Categories
AGENDA NASIONAL

Polis ambil tindakan dua individu ingkar SOP

SHAH ALAM, 12 OGOS: Polis bertindak ke atas dua individu kerana gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) kuarantin wajib, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan itu diambil hasil pemeriksaan dan pemantauan polis serta petugas Kementerian Kesihatan di kediaman mereka semalam.

“Mereka gagal mematuhi SOP walaupun sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing. Justeru, tindakan dikenakan terhadap mereka kerana ingkar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata polis melakukan 1,559 pemeriksaan terhadap individu sedang menjalani kuarantin wajib dalam tempoh sama di kediaman masing-masing semalam.

Sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 9,984 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua ditempatkan di 61 hotel dan lima Institut Latihan Awam di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor, Perak, Perlis, Kedah, Labuan dan Johor.

“Daripada jumlah itu, 20 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 2,200 lagi dibenarkan pulang,” katanya.

Mereka telah pulang dari 31 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia dan New Zealand.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah nahas meningkat cetus bimbang – Dr Noor Hisham

SHAH ALAM, 10 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan jumlah kemalangan akan meningkat berikutan peningkatan kenderaan di jalan raya selepas lebih banyak sektor dibuka ketika ini, kata ketua pengarahnya.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata petambahan 30 peratus kes berkenaan direkodkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berbanding PKP fasa pertama bermula 18 hingga 31 Mac adalah 5,498 kes dengan 58 kematian.

“KKM prihatin dan mengambil berat tentang keselamatan orang ramai terutamanya golongan pekerja yang semakin ramai berulang alik ke tempat kerja susulan pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi, sosial dan sebagainya,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Data polis menunjukkan daripada 5 sehingga 12 Mei jumlah nahas jalan raya adalah 5,904 kes dengan 68 kematian manakala pada 13 Mei sehingga 9 Jun pula berlaku 25,251 kes kemalangan serta 231 kematian iaitu 738 kes sehari.

Bagaimanapun Dr Noor Hisham berkata setakat ini bekalan darah negara mencukupi untuk menampung kegunaan pesakit namun digalakkan lebih ramai penderma tampil berbuat demikian sepanjang PKPP sehingga 31 Ogos depan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor belum terima SOP operasi kedai gunting rambut, pasar malam

SHAH ALAM, 9 JUN: Kerajaan Negeri belum menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan Persekutuan berhubung tatacara operasi piawai (SOP) bagi pembukaan semula beberapa aktiviti perniagaan di Selangor susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula esok.

“Menurut pengumuman terbaharu PM (Perdana Menteri) esok bermula PKP Pemulihan dengan beberapa sektor dibuka seperti gunting rambut, salun dan aktiviti sukan tanpa sentuhan dengan SOP yang ketat.

“Sampai jam 7.23 petang kami belum menerima butiran mengenainya dari kerajaan Persekutuan. Jadi macam mana?” soal Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter hari ini.

Pada 6 Jun lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perkhidmatan sektor perniagaan berkaitan dibenarkan dibuka semula bermula  esok dan kebenaran turut diberikan untuk operasi pasar malam, bazar dan gerai pasar terbuka mulai 15 Jun.

Kelmarin, Amirudin berkata pihaknya akan meneliti beberapa garis panduan dan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan di Selangor sebelum membenarkan beberapa aktiviti perniagaan seperti mana dinyatakan untuk beroperasi semula di negeri ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPP: Polis peronda akan ditempat di lebuh raya, jalan utama

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Polis peronda akan ditempatkan di sepanjang lebuh raya dan jalan utama bagi memantau aliran trafik mulai esok, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata ia adalah selaras dengan penugasan baharu yang dilaksanakan polis berikutan perjalanan merentas negeri dibenarkan bermula esok.

“Objektif pemantauan itu adalah bagi mengesan kesesakan lalu lintas, pemandu mabuk, memandu melebihi had laju dan lain-lain kesalahan.

“Oleh yang demikian, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan mula berkuat kuasa pada esok dengan lebih banyak kelonggaran diberi, PDRM akan tetap memantau orang ramai bagi memastikan mereka mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Abdul Hamid berkata orang ramai yang dilihat tidak mematuhi SOP masih boleh dikenakan tindakan kompaun dalam tempoh pelaksanaan PKPP.

“Ya, kompaun dikenakan khususnya yang melanggar arahan penjarakan sosial,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata polis turut menarik kembali penugasan sekatan jalan raya di seluruh negara.

Abdul Hamid berkata terdapat beberapa sekatan jalan raya yang dikekalkan bagi melaksanakan Op Benteng Covid-19 bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin, selain pasukan pemantau pematuhan SOP kekal bertugas.

Beliau berkata bagi sekatan jalan raya untuk Op Benteng, polis bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam perkembangan sama, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata pihaknya akan terus memantau aliran trafik di lebuh raya dan sekatan jalan raya akan dilaksanakan mengikut kesesuaian dan keperluan.

Hari ini, Bernama melaporkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata polis akan menarik balik sekatan jalan raya rentas sempadan negeri.

Berikutan itu, polis akan menumpukan kepada pematuhan SOP di premis-premis perniagaan dan kawasan awam, melalui pasukan petugas khas pemantauan pematuhan PKPP di daerah yang melibatkan agensi berkaitan iaitu ATM, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPP ujian sebenar tahap disiplin kendiri, sosial masyarakat

SHAH ALAM, 9 JUN: Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula esok sehingga 31 Ogos depan menjadi medan menguji tahap disiplin kendiri dan sosial dalam kalangan rakyat Malaysia, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata masyarakat harus kekal waspada dan terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi memastikan tiada peningkatan kes dalam kalangan komuniti setempat.

“Tiada kes penularan dalam negara membabitkan rakyat tempatan hari ini dan ia pencapaian boleh dibanggakan selepas pelbagai usaha dilaksana bersama semua pihak dengan menggunakan pendekatan seluruh jentera kerajaan dan masyarakat.

“Justeru, kita berharap rantaian Covid-19 di negara ini dapat segera diputuskan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Menyentuh isu pembukaan semula sekolah yang dibincangkan hari ini, Dr Noor Hisham berkata keputusan melalui perbincangan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) akan dibentangkan pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Kabinet esok.

“Selepas itu KPM akan buat pengumuman…Kita tunggu selepas mesyuarat kabinet (esok) dan tindakan susulan kementerian tersebut,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Boleh rentas negeri mulai Rabu, rakyat tarik nafas lega

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini tidak seperti kebiasaan kerana ia ‘sarat’ dengan khabar-khabar gembira.

Hampir semua sektor pendidikan, sosial dan ekonomi dibenarkan beroperasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan paling mencuri perhatian sudah tentulah kebenaran rentas negeri bermula Rabu ini, yang sangat ditunggu-tunggu.

Sudah pastinya, semua ini memberi kelegaan kepada banyak pihak, tidak kira bujang mahupun yang sudah berkahwin, selepas hampir empat bulan ‘berkurung’ di tempat masing-masing.

Bagi Siti Normala Hassan, 29, penjawat awam yang bekerja di ibu negara, beliau amat gembira dengan kebenaran rentas negeri yang diberikan itu memandangkan sudah hampir lima bulan tidak dapat balik ke kampung halamannya di Dungun, Terengganu, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

“Selepas ini bolehlah saya memohon cuti untuk balik menjenguk ibu saya di kampung, sudah lama sangat tidak jumpa…Waktu Aidilfitri pun tak dapat balik jadi inilah masanya melepaskan rindu dan dapat rasa air tangan mak,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu Perdana Menteri mengumumkan perjalanan rentas negeri akan dibenarkan mulai Rabu ini kecuali di kawasan yang diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), antara beberapa kelonggaran yang dibenarkan ketika negara berada dalam fasa pemulihan Covid-19.

Tinjauan di media sosial turut mendapati ramai yang menzahirkan kesyukuran dengan kelonggaran yang diberikan, malah ada yang cuba berjenaka dengan menyiarkan gambar lebuh raya yang penuh ‘diserang’ kenderaan selepas 10 Jun nanti selain gambar borang cuti yang sudah mula diisi.

Pengguna Twitter @Haiqal James dalam ciapannya berkata:”Kerajaan kita benar-benar melakukan yang terbaik untuk norma baharu. Sekarang sudah boleh rentas negeri, masa depan kita semakin cerah.”

Pengguna Facebook, Nora Ain pula berkata:”Syukur, Alhamdulillah berkat kepimpinan kerajaan dan kesabaran seluruh rakyat Malaysia, ia boleh diumpamakan sebagai hari kemenangan kita tetapi dalam kegembiraan ini janganlah kita lupa SOP yang telah kita jalani selama tiga bulan jadikan ia sebagai norma baharu kita.”

Menyambut baik pengumuman kerajaan ialah pakar sosial, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, yang menyifatkan kelonggaran tersebut memberikan kelapangan kepada masyarakat untuk memulakan aktiviti kehidupan seharian memandangkan ramai yang terjejas teruk berikutan gelombang Covid-19.

Bagaimanapun, beliau, yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menambah, rakyat tidak boleh menjadikan kelonggaran yang diberikan sebagai satu tiket untuk ‘berfoya-foya’ sehinggalah negara sudah diisytiharkan bebas sepenuhnya daripada Covid-19.

“Ini bukan kebebasan mutlak, selagi mana Covid-19 ada kita mesti patuh pada SOP. Rakyat mesti berdisiplin kerana kerajaan hanya mampu keluarkan arahan tapi pelaksanaan mesti dipatuhi oleh rakyat sepenuhnya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP Pemulihan: Sekolah dibuka secara berperingkat

SHAH ALAM, 7 JUN: Sekolah akan dibuka secara berperingkat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Kementerian Pendidikan akan membuat pengumuman terperinci mengenainya sedikit masa lagi,” kata
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas hari ini.

Pada 5 Mei lalu, Kementerian Pendidikan mengeluarkan garis panduan pembukaan semula sekolah membabitkan aspek pelaksanaan dan pengurusan prasarana, termasuk kehadiran murid serta penjarakan sosial di bilik darjah, dewan makan asrama serta kantin.

Garis panduan tersebut membabitkan tatacara operasi piawai (SOP) yang perlu dipatuhi untuk mengelakkan penularan sebarang penyakit berjangkit.

PKPP dilaksanakan mulai 10 Jun hingga 31 Ogos dengan beberapa aktiviti dan sektor dalam senarai negatif semasa PKP Bersyarat dilonggarkan atau dibuka berdasarkan SOP ditetapkan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih banyak aktiviti sukan dibenarkan mulai 10 Jun

SHAH ALAM, 7 JUN: Beberapa jenis sukan dan rekreasi akan dibuka semula dengan pematuhan ketat tatacara operasi piawai (SOP), kata perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia termasuk latihan persediaan dan aktiviti tidak melibatkan sentuhan badan seperti boling, badminton, memanah serta menembak.

“Aktiviti berkumpulan di luar seperti kayuhan basikal dan konvoi motosikal juga dibenarkan.

“Permainan membabitkan himpunan penyokong ramai seperti di stadium, kolam renang awam dan bersentuhan seperti ragbi, gusti, tinju, bola sepak, bola keranjang dan hoki masih tidak dibenarkan,” katanya ketika berucap sempena Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

PKP Bersyarat (PKPB) yang dikuat kuasa bermula 4 Mei lalu membenarkan aktiviti joging, kayuhan basikal, golf dan larian dalam kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang dengan syarat mengamalkan penjarakan sosial.

PKPB yang akan berakhir pada 9 Jun ini akan digantikan dengan PKPP bermula 10 Jun hingga 31 Ogos dengan lebih banyak kelonggaran diberikan.