Categories
SELANGOR

Warga SAMER Lega, Terima Sumbangan Van Kegunaan Sekolah

salbiah van sekolah agama rawang 02

RAWANG, 13 APR: Warga Sekolah Agama Menengah Rawang (SAMER) tidak perlu lagi risau tentang masalah pengangkutan untuk menghantar pelajarnya ke hospital sekiranya berlaku kecemasan.

Hari ini sekolah tersebut menerima sumbangan van sekolah berharga RM 90,000 daripada Kerajaan Negeri Selangor melalui Geran Selangorku.

Pengetua sekolah Zainul Arifien Mohd Jaid berkata sebelum ini, pihak pentadbiran sekolah terpaksa menggunakan kenderaan milik para guru untuk membawa para pelajar ke hospital dan aktiviti luar sekolah.

“Dahulu ada bas yang diberi oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), tetapi sudah tak boleh pakai lagi kerana sudah terlalu uzur.

“Jadi terpaksa gunakan kereta guru untuk ke hospital, walaupun ada pelajar yang muntah dalam kereta,” kata Zainul Arifien dalam majlis salbiah van sekolah agama rawang 01Penyerahan Van Sekolah Kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu di sini.

Majlis penyerahan van yang disempurnakan isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Tunut diadakan di dewan sekolah terbabit dan turut dihadiri oleh para ibu bapa dan kira-kira 300 ratus warga sekolah berkenaan.

Selain digunakan untuk membawa pelajar ke hospital, van tersebut juga boleh digunakan untuk lawatan pelajar dan membawa pelajar menyertai aktiviti sukan atau kokurikulum di sekolah lain.

Dalam perkembangan sama, Yang DiPertua PIBG SAMER, Mohd Subki Abdul Hamid pula berkata beliau tidak menyangka bahawa permohonan beliau mendapatkan sumbangan dari Kerajaan Negeri diluluskan dengan begitu cepat sekali.

“Selepas tiga hari saya pergi ke Pejabat Menteri Besar, saya sudah terima panggilan yang mengatakan permohonan diluluskan,” kata beliau.

Salbiah ketika menyampaikan ucapan perasmiannya pula berharap agar pihak PIBG sekolah terus aktif memohon sumbangan bagi mendapatkan kemudahan pembelajaran tanpa mengira dari Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan.

Categories
SELANGOR

Tokoh Ibu Tunggal Besarkan 15 Anak Dengan Jualan Kuih

salbiah tunut ibu mithali permatang 01

TANJUNG KARANG 30 MAC : Kegigihan dan kesabaran mendidik 15 orang anak sehingga berjaya walaupun kehilangan suaminya, telah mendapat perhatian Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS).

Semalam Miskanah Harun, 67, dianugerahkan Tokoh Ibu Tunggal Unggul, atas bakti dan jasanya membesarkan anak-anaknya dengan hasil jualan kuih di kawasan sekitar Seri Tiram Jaya di sini.

salbiah tunut hari wanita permatang 02Miskanah berkata kesusahan membesarkan 15 orang anak setelah suaminya meninggal 26 tahun lepas sangat memeritkan.

“Tuhan sahaja tahu kesusahan hidup yang dialami. Saya berusaha jual kuih muih untuk menampung perbelanjaan keluarga. Kini anak-anak saya semua sudah berjaya,” katanya ketika ditemui.

Selain Miskanah, dua lagi wanita menerima anugerah masing-masing iaitu Tokoh Ibu Mithali, Tusiah Kajar, 63 dan Tokoh Ibu Rumah Tangga, Musirah Dollah, 62.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Yang Dipertua PEKAWANIS, Puan Sri Salbiah Tunut. Hadir sama, Penyelaras Dun Permatang, Yahya Sahri.

Menurut Tusiah pula, perkara pertama yang diterapkan dalam diri anak-anak adalah pendidikan agama kerana ia tunjang kehidupan seseorang individu.

“Saya mempunyai 11 orang anak, kesemua berjaya dalam bidang masing-masing,” katanya yang berasal dari Kampung Sungai Yu.

salbiah tunut hari wanita permatang 03Turut menerima anugerah ialah Wanita Usaha Tani, Rozita Askur; Wanita Usaha Niaga, Sarimah Salim dan Wanita Usaha Ternak, Salmi Ismail.

Sementara itu, Salbiah menasihati wanita khususnya di luar bandar supaya berusaha meningkatkan pendapatan sebagai suri rumah.

“Sekarang kita ada membuat program Laman Dapur yang mana kita boleh jana pendapatan pertanian.

“Disamping itu kita juga dapat memanfaatkan hasil bumi (tanah) dengan baik,” katanya yang juga isteri kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tambahnya, Kerajaan Negeri Selangor menggalakkan suri rumah menjadi usahawan.

Fitnah Beli Lembu Korban : Bekas Pesuruhjaya Setuju Mohon Maaf Kepada MB Selangor

MB Fitnah Beli Lembu Korban 02

KUALA LUMPUR, 18 MAC : Bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan bersetuju mengemukakan permohonan maaf kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung kes saman malu melibatkan pembelian lembu korban pada tahun 2009.

Keputusan penuh serta permohonan maaf akan dibuat esok pada jam 9.00 pagi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur setelah kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama hari ini.

MB Fitnah Beli Lembu Korban 01Abdul Khalid yang ditemui selepas perbicaraan secara tertutup di dalam kamar Hakim Datuk Lau Bee Lan bersyukur kebenaran dakwaan salahguna kuasa yang dikaitkan dengannya akhirnya terungkai.

“Perkembangan ini membuktikan bahawa tuduhan salahguna kuasa tidak berasas sama sekali dan hanyalah bertujuan untuk mencemar nama baik saya sebagai seorang muslim dan juga Menteri Besar Selangor.

“Saya sekeluarga terutama isteri (Datin Seri) Salbiah Tunut dan anak-anak sangat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kes ini benar-benar memberi kesan apabila kami sekeluarga digambarkan sebagai orang yang sanggup menyalahgunakan kuasa walaupun di dalam soal hal ehwal agama Islam iaitu amalan korban Aidiladha,” katanya yang turut ditemani Isteri, Datin Seri Salbiah Tunut.

Peguam Kanan Persekutuan Noorin Badaruddin, Nadia Hanim Azlina mewakili mantan Pesuruhjaya SPRM, Datuk Ahmad Said Hamdan, SPRM dan Kerajaan Malaysia.

Sementara peguam S Sankaranair dan Murali Kalidass mewakili Abdul Khalid.

MB Fitnah Beli Lembu Korban 03Abdul Khalid didakwa pada awal 2009 menyalah-gunakan kuasa menderma RM110,400 bagi tujuan 46 ekor lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha di Bandar Tun Razak.

Menteri Besar juga menyeru pegawai kerajaan, SPRM dan polis perlu bertugas secara profesional dan tidak membenarkan diri mereka terpengaruh dengan mana-mana pihak yang mempunyai agenda tersendiri.

Ujarnya lagi, sebagai Menteri Besar, beliau sangat mementingkan integriti pengurusan dan gembira sepanjang pentadbirannya selama lima tahun tiada pegawai kanan kerajaan mahupun barisan Exco Selangor dilibatkan dengan kes salahguna kuasa.

Beliau menambah, rekod cemerlang ini diharapkan akan memberikan keyakinan kepada rakyat membuat keputusan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Categories
NASIONAL SELANGOR

Wanita Dilengkapi Ilmu Mampu Pacu Perubahan

Hari Wanita Selangor 01

SHAH ALAM, 9 MAC : Setiap wanita khususnya di Selangor disarankan memantapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran serta berintegriti dalam usaha memacu perubahan sesebuah negeri mahupun negara.

Hari Wanita Selangor 02Ini kerana menurut isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Tunut, wanita yang dilengkapi dengan ilmu berperanan besar dalam mencorakkan pentadbiran negara malah akan lebih dihormati oleh semua pihak.

Beliau turut menyarankan wanita supaya menggunakan pengaruh, kreativiti dan daya inovatif secara bijak dan efektif untuk mengilhamkan inspirasi perubahan.

“Wanita merupakan hawa yang berupaya menentukan perubahan dan menjatuhkan sesuatu perkara yang negatif. Wanita perlu memantapkan diri dengan kemahiran supaya lebih dihormati.

“Sepuluh peratus wanita kita dapati tergolong dalam kalangan cerdik pandai, malah Kerajaan Negeri Selangor turut menyediakan peluang untuk mengangkat wanita sebagai pemimpin.

“Kita harap bilangannya akan terus bertambah bagi membuktikan wanita mempunyai daya untuk menentukan perubahan,” katanya semasa merasmikan Sambutan Hari Wanita Sedunia 2013 Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini hari ini.

Sambutan yang bertemakan Wanita Penentu Perubahan Demi Keselamatan dan Keamanan Insan turut diserikan dengan acara Demonstrasi Masakan oleh Chef Yang Jamil, demonstrasi mempertahankan diri dan persembahan pentas oleh artis jemputan.

Hadir sama, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar.

Hari Wanita Selangor 03Dalam pada itu, Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail turut menegaskan wanita bukan sahaja perlu menjadi bahan ikutan, malah perlu menjadi sebahagian daripada pimpinan yang menentukan visi untuk memastikan kejayaan sesebuah negeri itu tercapai.

Sementara itu, Mizrah Mohd, 40, menyambut baik saranan Kerajaan Negeri untuk lebih giat memartabatkan peranan wanita dalam pentadbiran sesebuah negeri.

Katanya, ia bagi membuktikan wanita juga mampu berdaya saing dan mampu melontarkan idea kreatif untuk bersama-sama memacu kejayaan negeri.

“Saya menyeru semua golongan wanita termasuk diri saya sendiri supaya yakin kepada kebolehan diri sendiri dan terus berusaha untuk mencapai kejayaan. Semoga wanita dan lelaki bekerjasama untuk melindungi wanita dan tidak menindas golongan yang lemah ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Mutu Pusat Dialisis PNSB Akan Terus Dipertingkat

MB pusat dialisis klang 01

KLANG 4 MAC : Pusat Dialisis milik Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) di Taman Sri Andalas di sini akan terus dipertingkatkan bagi membantu mereka yang memerlukan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata lawatan beliau ke pusat itu adalah bagi mengenalpasti masalah yang wujud dan membuat perancangan untuk menambahbaik mutu perkhidmatan.

“Lawatan ini adalah untuk meninjau bagaimana mutu perkhidmatan di sini dapat dipertingkatkan kepada masyarakat di daerah Klang,” kata Abdul Khalid yang juga Pengerusi PNSB.

Abdul Khalid berkata demikian semasa lawatan beliau ke pusat dialisis itu yang boleh menampung 49 pesakit sehari.

Ujarnya, antara rancangan penambahbaikan pusat itu adalah memperbaiki aspek penyelenggaraan dan memastikan tangki air mencukupi.

“Ianya akan diselesaikan secepat mungkin,” kata Abdul Khalid.  salbiah tunut dialisis klang 01

Turut sama dalam lawatan itu Yang Dipertua Pekawanis, Puan Sri Salbiah Tunut dan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan Dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar.

PNSB telah menceburi perkhidmatan rawatan dialisis di Negeri Selangor melalui anak syarikatnya iaitu PNSB Supplies & Services Sdn Bhd.

Ia mula beroperasi pada bulan Januari 2007, dan terletak di No 83, Persiaran Tengku Ampuan Rahimah, Taman Sri Andalas, Klang.

Pusat ini adalah yang pertama di Malaysia yang beroperasi sepenuhnya secara ?pakai buang? (Single Use Operation) yang dikawalselia oleh pakar perubatan buah pinggang (Nefrologi) dan kakitangan terlatih dan berpengalaman.

Pusat rawatan ini dilengkapi dengan 11 buah mesin yang beroperasi secara dua sesi.

Pada masa akan datang, PNSB bercadang membuka pusat rawatan dialisis ini di setiap daerah Selangor.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Jom Shopping Ibu Tunggal Agih Kekayaan Negeri

jom shopping ibu tunggal 02

IJOK 3 MAC : Usaha Kerajaan Negeri memperkenalkan program baru ‘Jom Shopping Ibu Tunggal’ dilihat bertepatan sebagai medium membantu meringankan beban golongan tersebut.

Seorang peniaga, Siti Junaidah Ahmad Supaat, 35, memuji dan berterima kasih atas usaha ini yang menurutnya harus diambil peluang oleh semua ibu tunggal.

“Walaupun dilihat kecil oleh sesetengah pihak, dengan perbelanjaan berhemah, banyak yang kita akan perolehi dengan voucher yang diberi,” ujar beliau yang pertama kali menerima bantuan seumpama ini.

jom shopping ibu tunggal 03Sementara itu, seorang lagi ibu tunggal, Norzihan Kaswin 50, berkata program ini antara bukti bahawa perubahan ketara dapat dilihat semenjak lima tahun pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

“Kita dapat lihat ini (Kerajaan Negeri sekarang) lebih baik, pelbagai program disediakan untuk rakyat.

“Harap usaha demi kebaikan rakyat ini dapat terus dijalankan supaya rakyat terus beroleh manfaat daripada kekayaan negeri,” ujar ibu kepada dua anak ini.

Kira-kira 80 orang ibu tunggal daripada DUN Ijok dibawa membeli barang keperluan di Pasaraya Econsave Alam Jaya di sini dengan ditemani sendiri Menteri Besar yang juga Adun Ijok, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

jom shopping ibu tunggal 01Setiap mereka menerima voucher membeli belah bernilai RM 100.

“Ini antara usaha kita agar rakyat dapat menikmati hasil yang diperolehi daripada negeri ini dan bukannya hasil hanya diberi kepada golongan tertentu sahaja,” tegas Abdul Khalid dalam ucapannya.

Turut hadir ialah isteri beliau, Puan Sri Salbiah Tunut, MP Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, Adun Bukit Melawati, M. Muthiah serta Pengarah Eksekutif Econsave Cash & Carry Sdn Bhd, Lai Sia Ling.

Categories
SELANGOR

MB : Contohi Amalan, Amalkan Ajaran Rasullullah

malidur rasul masjd nurul iman ijok 01
BESTARI JAYA 11 FEB : Kira-kira 1,500 penduduk hadir dalam program Sambutan Maulidur Rasul peringkat Ijok yang diadakan di pekarangan Masjid Nurul Iman Batu 8, di sini malam tadi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam ucapan perasmiannya mengajak rakyat untuk mencontohi perjuangan Baginda Rasulullah S.A.W dan mengamalkan ajarannya dalam segenap kehidupan.

“Kelahiran Junjungan Rasullullah S.A.W adalah rahmat kepada seluruh alam.

“Di atas kerangka misi ini Rasullullah S.A.W mewasiatkan umatnya Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan dan pencorak hidup,” kata Abdul Khalid dalam ucapannya.

Turut hadir dalam majlis itu Isteri Menteri Besar, Puan Sri Salbiat Tunut, MP Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan malidur rasul masjd nurul iman ijok 02Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohamad Yasid Bidin.

Sebelum itu, Abdul Khalid turut sama dengan penduduk dalam sesi Tazkirah Maghrib yang disampaikan oleh ustaz Haslim Baharim.

Sambutan itu juga diserikan dengan sesi ?Bicara Bersama Selebriti? yang dipengerusikan oleh ustaz Haslim. Ia terdiri daripada Haryati Hamzah (Yatt Hamzah), Nazrey Johani (Kumpulan Raihan) dan Farah Asyikin Zulkifli.

Program itu adalah anjuran Pejabat Kerja Dato’ Menteri Besar dengan kerjasama Masjid Nurul Iman Batu 8 Ijok.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Usahawan Belia dan MTES Pangsapuri Indahria – Salam Selangor

Episod 89

Sinopsis:
1. Program Inkubator Usahawan Belia Ehsan Selangor

Bagi membantu golongan belia Selangor menceburi bidang perniagaan, Kerajaan Negeri membuka sebuah Pusat Kecantikan, Spa, Dandanan Rambut dan Jahitan BeS di Kuala Selangor.

Pusat kecantikan itu sebahagian daripada Program Inkubator Usahawan Belia Ehsan Selangor dan dibina melalui peruntukan RM 90,000 daripada Geran Selangorku.

2. Keputusan MTES berhubung permasalahan Pangsapuri Indahria

Kerajaan Negeri mahu pemaju Pangsapuri Indahria untuk segera melaksanakan kerja-kerja membaikpulih bangunan tersebut yang kini berhadapan masalah rekahan tanah sehingga menyebabkan strukturnya retak sejak setahun lalu.

Sekiranya pemaju enggan melaksanakan kesemua kerja itu, Kerajaan Negeri akan mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk mengambilalih usaha pembaikan.

MBSA kemudian akan menuntut bayaran daripada pemaju untuk kos-kos baik pulih.

Tetamu : 1. Puan Sri Salbiah Tunut (Yang Dipertua PEKAWANIS)
2. YB Ahmad Yunus Hairi (Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan)
3. Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor)
4. YB Rodziah Ismail (Adun Batu Tiga)

usahawan

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pakatan Rakyat Bukti Lebih Cekap Dari Umno Siapkan Jambatan Ke-Tiga Klang

DENGKIL 25 NOV : Kegagalan Umno-BN menepati janji mereka untuk membina jambatan ke-tiga di Klang empat tahun adalah bukti bahawa gagasan itu menaburkan janji hanya untuk pilihanraya.

Manakala kebolehan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk mencari dana tanpa dibantu Umno-BN dan menyiapkan projek tersebut, adalah bukti PR lebih cekap, amanah dan bekerja tanpa mengira waktu kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Ini tidak, selepas diumumkan kalah pada PRU lepas, terus projek jambatan ketiga (Klang) yang dijanjikan empat hari sebelum itu tidak dilaksanakan.

“Jadi kita ingin beritahu kepada Kerajaan Persekutuan, kalau mereka tiada duit, Kerajaan Negeri sediakan peruntukan RM 300 juta untuk membina jambatan yang dijanjikan mereka dahulu.”

Abdul Khalid berkata di dalam ucapannya di depan lebih 4,000 hadirin di Majlis Rumah Terbuka Deepavali Negeri Selangor di sini malam tadi.

 

Seminggu sebelum pilihanraya pada Mac 2008, Kerajaan Pusat Umno-BN telah mengumumkan akan membina jambatan ke-tiga untuk Klang dalam masa beberapa bulan selepas pilihanraya.

Akan tetapi projek itu tidak dilaksanakan sehingga hari ini.

Pada sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru ini Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengumumkan akan mengguna RM 300 juta dari rizab negeri untuk menyiapkan jambatan itu.

Sejurus selesai memberi ucapan, Menteri Besar berkesempatan menyampaikan sumbangan berjumlah RM 110,000 kepada wakil lima buah kuil.

Sumbangan turut diberikan kepada Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kajang sebanyak
RM 35,000, SJKT Dengkil (RM 20,000) dan SJKT Ladang Ampat Tenang (RM 15,000).

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran isteri Menteri Besar, Puan Sri Salbiah Tunut, Ahli Exco Negeri Dr. Xavier Jayakumar dan Ronnie Liu serta isteri masing-masing.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSP), Mohd Sayuthi Bakar, Pegawai Daerah Sepang, Haris Kasim dan Penyelaras DUN Dengkil Borhan Aman Shah.

Categories
SELANGOR

Jalinan Kasih Skimsel 2012 dan Laman Dapur – Salam Selangor

Episod 40

Sinopsis: Segmen kali ini memberi tumpuan kepada Majlis Jalinan Kasih Kasih Skimsel 2012 ( Cawangan Kuala Selangor ) bertujuan untuk mengeratkan hubungan sadiq dan pihak skimsel yang mana telah berlangsung pada 3 November 2012 di Stadium Kuala Selangor.

Selain itu, salam selangor kali ini juga memberi liputan mengenai laman dapur.

Sama-sama kita tonton

400 Wanita Meriahkan Program Memasak Sepetang Bersama Abby Abadi

SUNGAI BESAR,13 NOV : Kira-kira seramai 400 orang wanita di sekitar Parit Lapan Gambut Sungai Panjang berpeluang belajar memasak Nasi Goreng Jepun, Kek Coklat Kukus Berpisang dan Daging Kari Hijau Ala Thai daripada Chef yang didatangkan khas daripada Shah Alam Convention Center (SACC).

Tunjuk ajar ini diperolehi Chef Zulkifli dan Chef Jamili dalam Program Sepetang Bersama Abby Abadi yang diadakan di Dataran Desa Permai di sini.

Program ini dirasmikan Isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Tunut.

Beliau dalam ucapannya berkata, wanita perlu memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dengan bergiat aktif dalam program-program kemasyarakatan.

Ujarnya, di bawah Kerajaan Negeri banyak program disediakan untuk golongan wanita melalui agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang boleh dimanfaatkan.

“Program wanita kini ditonjolkan dengan Geran Selangorku yang memperuntukkan kira-kira RM30 juta untuk golongan wanita.

“Kerajaan Selangor adalah kerajaan yang prihatin dan kita tidak mahu rakyat di negeri ini menderita, ” kata Salbiah.

Di samping itu, jelas Salbiah di bawah Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), program laman dapur makin mendapat perhatian golongan wanita melalui geran khas untuk projek pertanian.

“Kini di bawah program laman dapur kita ada projek pertanian alam iaitu konsep menanam sayur di dalam beg poli dan Kerajaan Negeri membiayainya dengan peserta menerima percuma 250 beg poli dengan tanah kompos dan sistem saliran yang berjumlah RM2,700 sekali sahaja,” katanya.

Ujarnya program itu kini sedang di perluaskan di setiap DUN dari masa ke semasa yang mampu menjana pendapatan tambahan kepada golongan surirumah.

Dalam program itu, masyarakat berpeluang beramah mesra dengan Puan Sri Salbiah bersama-sama Abby dalam program yang berbentuk santai.

Abby dalam sesi ramah mesra menceritakan kisahnya bagaimana beliau berhijrah daripada dunia lakonan dan menceburi perjuangan dakwah di negara ini.

“Jadi saya dapat sesuatu yang tidak ada dalam diri saya itu semasa menunaikan ibadah umrah dan bersyukur kini di mana kita berada di akhir zaman yang ramai menolak alim ulama dan kerja-kerja kebaikan tetapi Allah dekatkan saya dengan-Nya,” ujarnya.

Turut bersama dalam program itu Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam, Zailani Kadir, Penyelaras Pusat Khidmat DUN Sungai Panjang, Fadzlin Taslimin dan bekas pensyarah Undang-Undang UIA, Dr Aziz Bari.

Categories
SELANGOR

Program Korban DUN Ijok Disambut Meriah

IJOK, 27 OKT : Program korban Aidiladha DUN Ijok bersama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Kampung Harmoni di sini hari ini dijalankan secara sederhana tetapi meriah dengan kehadiran penduduk termasuk dari kampung berhampiran.

Selain kampung ini, program turut melibatkan empat kampung lain iaitu Kampung Ijok, Kampung Bukit Badong, Kampung Jaya Setia dan Kampung Rantau Panjang selain program beramah mesra Menteri Besar dan rombongan bersama penduduk kampung.

Abdul Khalid dan rombongan hadir dengan menaiki bas Merdeka Rakyat disambut penduduk kampung dalam suasana meriah.

Dalam ucapannya beliau berkata, program sambutan Aidiladha termasuk korban itu adalah salah satu program mesra bersama rakyat yang dirancang Kerajaan Negeri.

“Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana kita dapat menjalankan program Aidiladha termasuk majlis korban yang mengingatkan kita tentang tanggungjawab kita sebagai umat Islam. Oleh sebab itulah dalam perayaan ini kita mesti mengingati Allah SWT dengan bertakbir dan bertahmid serta bersyukur.

“Diharapkan juga rakyat Selangor dan umat Islam yang pergi menunaikan ibadah haji dapat menjalaninya dengan jaya dan mendapat haji yang mabrur,” katanya.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, Puan Sri Salbiah Tunut; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Datuk Misri Idris.

Sebanyak 12 ekor lembu termasuk 10 ekor sumbangan Kerajaan Negeri dikorbankan dalam program tersebut di mana kira-kira 200 penduduk kampung hadir berkerjasama menjayakannya.

Daging korban kemudian diagihkan kepada penduduk kampung termasuk golongan saudara baru dan anak yatim dari DUN Ijok.

Menerusi program mesra bersama Menteri Besar itu, penduduk kampung turut berpeluang menaiki bas Merdeka Rakyat dan dibawa menjelajahi ke kawasan berhampiran di Ijok.

Ketua Pemuda dan Belia Kampung Harmoni, Ramzi Sobhi berkata, pihaknya merakamkan penghargaan terima kasih kepada Menteri Besar dan Kerajaan Negeri yang banyak membantu dalam menjayakan program tersebut.

“Saya berbesar hati kita dapat menjalankan program ini dengan jayanya. Biarpun secara sederhana tetapi ia memberi makna kepada kami di kampung ini,” katanya.

Saudara baru, Nur Irdina Chai Abdullah, 28 Dari Batu Lapan, Ijok ketika ditemui melahirkan rasa gembira kerana dapat turut serta dalam program tersebut buat kali pertama selepas empat tahun memeluk agama Islam.

“Saya begitu gembira dapat bersama masyarakat Islam lain di kampung ini menyambut Aidiladha dan mendapat daging korban selain menikmati makanan secara kampung yang disediakan di sini,” katanya.