Categories
PBT SELANGOR

MPSJ pulang bayaran permit peniaga bazar mulai 12 Mei

SHAH ALAM, 8 MEI: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan mengadakan sesi khas pemulangan semula bayaran permit bazar Ramadan secara tunai kepada peniaga bermula minggu depan.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan sesi di Dewan Serbaguna MPSJ Taman Puchong Indah dijalankan secara berperingkat mengikut lokasi bazar bermula 12 hingga 15 Mei.

“Waktu pendaftaran dan pengambilan semula bayaran permit dibuka dari 9 pagi hingga 3 petang dan hanya penama yang diluluskan serta membayar permit sahaja hadir, wakil tidak dibenarkan.

“Penama hanya perlu membawa kad pengenalan dan satu salinan untuk diserahkan kepada MPSJ. Wajib memakai pelitup muka dan patuhi penjarakan sosial,” katanya melalui kenyataan di Facebook.

Berikut jadual sesi pemulangan bayaran permit mengikut lokasi bazar:

12 Mei (Selasa)
-Puchong Perdana
-Puchong Utama
-Taman Wawasan
-Taman Tenaga
-USJ 1
-USJ 7
-Pinggiran USJ
-Taman Batu 3

13 Mei (Rabu)
-Taman Sri Serdang

14 Mei (Khamis)
-Taman Equine
-Taman Puncak Jalil

15 Mei (Jumaat)
-Bandar Kinrara (BK5)
-Putra Heights

Categories
SELANGOR

Tarik permit bazar jika jual kepada pihak ketiga

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menarik serta merta permit bazar Ramadan yang dijual penjaja kepada pihak ketiga.

Pengarah Pelesenan, Rosli Bakar berkata, penjaja yang didapati melakukan aktiviti haram itu juga akan disenarai hitam daripada mendapatkan permohonan permit baru pada masa hadapan.

Katanya, MBSA tidak akan berkompromi dengan penjaja yang cuba mengaut untung atas angin dengan menjual kepada pihak lain dengan harga jauh lebih tinggi.

“Mereka yang berminat untuk berniaga di bazar juga dinasihat untuk terus berurusan dengan MBSA dan tidak melalui individu tertentu.

MBSA“Kita tidak mahu orang ramai ditipu sedangkan permit MBSA tidak pernah mencecah ribuan ringgit,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui sejurus selesai Majlis Penutup Taklimat Bazar Ramadan dan Penyerahan Permit Bazar Ramadan MBSA 2017, di sini, hari ini.

Rosli berkata, sebanyak lima aktiviti penjualan permit bazar Ramadan haram dikesan dan diambil tindakan pada tahun lalu.

“Tiga kes berlaku di Stadium Shah Alam melibatkan nilai bidaan tapak tertinggi sehingga mencecah RM7,000.

“Manakala, dua lagi kes berlaku di bazar Seksyen 25 melibatkan nilai tawaran sekitar RM2,000,” katanya.

Kadar bayaran permit bagi jenis jualan makanan dan minuman tapak MBSA adalah di antara RM257 hingga RM347, berdasarkan kategori berbakar dan tidak berbakar.