Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Boleh mendaki hutan simpan Selangor mulai 5 Februari

SHAH ALAM, 31 JAN: Aktiviti pendakian hutan simpan kekal (HSK) di Selangor dibenarkan semula mulai 5 Februari.

Jabatan Perhutanan Negeri Selangor menerusi Facebook memaklumkan hanya aktiviti di Gunung Nuang sahaja belum dibenarkan kerana masih dalam tindakan penyelenggaraan berikutan musim tengkujuh.

Menurut agensi itu, aktiviti pendakian perlu dilakukan dengan kebenaran (permit memasuki hutan simpan (pendakian – Borang 6).

Kawasan dibenarkan bagi aktiviti pendakian di Hutan Selangor Tengah iaitu Gunung Hitam, Bukit Cenuang, Air Terjun Sungai Lepoh, Bukit Saga, Bukit Apek, Bukit Broga, Bukit Kembara, Air Terjun Ulu Perdik, Air Terjun Sungai Pisang, Air Terjun Sofea Jane dan Air Terjun Lubuk Tedung.

Bagi Hutan Hulu Selangor pula meliputi Gunung Ulu Semangko, Bukit Choroko, Bukit Kutu, Air Terjun Lata Medang, Air Terjun Lata Macau, Air Terjun Setinggi dan Air Terjun Lubuk Kawah.

Pada 1 Disember 2021, semua aktiviti pendakian HSK Selangor ditutup sementara. Individu yang melanggar notis berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.

Categories
AGENSI SELANGOR

Semua aktiviti pendakian di hutan simpan kekal Selangor ditutup

SHAH ALAM, 30 NOV: Semua aktiviti pendakian di Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Selangor ditutup sementara bermula esok.

Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menerusi Facebook memaklumkan, penutupan itu berkuat kuasa hingga 31 Januari 2022.

Mengikut poster yang dikongsi jabatan itu, individu yang melanggar notis berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.

Sebarang pertanyaan, hubungi talian 03-55447000, 03-55447507 atau e-mel [email protected].

 

Categories
AGENDA NASIONAL

SOP baharu pendakian lebih 457.2 meter berkuat kuasa 2022

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Bermula tahun ini, setiap aktiviti pendakian di bukit atau gunung yang mempunyai ketinggian melebihi 457.2 meter di Semenanjung Malaysia perlu menepati nisbah setiap seorang jurupandu bersamaan tujuh peserta.

Pengarah Forest Eco-Park dan Hutan Taman Negeri Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Mohd Yussainy Md Yusop berkata peraturan baharu yang akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada 2022 itu bagi mempertingkatkan keselamatan para pengunjung serta langkah waspada pihaknya mengawal Covid-19 yang masih wujud.

Jabatan Perhutanan Negeri katanya akan mengenal pasti kawasan pendakian yang wajib menggunakan khidmat malim gunung perhutanan namun tiada halangan bagi pendaki untuk mengupah jurupandu bagi pendakian di bawah ketinggian 457.2m kerana kos ditanggung mereka sendiri.

“Di bawah Jabatan Perhutanan kami sudah empat kali mengeluarkan tatacara operasi piawai (SOP) pembukaan semula taman eko rimba dan taman hutan negeri… kami mahu walaupun kemudahan (aktiviti rekreasi dan pendakian) dibuka semula kepada pengunjung tetapi SOP perlu diteruskan untuk mengawal Covid-19.

Orang awam perlu menjalani pemeriksaan suhu badan dan menjaga jarak fizikal sebelum dibenarkan mendaki Bukit Wawasan, Puchong pada 28 Jun 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Syarat nisbah seorang jurupandu bersamaan tujuh orang bagi aktiviti di kawasan pendakian berketinggian 1,500 kaki atau 457.2m adalah supaya setiap pergerakan keluar masuk hutan dapat dikawal pihak Jabatan Perhutanan dan juga jurupandu… sekali gus kami mahu jadikan tahun 2021 sebagai kesedaran kepada setiap peserta kerana aspek penguatkuasaan akan bermula pada 2022,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan dengan itu, Mohd Yussainy berkata Jabatan Perhutanan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengadakan kursus malim gunung perhutanan di seluruh negara bagi meningkatkan pelbagai kemahiran terutama aspek keselamatan dan ilmu asas perhutanan.

“Ini sangat penting kepada jurupandu atau malim gunung. Dalam tempoh 10 tahun ini lebih 218 kes kemalangan seperti kecederaan direkodkan, bencana kepala air, sesat di luar denai pendakian termasuk melibatkan 128 kes kematian.

“Jadi kursus ini akan memberi latihan asas perhutanan termasuk perundangan, ikhtiar hidup, pengecaman tumbuh-tumbuhan yang boleh dijadikan survival mereka. Di pihak JBPM adalah lebih kepada modul keselamatan dari segi memberi bantuan kecemasan awal,” katanya.

Mohd Yussainy berkata kursus selama lima hari itu akan diadakan setiap bulan di seluruh negara bermula Februari dan mengutamakan golongan belia serta warga tempatan yang mahir dengan selok-belok kawasan pendakian setempat.

Setakat ini katanya pihaknya telah menerima 3,000 permohonan dan ia satu maklum balas yang positif memandangkan ramai rakyat Malaysia kini menjadikan jurupandu sebagai profesion disebabkan kehilangan pekerjaan akibat Covid-19.

Sementara itu Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata jurupandu atau malim gunung yang terpilih mengikuti program itu akan dilatih sebagai responden pertama untuk memberi bantuan awal kepada mangsa jika berlaku sebarang kecemasan atau kemalangan ketika pendakian sebelum ketibaan bantuan daripada pihak bomba.

“Kami akan melatih jurupandu atau malim gunung ini mengikut modul JBPM seperti asas mencari dan menyelamat, bantu mula dengan peralatan bantuan kecemasan, membawa keluar mangsa ke kawasan selamat, penyelamatan di kawasan tinggi serta asas penggunaan kompas dan peta,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP Bersyarat: Pendakian, khemah di hutan dilarang

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Sebarang aktiviti kegiatan pendakian, perkhemahan atau jungle trekking dalam hutan di seluruh Semenanjung tidak dibenarkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah Forest Eco-Park dan Hutan Taman Negeri, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Mohd Yussainy Md Yusop, berkata ini kerana perkara itu antara senarai aktiviti yang dilarang Majlis Keselamatan Negara di bawah perkara 17 Pengurusan Perhutanan.

“Perkara 17 Pengurusan Hutan, tidak membenarkan aktiviti ekopelancongan hutan dan latihan perhutanan. Sekatan ini melibatkan aktiviti seperti mendaki, menyelusuri air terjun atau mana-mana sukan lasak dalam hutan termasuk di Taman Eko Rimba (TER).

“Saya berharap orang ramai menghormati keputusan yang telah ditetapkan kerajaan walaupun terdapat permintaan tinggi supaya ia dibuka semula untuk kunjungan orang ramai selepas ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Yussainy berkata sekatan itu juga termasuk kepada aktiviti yang dilakukan secara berkumpulan atau berseorangan.

“Apabila ada banyak kumpulan kecil yang masuk dalam hutan, maka akan ramai juga jumlahnya. Jadi keadaan ini sukar untuk dikawal apatah lagi hutan adalah kawasan yang berisiko tinggi sekiranya berlaku kemalangan,” katanya.

Mohd Yussainy berkata, mana-mana individu yang didapati gagal mematuhi larangan penguatkuasaan ini boleh disabitkan di bawah Akta Perhutanan Negara, Seksyen 47 (1) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Terdapat sebanyak 113 TER dan 14 hutan taman negeri yang terdapat di seluruh Semenanjung di bawah pengawasan jabatan itu.

-BERNAMA