Categories
BUDAYA RENCANA

Langit nusa: Sesudah mendung di kepalaku

Langit yang cenderung malap ialah negara yang ada nusamu yang ada sukmamu yang ada
cintaku. kerana pawana tak tahu memilih-milih mega; jernih atau yang gelap berbalam tragis ceritera silam. Dan, kita sering keliru dengan kalimat awan hitam dengan makna hujan. Yang tenggelam di dalamnya matari kama poyang. Sang benderang kepada galaknya pelupa watan.

Tanggal tidak hanya sebagai peristiwa yang berpihak. Dikhutbahkan dan dirayakan. Ia adalah
waktu membebaskan fikir terbang paling jauh meninggalkan kelir kelabu. melayah sembari
mendendangkan lirik sumpah dengan melodi setia paling harmonis, membangkitkan tanah air supaya tidak hanya mengiakan takdir. Kerana anak-anak merdeka jangan sesekali terhumban terkambus ke nganga kabus. Terkapar kehilangan, tak tau rumah tak tau bangsa.

Sebelum usai kabut seberang dihembus dari dadanya tumpah darah, siapakah turut bermimpi? Buana kita menjelma lagi seribu makmur, merdu nyanyian burung-burung dan warna bunga-bunga kala siang hari. Kemudian di malam kudus, bertabur buruj-buruj bintang dan bulan paling madu. Dan, esok inilah yang akan aku tinggalkan buatmu pertiwi. Kuharap kautertawa di sisi anak cucu.

 

J.R Jel

Categories
PBT SELANGOR

Deklamasi Sajak Petaling Jaya tawar hadiah lebih RM3,000

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PETALING JAYA, 22 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bakal menganjurkan Pertandingan Deklamasi Sajak Petaling Jaya 2019, pada 27 April ini yang menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM3,000.

Dalam kenyataannya, MBPJ berkata, program bertemakan ‘Petaling Jaya Bandaraya Peneraju, Dinamik & Lestari’ akan diadakan di Muzium Petaling Jaya di sini.

Katanya, pertandingan itu terbuka kepada warga Petaling Jaya sahaja dan pemilihan sajak perlulah ciptaan sendiri yang asli serta berkaitan dengan tema ditetapkan.

“Terdapat tiga kategori utama dipertandingkan iaitu kategori sekolah rendah, menengah dan terbuka.

“Pertandingan ini juga terhad kepada 12 penyertaan terawal bagi setiap kategori,” katanya.

Hadiah akan diberikan pada setiap kategori merangkumi johan, naib johan, ketiga dan saguhati.

Untuk pihak berminat, boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Farhan atau Nafie di talian 03-79548122.