Categories
NASIONAL SELANGOR

Najib tumpang populariti Shahrizat

najib-shahrizat

SHAH ALAM, 22 OGOS ? Cadangan melantik Datuk Seri Shahrizat Jalil sebagai Penasihat Khas dalam hal ehwal wanita kepada Perdana Menteri dilihat tindakan Najib menumpang populariti Ketua Wanita Umno itu yang masih kuat menerima sokongan dari sayap parti itu.

Berdasarkan perlantikan tersebut kedudukan Shahrizat dijangka akan bertaraf menteri walaupun beliau terpaksa melepaskan jawatan menteri sebelum ini ekoran skandal NFC yang membabitkan keluarga beliau.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata secara moralnya beliau tidak bersetuju sekiranya Shahrizat dilantik kepada jawatan tersebut yang juga bertaraf menteri.

Beliau berpendapat, Shahrizat disokong mungkin berdasarkan perkhidmatan beliau dalam parti tersebut tetapi penglibatan keluarga beliau dalam mendapatkan projek kerajaan dalam NFC membuktikan amalan kronisme yang mengguris hati rakyat dan pembayar cukai.

Menurut Dr Mariah tindakan Perdana Menteri memilih Shahrizat bertujuan membolehkan sokongan wanita terhadap beliau ketika pemilihan nanti berikutan prestasi kepimpinan Najib yang merosot setelah gagal menawan Selangor.

Menjelang pemilihan dalam Perhimpunan Agung Umno Oktober ini, Shahrizat mendapat pencalonan hampir kebanyakan negeri untuk mengekalkan jawatan sebagai Ketua Wanita Umno.- mza