Categories
SELANGOR

Laman Dapur Jana Pendapatan Suri Rumah Melalui Pertanian

SHAH ALAM, 10 NOV : Bagi meningkatkan pendapatan suri rumah di Selangor, Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) menganjurkan program Laman Dapur yang mana golongan ini boleh menjana pendapatan melalui pertanian.

Pengerusinya, Puan Sri Salbiah Tunut berkata, program ini bukan hanya membantu golongan wanita meningkatkan sumber pendapatan keluarga, malah menggalakkan mereka untuk memanfaatkan hasil bumi (tanah) dengan baik.

Malah menurutnya, program itu juga akan memperluaskan sektor pertanian di Selangor terutamanya di kawasan luar bandar.

“Kalau boleh, saya berharap masyarakat khususnya penduduk kampung dapat menggunakan kesemepatan yang ada ini untuk menambah pendapatan mereka dengan bercucuk tanam.
“Aktiviti penanaman sebegini memberi pelbagai manfaat dan ilmu pengetahuan kepada wanita tentang aspek-aspek penjagaan tumbuh-tumbuhan,” katanya semasa menghadiri taklimat Laman Dapur di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini pagi tadi.

Program yang dimulakan sejak 2009 itu memberi bimbingan dalam bentuk kursus untuk membantu peserta melaksanakan projek pengairan titis berkonsepkan pertanian alam dengan sendiri.

Dalam program ini seramai 18 peserta untuk peringkat pertama yang terpilih daripada seluruh negeri menghadiri sesi taklimat teori dan praktikal itu yang diberi penjelasan berkenaan penanaman kacang bendi menggunakan teknik beg kompos dengan betul dan sistematik.

Sejumlah RM50,000 diperuntukkan untuk melaksanakan projek Laman Dapur di mana setiap peserta diberikan sebanyak RM2,700 dalam bentuk pakej antaranya 250 polibeg baja kompos, benih tanaman serta tangki dan sistem saliran air.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Pekawanis, Noraini Samsudin berkata, konsep pertanian Laman Dapur adalah berdasarkan organik dan mesra alam tanpa menggunakan racun.

Beliau berkata, peserta akan diberi pendedahan tentang cara-cara menghasilkan baja kompos di rumah dan mengadun baja yang boleh membantu mereka mengenalpasti masalah pada tanaman mereka.

“Kita mahu mereka boleh berdikari menjaga tanaman selain memastikan hasil tanaman juga berkualiti tinggi. Kita amat berharap supaya Geran Selangorku akan memberi lebih banyak bantuan kerana kita sasarkan 20 peserta untuk setiap parlimen bagi menyertai program ini.

“Selepas ini kita mungkin mensasarkan golongan belia untuk menyertai program ini supaya semua peringkat usia mempunyai kemahiran dalam pertanian yang boleh dimanfaatkan,” ujarnya.

Merakyatkan Ekonomi Untuk Wanita


Sinopsis:
Setelah empat tahun pakatan rakyat menjadi kerajaan negeri, banyak program khusus untuk kaum wanita telah memperkenalkan.

Antara program yang disediakan untuk kaum hawa di Selangor adalah Skim Kesihatan Wanita, Skim Bantuan Pemberdayaan Ekonomi Ibu tunggal (PET SOHO-S), Skim Mikrokredit Wanita Ladang (WALA), Laman Dapur dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, kerajaan negeri Selangor akan sentiasa memastikan yang terbaik untuk mereka yang bergelar wanita kerana Kerajaan Negeri Selangor menjaga kebajikan anda kaum wanita hingga ke akhir hayat.

Layari http://www.selangorkini.net

Categories
SELANGOR

6,000 Pokok Bakau Bagi Memelihara Persisiran Pantai Selangor

PELABUHAN KLANG, 15 JULAI : Sebanyak 6,000 pokok bakau ditanam dalam tempoh tiga tahun dalam usaha menghijaukan bumi dan memelihara alam sekitar.

Usaha tersebut adalah sebahagian dari rancangan menanam 10,000 pokok bakau dalam masa lima tahun bermula dari 2010 di sekitar Selangor.

Ia dilakukan Persatuan Bulan Sabit Merah Selangor bersama Jabatan Alam Sekitar Selangor dan Jabatan Perhutanan Selangor.

Pengerusi Bulan Sabit Merah Selangor, Fatimah Sulaiman berkata, pihaknya berbangga kerana program tersebut berjaya dijalankan dalam masa tiga tahun dan berharap ia mencapai sasaran dalam dua tahun lagi.

“Program pertama pada 2010 kita jalankan di Kuala Selangor dan tahun lalu di kawasan timur Kampung Teluk Gong ini manakala tahun ini kita sambung di kawasan barat di kampung sama.

“Program ini melibatkan semua ahli masyarakat terutama ahli Bulan Sabit Merah Selangor dan pelajar demi memberi pendidikan dan pengetahuan mengenai penanaman pokok bakau dan penjagaan alam sekitar.

?Ia juga membawa banyak manfaat terutama kepada kawasan persisiran pantai sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi bencana alam seperti tsunami,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) di atas sokongan mereka.

Fatimah berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perasmian Program Menanam Pokok Bakau di Kampung Teluk Gong di sini hari ini.

Program tersebut dirasmikan Yang Dipertua Pekawanis yang juga isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Tunut.

Salbiah berkata, usaha penanaman itu wajar dicontohi pertubuhan lain kerana program menghijaukan bumi dan menjaga alam sekitar perlu melibatkan semua pihak.

“Program ini juga membantu mendidik anak-anak dan pelajar supaya berdisiplin dan faham tentang peranan memelihara alam sekitar terutama di kawasan persisiran pantai. Malah bukan saja persisiran pantai tetapi juga kawasan lain.

“Selain bakau, kita juga perlu mengenal pasti pokok lain untuk ditanam kembali,” katanya.

Seorang guru, Nik Suhaimi Nik Jaafaar berkata, program seperti itu patut diperbanyakkan demi memberi kesedaran kepada masyarakat demi menjaga alam sekitar.

“Penanaman pokok bakau di kawasan persisiran pantai ini banyak manfaatnya kepada alam semulajadi dan penduduk tempatan,” katanya.