Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya separuh daripada had maksimum boleh bermalam di tapak khemah

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Kegiatan perkhemahan dan pendakian gunung yang melibatkan aktiviti bermalam sama ada dilakukan secara persendirian atau berkeluarga dihadkan kepada 50 peratus daripada jumlah kapasiti maksimum sesebuah tapak perkhemahan.

Pengarah Forest Eco-Park dan Hutan Taman Negeri, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Mohd Yussainy Md Yusop berkata perkara itu antara langkah penambahbaikan tatacara operasi piawai (SOP) terkini kepada pengunjung yang perlu dipatuhi sekiranya berkunjung ke Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Contohnya, kapasiti tapak perkhemahan di Sungai Pauh, Cameron Highlands ditetapkan seramai 70 orang sahaja berbanding kapasiti penuh 150 orang, begitu juga aktiviti berkelah dan berkhemah di Taman Eko Rimba Komanwel, Rawang ditetapkan seramai 100 orang dalam satu-satu masa berbanding kapasiti maksimum 250 orang.

“Pada masa sama, Jabatan Perhutanan Negeri juga boleh menetapkan syarat tambahan agar semua SOP yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi termasuk pemakaian pelitup muka semasa menjalankan aktiviti reakreasi statik (pergerakan setempat) dalam hutan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Justeru katanya, setiap pengunjung perlu membuat permohonan terlebih dahulu sekiranya mahu menjalankan aktiviti di Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri melalui sistem permohonan dalam talian atau mendapatkan permit masuk terus melalui Jabatan Perhutanan Negeri.

Mohd Yussainy berkata bagi aktiviti reakreasi dinamik seperti ‘merentas hutan’ dan pendakian gunung pula, pendakian harus dilakukan dengan mengamalkan jarak tiga meter antara setiap pendaki selain mengekalkan nisbah lima pendaki bagi setiap seorang malim gunung.

Sementara itu, beliau berkata aktiviti sukan lasak seperti “motorcross”, “ATV,” basikal bukit, “rock climbing”, luncur layar serta aktiviti tali seperti menakik turun dan daki tembok yang sebelum ini dilarang juga telah dibenarkan.

Turut dibenarkan ialah majlis keramaian yang tidak melebihi 20 orang dalam satu kumpulan, sewaan perkhidmatan rumah bot dengan kapasiti tidak melebihi 50 peratus dan penganjuran kursus atau latihan teknikal jabatan, katanya.

“Harus diingatkan setiap pengendali, penggiat aktiviti lasak atau pengunjung mestilah mematuhi SOP terkini antaranya, memastikan penjarakan fizikal sekurang-kuranganya satu hingga tiga meter selain mewajibkan pemakaian pelitup muka dan digalakkan menggunakan peralatan sendiri,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP Bersyarat: Pendakian, khemah di hutan dilarang

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Sebarang aktiviti kegiatan pendakian, perkhemahan atau jungle trekking dalam hutan di seluruh Semenanjung tidak dibenarkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah Forest Eco-Park dan Hutan Taman Negeri, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Mohd Yussainy Md Yusop, berkata ini kerana perkara itu antara senarai aktiviti yang dilarang Majlis Keselamatan Negara di bawah perkara 17 Pengurusan Perhutanan.

“Perkara 17 Pengurusan Hutan, tidak membenarkan aktiviti ekopelancongan hutan dan latihan perhutanan. Sekatan ini melibatkan aktiviti seperti mendaki, menyelusuri air terjun atau mana-mana sukan lasak dalam hutan termasuk di Taman Eko Rimba (TER).

“Saya berharap orang ramai menghormati keputusan yang telah ditetapkan kerajaan walaupun terdapat permintaan tinggi supaya ia dibuka semula untuk kunjungan orang ramai selepas ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Yussainy berkata sekatan itu juga termasuk kepada aktiviti yang dilakukan secara berkumpulan atau berseorangan.

“Apabila ada banyak kumpulan kecil yang masuk dalam hutan, maka akan ramai juga jumlahnya. Jadi keadaan ini sukar untuk dikawal apatah lagi hutan adalah kawasan yang berisiko tinggi sekiranya berlaku kemalangan,” katanya.

Mohd Yussainy berkata, mana-mana individu yang didapati gagal mematuhi larangan penguatkuasaan ini boleh disabitkan di bawah Akta Perhutanan Negara, Seksyen 47 (1) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Terdapat sebanyak 113 TER dan 14 hutan taman negeri yang terdapat di seluruh Semenanjung di bawah pengawasan jabatan itu.

-BERNAMA