Categories
NASIONAL

Serantau Muslim desak PBB siasat bom napalm, Syria menderita

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 FEB: Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) mendesak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyiasat penggunaan bom napalm yang menjadi punca kanak-kanak dan orang awam Syria menderita.

Pengerusinya, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob berkata, bom napalm adalah campuran daripada agen gel dan petroleum sehingga boleh menyebabkan kebakaran yang parah apabila melekat pada kulit manusia.

Katanya, penggunaan bom napalm itu jelas melanggar tatacara etika penggunaannya dan salah daripada sudut konsumernya.

“Kami melahirkan rasa sedih dan empati terhadap nasib kanak-kanak serta orang awam di Syria kerana dibom tentera rejim Israel tanpa belas kasihan.

“Serantau Muslim merasakan tindakan sebegini harus diambil perhatian pihak dunia dan wajar menghukum tentera yang melancarkan serangan terbabit kerana ia jelas melanggar hak asasi manusia sejagat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, katanya, Serantau Muslim mengutuk keras tindakan pembekal bom itu kerana ia termasuk dalam kategori 10 senjata paling dahsyat di dunia dan tidak sepatutnya diguna terhadap kanak-kanak juga orang awam.

Terdahulu, tentera Israel membunuh 11 tentera rejim Syria termasuk dua orang awam dan turut mensasarkan beberapa kemudahan tentera di Iran sehinggakan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) menyatakan ia serangan paling dahsyat dilancarkan tentera Israel ke atas Syria sejak Mei tahun lalu.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi membantu penduduk Syria, boleh menyumbang melalui akaun Maybank 5641 0042 3082 (Tabung Kemanusiaan Syria Serantau Muslim).

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Halang atlet Israel, Serantau Muslim sanjung usaha PM

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 14 JAN: Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) menyanjung tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak membenarkan atlet Israel menyertai acara sukan di negara ini.

Pengerusinya, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob berkata, tindakan terbabit adalah wajar sejajar dengan dasar kerajaan yang menyekat kemasukan pemegang pasport Israel.

Katanya, tindakan tegas Kerajaan Malaysia wajar dicontohi pemimpin segenap dunia demi menyatakan sokongan penuh terhadap rakyat Palestin dan sekali gus membantah kekejaman Israel terhadap mereka.

“Oleh itu kami berharap tindakan seperti ini dapat memberi tekanan kepada Israel agar tidak meremehkan soal hak asasi manusia.

“Sekali lagi, tahniah Malaysia kerana bertindak berani atas keputusan ini,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini media melaporkan Kerajaan tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak bermula 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Tun Mahathir berkata, sekiranya skuad Israel itu tetap berdegil mahu menyertai kejohanan berkenaan maka ia adalah satu kesalahan.

Categories
AGAMA NASIONAL

Serantau Muslim ke Palu bantu mangsa musibah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 OKT: Seramai lima sukarelawan dari Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) dan Da’i, Nur Afiqah Mahmud ke Palu, Sulawesi bagi membantu mangsa gempa bumi dan Tsunami, di sana.

Rombongan bantuan ke sana turut disertai bersama Kerajaan Malaysia dan dua Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain.

Sukarelawan Serantau Muslim, Al Iddin berkata, mereka dibahagikan kepada dua pasukan iaitu perubatan dan bantuan mengagihkan bekalan asas seperti makanan dan minuman kepada mangsa.

“Sepanjang mengikuti misi bantuan itu saya merasakan banyak lagi masalah yang membelenggu penduduk di kawasan gempa bumi dan tsunami tersebut.

“Mereka mungkin memerlukan sejenis alat yang dapat menapis air bersih berikutan mereka tiada bekalan air bersih di sana,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Serantau Muslim optimis misi bantuan yang disertai wakil Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mountain of Mercy (MOM), 40 Anggota Pertahanan Awam (APM) dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dapat pulang dalam keadaan selamat ke tanah air.

“Kebanyakan mangsa di daerah tersebut ditempatkan di kem penempatan sementara seperti sekolah dan padang yang tidak terjejas selepas rumah mereka ranap kesan daripada gempa bumi dan hentaman tsunami.

“Ramai penduduk memerlukan bekalan makanan asas untuk mengalas perut dan bekalan air bersih,” katanya.

Serantau Muslim juga ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia yang berbesar hati menghulurkan sumbangan, boleh melayari laman sesawang airmatasulawesi.com atau menghubungi 010-8659407 bagi keterangan lanjut.

 

 

Categories
NASIONAL

Serantau Muslim sokong had masa remaja akses internet

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 18 OGOS: Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) menyokong cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menyekat akses internet dan penggunaan permainan video bagi remaja.

Pengarah Media dan Komunikasi Serantau Muslim, Muhammad Faeez Azahar berkata, cadangan itu amat baik malah Jepun dan Korea juga sudah melaksanakannya dan ia patut dilaksanakan di Malaysia.

Katanya, ini kerana sejak kebelakangan ini remaja dilihat alpa bersama gajet masing-masing sehingga mengabaikan pelajaran mereka.

“Serantau Muslim percaya dengan pendekatan dan perubahan yang bakal dilakukan ini, ia dapat membendung masalah terutamanya anak masih bersekolah untuk mendapatkan tidur berkualiti dan daya fokus tinggi semasa berada di dalam kelas.

“Kami ingin mengingatkan masyarakat bahawa ketagihan terhadap aplikasi media sosial dan permainan video memberi kesan buruk kepada perkembangan sosial dan intelek dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, KKM menyuarakan hasrat ingin menyekat akses internet dan penggunaan permainan video bagi remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun selepas jam 12 tengah malam sehingga 6 pagi.

Muhammad Faeez berkata, akibat ketagihan terhadap sosial media ramai remaja abad 21 kini gagal berinteraksi secara baik apabila berada bersama golongan yang lebih berusia mahupun lebih muda daripada mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, beliau menyokong kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, bahawa seseorang individu ketagih bermain permainan video dan aplikasi media sosial akan menyebabkan mereka merasa terlalu ingin melakukan aktiviti tersebut yang akan memberi kesan dan menjejaskan aktiviti pembelajaran, kerjaya dan hubungan sesama ahli keluarga.

“Walaupun World Health Organization (WHO) menyatakan ketagihan sosial media sosial masih belum diklasifikasikan sebagai gangguan mental, namun kami percaya jika tiada pendekatan awal untuk mengubah, ia mungkin boleh mendedahkan mereka kepada masalah perkembangan neuro, tingkah laku dan gangguan mental.

“Bagaimanapun, perkara ini bukan sahaja kerajaan dan pihak tertentu perlu bertindak, ibu bapa juga harus memainkan peranan bagi memastikan remaja tidak lalai melayari laman sosial dan perlunya pemantauan terhadap gajet anak-anak serta sentiasa menasihati mereka,” katanya.

Categories
GLOBAL

Liga Arab desak siasatan bebas krisis senjata kimia Syria

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 19 APR: Persidangan Kemuncak Liga Arab menggesa supaya siasatan antarabangsa dijalankan secara holistik terhadap jenayah penggunaan senjata kimia yang merebak di Syria, baru-baru ini.

Pengurus Besar Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim), Mohd Hakim Mohd Nor berkata, ia ekoran dakwaan yang mengatakan tentera Syria melancarkan serangan kimia sehingga timbul pelbagai konspirasi.

Katanya, Liga Arab bersama Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) turut bersepakat dalam melontarkan idea dan cadangan bagi melobi segala permasalahan, khususnya konflik politik yang melanda negara itu.

“Melihatkan isu di Syria semakin mendapat perhatian umum, maka tindakan meleraikan konflik ke atas perang di Syria harus diberi penekanan serius.

“Pembabitan kedua-dua pihak berupaya membebaskan negara Arab daripada terus dibelenggu kuasa asing.

“Walaupun Serantau Muslim dengan Liga Arab memiliki pandangan berbeza, namun kita tetap memperjuangkan matlamat sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Serantau Muslim pada masa sama mencadangkan supaya resolusi pengeluaran dana kebajikan diluluskan bagi menampung pendidikan anak yatim, janda dan nasib ratusan ribu pelarian mangsa perang di Syria.

“Ini kerana, konflik menghantui rakyat di sana bukan sahaja boleh diselesaikan melalui dialog atau rundingan, tetapi dengan resolusi sebegini.

“Sekurang-kurangnya usaha ini dapat menghapuskan penderitaan rakyat dan mengurangkan angka korban di sana.

“Jika tidak, kita khuatir terhadap nasib warga emas, kaum wanita dan kanak-kanak di sana,” katanya.

Terdahulu, Pertubuhan Senjata Kimia Sedunia merakamkan lebih 390 insiden didakwa membabitkan penggunaan senjata kimia beracun di Syria sejak 2014.

Justeru, Serantau Muslim menyeru semua pihak mengenepikan agenda peribadi demi memberi nafas baru kepada rakyat Syria yang sekian lama tersepit antara kuasa kuasa besar dunia.

Categories
NASIONAL

Serantau Muslim bina semula kampung Rohingya

OLEH NAEEM RAFFI

RAKHINE, 19 JUN: Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) berjaya menyampaikan pek makanan hasil sumbangan orang ramai kepada 1,000 keluarga di perkampungan Rohingya di IDP Kem di Sittwe yang musnah akibat taufan Mora baru baru ini.

Misi bantuan kemanusiaan dengan kerjasama Mountain Of Mercy itu juga berjaya membina 25 wakaf telaga air dan lima rumah perlindungan.

Pengerusi Serantau Muslim, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob berkata, misi itu dilakukan atas dasar tanggungjawab dan semangat kemanusiaan membantu etnik Rohingya tertindas.

SERANTAU MUSLIM (3)“Taufan Mora telah meranapkan hampir 70 peratus Kem IDP yang menyaksikan 30,000 keluarga terjejas kerana rumah mereka musnah sama sekali.

“Bantuan kecemasan membina semula pusat perlindungan amat diperlukan dalam kadar segera bagi mereka berteduh,” katanya dalam kenyataan.

Sekurang-kurangnya 700 pusat perlindungan diperlukan menjelang Aidilfitri ini dengan kos pembinaan sebuah pusat adalah RM40,000.

“Setiap pusat perlindungan boleh menampung 8 buah keluarga, biarpun ia kelihatan sangat dhaif tetapi ia sangat-sangat diharapkan oleh umat Islam disana,”katanya.

Misi bantuan kemanusiaan selama tiga hari bermula 16 hingga 18 jun itu turut Setiausaha Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor dan Presiden Mountain Of Mercy, Mohamed Zeyadh Hafiz.SERANTAU MUSLIM (2) SERANTAU MUSLIM (1) SERANTAU MUSLIM (4) SERANTAU MUSLIM (5)