Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Presiden, Belia dijalankan dalam format baharu

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Dua pertandingan di bawah kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu Piala Presiden dan Piala Belia dijalankan dengan format baharu untuk musim 2021 sahaja.

FAM dalam satu kenyataan menjelaskan format kedua-dua pertandingan berkenaan diubah selepas mengambil kira situasi pandemik Covid-19 yang masih melanda negara.

Langkah itu dilaksanakan seiring dengan pendekatannya menjadikan tahun 2021 sebagai tahun peralihan mengemudi pertandingan bola sepak kendaliannya selain memastikan kesinambungan liga sehingga akhir musim.

Badan induk itu memaklumkan sebanyak 19 pasukan telah menghantar permohonan untuk menyertai Piala Presiden manakala 20 pasukan lagi memohon untuk beraksi pada Piala Belia musim 2021.

“Format pertandingan baharu Piala Presiden dan Piala Belia musim 2021 akan dikategorikan berdasarkan kedudukan geografi mengikut zon terdiri daripada zon selatan, barat, utara, timur dan tengah (termasuk Sabah dan Sarawak) yang akan bermula Jun ini.

“Pasukan-pasukan ini akan dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan Kumpulan A akan dianggotai oleh pasukan dari zon selatan, barat dan tengah; Kumpulan B dibarisi pasukan dari zon utara dan tengah manakala Kumpulan C disertai pasukan dari timur, barat dan tengah,” jelas kenyataan itu.

Selain itu, FAM berharap agar format baharu yang dilaksanakan mengikut zon dapat memastikan liga dapat ditamatkan dalam jangka masa ditetapkan dan mengurangkan kos perjalanan pasukan antara negeri ketika waktu yang mencabar ini.

Format baharu itu juga bakal menyaksikan pasukan teratas bagi ketiga-tiga kumpulan berentap di pusingan kalah mati setelah tamat peringkat kumpulan.

“Untuk saingan Piala Belia, 16 pasukan terbaik terdiri daripada pasukan teratas Kumpulan A, Kumpulan B dan Kumpulan C serta satu pasukan terbaik tempat keenam dari Kumpulan A, B atau C akan bertemu pada pusingan 16, dengan lapan pemenang akan mara ke suku akhir, seterusnya separuh akhir dan final.

“Perlawanan bagi pusingan 16, suku akhir dan separuh akhir juga akan dijalankan dengan format satu perlawanan sahaja manakala final akan berlangsung secara timbal balik,” menurut kenyataan itu lagi.

Peraturan serta aplikasi format baharu ini dilihat diguna pakai di peringkat antarabangsa bagi memastikan perkembangan pertandingan selain pasukan dapat meneruskan perlawanan susulan format pertandingan yang boleh mengelakkan penundaan dan pembatalan perlawanan.

“Proses saringan dokumen pasukan kini berada di peringat akhir dan senarai pasukan serta jadual perlawanan buat kedua-dua pertandingan ini akan diumumkan pada awal April ini,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

FAM diharap tingkat kualiti bola sepak negara

Oleh: HAFIZAN TAIB

MELAKA, 5 MAC: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diharap mampu meningkatkan kualiti pengurusan dan seterusnya pencapaian bola sepak negara selepas ini.

Pengurus Pasukan Selangor, Amirudin Shari, berkata keputusan Majlis Exco yang mahukan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kekal sebagai Presiden FAM seharusnya dilihat dari sudut positif demi kebaikan sukan bola sepak negara.

“Saya tidak terbabit langsung dengan FAM kerana saya sebagai Pengurus Selangor.

IMG_20160304_234329“Cuma saya rasa pandangan semua pihak perlu dilihat,” katanya kepada media selepas perlawanan Piala FA antara Selangor dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Stadium Hang Jebat di sini, malam tadi.

Baru-baru ini, Majlis Exco FAM membuat keputusan menolak perletakan jawatan Tengku Abdullah sebagai Presiden badan induk bola sepak negara dengan alasan kepimpinannya masih diperlukan.

Tengku Abdullah mengambil keputusan melepaskan jawatan selepas kecewa ekoran kekalahan memalukan pasukan kebangsaan di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 10-0 dalam saingan kelayakan Piala Dunia.

Amirudin selaku Exco Sukan Kerajaan Selangor berkata, perancangan selanjutnya perlu ditekankan supaya bola sepak negara mencapai kemajuan membanggakan.

“Apa yang penting kita mahu lebih maju ke hadapan untuk memperbaiki dan meningkatkan kualiti pengurusan bola sepak kita,” katanya.

-AA-