Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Inisiatif penduduk jual barang kitar semula, dapat beli 30 lampu solar

SUBANG JAYA, 10 OKT: Usaha penduduk USJ 3 Four di sini mengumpul barang kitar semula berbaloi apabila mereka mampu memasang 30 lampu solar hasil jualan barang berkenaan.

Tan Yeng Yap. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Penasihat Rukun Tetangga USJ 3 Four Tan Yeng Yap berkata mula mengumpul sejak tujuh bulan lalu selepas menyertai Program Pengasingan Sisa Dari Rumah anjuran DUN Subang Jaya.

“Bila jual kami dapat sejumlah wang dan diguna membeli 30 lampu solar berharga RM600. Lampu dipasang di laluan gelap bagi memudahkan penduduk melaluinya.

“Kami akan terus mengumpul lebih banyak barang dan rancang untuk memasang CCTV (kamera litar tertutup) pula. Ini untuk keselamatan semua,” katanya pada majlis perasmian program.

Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze merasmikan program berkenaan.

Sementara itu Timbalan Presiden Persatuan Penduduk PJS 9 Kapten Wan Hock Leong berkata penduduk tidak hanya mengutip barang kitar semula sahaja sebaliknya juga mengumpul minyak masak terpakai.

Kapten Wan Hock Leong. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Jelasnya, inisiatif itu sebagai langkah menjaga saluran air penduduk selain menjaga kelestarian alam sekitar.

“Kita tidak mahu penduduk buang di sistem pembetungan kerana boleh menyebabkan masalah tersumbat. Jadi ini boleh mengurangkan masalah saluran air rumah masing-masing,” katanya.

Program sejak Ogos tahun lalu itu berjaya mengumpul 70,759 kilogram barangan kitar semula daripada sembilan komuniti.

Categories
PBT SELANGOR

19 persatuan penduduk rangkul Anugerah Komuniti Mampan PJ

SHAH ALAM, 23 DIS: Sebanyak 19 persatuan penduduk dan rukun tetangga di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memenangi Anugerah Komuniti Mampan Petaling Jaya 2020.

Pihak berkuasa tempatan berkata program tahunan itu bertujuan mempersiapkan daerah tersebut menjadi lebih sejahtera, makmur dan berdayahuni berdasarkan pelan strategik PJ Smart Sustainable And Resilient 2030 (PJSSR 2030).

“Sepanjang penganjuran hampir dua dekad, MBPJ berjaya melahirkan sebanyak 63 juara dalam kalangan komuniti persatuan penduduk, rukun tetangga dan NGO pembangunan mampan dengan 4,270 projek.

“Pencapaian ini memberi sumbangan kepada kejayaan Petaling Jaya mencapai status ‘The Most Sustainable City in Malaysia’ berdasarkan indeks MURNINET Bandaraya Mampan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Pemenang tempat pertama membawa pulang wang tunai berjumlah RM35,000 diikuti tempat kedua (RM30,000), ketiga (RM25,000), keempat (RM20,000) dan kelima (RM15,000).

Manakala dua kategori mentor masing-masing menerima RM10,000 diikuti 10 ‘special mention’ (RM4,000) serta dua ‘special commendation’ (RM2,000).

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

10 persatuan penduduk di Kajang terima set alat keselamatan

SHAH ALAM, 21 DIS: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyumbang set alat keselamatan kepada 10 persatuan penduduk di kawasan pentadbirannya menerusi Program Bandar Selamat.

Pegawai Perhubungan Awam Kamarul Izlan Sulaiman berkata alatan yang diagih pada 15 Disember lalu merupakan jaket, lampu suluh dan wisel.

“Penyediaan semua alatan ini akan memudahkan persatuan penduduk menjalankan aktiviti rondaan di kawasan masing-masing dari semasa ke semasa.

“Usaha ini secara tidak langsung dapat mencegah sebarang salah laku jenayah sekali gus menjamin keselamatan komuniti setempat,” katanya kepada SelangorKini.

Persatuan penduduk yang menerima sumbangan:

1. Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Orkid
2. Badan Pengurusan Bersama Pangsapuri Teratai
3. Dewan Komuniti Persatuan Penduduk Taman Cheras Jaya Fasa 1
4. Kawasan Rukun Tetangga Taman Rakan
5. Persatuan Penduduk Jalan 7/3, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi
6. KRT Taman Jasmin Jalan 7
7. Persatuan Penduduk Rumah Awam Kos Rendah Kampung Pasir Baru
8. Persatuan Penduduk Taman Tiara East
9. Persatuan Penduduk Taman Pelangi Semenyih Fasa 6 dan Fasa 7
10. SRS Taman Harmoni