Categories
AGENDA NASIONAL

Muhyiddin harap kerajaan baharu segera dibentuk, elak program vaksin terjejas

SHAH ALAM, 16 OGOS: Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap kerajaan baharu dibentuk segera supaya pentadbiran negara terutama pemulihan ekonomi dan pemberian vaksin tidak terganggu.

Bekas perdana menteri berkata tempoh dua bulan mendatang penting kerana Malaysia dijangka mencapai imuniti kelompok pada Oktober berdasarkan perancangan dalam Pelan Pemulihan Negara.

“Sektor-sektor ekonomi perlu dibuka semula untuk memastikan ekonomi negara dapat pulih dengan segera dan rakyat dapat menjana pendapatan untuk menyara diri dan keluarga,” katanya dalam pengumuman rasmi peletakan jawatan itu hari ini.

Muhyiddin berkata kerajaan pimpinannya telah lakukan yang terbaik menyelamat dan melindungi nyawa rakyat dalam krisi pandemik.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon keampunan atas segala kekhilafan dan kelemahan saya sepanjang saya menjadi perdana menteri,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Muhyiddin tinggalkan Istana Negara selepas 40 minit menghadap Agong

SHAH ALAM, 16 OGOS: Tan Sri Muhyiddin Yassin meninggalkan pekarangan Istana Negara selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah jam satu tengah hari tadi.

Terdahulu kenderaan dinaiki perdana menteri dilihat masuk ke pintu masuk utama Istana Negara jam 12.23 tengah hari, lapor Malaysiakini.

Kenderaan-kenderaan membawa Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim turut dlihat memasuki Istana Negara.

Turut dilihat memasuki dan meninggalkan pekarangan Istana Negara, kenderaan membawa Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh.

Sebelum itu, Bernama melaporkan, Muhyiddin mengadakan mesyuarat khas Kabinet di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya yang berlangsung kira-kira tiga jam.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ambil iktibar cabaran 2020, mantap ikhtiar hadapi 2021 – Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat mengambil iktibar daripada cabaran serta dugaan sepanjang 2020 akibat penularan Covid-19, dan mahu rakyat melangkah ke gerbang tahun baharu 2021 dengan semangat dan keazaman yang baharu.

“Untuk tahun baharu 2021 ini, saya ingin menyeru saudara dan saudari sekalian agar terus memperkukuhkan azam, memperteguh iltizam dan memantapkan ikhtiar kita untuk bersama-sama membendung pandemik Covid-19,” kata beliau dalam perutusan khas sempena Tahun Baharu 2021 yang disiarkan di saluran televisyen malam ini.

Dengan penuh prihatin, pemimpin itu turut berkongsi tentang dugaan dan cabaran yang dihadapi rakyat sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara termasuk mereka yang kehilangan dan dibuang kerja serta terpaksa mengikat perut demi mengutamakan makanan untuk anak-anak dan pelbagai lagi kesulitan hidup.

Beliau berkata kerajaan sedang giat menjalankan segala usaha bagi memastikan rakyat selamat daripada ancaman virus ganas tersebut.

“Namun demikian, kita sendiri perlu bertanggungjawab dan berwaspada kerana virus ini sudah berada dalam komuniti di sekeliling kita. Insya-Allah, berbekalkan pengalaman sepanjang tahun 2020 kita semua mampu memastikan situasi pandemik terus terkawal,” katanya.

Perdana Menteri juga memberi jaminan kerajaan akan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan-kepentingan lain dan soal kebajikan rakyat adalah keutamaan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Di sebalik pelbagai cabaran akibat pandemik Covid-19 ini, kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional yang berteraskan prinsip prihatin telah mengambil kira semua aspek dan kebajikan seluruh lapisan masyarakat dalam perancangan sektor ekonomi, kesihatan, pendidikan dan sosial,” katanya.

Tegasnya, dasar itu bukan sekadar slogan tetapi merangkumi keseluruhan pembentukan dan pemikiran dasar kerajaan PN, sehingga ke peringkat pelaksanaan dan penyampaiannya.

Dalam perutusan sama, Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang bangkit menentang kemaraan penularan wabak ini dengan satu keazaman dan semangat kesepaduan yang amat luar biasa.

“Walaupun pelbagai dugaan datang melanda sepanjang tahun 2020, rakyat Malaysia telah menunjukkan sikap positif dan daya ketahanan yang cukup kental dan amat membanggakan. Terima kasih rakyat Malaysia,” katanya.

Sambil mengingatkan rakyat agar terus mematuhi SOP ditetapkan dan tidak leka dengan kelonggaran yang diberikan, Muhyiddin berharap 2021 akan membuka lembaran baharu rakyat terus bersatu-padu memulihkan semula negara termasuk dari segi kesihatan awam, sosioekonomi, perpaduan kaum dan integrasi nasional.

“Tahun 2020 merupakan tahun yang amat sukar dan mencabar, namun saya percaya sebagai insan dan rakyat bumi bertuah Malaysia ini, masih banyak nikmat yang boleh kita syukuri.

“Justeru, marilah kita sama-sama mengembleng kekuatan dan kecekalan yang ditunjukkan sepanjang tahun 2020, untuk melangkah ke tahun baharu 2021 dengan semangat yang lebih kental,” katanya.

Kerajaan PN, juga katanya akan terus memartabatkan syiar Islam dengan memenuhi tuntutan Maqasid Syariah yang menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta tanpa menafikan hak agama lain dalam keadaan negara sedang berhadapan pandemik Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Sekolah, institusi pendidikan KPM buka 20 Jan, IPT 1 Mac

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) akan dibuka pada 20 Jan mengikut takwim yang diumumkan sebelum ini, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagi pembukaan institusi pendidikan swasta dan antarabangsa yang berdaftar dengan KPM untuk sesi 2021, ia tertakluk kepada kalender akademik institusi tersebut selain mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Perdana Menteri berkata untuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di Semenanjung, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan pelajar tempatan kembali ke kampus secara berfasa mengikut IPT masing-masing seawal 1 Mac.

“Bagi IPT di Sabah dan Sarawak, kemasukan pelajar tertakluk kepada prosedur yang diguna pakai oleh kerajaan negeri masing-masing,” katanya dalam perutusan khas sempena tahun baharu 2021 yang disiarkan di semua saluran televisyen tempatan malam ini.

Berdasarkan Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021 yang diumumkan sebelum ini, permulaan sesi persekolahan secara bersemuka pada tarikh tersebut melibatkan murid sekolah rendah dan sekolah menengah bagi pelajar Tingkatan 1, Tingkatan 4, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 serta semua murid Kolej Vokasional.

Murid Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 akan memulakan sesi persekolahan pada tarikh sama menerusi Home-based Learning atau pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid serta kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka pada 8 Mac 2021.

Mengenai vaksin Covid-19, Muhyiddin sekali lagi menegaskan jaminan kerajaan dalam memastikan bekalan vaksin yang diterima Malaysia adalah berkesan, selamat dan mencukupi untuk sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat negara ini dan diberi secara percuma.

Beliau berkata Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) melalui tiga fasa bermula seawal Februari 2021.

Perdana Menteri berkata beliau dan petugas barisan hadapan akan menjadi antara orang yang terawal untuk menerima suntikan vaksin ini bagi membuktikan vaksin ini selamat dan berkesan.

“Kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas dan pesakit yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit jantung, diabetes dan penyakit pernafasan kronik juga akan diberi keutamaan dalam menerima suntikan vaksin,” katanya.

Muhyiddin berkata pemantauan keberkesanan dan keselamatan vaksin tersebut tetap akan diteruskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara.

Beliau turut mengingatkan bahawa program vaksinasi itu hanyalah satu langkah pencegahan, bagaimanapun SOP yang ditetapkan masih perlu dipatuhi pada setiap masa.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Perdana menteri menghadap Agong di Istana Abdulaziz

KUANTAN, 23 OKT: Perdana Menteri Tan Sri Muhyidddin Yassin tiba di Istana Abdulaziz di sini hari ini, bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kenderaan yang membawa perdana menteri dilihat memasuki pagar Istana Abdulaziz pada kira-kira 4.40 petang, diiringi pasukan keselamatan dan sejumlah kenderaan rasmi kerajaan negeri Pahang.

Turut kelihatan memasuki Istana Abdulaziz ialah kenderaan rasmi Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Pengamal media mula berkumpul di laluan masuk ke istana itu seawal 2.30 petang, selepas ura-ura perdana menteri akan menghadap Seri Paduka mula tersebar sejak tengah hari tadi.

Muhyiddin terdahulu mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Perdana Putra, Putrajaya pagi tadi, dipercayai bagi membincangkan isu-isu semasa.

Turut dilihat memasuki Perdana Putra ialah kenderaan yang membawa menteri-menteri Kabinet dan PAT Affendi Buang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Pinda akta, hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) perlu dipinda supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata justeru, beliau telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan ke atas akta tersebut berikutan bilangan kes kemalangan jalan raya membabitkan pemandu mabuk yang dilihat semakin membimbangkan kebelakangan ini.

“Saya difahamkan pindaan akta ini akan dimuktamadkan pertengahan Jun depan sebelum dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibentangkan pada persidangan akan datang.

“Pindaan ke atas Akta 333 diharap dapat menetapkan hukuman mandatori lebih berat dan setimpal terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kecederaan apatah lagi kematian kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.

Muhyiddin berkata beliau juga berharap pindaan hukuman ini kelak akan memberi pembelaan kepada waris keluarga mangsa kemalangan yang terjejas akibat pemandu mabuk.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 21 kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk dicatatkan sepanjang lima bulan pertama tahun ini dan daripada jumlah itu, lapan mangsa telah kehilangan nyawa.

Justeru menurut Muhyiddin, perkara ini amat membimbangkan kerana jumlah yang direkodkan menghampiri keseluruhan 23 kes yang dicatatkan sepanjang tahun lepas.

Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Perkasa komuniti, ambil tanggungjawab cegah Covid-19

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Pemimpin komuniti perlu memperkasakan komuniti masing-masing untuk mengambil tanggungjawab melindungi dan memelihara komuniti daripada jangkitan Covid-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata berkata sehubungan itu, kempen akan dilakukan bagi mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dalam memastikan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan dipatuhi dan sekali gus meringankan beban petugas barisan hadapan.

Ia merupakan antara perkara yang dibincangkan oleh perdana menteri dalam sidang video bersama Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah tengah hari tadi berkenaan perkembangan terkini situasi Covid-19 di Malaysia.

“Langkah ini juga sangat penting dalam merangka “exit plan” bagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang juga merupakan kriteria terakhir yang mesti dipenuhi sebelum PKPB boleh ditamatkan,” katanya dalam status yang dimuat naik menerusi akaun rasmi Facebook beliau hari ini.

Perkara lain yang turut dibincangkan dalam sidang video berlangsung selama 40 minit ialah proses penghantaran balik pendatang asing tanpa izin yang disahkan negatif Covid-19.

Muhyiddin berkata beliau telah mengarahkan proses itu dipercepatkan bagi mengurangkan risiko penularan semula jangkitan virus itu dalam kalangan pendatang tanpa izin yang berada di depot tahanan imigresen.

“Keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan pencapaian semasa usaha memerangi Covid-19 seperti yang dimaklumkan kepada saya oleh Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Dr Noor Hisham.

“Saya percaya sekiranya seluruh masyarakat dapat bekerjasama dan mengambil tanggungjawab menjaga komuniti masing-masing, negara kita akhirnya akan berjaya mengakhiri penularan wabak Covid-19,” katanya.

Pada masa yang sama, perdana menteri turut menafikan dakwaan kononnya beliau kini berada di Singapura bagi menjalani rawatan kesihatan.

“Saya ingin nyatakan dakwaan itu tidak benar sama sekali. Untuk makluman, saya sedang menjalani kuarantin di rumah saya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

“Namun dalam keadaan negara masih berperang melawan wabak Covid-19, saya akan pastikan perbincangan merancang strategi melawan Covid-19 mesti diteruskan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Siar lagu raya sekali-sekala sahaja, elak sayu

SHAH ALAM, 10 MEI: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini sempat berseloroh meminta stesen televisyen dan radio memainkan lagu Dendang Perantau sekali-sekala sahaja bagi mengelak rasa sayu masyarakat.

“Stesen-stesen TV dan radio bolehlah mainkan lagu Dendang Perantau sekali-sekala. Kalau dimainkan selalu saya pun berasa sayu juga.

“Mainkanlah lagu-lagu hari raya yang boleh menceriakan suasana. Saya tengok dalam YouTube ada lagu “Jange Kelik La Weii”. Lagu ni pun OK lah,” seloroh Perdana Menteri ketika menyampaikan Perutusan Khas beliau hari ini.

Muhyiddin berkata beliau tahu ramai yang sedih tidak dapat balik berhari raya di kampung bersama keluarga namun meminta rakyat supaya bersabar.

“Bila keadaan kembali pulih sedikit masa lagi, saudara-saudari bolehlah balik ke kampung halaman menziarahi ibu bapa dan sanak saudara. Tetapi ini tak bermakna kita tak boleh menyambut perayaan Aidilfitri, Pesta Kaamatan atau Hari Gawai.

“Ziarah-menziarahi dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa.

Jadi tak perlulah buat jamuan besar-besaran atau rumah terbuka,” katanya.

Kata beliau setiap keluarga hendaklah mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) kesihatan seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan amalan kebersihan kendiri seperti penggunaan pensanitasi tangan sepanjang sambutan perayaan ini.

“Pastikan rumah sentiasa bersih. Basuh pinggan mangkuk, sudu garpu, periuk belanga dan lain-lain selepas digunakan untuk menjamu tetamu yang hadir.

“Kementerian Kesihatan juga menyarankan agar saudara-saudari elakkan daripada berada di tempat yang sesak atau tempat yang tertutup. Kalau nak bersembang dengan tetamu pun, jarak-jarakkan sedikit. Tidak perlulah duduk terlalu rapat,” katanya.

Kerajaan hari ini memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sepatutnya berakhir 12 Mei ini disambung empat minggu lagi sehingga 9 Jun.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tanpa TPM, Muhyiddin umum senarai Kabinet

SHAH ALAM, 9 MAC: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan senarai Kabinet baharu di Perdana Putra, Putrajaya.

Tiada jawatan timbalan perdana menteri dalam senarai itu yang diumum selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung beliau juga mengumumkan empat menteri kanan untuk menyelaras hal ehwal Kabinet yang berkaitan dengan bidang ekonomi, keselamatan, pembangunan infrastruktur serta pendidikan dan sosial.

Beberapa personaliti menarik dilantik termasuk Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) dan ketua pegawai eksekutif kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai menteri kewangan.

Sepuluh menteri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Umno (sembilan), Gabungan Parti Sarawak (empat), PAS (tiga) dan masing-masing satu dari PBS, MCA dan MIC.

Majlis angkat sumpah jawatan dijadual berlangsung di Istana Negara jam 3 petang esok.

Berikut senarai penuh:

Menteri kanan – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
Timbalan Menteri: Datuk Lim Ban Hong (akan dilantik sebagai senator)

Menteri kanan – Menteri Pertahanan: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Timbalan Menteri: Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz

Menteri Kewangan: Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (akan dilantik sebagai senator)
Timbalan Menteri I: Datuk Abd. Rahim Bakeri
Timbalan Menteri II: Mohd Shahar Abdullah

Menteri kanan – Menteri Kerja Raya: Datuk Seri Fadillah Yusof
Timbalan Menteri: Datuk Dr Shahruddin Md Salleh

Menteri kanan – Menteri Pendidikan: Dr Mohd Radzi Md Jidin
Timbalan Menteri I: Dato’ Dr Mah Hang Soon (akan dilantik sebagai senator)
Timbalan Menteri II: Muslimin Yahaya

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi): Datuk Seri Mustapa Mohamed
Timbalan Menteri: Arthur Joseph Kurup

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas): Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof
Timbalan Menteri: Datin Mastura Yazid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang undang): Datuk Takiyuddin Hassan
Timbalan Menteri: Datuk Eddin Syazlee Shith

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama): Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (akan dilantik sebagai senator)
Timbalan Menteri: Ahmad Marzuk Shaary

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak): Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili
Timbalan Menteri: Datuk Hajah Hanifah Hajar Taib

Menteri Pengangkutan: Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong
Timbalan Menteri: Hasbi Habibollah

Menteri Alam Sekitar: Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Menteri: Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad (akan dilantik sebagai senator)

Menteri Sumber Manusia: Datuk Seri M. Saravanan
Timbalan Menteri: Awang Hashim

Menteri Wilayah Persekutuan: Tan Sri Annuar Musa
Timbalan Menteri: Datuk Seri Dr Santhara Kumar

Menteri Wanita dan Keluarga: Datuk Seri Rina Mohd Harun
Timbalan Menteri: Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff

Menteri Pengajian Tinggi: Datuk Dr Noraini Ahmad
Timbalan Menteri: Datuk Dr Mansor Othman

Menteri Tenaga dan Sumber Asli: Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah
Timbalan Menteri: Ali Anak Biju

Menteri Dalam Negeri: Datuk Seri Hamzah Zainuddin
Timbalan Menteri I: Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said
Timbalan Menteri II: Jonathan Yassin

Menteri Kesihatan: Datuk Seri Dr Adham Baba
Timbalan Menteri I: Datuk Dr Noor Azmi Ghazali
Timbalan Menteri II: Datuk Aaron Ago Dagang

Menteri Pertanian dan Industri Makanan: Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
Timbalan Menteri I: Datuk Seri Ahmad Hamzah
Timbalan Menteri II: Datuk Che Abdullah Mat Nawi

Menteri Pembangunan Luar Bandar: Datuk Dr Abd Latiff Ahmad
Timbalan Menteri I: Datuk Abdul Rahman Mohamad
Timbalan Menteri II: Datuk Henry Sum Agong

Menteri Luar Negeri: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Timbalan Menteri: Datuk Kamaruddin Jaffar

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna: Datuk Alexander Nanta Linggi
Timbalan Menteri: Datuk Rosol Wahid

Menteri Komunikasi dan Multimedia: Datuk Seri Saifuddin Abdullah
Timbalan Menteri: Datuk Zahidi Zainul Abidin

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan: Zuraida Kamaruddin
Timbalan Menteri: Datuk Seri Ismail Abd Mutalib

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi: Khairy Jamaluddin
Timbalan Menteri: Ahmad Amzad Hashim

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi: Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Timbalan Menteri: Datuk Mas Ermieyati Samsudin

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi: Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Timbalan Menteri I: Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng
Timbalan Menteri II: Willie anak Mongin

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan: Datuk Seri Nancy Shukri
Timbalan Menteri: Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan

Menteri Perpaduan Negara: Datuk Halimah Mohamed Sadique
Timbalan Menteri: Datuk Seri Tiong King Sing

Menteri Belia dan Sukan: Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican
Timbalan Menteri: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (akan dilantik sebagai senator)