Categories
AGENDA GLOBAL

Asean: Ikrar kerjasama, komitmen tangani Covid-19

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Menteri Pertahanan Asean komited untuk saling bekerjasama dalam mengendalikan jangkitan Covid-19 yang telah menjejaskan kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi serta keselamatan dan kestabilan serantau.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM) di Hanoi, Vietnam, negara anggota mengesahkan komitmen mereka ke arah meningkatkan kerjasama, termasuk dalam kerjasama perubatan ketenteraan dan perkongsian maklumat, untuk memastikan persekitaran aman, selamat dan stabil.

Menteri berkenaan bersetuju untuk memanfaatkan Rangkaian Pakar Pertahanan Kimia, Biologi dan Radiologi Asean untuk meningkatkan jaringan profesional, dan menggalakkan kerjasama saintifik dalam mengendalikan wabak penyakit berjangkit.

“Kami (Menteri Pertahanan Asean) dengan ini berikrar untuk kekal komited dalam melaksanakan tugas kami dan kekal bersatu dalam usaha menangani wabak Covid-19 untuk kebaikan rakyat negara Asean,” menurut kenyataan itu.

Dalam mengendalikan Covid-19, menteri berkenaan menggesa kerjasama padu menerusi pelbagai forum termasuk Pusat Perubatan Ketenteraan Asean; Persidangan Ketua Turus Perubatan Ketenteraan Asean, Persidangan Perubatan Ketenteraan Asean serta kerjasama dengan rakan luar mereka dalam Kumpulan Kerja Pakar Perubatan Ketenteraan, Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean-Campur (ADMM-Campur).

Kenyataan itu juga menggalakkan inisiatif dan cara baharu yang akan menyumbang kepada usaha Asean secara menyeluruh untuk menangani berita palsu berkaitan jangkitan Covid-19 dan memastikan rakyat mendapat maklumat betul mengenai keadaannya.

Menteri Pertahanan Asean berkenaan turut merakamkan simpati kepada negara, komuniti dan individu yang terkesan dengan wabak itu.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kementerian Pertahanan bercadang kemas kini dasar pertahanan negara

LUMUT, 31 OKT: Kementerian Pertahanan bercadang mengemas kini Dasar Pertahanan Negara (DPN) yang digubal pada 2010 agar seiring dengan perkembangan dan cabaran semasa serta masa depan.

Timbalan Menteri berkenaan Senator Liew Chin Tong berkata sehubungan itu, satu kertas putih pertahanan akan disediakan bagi mendapatkan input berhubung keperluan pertahanan negara untuk jangka masa pertengahan dan jangka panjang.

“Dengan adanya kertas putih ini, soalan-soalan berkenaan pertahanan seperti industri pertahanan, isu berapa ramai tenaga anggota diperlukan, hala tuju pertahanan dan semua boleh diambil kira dan diberikan tumpuan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan upacara peletakan lunas kapal tempur pesisir (LCS) ke-4 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Limbungan Boustead Naval Shipyard (BNS), di sini hari ini.

Hadir sama Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Pengarah Urusan Boustead Heavy Industries Berhad Laksamana Madya (B) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor.

Liew berkata usaha mengemas kini DPN akan melibatkan kesemua pihak berkepentingan.

LCS4 ini adalah daripada kelas Gowind yang dilengkapi keupayaan kuasa tempur dan sistem pertahanan empat dimensi peperangan iaitu udara, darat, air serta elektronik selain turut mempunyai ciri-ciri serang hendap yang membuatkan ia sukar dikesan.

LCS4 ini adalah antara enam buah LCS yang dalam pembinaan oleh BNS menerusi projek bernilai RM9 bilion.

Kesemua kapal terbabit akan diserahkan kepada TLDM secara berperingkat dengan yang terakhir pada 2023.

SUMBER: BERNAMA