Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Semua persatuan harus ganding bahu perkasa wanita

GEORGE TOWN, 20 DIS: Semua persatuan wanita dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa seharusnya bergandingan bersama dan bersepakat dalam membantu memperkasakan kaum wanita, titah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Baginda bertitah semua persatuan wanita juga perlu bekerjasama menjalankan aktiviti dan mengadakan perjumpaan bersama bagi memperkasakan kaum hawa di persada dunia.

“Kita mesti sepakat untuk perkasakan wanita, jangan jika Puspanita, puspanita sahaja…Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI), WI sahaja. Semua perlu bergabung bekerjasama dalam aktiviti bagi memperkasakan lagi wanita di kalangan masyarakat,” titah baginda pada majlis santapan tengah hari bersama kepimpinan wanita Pulau Pinang di Shangri-la Rasa Sayang Resort & Spa, Batu Ferringhi dekat sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri isteri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Toh Puan Majimor Shariff dan isteri Ketua Menteri Tan Lean Kee.

Dalam titahnya, baginda turut mengimbau kenangan menginap di bilik sama di Shangri-la Rasa Sayang Resort semasa menemani bondanya ke Pulau Pinang 35 tahun yang lepas.

“Hari ini saya datang menginap bilik sama semasa menemani bonda di sini 35 tahun yang lalu dan hari ini saya di hotel yang sama sebagai Permaisuri…kuasa Allah ya…,” titah Tunku Azizah.

Tunku Azizah bertitah Pulau Pinang amat sinonim dengan diri baginda kerana baginda sebenarnya kerap datang ke negeri ini secara tidak rasmi dan menurut baginda, Pulau Pinang merupakan tempat baginda mencari ilham dalam menghasilkan buku resipi masakannya.

“Sebenarnya saya kerap datang ke Pulau Pinang secara senyap-senyap, tak nak beritahu sesiapa kerana saya ke sini mahu menumpukan pada buku resipi. Buku resipi ini ditulis di sini dan dicetak di Pulau Pinang.

“Jika saya ke Pulau Pinang saya suka menginap di G Hotel, Jalan Gurney sebab bila malam saya akan turun makan durian, rojak buah, pasembor. Kalau siang pula setiap hari saya akan makan nasi bungkus, nasi lemak dari Restoran Minah…tiap-tiap hari itulah kerja saya,” kongsi Raja Permaisuri Agong diiringi senyuman ketawa para hadirin.

Seusai majlis santapan tengah hari itu, Tunku Azizah kemudian meluangkan masa beramah mesra bersama Persatuan Chef Pulau Pinang.

Baginda yang sememangnya terkenal dengan kehebatan memasak meluangkan masa hampir dua jam pada majlis itu dan turut berkenan memasak menu Penang asam laksa, nyonya acar awak, dangai dan loyang bersama chef berkenaan.

Sementara itu, Mohd Bakri Mohd Said dari Persatuan Chef Pulau Pinang berkata persatuan itu teruja dengan kesudian Tunku Azizah untuk hadir bertemu dengan persatuan itu.

Menurutnya, mengenali dan bertemu Raja Permaisuri Agong dengan lebih dekat, beliau dapat melihat kemesraan baginda bersama rakyat.

“Baginda juga tidak lokek dengan ilmu masakan. Macam tadi kami masak Penang asam laksa, Raja Permaisuri Agong beritahu tambah nanas ia akan menjadikan menu bertambah sedap. Kami kemudian menambah nanas dalam masakan ternyata amat lazat sekali masakan.

“Selain itu, saya juga sempat meminta resepi sambal belacan permaisuri yang sememangnya enak, Raja Permasuri Agong terus memberikan resipi itu,” katanya kepada Bernama.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sistem sokongan komprehensif bantu perkasa wanita – Dr Wan Azizah

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, satu sistem sokongan yang komprehensif perlu dirangka bagi membantu memperkasa golongan wanita dari segi ekonomi, sosial dan politik.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, agenda pembangunan dan pemerkasaan wanita tidak akan berkesan jika tiada kesedaran, sokongan dan pembabitan inklusif daripada semua pihak dalam mewujudkan persekitaran seimbang ke arah kesejahteraan wanita.

“Program pembangunan wanita dalam suasana global yang pantas ini tidak mungkin boleh dijalankan secara isolasi. Ia memerlukan kolaborasi semua pihak untuk membolehkan kemahiran yang wujud di pelbagai pihak dapat digabungjalin bagi menghasilkan sesuatu program yang lebih berimpak,” katanya kepada BBERNAMA sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut esok (8 Mac) bertemakan #BalanceforBetter atau Seimbang untuk Sejahtera.

Dr Wan Azizah berkata, sistem sokongan komprehensif itu penting dalam usaha menangani cabaran berkaitan wanita termasuk peratusan wanita dalam sektor tenaga buruh serta kejadian jenayah dan penderaan.

Sambil menarik perhatian bahawa 15.8 juta daripada 32.6 juta penduduk negara ini adalah wanita, beliau bagaimanapun berkata, angka penyertaan wanita dalam tenaga buruh masih jauh ketinggalan daripada kaum lelaki.

“Meskipun enrolmen wanita di peringkat pendidikan tertiari lebih tinggi iaitu 48.3 peratus berbanding lelaki pada 38.2 peratus, wanita hanya mewakili 54.7 peratus keseluruhan tenaga buruh di Malaysia berbanding lelaki iaitu 80.1 peratus.

“Mengikut statistik, wanita juga menerima upah dan gaji lebih rendah berbanding lelaki. Oleh itu, usaha yang lebih produktif perlu dilaksana dan diusahakan bagi memastikan golongan wanita dalam sektor tenaga buruh adalah selari dengan golongan lelaki,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, kerajaan menyasarkan peningkatan kepada 56.5 peratus tenaga buruh wanita pada tahun 2020.

Katanya, kajian mendapati terdapat beberapa faktor yang mendorong wanita untuk meninggalkan bidang kerjaya antaranya perkahwinan dan penjagaan anak, diskriminasi gender dan gaji serta gangguan seksual.

“Bagi mengatasi isu itu, Career Comeback Programme (CCP) adalah antara inisiatif yang telah dilaksanakan bagi memastikan golongan wanita kembali bekerja. Oleh itu, saya amat menggalakkan agar semua pihak yang terbabit dapat memainkan peranan dalam membantu menjayakan program serta aktiviti bagi menggalakkan lebih ramai wanita menyertai pasaran kerja,” tambahnya.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata, menjadi keperluan semua pihak membantu kerajaan dalam usahanya menyediakan rang undang-undang gangguan seksual bagi melindungi wanita.

Katanya, kesan negatif serta trauma yang dialami mangsa gangguan seksual boleh memberikan implikasi kepada tingkah laku dan emosi yang tidak stabil sehingga boleh mengakibatkan penurunan prestasi kerja, masalah rumahtangga selain mendorong ke arah kemurungan.

Dalam pada itu, beliau berkata, wanita perlu sentiasa mendalami ilmu pengetahuan termasuk memahami peruntukan undang-undang berkaitan dengan hak wanita yang ada di negara ini bagi memperkasa diri mereka.

“Wanita perlu berani di dalam mencapai pemerkasaan diri. Wanita perlu berani menyuarakan hak mereka khususnya apabila diri mereka dimanipulasi, dikasari atau didera tidak kira oleh siapa, tempat dan keadaan.

“Ini selari dengan kempen #metoo di seluruh negara bagi menyediakan kekuatan psikologi kepada wanita untuk tampil ke hadapan,” katanya.

Bagi tujuan itu, beliau berkata, KPWKM melalui Jabatan Pembangunan Wanita telah mengambil inisiatif merencana beberapa program untuk memperkasa wanita.

Pada masa yang sama mendidik semua golongan masyarakat supaya menghormati dan menyanjung tinggi wanita, antaranya menyediakan khidmat Klinik Guaman, Klinik De’Stress, program Wanita Anti Jenayah (WAJA) dan Kempen Menangani Keganasan Terhadap Wanita.

Dari aspek perundangan, Dr Wan Azizah berkata, terdapat undang-undang yang memberi perlindungan kepada wanita termasuk Akta Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017 dan Akta Kanak-kanak 2001.

SUMBER: BERNAMA