Categories
AGENDA NASIONAL

Ismail Sabri: Tiada kompromi bagi kilang ingkar SOP

KLANG, 17 JULAI: Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kilang yang melakukan kesalahan dan gagal mematuhi peraturan serta tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kesalahan yang paling banyak dilakukan adalah tidak mengimbas kod MySejahtera; sedangkan menurutnya peraturan itu adalah penting kerana di dalam aplikasi itu ia akan memaparkan status kesihatan pekerja berkenaan.

“Dalam MySejahtera ada tulis berisiko tinggi atau tidak, yang berisiko tidak dibenarkan bekerja sebab itu kita mahu pengimbasan itu dilakukan,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin menyertai Op Patuh di kilang membuat komponen elektrik dan kilang makanan di sekitar Klang hari ini.

Ismail berkata bermacam alasan diberikan oleh pihak pengurusan kilang kepada pihak berkuasa termasuk tidak mengetahui bahawa pekerja mereka tidak mengimbas kod MySejahtera walaupun arahan telah jelas diberikan oleh pihak berkuasa.

Katanya masih banyak kilang yang melakukan kesalahan, dan beliau memberi contoh Rabu lepas, sebanyak 180 kilang ditutup, selain banyak kompaun yang dikeluarkan pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan berkaitan SOP.

Ismail Sabri berkata sejak 25 Jun sehingga semalam 994 premis ditutup, 3,610 kompaun dikeluarkan dan 112 tangkapan dilakukan oleh pihak berkuasa menerusi Op Patuh.

“Seperti Op Patuh yang kita lakukan di sebuah kilang makanan di sini, 85 pekerja didapati tidak membuat imbasan MySejahtera, selain itu juga kesalahan lain dikesan seperti tidak ada penjarakan fizikal dan tiada pensanitasi tangan mahupun pengimbas suhu disediakan.

“Walaupun kesalahan itu tidak menyebabkan kilang ditutup, tetapi ia boleh dikenakan kompaun dan pihak polis yang akan menentukan berapa jumlahnya,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata keputusan kerajaan untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 34 mukim di Selangor semalam dibuat selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya difahamkan oleh KKM bahawa saringan besar-besaran telah dilakukan sejak 14 hari lepas, kita dinasihatkan untuk membukanya (menamatkan PKPD). Jadi ini adalah nasihat daripada KKM,” katanya sambil menambah PKPD tetap diteruskan secara lokaliti.

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan empat lokaliti akan dikenakan PKPD membabitkan Damai Apartment, PJS 8 Damansara di Petaling; Jalan Pandan Indah, Ampang (Hulu Langat); Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi (Klang) dan Taman Samudera di Batu (Gombak) bermula esok hingga 31 Julai.

Selain itu, katanya beliau akan berbincang dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk membantu pengusaha perusahaan kecil dan sederhana yang menghadapi kesukaran ketika musim pandemik Covid-19 ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ismail Sabri dilantik TPM, Hishammuddin menteri kanan

SHAH ALAM, 7 JULAI: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik timbalan perdana menteri dengan mengekalkan jawatan menteri pertahanan, umum Pejabat Perdana Menteri.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula dilantik menteri kanan dengan mengekalkan jawatan menteri luar negeri. Beliau turut mengetuai kluster keselamatan yang disandang Ismail sebelum ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju Hishammuddin membantu beliau dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.

“Kedua-dua pelantikan ini telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong dan berkuat kuasa serta-merta,” kata Pejabat Perdana Menteri pada hari ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ekonomi berkembang tanpa kenaikan mendadak harga barang, perkhidmatan

PUTRAJAYA, 28 DIS: Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan pada 4.6 peratus setakat September dan ini dicapai tanpa membabitkan kenaikan mendadak harga barangan dan perkhidmatan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, ini penting bagi memastikan kuasa beli rakyat tidak terjejas dalam usaha mengembangkan ekonomi negara.

Menurutnya, setakat Oktober lalu, kadar inflasi negara berada pada tahap yang rendah dengan kenaikan Indeks Harga Pengguna (IHP) pada 1.1 peratus berbanding Oktober 2018.

“Bagi 10 bulan pertama tahun ini, purata inflasi hanyalah pada kadar 0.6 peratus berbanding 10 bulan pertama pada 2018.

“Ini berbanding 1.0 peratus bagi 10 bulan pertama tahun lepas berbanding tempoh yang sama pada 2017,” kata beliau ketika merasmikan Festival LIFT (Literasi Teknologi Kewangan) Putrajaya 2019 di sini, hari ini.

Untuk rekod, IHP bagi tempoh Januari-Oktober 2017 mencatat kenaikan 4.0 peratus berbanding tempoh sama pada 2016.

Dr Wan Azizah berkata, perkembangan itu turut menjadi satu manifestasi bahawa kerajaan berupaya mengurus dan mentadbir ekonomi dengan baik.

Beliau juga menyifatkan tahun ini sebagai amat mencabar bagi ekonomi dunia sehinggakan pihak Tabung Kewangan Antarabangsa menerusi Laporan Tinjauan Ekonomi Dunia, sejak Januari lepas telah beberapa kali membuat unjuran semula pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih rendah.

“Malaysia juga tidak dapat lari daripada tempias kelembapan ekonomi dunia ini, ditambah pula dengan peruntukan yang perlu dibuat bagi membayar faedah ke atas hutang-hutang negara seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan yang berkaitan dengannya,” katanya.

Menurut Dr Wan Azizah, kerajaan menerusi Belanjawan 2020 yang dibentangkan dua bulan lepas, telah mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun ini mencecah 4.7 peratus.

Katanya, kerajaan juga kekal komited untuk melaksanakan pembaharuan institusi selain membantu menjana pertumbuhan ekonomi secara berterusan dengan mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada tahap A3 atau A-.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bapa TPM Dr Wan Azizah meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Datuk Wan Ismail Wan Mahmood, bapa kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meninggal dunia awal pagi ini di kediamannya di Ampang.

Menurut maklumat yang dipetik daripada laman Facebook Dr Wan Azizah, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid al Mustaqim di Taman Nirwana, Ampang pada 9 pagi sebelum di kebumikan di Tanah Perkuburan Ukay Perdana.

Berita lanjut akan menyusul.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan kaji undang-undang kesalahan bunuh diri

SERENDAH, 21 OKT: Kerajaan sedang dalam proses penilaian dan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi mengkaji keperluan meminda undang-undang berhubung kesalahan bunuh diri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata pihaknya telah mengadakan mesyuarat dalaman bersama agensi-agensi lain mengenai isu kesihatan mental yang kini semakin meningkat.

“Saya telah membincangkan isu menjadikan bunuh diri sebagai satu jenayah semasa mempengerusikan mesyuarat antara agensi berkaitan isu kesihatan mental.

“Pada mesyuarat itu, saya dan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan) telah menekankan keperluan kerajaan untuk mengkaji semula Seksyen 309 Kanun Keseksaan,” katanya selepas melancarkan ‘Digital Space’ (Makmal ICT) di Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah (PPKKS), di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata Jabatan Peguam Negara sedang meneliti dan mengkaji perundangan sedia ada berkaitan isu berkenaan.

“Setelah kajian itu selesai, saya akan bincang perkara ini dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye supaya Seksyen 309 Kanun Keseksaan dimansuhkan dan tidak menghukum individu yang cuba membunuh diri kerana mereka bukan penjenayah, sebaliknya menderita penyakit mental seperti kemurungan.

Dalam perkembangan lain, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata peruntukan RM80 juta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan baru-baru ini akan digunakan untuk menaik taraf, membaiki dan menyelenggara 67 institusi JKM termasuk pusat jagaan kanak-kanak, Orang Kelainan Upaya dan warga emas.

Katanya JKM dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam proses menyediakan maklumat lengkap dan menyaring keperluan setiap institusi bagi mengelakkan pemberian peruntukan yang bertindih.

Mengenai ‘Digital Space’ yang merupakan satu hasil kolaborasi strategik antara Malaysia Airports Holdings Berhad dan KPWKM melalui JKM itu, Dr Wan Azizah yakin sokongan dan usaha sama sedemikian akan dapat memantapkan program-program pembangunan masyarakat.

‘Digital Space’ itu menempatkan 13 unit komputer di dalam sebuah makmal ICT PPKKS yang dinaik taraf dan bakal memanfaatkan lebih 50 pelajar di pusat berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

16 termasuk murid melecur belon helium meletup

PUTRAJAYA, 12 OKT: Seramai 16 orang termasuk kanak-kanak melecur apabila belon helium yang menjadi ‘prop’ untuk program kecergasan sempena Bulan Sukan Negara 2019 di Dataran Putrajaya, di sini, hari ini meletup.

Mereka yang terjejas dalam insiden 11.30 pagi itu melibatkan sembilan kanak-kanak dan tujuh dewasa berumur antara empat dan 30-an yang antaranya adalah peserta dan pengunjung ke program kecergasan Kementerian Pendidikan hari ini.

Mereka kini dirawat di Hospital Putrajaya dan ditempatkan di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hasan, kejadian dipercayai berpunca daripada perbuatan seorang dewasa yang cuba memutuskan benang ikatan belon dengan pemetik api yang kemudiannya menyambar belon helium berkenaan.

“Polis menjumpai pemetik api yang disyaki di tempat kejadian,”katanya ketika ditemui di Hospital Putrajaya.

Menurutnya, kejadian berlaku selepas program kecergasan itu selesai kira-kira 11 pagi iaitu sewaktu untuk “berkemas-kemas”.

Program kecergasan itu dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching pada sebelah pagi berjalan lancar. Pada program itu, Teo turut mengambil bahagian melakukan aktiviti kecergasan.

Rosly berkata sehingga kini, masih belum ada pihak tampil untuk membuat laporan berhubung insiden itu.

Beliau berkata, wakil penganjur atau mangsa boleh membuat laporan untuk membolehkan polis memulakan siasatan.

“Setakat ini belum ada sesiapa yang ditahan untuk siasatan,”katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Putrajaya, Dr Khairul Nizam Hassan berkata, tiada mangsa yang kritikal.

“Mangsa mengalami lukia terbakar tahap pertama dan tahap kedua. Kecederaan yang dialami mangsa berbeza ada yang dikening, rambut dan tangan. Tidak ada yang cedera satu badan,”katanya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut melawat mangsa di Hospital Putrajaya, sejurus selepas menghadiri satu program sempena Hari Kanak-kanak 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 8 (1) Putrajaya berhampiran.

Dr Wan Azizah yang menerima perkhabaran tersebut pada program itu berkata, beliau sedih mendengar insiden itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sakit jantung dalam kalangan wanita semakin meningkat

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Kelaziman penyakit jantung dalam kalangan wanita semakin menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini daripada 20 peratus pada 2014 kepada 22 peratus pada 2017.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, penyakit itu yang secara tradisinya dihidapi oleh lebih ramai lelaki telah menunjukkan ciri-ciri yang berbeza dalam kalangan wanita.

“Walaupun gejala yang paling biasa adalah sakit dada, namun telah diakui bahawa ia boleh dikesan dengan cara yang sedikit berbeza untuk wanita, di mana ini membawa kepada diagnosis dan rawatan yang lewat.

“Sakit dada yang biasa dikaitkan dengan serangan jantung seperti sakit di bahagin tengah dada dan rasa sakit pada bahu yang menyebarkan ke leher dan jantung mungkin tidak biasanya berlaku bagi wanita yang mengalami serangan jantung,” katanya ketika berucap pada pelancaran rasmi Yayasan MySTEMI di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MySTEMI Datuk Dr Rosli Mohd Ali.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, apabila wanita mengalami serangan jantung, mereka biasanya 10 tahun lebih tua daripada lelaki dan mereka kurang menerima rawatan agresif menerusi Percutaneous Coronary Intervention (PCI).

PCI adalah kaedah bukan pembedahan dengan meletakkan secara kekal sehenis logam kecil yang dipanggil stent untuk membantu meluaskan arteri yang sempit atau tersekat yang membekalkan oksigen ke jantung.

“Wanita yang menjadi mangsa serangan jantung juga mungkin akan mengalami komplikasi dan penyakit yang teruk.

Perbezaan jantina ini juga telah diperhatikan di negara-negara lain dan setakat ini, tiada yang dapat mengenal pasti punca perbezaan ini,” tambahnya.

Beliau berkata, penyakit jantung telah menjadi punca utama kematian di kalangan rakyat Malaysia sejak 13 tahun, dari 2005 hingga 2017.

“Saya dimaklumkan bahawa pada tahun 2017, 13.9 peratus rakyat Malaysia meninggal dunia akibat penyakit jantung dan majoriti mereka tinggal di kawasan bandar,” katanya.

Beliau berkata apa yang membimbangkan ialah mereka yang menderita sakit jantung di Malaysia berusia lebih muda berbanding di negara jiran seperti Thailand dan Singapura,

Dr Wan Azizah berkata, menjelang 2040, dianggarkan penduduk Malaysia berumur 65 tahun ke atas akan melebihi enam juta orang yang merupakan 14.5 peratus daripada jumlah penduduk.

Ini adalah isyarat terhadap beban penyakit jantung di Malaysia pada masa akan datang, katanya.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berharap lebih banyak organisasi dan individu akan memberi sokongan kepada Yayasan MySTEMI, yang bertujuan untuk menjana dana tambahan bagi membantu lebih ramai pesakit yang mengalami serangan jantung menerima rawatan terbaik.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TPM: Pemain industri penternakan perlu berani terima teknologi baharu

ALOR GAJAH, 26 SEPT: Pemain industri penternakan perlu berani menerima teknologi baharu dan membuat pelaburan berskala lebih besar dalam usaha mentransformasikan bidang itu bagi mencapai ekonomi berpendapatan tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, penternak dinasihatkan agar meninggalkan cara lama yang dianggap sudah ketinggalan dengan mengamalkan cara baharu yang lebih berdaya saing.

“Daya saing adalah senjata yang paling sesuai dalam pasaran yang lebih terbuka… penduduk negara kita bertambah ramai, peranan penternak sebagai pembekal makanan asas akan menjadi lebih penting,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan ke-125 tahun Veterinar Malaysia, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.

Wan Aziziah berkata, selain keperluan menyediakan daging dan tenusu, industri penternakan antara aktiviti ekonomi yang penting dalam pembangunan luar bandar.

Katanya, usaha itu adalah sejajar dengan Dasar Agromakanan Negara iaitu menjamin keselamatan bekalan makanan, menjadikan industri agromakanan berdaya saing dan mampan, serta meningkatkan pendapatan kumpulan sasar.

Beliau yakin bahawa Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan terus melaksanakan dasar-dasar yang selari dengan perubahan di dalam masyarakat dan industri dari segi perkembangan pengetahuan dan teknologi berkaitan dengan pertanian.

“Cabaran seterusnya adalah untuk mengangkat industri ternakan menjadi pemain penting dalam usaha ke arah transformasi ekonomi berpendapatan tinggi dan dalam masa sama memastikan Perkhidmatan Veterinar sentiasa relevan terhadap keperluan warga ternak, industri ternakan dan rakyat secara amnya,” katanya.

Pada 2018, industri ternakan mencatatkan nilai pengeluaran pada tahap RM 14.785 billion dan menyumbangkan 14.86 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pertanian dan 1.11 peratus KDNK negara.

“Beberapa subsektor menunjukkan pertumbuhan eksport yang menggalakkan, antaranya ialah industri telur, ayam pedaging, itik dan sarang burung walit,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jerebu: NADMA-Sarawak sedia peruntukan, edar topeng muka

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kerajaan Negeri Sarawak akan menyediakan peruntukan bagi perolehan topeng muka untuk diedarkan kepada penduduk di Kuching, yang kini dilanda jerebu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Dr Wan Azizah berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri akan terus memantau situasi di kawasan terjejas.

Beliau berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia juga sedang meneliti kesesuaian menjalankan Operasi Pembenihan Awan dengan mengambil kira keadaan atmosfera di kawasan itu.“Rakyat khususnya di Sarawak dinasihat agar lebih banyak berada di kawasan tertutup dan memakai topeng apabila berada di kawasan terbuka untuk mengelak sebarang masalah kesihatan,” katanya.

Setakat 10 pagi ini, jerebu semakin teruk melanda Sarawak apabila banyak kawasan mencatat peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dengan Kuching menjadi satu-satunya kawasan mencatat IPU sangat tidak sihat iaitu 206.

Memetik laporan Jabatan Alam Sekitar, Dr Wan Azizah berkata faktor utama penyumbang punca bacaan IPU yang tinggi berikutan 455 titik panas dikesan akibat kebakaran di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia.

Beliau berkata, pergerakan angin memberi kesan jerebu rentas sempadan ke Malaysia khususnya di Sarawak.

“Di samping itu, kejadian kebakaran belukar tanah gambut di Kuala Baram, Miri menyebabkan keadaan sekitar berjerebu. Pihak bomba sedang mengambil tindakan berterusan memadam kebakaran di kawasan berkenaan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

TPM: Malaysia Baharu lahir daripada cabang pengertian hijrah

KUALA LUMPUR, 31 OGOS: Gagasan Malaysia Baharu lahir daripada salah satu cabang pengertian hijrah, apabila rakyat Malaysia bersama-sama berganding bahu menolak pengamal dan pendukung rasuah, kleptokrasi serta nepotisme, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam Perutusan Maal Hijrah 1441 Hijrah malam ini, Timbalan Perdana Menteri berkata, tujuan penolakan itu bukanlah semata-mata disebabkan perseteruan politik tetapi semangat dan cita-cita ingin melihat sebuah kerajaan yang bersih daripada amalan songsang yang menyusahkan rakyat lalu menghancurkan negara.

-fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Inilah jihad kita, iaitu berjuang memastikan hak-hak rakyat terbela dan tiada lagi penindasan sama ada secara lahiriah ataupun secara tidak langsung.

“Sesungguhnya perbuatan rasuah akan meruntuhkan sesebuah institusi masyarakat. Ia bukan sahaja perbuatan keji malah turut mengancam kestabilan negara. Sesebuah kerajaan yang gagal memerangi rasuah akan hanya mencipta kehancuran sesebuah negara.,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, rakyat tidak harus bertoleransi walau sebesar zarah dengan mana-mana kesalahan rasuah.

Selain itu, Dr Wan Azizah berkata Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang mengamalkan perpaduan sebagai teras, sudah pasti menolak budaya extremisme dan perkauman yang akan menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Maka memupuk semangat perpaduan berteraskan keharmonian dan muafakat haruslah disemai demi menjamin masa depan negara dalam meraikan semangat Malaysia Baharu.

“Saya seru untuk kita bersama-sama berganding bahu tanpa jemu dan putus asa untuk terus membina Malaysia Baharu dengan tema Maal Hijrah tahun ini ‘Negara Rahmah Ummah Sejahtera’,” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan Ke-62 di Putrajaya pada 31 Ogos 2019. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata tahun ini, Malaysia menyambut dua peristiwa keramat selang sehari iaitu Ulang Tahun Kemerdekaan Negara ke-62 hari ini dan kemudian Tahun Baharu Hijrah 1441 Hijrah, dan kedua-dua peristiwa itu amat besar ertinya kepada rakyat Malaysia amnya dan umat Islam khasnya.

“ Kedua-dua perisitiwa mempunyai pengertian yang amat rapat dan saling berkait. Merdeka dalam erti kata sebenarnya adalah bebas daripada menjadi hamba atau pak turut kepada penjajahan sama ada penjajahan fizikal ataupun jiwa dan pemikiran.

“ Hijrah juga turut membawa maksud yang sama iaitu keluar daripada belenggu jiwa dan jasad kepada kebebasan lalu bertindak menurut acuan Allah SWT,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hayati konsep ‘Sayangi Negaraku’, bersatu sebagai keluarga

KUALA LUMPUR, 31 OGOS: Rakyat perlu menghayati konsep ‘Sayangi Malaysiaku’ dan bersatu sebagai sebuah keluarga tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, sebagai seorang yang mencintai negara, rakyat harus berusaha menjadi contoh yang terbaik dengan menjadi seorang yang jujur, berintegriti dan sentiasa mengutamakan negara dalam segala hal.

Katanya, ia adalah asas kepada kekuatan sebuah negara serta penentu kepada kejayaan atau kehancuran sesebuah negara itu.

“(Tema Hari Kebangsaan) Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’. Pada saya, ia bermaksud mencintai negara kita yang berbilang bangsa dan agama. Ia membawa erti bahawa kita perlu berusaha menjadi contoh rakyat Malaysia yang terbaik.

“Menghayati makna ‘Sayangi Malaysiaku’ bermaksud menghormati dan menyayangi sesama kita, berada di sisi mereka yang memerlukan dan yang paling penting, adalah sikap saling toleransi antara kita,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62 hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meraikan kanak-kanak ketika sambutan bulan kemerdekaan peringkat Parlimen Pandan di Padang Permainan Rumah Pangsa Taman Lembah Maju, di Ampang, pada 30 Ogos 2019. – Foto Facebook Dr Wan Azizah Wan Ismail

Wan Azizah berkata, bagi menjaga keutuhan sebagai sebuah keluarga di negara yang merdeka ini, rakyat hendaklah menolak sebarang bentuk diskriminasi dan mempercayai antara satu sama lain meskipun berbeza latar belakang dan peringkat umur.

“Di dalam sebuah keluarga, tiada siapa akan ditinggalkan. Setiap wanita, setiap kanak-kanak, setiap warga emas, setiap orang kurang upaya, setiap keluarga; setiap rakyat. Kita adalah keluarga… keluarga rakyat Malaysia. Tiada siapa yang dapat memisahkan kita,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata: “Hari ini, kita meraikan Malaysia. Hari ini, kita meraikan rakyat dan sejarah negara kita. Hari ini, kita menghargai pasukan beruniform kita yang mempertaruhkan nyawa untuk keselamatan negara.

“Hari ini, kita berjanji mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Hari ini, kita bertuah berada di sebuah negara yang bernama Malaysia. Malaysia…Negara yang kusayangi…untuk selama-lamanya”.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

TPM: Bersama tolak adu domba, api perkauman

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, masyarakat negara ini perlu matang dalam menilai khususnya terhadap perkara-perkara yang menjurus kepada perpecahan.

Beliau berkata, tiada tempat dalam institusi masyarakat bagi mereka yang sengaja menyemai benih-benih perpecahan

“Sikap adu domba dalam menyemarakkan api perkauman haruslah ditolak sama sekali,” katanya berucap pada sambutan bulan kemerdekaan peringkat Parlimen Pandan di Padang Permainan Flat Rumah Pangsa Taman Lembah Maju, di Ampang malam ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyantuni penduduk yang ingin bergambar bersamanya ketika sambutan kemerdekaan peringkat Parlimen Pandan di Padang Permainan Rumah Pangsa Taman Lembah Maju, di Ampang, pada 30 Ogos 2019 – Foto Facebook Dr Wan Azizah Wan Ismail

Beliau berkata, perpaduan dan toleransi sesama masyarakat adalah kunci sebenar keutuhan kemerdekaan negara dan sikap saling bekerjasama serta bertolak ansur adalah tunjang kemanan sejagat.

“Memelihara sensitiviti dan menolak sikap perkauman akan memperkukuhkan perpaduan…sikap saling hormat menghormati khususnya dalam mengamalkan kebebasan beragama dan budaya, haruslah disemai dalam setiap warganegara,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, kemajuan negara bukan sekadar pada nama, tetapi maju terhadap sikap dan pemikiran setiap warganegara adalah penanda aras untuk mencapai tahap negara maju.

– BERNAMA