengan banyak syarikat O&G Malaysia aktif menceburi pasaran tersebut.

Tahun lepas, perdagangan antara Malaysia dan Nigeria mencatat pertumbuhan yang tinggi sebanyak 15.7 peratus kepada RM2.86 bilion, berbanding RM2.48 bilion pada 2017 manakala jumlah perdagangan dengan Ghana menunjukkan penurunan sebanyak 4.7 peratus kepada RM1.92 bilion pada 2018 berbanding RM2.01 bilion pada 2017.

– BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

MATRADE akan teroka prospek di rantau Oceania

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mempergiatkan usaha mencari pasaran baharu untuk pengeksport Malaysia dengan meneroka rantau Oceania menerusi Misi Pemecut Eksport (EAM) ke New Zealand dan Fiji dari 23-28 Jun, 2019.

EAM akan disertai oleh 28 syarikat Malaysia yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan dalam sektor seperti perkhidmatan pembinaan dan bahan binaan, makanan dan minuman, halal, gaya hidup, teknologi maklumat dan komunikasi, produk penjagaan diri dan kosmetik, produk perubatan dan kesihatan, serta jentera dan peralatan.

“Walaupun New Zealand ialah negara pengeksport pertanian, terdapat peluang bagi kita untuk mengeksport produk halal berkualiti tinggi untuk memenuhi permintaan penduduk Islam yang semakin meningkat di sana.

“New Zealand juga menawarkan prospek dalam sektor pembinaan dan kami melihat banyak kemungkinan bagi syarikat Malaysia untuk menyediakan bahan binaan dan perkhidmatan pembinaan untuk pasaran itu.

“Begitu juga Fiji, terdapat pelbagai peluang untuk syarikat Malaysia. Inilah kali pertama MATRADE menganjurkan misi eksport ke Fiji. Negara itu kini mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak 3.8 peratus setahun, lebih tinggi daripada negara-negara lain di rantau itu, ” kata Pengarah MATRADE bagi ASEAN dan Oceania, Raja Badrulnizam Raja Kamalzaman dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata Fiji juga dikenali sebagai hab perdagangan dan pengedaran bagi rantau pulau Pasifik Selatan.

“Pasaran itu menawarkan permintaan tinggi untuk perkhidmatan pembinaan dan bahan binaan, serta produk gaya hidup seperti perabot yang didorong peningkatan pembangunan infrastruktur dan projek pelancongan yang digariskan dalam pelan ekonomi Kerajaan Fiji,” kata Raja Badrulnizam.

Syarikat Malaysia yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pasaran Oceania diminta menghubungi pejabat perdagangan MATRADE di Melbourne melalui e-mel di [email protected] atau mana-mana platform media sosial MATRADE (Facebook, Twitter, Instagram dan LinkedIn). – BERNAMA

Categories
NASIONAL

MATRADE padankan syarikat minyak & gas Malaysia dengan pembeli asing

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan memadankan lebih 40 syarikat Malaysia dalam sektor minyak dan gas dengan pembeli asing minggu depan melalui Program Penyumberan Antarabangsa (INSP).

INSP akan diadakan sempena Pameran Kejuruteraan Minyak, Gas dan Petrokimia Asia Ke-17 (OGA) 2019, yang akan diadakan pada 18-19 Jun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan, agensi promosi perdagangan itu berkata program tersebut merupakan usaha untuk mengukuhkan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana Malaysia dalam rantaian bekalan global.

OGA adalah antara acara minyak dan gas terbesar di Asia dan dianggap sebagai platform yang baik untuk mempamerkan teknologi, peralatan dan jentera yang terkini dalam bidang kejuruteraan minyak, gas dan petrokimia.

Tahun ini merupakan kali kedua MATRADE menyertai acara dwitahunan itu, selepas 2015.

Edisi INSP pada tahun ini, MATRADE akan membawa bersama 10 syarikat dari Vietnam, Myanmar, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Pakistan, Belanda, Amerika Syarikat dan Nigeria ke acara itu.

Pada INSP anjuran MATRADE di OGA 2015, jualan sebanyak RM182.6 juta dicatatkan, kata Jai Shankar, Pengarah Minyak & Gas di Seksyen Kimia dan Tenaga MATRADE.

“Kami berharap penyertaan pada tahun ini akan menjana keputusan yang baik bagi syarikat Malaysia,” katanya.

MATRADE berkata sesi pertemuan perniagaan menjadi pemangkin yang menjimatkan kos bagi syarikat Malaysia untuk berhubung dan meninjau peluang perdagangan melalui pertemuan perniagaan yang diatur dengan pembeli berkualiti tinggi diperoleh daripada pangkalan data pembeli pejabat globalnya.

Agensi itu mempunyai lebih dua dekad pengalaman menyelaraskan padanan perniagaan yang berkesan antara perniagaan Malaysia dan pembeli asing. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Semakin banyak negara mahu guna kepakaran halal Malaysia

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata semakin banyak negara mencari peluang untuk mempelajari kepakaran Malaysia dalam industri halal khususnya melalui pensijilan serta ekosistem.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata, Jepun, Taiwan, Chile, Kazakhstan dan Uzbekistan ialah antara negara yang melahirkan minat untuk memanfaatkan pengalaman Malaysia sebagai perintis pensijilan halal dan ekosistem industri.

“Kita telah mendahului berbanding negara Muslim yang lain,” katanya kepada Bernama, dan menurutnya hasrat tersebut akan mendorong Malaysia untuk terus maju dalam industri halal.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan kepentingan mengubah tanggapan bahawa konsep halal itu hanya melibatkan daging, sedangkan ia merangkumi keseluruhan proses pembuatan sesuatu produk.

Sehubungan itu, beliau berkata Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2019 berhasrat memperkenalkan pensijilan halal kepada produk baharu seperti lampin, tuala wanita serta sarung tangan perubatan menerusi program tahunan itu.

Wan Latiff berkata industri halal ialah satu daripada industri yang diberikan tumpuan istimewa oleh kerajaan meliputi rancangan induk industri, selain penubuhan Majlis Halal Malaysia bagi menyelaras dan memantau pelaksanaan inisiatif halal menerusi rancangan induk itu.

“Dengan komitmen kerajaan, kita dapat melihat bahawa industri halal di Malaysia berkembang pesat,” katanya memaklumkan setakat ini terdapat 13 piawaian halal di negara ini yang menjadi panduan bagi syarikat Malaysia berkembang maju dalam industri tersebut.

“Kira-kira 8,000 syarikat Malaysia mempunyai pensijilan halal dengan 1,700 daripadanya merupakan pengeksport,” kata Wan Latiff.

Bagi ekosistem industri, Wan Latiff berkata Malaysia telah mewujudkan sistem komprehensif termasuk pensijilan, kemudahan serta pendanaan bagi membolehkan industri berkenaan terus berkembang.

Beliau berkata industri tersebut menyasar mencecah RM50 bilion nilai eksport menjelang 2020 berbanding RM40 bilion tahun lepas menerusi komponen utama seperti makanan dan minuman (F&B), derivatif minyak sawit, bahan halal, kosmetik dan penjagaan kulit serta produk farmaseutikal dan bahan kimia perindustrian.

F&B terdiri daripada kira-kira 50 peratus daripada eksport berkenaan, katanya.

Memetik laporan Thomson Reuters, Wan Latiff berkata pengguna Muslim membelanjakan kira-kira US$2.1 trilion pada 2018 dengan US$1.3 trilion bagi F&B.

Mengulas minat Jepun dan Taiwan terhadap industri halal, beliau berkata kedua-dua negara telah menandatangani memorandum persefahaman dengan MATRADE pada tahun lepas yang antara lain membuka jalan untuk pembangunan industri halal di negara tersebut.

Katanya, Jepun berhasrat melancarkan kempen halal bagi pelancongan halal bersempena Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menurut Wan Latiff, Jepun menerima 31 juta pengunjung pada 2018 dengan jutaan daripadanya beragama Islam termasuk 400,000 rakyat Malaysia.

“Mereka menyasar menerima 40 juta pelancong pada 2020 termasuk 1.5 juta yang beragama Islam,” katanya.

Wan Latiff berkata Taiwan turut meneroka pelancongan Islam dengan menyasar Malaysia sebagai satu daripada pasaran mereka.

Negara itu berhasrat menganjurkan ekspo ketiganya di Malaysia susulan kejayaan dua ekspo pada tahun lepas, kata beliau.

Bagi Kazakhstan, beliau menjelaskan MATRADE pula bekerjasama dengan Islamic Development Bank (IDB) dan syarikat tempatan untuk membangunkan kewangan Islam di negara itu.

“Mereka juga berhasrat menarik penggiat kewangan Islam Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan tersebut di negara berkenaan selain membantu bank tempatan untuk memahami kewangan Islam,” kata Wan Latiff. – BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

MATRADE: Perdagangan dengan EU tidak terjejas

KUALA LUMPUR, 16 APR: Isu perdagangan antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) berhubung minyak sawit tidak akan menjejaskan eksport barangan lain ke EU, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata, eksport elektrikal dan elektronik (E&E) ke EU kekal kukuh.

“Satu-satunya eksport yang terjejas ialah minyak sawit dan sektor lain setakat ini tidak menunjukkan sebarang kesan negatif,” katanya pada sidang media hari ini mengenai Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) at SEMICON Southeast Asia.

Menurut data MATRADE, perdagangan dengan EU pada Februari 2019 turun sebanyak 5.7 peratus tahun ke tahun kepada RM13.35 bilion atau 10.9 peratus jumlah perdagangan Malaysia.

Eksport ke EU mencatatkan pertumbuhan 3.7 peratus kepada RM7.68 bilion, disumbangkan oleh peningkatan eksport barangan pembuatan khususnya produk E&E, pembuatan logam, jentera, peralatan dan alat ganti serta produk pembuatan berasaskan minyak sawit.

Daripada keseluruhan perdagangan, berbanding pada Februari tahun lepas, eksport produk E&E meningkat sebanyak 4.9 peratus bernilai RM25.81 bilion, yang menyumbang 38.8 peratus daripada jumlah eksport.

“Antara 10 pasaran terkemuka EU yang menyumbang 89.7 peratus jumlah eksport Malaysia ke EU ialah Sepanyol, yang mencatatkan peningkatan 78.4 peratus, Ireland (180.1 peratus), Itali (28.2 peratus), Jerman (1.1 peratus), Perancis (3.6 peratus) dan Republik Czech (2.5 peratus),” katanya.

Wan Latiff berkata kekuatan Malaysia dalam sektor E&E, terutamanya sebagai peneraju di rantau ini, dijangka berkembang pada paras kukuh di sebalik kelembapan global, dengan mengguna pakai pembuatan pintar dan Industri 4.0.

“Saya percaya kami akan mampu mempunyai tapak yang lebih kukuh dalam industri ini dan sektor E&E akan terus memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia.

“Menjelang 2020, industri itu dijangka menjana pendapatan negara kasar tambahan sebanyak RM53.4 bilion dan mewujudkan 157,000 kerja baharu,” katanya.

Sementara itu, Presiden SEMI Southeast Asia, Ng Kai Fai berkata, di sebalik pasaran global yang lebih perlahan, hasil sektor E&E tempatan dijangka mencecah RM490 bilion tahun ini berbanding RM470 bilion tahun lepas.

“Ketika industri terus berkembang berikutan teknologi menjadi lebih canggih dari semasa ke semasa, pemain industri perlu meningkatkan kemahiran mereka dan mengguna pakai teknologi terkini untuk menawan perkongisan pasaran,” katanya.

INSP yang juga inisiatif padanan perniagaan oleh MATRADE, akan turut dianjurkan di SEMICON Southeast Asia pada 8 Mei dengan penyertaan 18 pembeli asing mewakili 10 negara selain dijangka menjana jualan bernilai RM150 juta.

SEMICON yang diadakan di MITEC pada 7-9 Mei dengan tema “Think Smart Make Smart” pula dijangka dihadiri oleh pembeli dan 9,000 perwakilan China, Korea Selatan, Singapura, Amerika Syarikat serta Emiriah Arab Bersatu.

SUMBER: BERNAMA