Categories
NASIONAL SELANGOR

TERAS: Elak memperjudikan negara dengan TPPA

tppa

SHAH ALAM, 27 OGOS – Kerajaan tidak perlu perjudikan Malaysia dan nasib rakyatnya menerusi Perjanjian Perkongsian Trans-Pacific (TPPA) yang dikatakan untuk mewujudkan suasana dalam kegiatan “perdagangan dan pelaburan terkawal”, kata Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Hamid.

Azmi berkata, jelas menunjukkan keprihatinan rakyat langsung diketepikan kerajaan melalui elemen kerahsiaan perjanjian tersebut.

Tambahnya, analisis dan implikasi TPPA itu perlu dijelaskan segera agar rakyat tidak terjerat dan nasib negara tergadai begitu sahaja hanya dengan satu tandatangan.

“Pendirian saya bukan sahaja tidak perlu ditandatangani, malah keluar terus dari rundingan itu. Elemen kerahsiaan itu tidak masuk akal. Kenapa perlu rahsiakan dari rakyat sendiri. Ini kepentingan rakyat untuk mengetahui masa depan mereka,” katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Mengulas kenyataan Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Azmi berkata penglibatan Malaysia dalam perjanjian ini bakal menyaksikan syarikat asing bakal mendominasi pasaran tempatan sedangkan Malaysia mampu hidup dan maju tanpa TPPA.

Tambah beliau, melalui TPPA juga memungkinkan Malaysia menghadapi situasi sama sepertimana dahulu Kerajaan Malaysia hampir menandatangai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bersama Amerika. Tindakan itu juga mendapat kecaman hebat pelbagai pihak.

“Sedangkan dulu di zaman Dato’ Seri Rafidah Aziz menerusi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) juga memperlihat impak negatif dalam ekonomi Malaysia. Jadi TPPA juga memberi kesan sama malahan mungkin lebih buruk lagi.

“Percanggahan pendapat antara Mahathir dan anaknya (Mukhriz) melambangkan kita mempunyai pemimpin kerajaan yang tidak mempunyai polisi yang selaras tentang polisi perdagangan dan antarabangsa ini. Ini sangat dikesali sebab dipihak kerajaan pun tiada kata sepakat,”ujar Azmi.

Malaysia melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bakal menyertai rundingan TPPA yang turut membabitkan 12 negara termasuk Amerika Syarikat,Jepun, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Perjanjian ini dijangka dimeterai di Brunei pada Oktober 2013. – MZA