Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Aktiviti rukun tetangga dibenar untuk rondaan, salur bantuan, jahit PPE

KOTA TINGGI, 30 JAN: Aktiviti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) kini dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun hanya melibatkan program tertentu tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata antara program dibenarkan ialah rondaan keselamatan di kawasan perumahan, misi menyalurkan bantuan banjir serta aktiviti penyediaan peralatan perlindungan diri (PPE).

Beliau berkata pada masa ini terdapat 8,274 KRT dan 5,333 SRS yang aktif di seluruh negara.

“Aktiviti komuniti seperti kursus, bengkel dan lain-lain yang melibatkan ramai orang masih tidak dibenarkan… yang dibenarkan hanya program berbentuk kemanusiaan. Sebagai contoh, dalam berdepan bencana banjir lepas, kita tetapkan SRS untuk membantu menjaga keselamatan kawasan kediaman.

“Ini kerana ketika rakyat berdepan musibah, terdapat segelintir pihak mengambil kesempatan melakukan aktiviti tidak sihat seperti pecah rumah dan sebagainya,” katanya kepada pemberita pada program Misi Bantuan Banjir Negeri Johor anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini.

Bagi KRT, Halimah menjelaskan antara aktiviti dibenarkan termasuk program menjahit PPE untuk kegunaan petugas barisan hadapan dalam menangani Covid-19, dengan peruntukan geran daripada Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“KRT ini sudah diperkasakan supaya peranan mereka kepada komuniti nampak jelas. Di Johor, antara KRT yang terlibat untuk aktiviti ini adalah KRT Senggarang. Selain itu, KRT juga dibenarkan untuk menyediakan bekalan keperluan asas kepada mangsa banjir,” katanya.

Pada 14 Jan lepas, Halimah memaklumkan semua operasi jentera perpaduan negara ditangguhkan sementara berikutan pelaksanaan semula PKP di beberapa negeri susulan peningkatan kes Covid-19.

Berhubung misi bantuan itu, Halimah yang juga ahli parlimen Kota Tinggi menghargai usaha yang dilakukan MAIWP dalam menyantuni mangsa banjir, terutama apabila ramai daripada mereka turut hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

Sementara itu, Pengerusi MAIWP Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee berkata pihaknya menyediakan bantuan berjumlah RM5 juta kepada empat negeri yang terjejas teruk akibat banjir, baru-baru ini.

“Johor merupakan negeri pertama penyaluran bantuan berkenaan sebelum misi sama diteruskan ke Pahang, Kelantan dan Terengganu.

“Setiap negeri akan menerima bantuan RM1.25 juta melibatkan barangan seperti dapur gas, lampin pakai buang kanak-kanak, periuk nasi dan telekung. Ia juga termasuk kos RM250,000 bagi membaik pulih masjid dan surau yang terjejas akibat banjir,” katanya.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

19 persatuan penduduk rangkul Anugerah Komuniti Mampan PJ

SHAH ALAM, 23 DIS: Sebanyak 19 persatuan penduduk dan rukun tetangga di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memenangi Anugerah Komuniti Mampan Petaling Jaya 2020.

Pihak berkuasa tempatan berkata program tahunan itu bertujuan mempersiapkan daerah tersebut menjadi lebih sejahtera, makmur dan berdayahuni berdasarkan pelan strategik PJ Smart Sustainable And Resilient 2030 (PJSSR 2030).

“Sepanjang penganjuran hampir dua dekad, MBPJ berjaya melahirkan sebanyak 63 juara dalam kalangan komuniti persatuan penduduk, rukun tetangga dan NGO pembangunan mampan dengan 4,270 projek.

“Pencapaian ini memberi sumbangan kepada kejayaan Petaling Jaya mencapai status ‘The Most Sustainable City in Malaysia’ berdasarkan indeks MURNINET Bandaraya Mampan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Pemenang tempat pertama membawa pulang wang tunai berjumlah RM35,000 diikuti tempat kedua (RM30,000), ketiga (RM25,000), keempat (RM20,000) dan kelima (RM15,000).

Manakala dua kategori mentor masing-masing menerima RM10,000 diikuti 10 ‘special mention’ (RM4,000) serta dua ‘special commendation’ (RM2,000).

Categories
SELANGOR

Semua kawasan perlu wujud Rukun Tetangga bagi atasi isu jenayah

Oleh : Norhayati Umor

KLANG 8 DIS : Kawasan Rukun Tetangga (KRT) atau persatuan penduduk perlu diwujudkan di setiap kawasan untuk menyaksikan keberadaan mereka dalam masyarakat dihormati, sekali gus menjadi rujukan dalam usaha mengekang isu jenayah dan setempat.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkata semua pihak harus bekerjasama bagi membuang tanggapan negatif berhubung tugas dan fungsi KRT itu.

shah_alam_mp_khalid_samadKatanya, KRT diwujudkan supaya menjadi agensi saluran kepada penduduk untuk membawa sebarang masalah atau isu berbangkit.

“Ramai orang anggap, tugas utama KRT membuat rondaan waktu malam. Tetapi penduduk perlu tahu fungsi sebenar KRT yang sebenarnya lebih besar berbanding menjalankan rondaan.

“KRT juga perlu agresif menyalurkan maklumat kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan polis dalam usaha membantu mengekang isu jenayah,” katanya pada Majlis Mengenali Ahli Jawatankuasa Rukun Tetangga dan Jiran di Taman Summit, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Klang (MPK), Noraini Yusof dan beberapa pegawai polis dari balai polis Klang.

Khalid berkata, beliau berharap lebih ramai penduduk dan generasi muda menyertai KRT di taman perumahan masing-masing supaya lebih banyak aktiviti dapat dilaksanakan.

“Peruntukan untuk KRT ada daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen dan kerajaan pusat. Jadi ia boleh digunakan dengan cara yang betul.

“Kekuatan perlu diketengahkan pemimpin KRT dan ia sangat penting kerana setiap aktiviti yang diadakan bertujuan meningkatkan semangat muhibah antara mereka,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MBPJ tambah CCTV berhampiran Taman Mayang

cctv mbpj

SHAH ALAM 31 OKT : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengambil langkah segera dengan menambah bilangan kamera litar tertutup (CCTV) dan memasang lampu di laluan pejalan kaki ke stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya berhampiran Taman Mayang.

Tindakan segera itu dilakukan bagi meningkatkan keselamatan ekoran kes ragut yang menyebabkan kematian seorang pelajar kolej yang cedera di bahagian kepala, Dickson Wong, 22, di Taman Mayang, pada 26 Oktober lalu.

Unit Perhubungan Awam MBPJ dalam kenyataan media, berkata kerja penambahan CCTV dan mencahayakan lorong laluan itu mengambil masa dua minggu untuk disiapkan.

“MBPJ juga akan mensyaratkan kepada pemilik premis komersial dalam pembaharuan lesen supaya memasang CCTV di premis mereka untuk membantu mengawal keselamatan bersama.

“MBPJ akan bekerjasama dengan polis dan Rukun Tetangga di kawasan itu bagi melaksanakan rondaan menerusi program rondaan keselamatan,” katanya.

Sebelum ini, Datuk Bandar MBPJ, Datin Paduka Alinah Ahmad, mengadakan tinjauan lokasi kejadian ragut terbabit yang turut di hadiri Pengarah Penguatkuasa, Pengarah Kejuruteraan dan Pegawai Perhubungan Awam agensi berkenaan.

Tinjauan itu turut dihadiri pegawai dan anggota polis yang kemudiaannya memberi taklimat ringkas berkenaan kejadian kes ragut itu dan MBPJ melahirkan rasa simpati kepada keluarga mendiang Dickson. -NFN-

 

Categories
SELANGOR

Selangor Akan Lancar Skim Rondaan Keselamatan


BATU CAVES, 11 MAC : Satu skim rondaan rukun tetangga akan dilaksanakan di seluruh negeri Selangor dibawah program Kerajaan Negeri bagi menjamin keselamatan dan keselesaan penghuni selaras dengan Kempen Pangsapuriku Bersih, Ceria dan Harmoni.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan, Pembangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, berkata inisiatif itu bagi membantu penduduk setempat yang menghadapi kesukaran memohon untuk menyertai Skim Rondaan Sukarela (SRS) atau Rukun Tetangga dibawah Kerajaan Persekutuan.

” Terdapat banyak skim rondaan atau rukun tetangga dibawah Kerajaan Persekutuan, antaranya SRS bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan rukun tetangga, tetapi kebanyakkannya penduduk menghadapi masalah kelewatan untuk memohonnya dan jika mereka ingin membuat rondaan sendiri pula, kadangkala mereka dipertikaikan dan banyak soal jawab.

” Mereka juga akan terdedah dengan bahaya dan yang paling kita menitik beratkannya adalah apabila ketiadaan Insurans Perlindungan, jadi saya telah membuat perbincangan dengan pegawai-pegawai supaya diwujudkan satu skim di bawah Kerajaan Negeri dan ianya akan dilakukan dikawasan perumahan bertingkat terlebih dahulu,” katanya kepada SelangorKini selepas Majlis Penyerahan Kunci Pangsapuri Banjaria Court.

Hadir sama Timbalan Pengurus Besar bahagian Pentadbiran dan Pembangunan, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Noraida Mohd Yusof dan Timbalan Pengurus Besar bahagian Teknikal, Abdul Ghani Hashim.

Beliau berkata salah sebuah syarikat Insurans sudah bersetuju untuk memberikan perlindungan kepada penduduk dalam perbincangan yang dilakukan baru-baru ini.

” Saya akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara ini dan akan dipanjangkan di dalam mesyuarat Exco serta akan dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Tambahnya lagi, skim itu bermatlamat untuk mengurangkan kadar jenayah dan vandalisme dan mewujudkan komuniti bagi menjadikan masyarakat setempat lebih baik.

” Bagi Kerajaan Negeri, kunci keharmonian komuniti bukan hanya kepada infrastruktur sahaja tetapi bagaimana komuniti itu sendiri membawa perubahan dan menaikkan kawasan kediaman mereka,” katanya.