Categories
PBT SELANGOR

MPS kutip bayaran beg plastik hampir RM300,000

SHAH ALAM, 29 JAN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengutip sebanyak RM292,513.50 bagi program Kutipan Caj Beg Plastik sepanjang tahun lalu.

Yang dipertuanya berkata 60 peratus daripada jumlah itu, RM175,508 disalurkan kepada Akaun Tabung Amanah Kerajaan Negeri selaras dengan Pekeliling Setiausaha Kerajaan Selangor, Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan (SPBT).

“Manakala 40 peratus lagi ke akaun tabung amanah ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk kegunaan program berkaitan alam sekitar,” kata Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor dalam kenyataan.

Beliau berkata MPS turut menetapkan syarikat membuat kutipan caj 20 sen beg plastik perlu mendaftar di bawah program berkenaan dan boleh berbuat demikian di laman sesawangnya.

Bermula 1 Januari tahun lalu, Kerajaan Negeri meluluskan pelaksanaan serahan kutipan caj beg plastik kepada PBT.

Sebelum ini, perkara tersebut diuruskan syarikat peruncit dan peniaga sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata langkah itu membolehkan hasilnya dipantau dan dimanfaatkan bagi pengurusan peruntukan menjayakan aktiviti berkaitan alam sekitar dengan lebih berkesan.

Categories
PBT SELANGOR

MPS cadang bina landskap di kawasan kilang haram diroboh

SHAH ALAM, 11 DIS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bercadang membangunkan landskap di semua kawasan kilang haram yang selesai dirobohkan.

Yang dipertuanya berkata perbincangan akan dibuat dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pengurusan tertinggi Kerajaan Negeri berhubung pembaharuan itu bagi memastikan tidak berlaku pencerobohan di lokasi berkenaan pada masa akan datang.

“Sebelum ini memang kita sudah berfikir ke arah itu (bina landskap). Kawasan ini tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja kerana berpotensi menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab mendirikan bangunan atau premis,” kata Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau operasi perobohan dua premis haram di Batu 10, di sini yang diketuai PTD Gombak bersama MPS termasuk polis, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Terdahulu, fasa pertama perobohan struktur haram di atas tanah kerajaan dan rizab sungai di sekitar Rawang selesai selepas stor barang lusuh dan kilang pembuatan pintu diambil tindakan semalam.

Ia menjadikan sebanyak lapan struktur terdiri empat bengkel jentera berat, dua premis kitar semula, satu kandang lembu dan bengkel pembuatan pintu sejak 24 November lalu.

Shamsul Shahril Badliza menambah berdasarkan rekod Lembaga Urus Air Selangor (Luas), sebanyak 70 premis beroperasi sepanjang sungai akan diperiksa status tanah sebelum tindakan lanjut diambil.

Categories
PBT SELANGOR

MPS kenal pasti lima struktur haram beroperasi untuk diroboh

RAWANG, 11 DIS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengenal pasti lima struktur haram beroperasi atas tanah kerajaan dan rizab sungai untuk perobohan fasa kedua.

Yang dipertuanya berkata tindakan penguatkuasaan dijangka awal bulan hadapan berdasarkan siasatan disusuli notis pengosongan menumpukan premis didirikan tanpa kebenaran merancang berhampiran Sungai Rawang dan Sungai Gong.

“MPS serta Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) memandang serius isu membabitkan premis terutama kilang beroperasi secara haram di sepanjang sungai kerana berpotensi mencemarkan sungai.

“Aktiviti di premis berkaitan menyebabkan pencemaran sehingga membawa kepada henti tugas loji rawatan air utama di Selangor sekali gus menyusahkan orang awam,” kata Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau operasi perobohan stor barang lusuh dan kilang pembuatan pintu di Batu 10, di sini yang diketuai PTD Gombak bersama MPS termasuk polis, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Shamsul Shahril Badliza menambah pihaknya juga akan meningkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap premis atau kilang yang tidak mematuhi syarat hak pemilikan selain tanah kerajaan.

“Pematuhan syarat tanah ini melibatkan kategori zon atau kebenaran merancang dan kita akan membuat semakan dari semasa ke semasa,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPS bantu permudah operasi PKP diperketat di Selayang Baru

SHAH ALAM, 26 APRIL: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sentiasa bersiap-sedia membantu kelancaran operasi di kawasan Selayang Baru yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula semalam, kata yang dipertuanya.

Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata pihaknya melakukan proses nyahcemar di lokasi panas lebih awal sebelum PKPD diumumkan kerajaan.

“Pada masa sama, MPS juga akan bekerjasama dengan menyediakan kenderaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau agensi lain untuk proses mengagih bekalan makanan kepada penduduk selain bantuan khemah dan air ke pondok kawalan anggota penguat kuasa,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Semalam, kerajaan memutuskan enam zon di Selayang Baru, Gombak diisytiharkan sebagai kawasan PKPD hingga 3 Mei.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata berikutan pelaksanaannya, Kerajaan Negeri akan membendung penularan wabak berkenaan dengan Pejabat Daerah Gombak dan MPS menjalankan pemantauan keadaan semasa terutama aspek bekalan makanan buat penduduk.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor juga akan melaksanakan ujian Covid-19 kepada semua penduduk di zon tersebut pada kadar segera bagi tujuan mengenal pasti individu yang positif.

PKPD melibatkan enam zon iaitu:

Zon A: Jalan Indah 3 dan Jalan Indah 5A, Selayang Indah

Zon B: Jalan Indah 21, Lembah Indah, Selayang Baru

Zon C: Jalan Besar Selayang Baru, Jalan 1 dan Jalan Indah 21, Selayang Baru

Zon D: Jalan 3, 5, 7 dan 9, Selayang Baru

Zon E: Jalan 2, 4, 6 dan 8, Selayang Baru

Zon F: Blok A, B dan C, Selayang Makmur

Categories
PBT SELANGOR

MPS: Bengkel kenderaan boleh beroperasi sehingga 3 petang

SHAH ALAM, 19 MAC: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) hanya membenarkan bengkel kenderaan, motor atau tayar beroperasi mulai jam 10 pagi hingga 3 petang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, kata yang dipertuanya.

Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pelarasan tindakan pihak berkuasa tempatan terbabit hari ini.

Katanya, berdasarkan arahan terbaharu Kerajaan Negeri, MPS juga menguatkuasakan rondaan serta mengarahkan peniaga di tepi jalan tanpa premis tetap menghentikan operasi.

“Semua kawasan rekreasi, taman awam, taman permainan MPS akan ditutup kepada orang awam bagi sebarang aktiviti,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menyeru orang ramai mematuhi arahan kerajaan untuk berada di rumah dan hanya keluar bagi urusan penting sepanjang tempoh perintah berakhir 31 Mac ini.

Individu gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Categories
PBT SELANGOR

Shamsul Shahril Badliza YDP MPS ketujuh

SHAH ALAM, 1 OKT: Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor telah dilantik secara rasmi sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) ketujuh dalam satu Majlis Lafaz Akuan Terima Jawatan Yang Dipertua, di Bilik Mesyuarat Siantan, MPS pada hari ini.

Pelantikan dibuat bagi menggantikan Suliman Abd Rahman yang berpindah ke Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara itu turut disaksikan Timbalan Yang Dipertua MPS, Dato’ Dr Juhari Ahmad dan Orang Kaya Maha Bijaya Orang Besar Daerah Gombak, Tan Sri Dato’ Paduka Raja Wan Mahmood Pa’wan Teh.

Berpengalaman hampir 21 tahun dalam pentadbiran, beliau sebelum ini adalah Pegawai Daerah di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan hasrat memastikan MPS menyediakan perkhidmatan perbandaran terbaik kepada masyarakat.

Beliau juga menekankan berhubung kepentingan kerjasama daripada pembayar cukai untuk membuat pembayaran cukai taksiran bagi membolehkan MPS menyediakan perkhidmatan lebih baik.

Selain itu, fokus akan turut diberikan terhadap isu sampah, infrastruktur dan kemudahan awam serta mengharapkan Ahli Majlis MPS dapat menyalurkan maklumat dan aduan bagi membolehkan MPS membuat tindakan.

Dalam ucapannya, Shamsul Shahril Badliza juga akan memberi penekanan kepada tempat yang mempunyai potensi sebagai kawasan pelancongan untuk dinaik taraf dan dimajukan di bawah pentadbiran MPS.

Categories
SELANGOR

Pembangunan Hulu Langat rancak sepanjang 2019

OLEH AFIX REDZUAN

AMPANG, 18 MEI: Daerah Hulu Langat menyaksikan pembangunan pesat sepanjang tahun ini dengan nilai projek pembangunan berjumah RM4.833 juta.

Pegawai Daerah, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata, perkara ini memberikan impak positif di samping pembangunan institusi agama turut berlangsung rancak seiring dengan pembangunan fizikal.

“Kepesatan pertumbuhan dan pembangunan bandar di kawasan daerah Hulu Langat ini memberikan kesan cukup besar dari segi pembangunan guna tanah serta perlaksanaan projek pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan sempena Majlis Berbuka Puasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Aidilfitri serta Perasmian Masjid Tahun 1440H/2019 di Masjid Taman Kosas, Ampang.

Antara projek yang dijalankan adalah kerja menaiktaraf kemudahan awam atau asas desa (RM294,000), kerja baik pulih dan menaiktaraf jalan kampung (RM139,000), penyelenggaraan jalan raya negeri dan sistem maklumat rekod jalan raya (MARRIS) berjumlah RM2.1 juta serta tabung wang amanah infra perkuburan sebanyak RM2.3 juta.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut tidak ketinggalan memainkan peranan meningkatkan pembangunan institusi agama di daerah Hulu Langat dengan pelaksanaan kerja tiga projek utama sepanjang tahun ini.

Projek dimaksudkan adalah pembinaan Masjid Bandar Bukit Mahkota dengan kos RM9.2 juta dan telah siap dibina pada 6 Disember tahun lalu.

Shamsul Shahril berkata, sebuah masjid baharu di Bukit Belimbing, Balakong sudah memulakan pembinaan pada 10 Mei lalu manakala pembinaan Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Pandan Indah, Ampang sedang dalam pembinaan sejak April tahun lalu dengan kos RM29 juta.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)