Categories
AGENDA NASIONAL

KKM belanja RM2.8 juta rawat 9,222 individu henti merokok

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) membelanjakan sejumlah RM2.8 juta bagi memberikan rawatan berhenti merokok atau rawatan farmakologi kepada 9,222 perokok pada tahun lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding RM2 juta dibelanjakan pada tahun sebelumnya untuk merawat seramai 12,640 perokok.

“Jumlah perbelanjaan ini meningkat kepada RM2.8 juta pada 2019 namun jumlah mereka menerima rawatan farmakologi telah berkurangan kepada 9,222 orang atas faktor kenaikan harga ubatan semasa.

“Rawatan berhenti merokok iaitu rawatan farmakologi melibatkan dua jenis ubatan iaitu terapi pengganti nikotin termasuk pelekat nikotin dan gula-gula getah nikotin serta terapi pengganti bukan nikotin,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Dr Adham berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (PAKATAN-Parit Buntar) yang mahu Menteri Kesihatan menyatakan jumlah yang ditanggung KKM untuk program berhenti merokok seperti program mQuit dan sejauh manakah keberkesanan program itu.

Dr Adham berkata KKM juga melaksanakan satu inisiatif di bawah kerjasama awam-swasta bersama badan profesional, badan bukan kerajaan dan agensi swasta dalam program Perkhidmatan Berhenti Merokok iaitu mQuit.

“mQuit bermula sejak fasa satu iaitu 2015 hingga 2017, fasa kedua pada 2017 hingga 2020 dan bakal memasuki fasa ketiga bermula 2021 sehingga 2025 dengan termeterainya memorandum persefahaman bersama pihak KKM. Peruntukan kewangan bagi melaksanakan semua aktiviti dalam setiap fasa ditanggung badan profesional ini.

“Jumlah perokok mendaftar bagi mendapatkan rawatan berhenti merokok meningkat daripada 10,240 orang pada 2017 kepada 22,601 orang pada 2019,” katanya.

Dr Adham berkata melalui promosi penggalakkan berhenti merokok semasa pandemik Covid-19, lebih 3,442 orang mendaftar melalui laman sesawang Jomquit bermula 1 Januari hingga 21 Oktober berbanding keseluruhan 2019 iaitu seramai 1,678 perokok.

Beliau berkata daripada jumlah pendaftaran pada 2020, sebanyak 3,254 orang atau 95 peratus mendaftar sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Pakar: Kurang daya tahan, perokok risiko tinggi dijangkiti Covid-19

SHAH ALAM, 26 MAC: Kajian oleh seorang pakar respiratori dan paru-paru dari Amerika Syarikat mendapati perokok termasuk elektronik (vape) berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Dr Neal Patel dari sebuah organisasi perubatan bukan kerajaan menyatakan tabiat itu menyebabkan mekanisme pertahanan dalam paru-paru rosak, sekali gus memudahkan wabak tersebut merebak.

“Salah satu mekanisme yang boleh rosak dipanggil ‘cilia’, yang bertindak memerangkap virus atau serpihan sebelum memasuki paru-paru dan tanpanya kita akan kurang daya tahanan.

“Disebabkan itu kita lihat perokok mudah selsema dan batuk dalam tempoh agak lama,” katanya dalam kenyataan yang dikongsi Kementerian Kesihatan Malaysia, hari ini.

Patel juga menegaskan ‘tiada hari lain selain hari ini’ untuk perokok menghentikan tabiat tidak sihat bagi mencegah jangkitan Covid-19.

Pada 9 Mac lalu, Datuk Bandar New York Billde Blasio mengeluarkan amaran kepada perokok di bandar berkenaan susulan peningkatan kes Covid-19.