Categories
AGENDA NASIONAL

Ringgit dibuka hampir tidak berubah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Ringgit dibuka hampir tidak berubah berbanding dolar AS pagi ini kerana kekurangan petunjuk baharu, sekali gus menyaksikan kebanyakan pelabur tidak memasuki pasaran, kata seorang peniaga.

Pada pukul 9.05 pagi, mata wang tempatan disebut harga pada 4.1390/1450 berbanding dolar AS daripada 4.1390/1430 pada penutupan hari Jumaat minggu lepas.

Menurut Kenanga Research, ringgit dijangka diniagakan dalam julat tidak menentu antara paras 4.116 dan 4.158 minggu ini di tengah-tengah pengumuman langkah-langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang lebih ketat, bermula 25 Mei.

“Walaupun prospek dolar AS lemah, keadaan Covid-19 domestik yang semakin buruk dan ketidaktentuan pasaran minyak boleh menyebabkan pelabur menjauhkan diri daripada pasaran mata wang tempatan.

“Namun, prestasi kukuh perdagangan Malaysia yang dijangka berterusan akan membantu menyokong ringgit,” katanya dalam catatan penyelidikan hari ini.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan tinggi berbanding mata wang utama yang lain.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1076/1123 daripada penutupan minggu lepas 3.1099/1141 dan lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.8538/8639 daripada 5.8832/8897 sebelumnya.

Unit tempatan juga meningkat berbanding euro kepada 5.0409/0499 daripada 5.0595/0656 pada Jumaat dan naik berbanding yen kepada 3.7983/8041 daripada 3.8074/8118 pada penutupan Jumaat lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit diniaga tinggi 4.1660/1720, harga minyak mentah lebih baik

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Ringgit meningkat semula untuk dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini susulan pelabur bersedia mengambil risiko dan harga minyak mentah lebih baik selepas disokong permintaan.

Pada 9.07 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1660/1720 berbanding dolar AS daripada 4.1730/1780 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, AxiCorp, Stephen Innes berkata ringgit dijangka diniagakan kukuh hari ini, disokong oleh sentimen risiko global yang lebih baik sekali gus menjadikan dolar AS rendah.

“Pada masa sama, harga minyak mentah yang lebih tinggi telah melengkapkan jangkaan mengikut turutan bagi kenaikan harga.

“Bagaimanapun, unjuran kukuh itu mungkin dipengaruhi oleh data perdagangan yang lebih rendah berbanding jangkaan seperti dikeluarkan semalam serta ketidakpastian politik berterusan menjelang Minggu Emas China, apabila lazimnya mudah tunai berkurangan,” katanya kepada Bernama.

Industri pelancongan China dilaporkan menjangkakan lebih 600 juta perjalanan dibuat dalam tempoh cuti Minggu Emas selama lapan hari, bermula pada 1 Oktober.

Jumlah perdagangan Malaysia susut 4.6 peratus kepada RM145.06 bilion pada Ogos 2020 berbanding bulan sama 2019 manakala eksport turun 2.9 peratus kepada RM79.14 bilion dan import merosot 6.5 peratus kepada RM65.92 bilion.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan naik berbanding yen kepada 3.9511/9571 daripada 3.9611/9662 ketika ditutup semalam dan tinggi berbanding pound Britain kepada 5.3596/3694 daripada 5.3615/3687.

Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0364/0426 daripada 3.0340/0385 dan lemah berbanding euro kepada 4.8638/8721 daripada 4.8590/8665.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI

Jumlah perdagangan Malaysia dijangka cecah RM2 trilion

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Jumlah perdagangan Malaysia dijangka mencecah RM2 trilion pada 2020, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming.

Beliau berkata sasaran itu adalah berasaskan kepada jangkaan pemulihan persekitaran ekonomi global serta harga komoditi yang bertambah baik.

“Sasaran yang sihat adalah untuk melihat (jumlah perdagangan) mencecah hampir RM2 trilion (sebelum penularan coronavirus) atau peningkatan 2.0 peratus dalam import dan eksport.

“Ia adalah sasaran yang baik untuk disasarkan kerana kita tidak dapat mencapainya tahun lepas. Mungkin dengan situasi global yang bertambah baik, beserta peningkatan harga minyak sawit mentah dan harga minyak, yang memberi manfaat kepada negara pengeksport minyak seperti Malaysia.

“RM2 trilion adalah sasaran yang baik untuk disasarkan,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan prestasi perdagangan Malaysia bagi 2019, di sini, hari ini.

Jumlah perdagangan negara menguncup sebanyak 2.5 peratus kepada RM1.835 trilion pada 2019 sejajar dengan permintaan global yang lemah di tengah-tengah ketegangan perdagangan dan keadaan ekonomi luaran yang kurang memberangsangkan.

Lebihan perdagangan Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan dua angka bagi tiga tahun berturut-turut, meningkat sebanyak 11 peratus kepada RM137.39 bilion berbanding RM123.78 bilion pada 2018.

Ini adalah lebihan perdagangan terbesar sejak 2009 yang merupakan pencapaian lebihan perdagangan tahun ke-22 berturut-turut bagi Malaysia.

Eksport turun sedikit sebanyak 1.7 peratus kepada RM986.4 bilion daripada tahun sebelumnya, manakala import susut sebanyak 3.5 peratus kepada RM849.01 bilion.

Perdagangan rendah direkodkan dengan Singapura, Hong Kong, Perancis, Thailand dan Jepun, manakala perdagangan tinggi dicatatkan dengan Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu, Filipina, Kemboja, Mexico dan United Kingdom (UK).

Mengenai kesan daripada perang perdagangan AS-China ke atas Malaysia, Ong berkata eksport elektrik dan elektronik ke AS meningkat ketara dan itu merupakan sebahagian daripada pempelbagaian pengeluaran yang berlaku di Asia Tenggara serta rantaian nilai elektrik dan elektronik global.

“Negara-negara lain mendapat lebih manfaat. Vietnam sudah pastinya mendapat lebih manfaat berbanding Malaysia dari segi strategi pempelbagaian ini tetapi saya rasa kita tidak perlu risau mengenainya.

“Apa yang kita mahu bagi Malaysia adalah peningkatan mampan dari segi perdagangan dan pengeluaran,” katanya.

China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia bagi 11 tahun berturut-turut dan menyumbang 17.2 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia pada 2019.

Perdagangan dengan China bernilai RM315.19 bilion dengan peningkatan kecil sebanyak 0.2 peratus dari 2018.

Kuantiti eksport minyak sawit dan produk minyak sawit meningkat 10.9 peratus kepada 28 juta tan metrik meskipun penurunan nilai eksport sebanyak 4.0 peratus kepada RM64.84 bilion.

India merupakan destinasi eksport utama bagi minyak sawit dan produk minyak sawit pada 2019 dengan nilai perdagangan meningkat sebanyak 43 peratus kepada RM9.78 bilion, diikuti China (RM9.17 bilion) dan Belanda (RM4.52 bilion).

“Kita yakin dalam berhati-hati yang eksport minyak sawit kita akan berkembang pada 2020. India mengurangkan tarif MSM bagi ASEAN berikutan perjanjian perdagangan bebas kepada 37 peratus pada 2019.

“Baru-baru ini kenaikan tarif meningkat sekali lagi kepada kira-kira 44 peratus tetapi ia bukan ditujukan kepada Malaysia sahaja tetapi juga negara-negara lain yang berada di luar perjanjian perdagangan bebas India,” katanya.

Sementara itu, Ong berkata Dasar Automotif Nasional telah dibentangkan kepada kepada Kabinet dan diluluskan.

“Kita masih menunggu Perdana Menteri memberikan tarikh bila ia akan dilancarkan,” katanya.

-BERNAMA