Categories
AGENDA NASIONAL

KKM belanja RM2.8 juta rawat 9,222 individu henti merokok

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) membelanjakan sejumlah RM2.8 juta bagi memberikan rawatan berhenti merokok atau rawatan farmakologi kepada 9,222 perokok pada tahun lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding RM2 juta dibelanjakan pada tahun sebelumnya untuk merawat seramai 12,640 perokok.

“Jumlah perbelanjaan ini meningkat kepada RM2.8 juta pada 2019 namun jumlah mereka menerima rawatan farmakologi telah berkurangan kepada 9,222 orang atas faktor kenaikan harga ubatan semasa.

“Rawatan berhenti merokok iaitu rawatan farmakologi melibatkan dua jenis ubatan iaitu terapi pengganti nikotin termasuk pelekat nikotin dan gula-gula getah nikotin serta terapi pengganti bukan nikotin,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Dr Adham berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (PAKATAN-Parit Buntar) yang mahu Menteri Kesihatan menyatakan jumlah yang ditanggung KKM untuk program berhenti merokok seperti program mQuit dan sejauh manakah keberkesanan program itu.

Dr Adham berkata KKM juga melaksanakan satu inisiatif di bawah kerjasama awam-swasta bersama badan profesional, badan bukan kerajaan dan agensi swasta dalam program Perkhidmatan Berhenti Merokok iaitu mQuit.

“mQuit bermula sejak fasa satu iaitu 2015 hingga 2017, fasa kedua pada 2017 hingga 2020 dan bakal memasuki fasa ketiga bermula 2021 sehingga 2025 dengan termeterainya memorandum persefahaman bersama pihak KKM. Peruntukan kewangan bagi melaksanakan semua aktiviti dalam setiap fasa ditanggung badan profesional ini.

“Jumlah perokok mendaftar bagi mendapatkan rawatan berhenti merokok meningkat daripada 10,240 orang pada 2017 kepada 22,601 orang pada 2019,” katanya.

Dr Adham berkata melalui promosi penggalakkan berhenti merokok semasa pandemik Covid-19, lebih 3,442 orang mendaftar melalui laman sesawang Jomquit bermula 1 Januari hingga 21 Oktober berbanding keseluruhan 2019 iaitu seramai 1,678 perokok.

Beliau berkata daripada jumlah pendaftaran pada 2020, sebanyak 3,254 orang atau 95 peratus mendaftar sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020, katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Perokok disaran sertai mQuit anjuran KKM

IPOH, 8 MAC: Perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok digalakkan ​​​​​​supaya mendapatkan perkhidmatan bimbingan berhenti merokok menerusi program ‘mQuit’ yang disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak 2012.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, 143 perokok sudah mendaftar bagi mendapatkan perkhidmatan secara percuma itu sejak Januari hingga minggu kedua Februari lalu.

“Seramai 12,400 perokok berjaya berhenti merokok menerusi kemudahan itu (mQuit) yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan sepanjang 2012 hingga 2017,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program pengisytiharan premis YMCA sebagai kawasan larangan merokok, di sini hari ini.

Katanya, sejak 2015 hingga 2017 terdapat peningkatan pada bilangan peserta yang mendaftar di bawah program itu iaitu 27,567 dan daripada jumlah itu 8,092 berjaya berhenti merokok.

Menurut Dr Lee, Kementerian Kesihatan menyediakan perkhidmatan itu di 731 klinik kesihatan dan 46 hospital kerajaan di seluruh negara.

“Kita mengambil serius berkenaan dengan merokok ini kerana sekarang ini kalangan dewasa ada 21 peratus perokok dan kalangan remaja ada 11.7 peratus perokok, ini adalah satu trend yang tidak digalakkan,” katanya.

“Di Ipoh kemudahan itu boleh didapati di Klinik Kesihatan Greentown, Gunung Rapat dan Jelapang,” katanya.

-BERNAMA