Categories
AGENDA GLOBAL

Konflik, Covid-19 risikokan kesihatan wanita dan kanak-kanak – PBB

ANKARA 25 SEPT: Konflik wilayah dan Covid-19 menimbulkan ancaman ke atas kesihatan dan kesejahteraan wanita dan kanak-kanak yang mungkin mengakibatkan perkembangannya sejak sedekad lalu terhenti, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat.

Sejak pelancaran gerakan Every Woman Every Child pada 2010 oleh bekas Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon, kematian kanak-kanak di bawah usia lima tahun mencapai tahap terendah sepanjang tahun pada 2019, dengan lebih daripada satu bilion vaksin dan 25 juta perkahwinan kanak-kanak dapat dicegah dalam 10 tahun terakhir.

Agensi Anadolu (AA) melaporkan gerakan itu juga membolehkan imunisasi yang meluas, kewujudan pembantu kelahiran terlatih dan akses air minuman yang selamat, manakala kematian ibu bersalin menurun 35 peratus sejak 2000.

Bagaimanapun, semua pencapaian itu mungkin terhenti dan kesihatan kanak-kanak dan remaja terdedah kepada risiko disebabkan konflik dan krisis kesihatan paling teruk di atas muka bumi yang dihadapi generasi sekarang.

“Krisis Covid-19, khususnya, memburukkan lagi ketidaksamaan yang sedia ada, dengan dilaporkan wujudnya campur tangan dalam ketidakseimbangan keperluan kesihatan yang memberi kesan ke atas wanita dan kanak-kanak yang paling berisiko,” kata AA mengutip laporan itu.

Ketika kemuncak sekatan pergerakan akibat virus global, penutupan sekolah di 192 negara mempengaruhi 1.6 bilion pelajar, manakala keganasan rumah tangga dan penganiayaan terhadap gadis dan wanita meningkat, ditambah peningkatan kemiskinan dan kelaparan, kata laporan itu.

“Bahkan sebelum pandemik Covid-19, seorang kanak-kanak di bawah lima tahun meninggal setiap enam saat di kawasan tertentu di seluruh dunia,” kata Pengarah Eksekutif UNICEF Henrietta Fore dalam laporan itu.

“Jutaan kanak-kanak yang tinggal di zon konflik dan genting berhadapan kesulitan yang lebih besar dengan bermulanya pandemik.”

Pada 2019, 82 peratus kematian kanak-kanak di bawah lima tahun dan 86 peratus kematian ibu bersalin tertumpu di pinggir Sahara Afrika dan Asia Selatan, menurut kajian itu.

Kadar kematian ibu bersalin, bayi yang dilahirkan, kanak-kanak dan remaja jauh lebih tinggi di negara-negara yang terjejas teruk disebabkan konflik.

Muhammad Ali Pate, ketua global untuk kesihatan, pemakanan dan kependudukan di Kumpulan Bank Dunia, mengingatkan selain konflik, pandemik itu juga, “sebagai ancaman yang akan mengundurkan kembali pencapaian bertahun-tahun yang telah diusahakan dalam perkembangan kesihatan reproduktif, kehamilan, kanak-kanak dan remaja.”

Laporan itu menyeru masyarakat dunia untuk memerangi Covid-19 dan meminta komitmen daripada pemimpin dan organisasi untuk meningkatkan kehidupan wanita dan kanak-kanak, lapor AA.

Ia menekankan kekurangan usaha yang lebih kuat boleh menyebabkan 48 juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun mati antara tahun 2020 dan 2030, dengan hampir separuh daripadanya adalah bayi yang baru dilahirkan.

Tahun lalu, 5.2 juta kanak-kanak di bawah lima tahun dan satu juta remaja meninggal dunia kerana sebab-sebab yang sebenarnya boleh dicegah.

Di samping itu, bayi yang baru lahir mati setiap 13 saat, manakala pada setiap jam, 33 wanita tidak dapat diselamatkan ketika melahirkan anak dan setiap hari, 33,000 kanak-kanak perempuan dipaksa berkahwin, biasanya dengan lelaki yang lebih tua, menurut PBB.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia terbuka terima lawatan wakil PBB

KAJANG, 4 OKT: Kerajaan Malaysia mengambil pendekatan terbuka dalam menerima sebarang lawatan daripada Pesuruhjaya Tinggi atau Pelapor Khas daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, pendekatan terbuka ini berbeza dengan kerajaan terdahulu yang ada kalanya tidak membenarkan wakil daripada PBB datang untuk melihat suasana di dalam negara.

“Kerajaan sekarang tidak ada apa yang mahu ditutup dan sekiranya terdapat kelemahan dalam pentadbiran, kita (kerajaan) sedia perbaiki dan kita memang bersikap terbuka,” katanya selepas mengiringi Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet ke Rohingya Integrated School of Excellence (RISE) di sini, hari ini.

Bachelet kini dalam lawatan kerja empat hari ke Malaysia bermula semalam, yang juga melakar sejarah apabila menjadi Pesuruhjaya Tinggi pertama PBB melawat Malaysia.

Sementara itu, Saifuddin berkata, Bachelet terbuka untuk menemui sesiapa sahaja yang beliau mahu semasa lawatannya di sini dan beliau bebas untuk menulis laporannya tanpa sebarang campur tangan.

“Kami telus dalam cara kami melaksanakan sesuatu, ia sememangnya terpulang kepada mereka (wakil PBB) untuk menulis laporan mereka selepas melakukan lawatan. Mereka mungkin memberi beberapa cadangan dan usul dan kami terbuka dalam hal ini.

“Meskipun kami mungkin mempunyai cara kami yang tersendiri dalam berurusan dengan perkara tertentu tetapi kami mahu menambah baik (keadaan di Malaysia) dan itu yang paling penting,” katanya.

Bachelet juga akan bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan P Waytha Moorthy, wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan organisasi masyarakat sivil semasa lawatannya di sini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia bantah cadangan haramkan import minyak sawit

NEW YORK, 28 SEPT: Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan bantahan Malaysia berhubung cubaan untuk mengharamkan import minyak sawit di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menyatakan ia merupakan kes yang jelas untuk menafikan perdagangan bebas.

Berucap pada Debat Umum Sesi Ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di sini Jumaat, Perdana Menteri Malaysia itu menegaskan pendiriannya terhadap langkah seumpama itu, menyatakan minyak sawit masih penyumbang besar terhadap ekonomi negara.

“Tiada bukti yang ia berbahaya. Kami merayu kepada budi bicara golongan kaya untuk tidak memiskinkan kami, untuk tidak menghalang ratusan ribu pekerja kami daripada menyara kehidupan. Anda akan berbuat kebajikan dengan menggunakan minyak sawit,” katanya ketika beliau menyentuh mengenai pengharaman import minyak sawit yang dicadangkan oleh negara Eropah.

Beliau berpandangan bahawa berikutan tidak mampu mengekalkan daya saing minyak makan mereka sendiri, kempen dilancarkan untuk mengharamkan minyak sawit, dengan mendakwa minyak sawit berbahaya kepada kesihatan, memusnahkan habitat monyet hidung panjang, mengurangkan penyerapan karbon dioksida dan lain-lain lagi.

Menegaskan bahawa Malaysia juga prihatin terhadap alam sekitar sepertimana masyarakat Eropah, beliau berkata liputan kawasan hutan negara ketika ini sebanyak 55.3 peratus, melebihi ikrar yang dibuat pada Sidang Kemuncak Bumi Rio pada 1992 untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan tanah yang diliputi hutan.

Mengenai perang perdagangan, beliau berkata ia adalah satu pembaziran dan akan mengekang potensi setiap orang untuk menjadi kaya.

Berhubung sekatan yang dikenakan terhadap negara tertentu, Dr Mahathir berkata tidak diketahui di bawah undang-undang mana sekatan seumpama itu dikenakan.

“Ia dilihat sebagai keistimewaan pihak yang kaya dan berkuasa. Jika kita mahu mengenakan sekatan, kita perlu ada undang-undang untuk mentadbirnya.

“Hakikatnya adalah apabila sekatan dikenakan ke atas sebuah negara, negara lain turut terkena sekatan itu. Malaysia dan banyak negara lain kehilangan pasaran besar apabila sekatan dikenakan ke atas Iran,” kata perdana menteri.

Beliau percaya semua negara di dunia ingin mengecapi kemakmuran dan dibenarkan membangunkan negara mereka sendiri, tetapi mereka dihalang daripada berbuat demikian.

Disebalik banyak cakap-cakap mengenai perdagangan bebas, beliau berkata peraturan baharu yang diperkenalkan pada setiap masa telah merencatkan pembangunan di negara-negara miskin.

“Ini kerana cadangan bagi peraturan dan kawal selia dibuat oleh pihak yang kaya, sering kali secara rahsia. Pihak yang miskin secara praktikalnya dipaksa untuk menerimanya,” katanya sambil memberikan contoh Perkongsian Trans Pasifik.

“Ia dibuat di Washington dengan input daripada perniagaan besar mereka. Dalam perjanjian itu, kerajaan negara-negara kecil akan dipaksa untuk membayar pampasan wang pada jumlah besar kepada syarikat besar asing, sekiranya keputusan mereka menjejaskan keuntungan syarikat besar berkenaan, termasuk keuntungan di masa depan,” katanya.

Nasib baik, Dr Mahathir berkata, kini negara berkuasa yang menyediakan perjanjian itu telah menolaknya.

“Dengan mengecualikan negara ini, perjanjian itu telah menjadi lebih boleh diterima. Tetapi perjanjian itu masih menetapkan syarat untuk perdagangan – yang menafikan perdagangan bebas. Kami diberitahu bahawa kami perlu memansuhkan duti import, atau mengurangkannya supaya produk asing boleh mengalahkan industri kami yang kecil.

“Kami dipaksa untuk hanya mengeksport bahan mentah. Macam mana kami hendak menjadi negara perindustrian dan mewujudkan kerja untuk rakyat kami?,” katanya.

Dr Mahathir berkata beliau percaya dengan kapitalisme tetapi kapitalisme telah menjadi tidak keruan.

“Mereka kini bercakap mengenai meraih bertrilion. Adalah bahaya bagi seorang individu atau sebuah syarikat untuk mempunyai begitu banyak wang. Ia boleh mempengaruhi perkara lain. Ia boleh beli kuasa. Sekalipun undang-undang anti-amanah. Kami melihat ini dalam Perkongsian Trans Pasifik – TPP, apabila syarikat-syarikat kaya memberikan diri mereka sendiri kuasa untuk menyaman kerajaan.

“Terma perjanjian dirumuskan oleh mereka. Dan mereka semua bukan seperti Bill Gates. Kebanyakannya cenderung untuk mengeksploitasi kuasa mereka dengan adanya wang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL NASIONAL

Ubah suai kuasa veto untuk elak salah guna kuasa – Dr Mahathir

NEW YORK, 28 SEPT: Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sudah tiba masanya untuk kuasa veto diubah suai jika pun ia tidak dapat dimansuhkan sepenuhnya serta menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kembali kepada tujuan asal penubuhannya.

Beliau mencadangkan supaya penggunaan kuasa veto hanya sah jika dua negara yang mempunyai kuasa veto bersama tiga anggota yang tidak memiliki kuasa veto bersetuju untuk menggunakannya demi memastikan kekerapan salah guna kuasa veto berkurangan.

“Negara yang memiliki kuasa veto tidak sepatutnya menganggap diri mereka sentiasa tidak terkecuali daripada undang-undang dan norma antarabangsa,” kata Dr Mahathir ketika menyampaikan kenyataannya pada Perbahasan Umum Sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di sini Jumaat.

Beliau berkata lima negara mendakwa mencapai kemenangan dalam Perang Dunia Kedua tiga suku abad yang lalu, dan atas dasar itu, menegaskan hak untuk memerintah dunia, dengan memberikan diri mereka kuasa veto terhadap semua negara dunia dalam PBB.

“Berapa lama lagi kumpulan ini harus dibenarkan untuk menggunakan kuasa ini? Berapa lama, selama-lamanya? Jangka masa yang tidak dinyatakan itu nampaknya kekal,” kata beliau sambil merujuk kepada kuasa veto yang dimiliki oleh lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB-China, Perancis, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Dr Mahathir berkata bahawa kuasa veto itulah yang menyebabkan perlumbaan memiliki senjata, dengan setiap dari lima negara berkenaan menggunakan kekuatan tentera masing-masing bagi mencabar sebarang percubaan untuk melucutkan kuasa veto masing-masing.

Perdana Menteri menegaskan bahawa sebenarnya kuasa veto adalah bertentangan dengan semua prinsip hak asasi manusia yang negara-negara itu sendiri sendiri mendakwa memperjuangkannya.

“Setiap daripada negara ini boleh menafikan kehendak hampir 200 negara lain. Ia benar-benar dan sama sekali tidak demokratik. Anehnya, ada di antara mereka yang menyelar negara-negara lain di dunia kerana kononnya tidak demokratik atau tidak cukup demokratik,” kata Dr Mahathir.

Beliau menyatakan bahawa ia menghapuskan tujuan asal PBB yang mereka wujudkan dan memastikan bahawa semua penyelesaian tehadap semua konflik boleh dinafikan oleh mana-mana daripada mereka, dan dengan itu menggagalkan semua usaha untuk menyelesaikan masalah.

“Kita mesti mengembalikan kepada tujuan asal organisasi yang hebat ini – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kita mesti menghukum negara yang mencetuskan perang dan perlu menjadikan dunia aman untuk semua.

“Itu adalah misi asal kita dan ia harus dikekalkan sebagai misi kita. Hanya jika kita berjaya, kita boleh menganggap bahawa kita adalah masyarakat bertamadun,” kata Perdana Menteri.

“Tiga suku abad adalah sesuatu yang lama. Kita tidak boleh dijadikan tebusan disebabkan peristiwa-peristiwa yang telah berlalu lama,” tegasnya.

Beliau mengulangi pandangan bahawa struktur PBB sekarang menyebabkan ia tidak mampu untuk mencapai matlamat prinsipnya iaitu menghalang peperangan antara negara.

“Memang, struktur itu telah menggalakkan peperangan antara negara dan dengan negara,” kata beliau.

Dr Mahathir sekali lagi menegaskan bahawa PBB telah gagal melindungi negara miskin daripada terjerumus ke kancah perang tetapi telah mencapai hasil yang baik dalam bidang lain.

Beliau memuji peranan PBB dalam menyumbang terhadap bidang kesihatan yang lebih baik, meringankan penderitaan beberapa segmen golongan miskin dan yang memerlukan, dan menjamin tahap keselamatan dan kestabilan di kawasan-kawasan yang dilanda konflik dalaman.

“Badan dunia itu boleh melakukan lebih banyak lagi. Tetapi ia mengalami kekangan dana. Negara termasuk yang amat kaya tidak melunaskan sumbangan mereka. Ini amat memalukan,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata negara-negara perlu menyokong PBB walaupun ia gagal menghalang peperangan kerana usaha badan dunia itu terhadap bidang kesihatan, pendidikan dan keselamatan sosial menjadikan kewujudan PBB sebagai relevan.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada petugas PBB atas kerja dan dedikasi mereka dalam bidang-bidang bidang ini, dan Perdana Menteri berkata Malaysia dapat menyumbang kepada badan dunia itu dengan melaksanakan misi-misi pengaman di kebanyakan negara.

“Saya menaruh harapan apabila tiba masanya khidmat mereka tidak lagi diperlukan apabila negara-negara dapat memastikan keselamatan mereka sendiri,” kata beliau.

Dr Mahathir juga menggesa PBB memainkan peranan utama dalam memulihkan kerajaan yang gagal sambil menjelaskan bahawa banyak negara telah gagal kerana jentera pentadbiran tidak berfungsi dengan baik.

Teknologi moden boleh membantu tetapi ada keperluan untuk latihan yang baik, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA

Tun Mahathir bakal jadi perhatian dalam perhimpunan PBB

NEW YORK, 24 SEPT: Dengan jadual padat, ternyata Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi individu yang sibuk apabila berada di bandar ini dari 24 hingga 28 September ini bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Sesi ke-74 apabila pemimpin dunia berkumpul untuk perhimpunan diplomatik tahunan itu.

Memimpin delegasi Malaysia ke UNGA 2019, diari perdana menteri untuk beberapa hari ini dipenuhi dengan mesyuarat peringkat tinggi dengan pemimpin lain, menghadiri acara yang berkaitan dengan Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan libat urus berprofil tinggi.

Semua mata akan tertumpu kepada perdana menteri berusia 94 tahun itu apabila beliau menyampaikan kenyataan negara Malaysia pada Debat Umum UNGA yang dijadualkan pada Jumaat di Ibu Pejabat PBB.

Tema untuk debat umum tahun ini ‘Merangsang Usaha Multilateral untuk Pembasmian Kemiskinan, Pendidikan Berkualiti, Tindakan Iklim dan Rangkuman’ yang memberi tumpuan kepada hubungan berterusan sistem PBB.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Malaysia menyatakan bahawa ucapan Dr Mahathir di UNGA berkemungkinan mengetengahkan perkembangan semasa di dunia dan kepentingan multilateralisme serta keperluan untuk negara-negara bekerjasama dalam menangani cabaran yang sama.

Dr Mahathir juga dijangka menggariskan komitmen Malaysia untuk bekerjasama dengan negara anggota PBB yang lain dalam mencapai objektif di bawah tema Debat Umum ke-74 dan seterusnya.

Beliau juga akan menekankan harapan Malaysia terhadap PBB sebagai organisasi antarabangsa utama yang diberi mandat untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa, menurut kenyataan itu.

Dalam taklimat kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan UNGA 2019 di sini pada Isnin, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata Dr Mahathir mungkin akan terus mengetengahkan keperluan mereformasi PBB dan menghormati institusi dan peraturan antarabangsa.

“Sekalipun peraturan antarabangsa itu tidak sempurna tetapi kita tiada pilihan melainkan sambil kita mereformasi institusi dan peraturan antarabangsa, kita harus mematuhinya.

“Ini kerana konsep multilateralisme ini adalah konsep yang dipercayai kerajaan Malaysia sejak dulu dan kini di bawah pentadbiran baharu,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Dr Mahathir akan membangkitkan isu Palestin, Saifuddin berkata: “Saya tidak dapat mengagak apa yang perdana menteri akan cakap tetapi anda boleh menganggap bahawa beliau mungkin menyentuh beberapa isu yang diketahui Malaysia seperti Palestin dan Rohingya”.

Perdana menteri dijadual menyampaikan kenyataan Malaysia pada Dialog Pemimpin 6: Wawasan 2020-2030 semasa Forum Politik Peringkat Tinggi pada Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) pada Rabu.

Pada Khamis, Dr Mahathir akan menyampaikan ucapan pada program ‘Pengawasan Persekitaran dalam Menangani Kemiskinan bagi Mencapai Pembangunan Lestari untuk Semua’.

“Malaysia adalah penganjur utama program ini bersama Turki, Pakistan dan Jabatan Ekonomi dan Hal Ehwal Sosial PBB,” kata Saifuddin.

Sejurus ketibaan Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada Selasa, perdana menteri akan berucap pada acara sampingan peringkat tinggi mengenai ‘Krisis Rohingya – Menuju ke Hadapan’ yang mana Malaysia merupakan penganjur bersama-sama Bangladesh, Turki, Arab Saudi dan Kanada.

Selain itu, Dr Mahathir juga akan menyertai Forum Pemimpin Dunia di Columbia University di sini dan menghadiri mesyuarat bersama anggota Majlis Hubungan Luar (CFR).

Jadualnya yang sibuk turut menyaksikan beliau mengadakan pertemuan dengan usahawan terkenal dan pelabur berpotensi dari Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata Dr Mahathir akan mengadakan perbincangan dua hala dengan beberapa pemimpin termasuk Presiden Iran Hassan Rouhani.

Turut mengiringi perdana menteri ke New York adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

72 petugas PBB terbunuh tahun ini

NEW YORK, 7 SEPT: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata, setakat tahun ini, seramai 25 kakitangan perkhidmatan awam, 43 anggota pasukan pengaman dan empat pegawai polis PBB terbunuh, lapor agensi berita Xinhua, semalam.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Pekerja PBB dan majlis memperingati mangsa yang terkorban.

Ketua PBB turut menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa.

Petugas barisan depan PBB menghadapi pelbagai cabaran seperti menangani keperluan kemanusiaan, menjaga keamanan dan mempertahankan hak asasi manusia, kata Guterres.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Dunia rugi US$1.3 bilion sehari akibat kemusnahan tanah – PBB

NEW DELHI, 10 JUL: Kemusnahan tanah di seluruh dunia mengakibatkan kerugian sebanyak US$1.3 bilion setiap hari, kata seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa agar langkah segera diambil bagi mengekang ancaman yang semakin meningkat terhadap keselamatan makanan.

Ibrahim Thiaw, Setiausaha Eksekutif Konvensyen PBB bagi Memerangi Penggurunan (UNCCD), berkata kemusnahan tanah pertanian mungkin mewujudkan krisis migrasi besar-besaran kerana penduduk akan melarikan diri dari kawasan yang mengalami kekurangan sumber makanan.

“Kita kehilangan sebanyak US$1.3 bilion setiap hari akibat kemusnahan tanah. Ini adalah cara bagaimana ia boleh menjejaskan kemanusiaan,” kata Ibrahim kepada pemberita di New Delhi pada Selasa.

Beliau berkata, kemarau di banyak bahagian di dunia menjadi lebih kerap dan teruk yang menyebabkan kekurangan air untuk kawasan bandar, pengeluaran makanan lebih rendah dan kebimbangan berlaku pergolakan awam yang lebih tinggi.

Pertumbuhan populasi telah meningkatkan permintaan untuk sumber asli dan satu “tipping point” telah lama berlaku di banyak bahagian di dunia,” kata Ibrahim.

Semua rantau, termasuk Asia Tenggara, negara-negara Mediterranean dan Amerika Latin, terjejas akibat kemusnahan tanah, katanya kepada Bernama.

“Ia adalah satu fenomena global. Afrika paling terjejas,” katanya.

Perhimpunan Agung PBB pada Mac telah mengisytiharkan Dekad PBB berkaitan Pemulihan Ekosistem, yang bertujuan mempercepat pemulihan ekosistem yang musnah dan rosak bagi memerangi krisis iklim serta meningkatkan keselamatan makanan, bekalan air dan biodiversiti.

Ia menyokong inisiatif Cabaran Bonn yang bertujuan memulihkan 350 juta hektar ekosistem yang musnah menjelang 2030.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Malaysia dikeluarkan senarai Statut Rom setelah PBB lengkap prosedur

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengeluarkan nama Malaysia daripada senarai Negara-negara Pihak Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) setelah PBB melengkapkan prosedur penarikan diri Malaysia daripada Statut Rom ICC.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kerajaan telah mengemukakan surat penarikan diri penyertaan Malaysia ke Statut Rom kepada Setiausaha Agung PBB, selaku depositori bagi triti tersebut, pada 29 April lepas.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan keputusan Jemaah Menteri supaya Malaysia menarik diri penyertaannya ke Statut Rom ICC pada 5 April lepas.

“Isu ini juga telah disentuh semasa sesi penggulungan Dewan Rakyat yang telah berlangsung pada 30 April lepas yang mana persoalan mengenai perkara ini telah dijawab Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Marzuki Yahaya,” kata kenyataan itu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

20,000 pelarian di Zimbabwe terjejas siklon Idai – PBB

HARARE, 1 APR: Sekurang-kurangnya 20,000 pelarian di Zimbabwe telah terjejas oleh Siklon Tropika Idai yang berbahaya, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan para pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Ahad.

“Kami mempunyai sekurang-kurangnya 20,000 pelarian dan pencari suaka di Kem Pelarian Tongogara berhampiran sempadan Mozambique yang telah terjejas, yang menyaksikan sejumlah 5,300 orang terjejas teruk selepas 1,060 rumah musnah,” kata wakil bagi Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) di Zimbabwe Robert Tibagwa di sini semasa penyerahan sejumlah 80 tan metrik barangan yang disumbangkan kepada kerajaan negara itu.

Kem Pelarian Tongogara terletak di pinggir pekan Chipinge, yang musnah teruk selepas dilanda siklon tropika itu.

Pencari suaka dan pelarian dari Mozambique, Rwanda, Republik Demokratik Congo serta Somalia kini ditempatkan di Kem Tongogara.

Tibagwa juga berkata, infrastruktur air dan sanitasi telah musnah dengan tandas serta lubang gerek ditengelami air, yang menyebabkan berlaku pencemaran dalam bekalan air minuman.

Dianggarkan bahawa sejumlah 90,000 orang kehilangan tempat tinggal di sembilan daerah terutama di bahagian timur negara itu, dengan lebih 200 orang maut manakala kira-kira 300 lagi hilang dan 250,000 terjejas secara keseluruhan.

UNHCR adalah sebahagian daripada pasukan kemanusiaan yang bekerja rapat dengan kerajaan Zimbabwe bagi memastikan orang ramai menerima bantuan dan perlindungan daripada pelbagai risiko serta bahaya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

PBB: 537 kematian akibat Ebola di Republik Demokratik Congo

NEW YORK, 21 FEB: Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) melaporkan sejumlah 537 kematian dalam kalangan 844 kes Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) sejak Ogos tahun lalu.

Menurut laporan agensi berita China, Xinhua yang memetik kenyataan Stephane Dujarric, jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, OCHA melaporkan pada Rabu bahawa Kementerian Kesihatan DRC minggu lalu memohon sejumlah AS$147 juta bagi menampung kos “semua aspek tindak balas (Ebola) selama enam bulan”.

“Setakat 18 Februari, sejumlah 844 kes dan 537 kematian telah dilaporkan sejak penularan wabak itu bermula pada Ogos tahun lalu,” kata Dujarric kepada pemberita semasa taklimat rutin, lapor BERNAMA.

“Sejumlah 278 orang telah sembuh daripada jangkitan Ebola.

“Kementerian Kesihatan (DRC), Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan rakan kongsi mereka terus memberikan respons kepada semua isyarat di kawasan terjejas, selain mempertingkat kesiapsiagaan di zon kesihatan tidak terjejas serta negara jiran,.

“Insiden keselamatan yang serius dan ketidakpercayaan masyarakat terus menghalang respons terhadap Ebola,” katanya.

Meskipun beliau tidak mengulas situasi di timur kawasan penularan wabak itu, Pusat Penyelidikan dan Dasar bagi Penyakit Berjangkit (CIDRAP) Universiti Minnesota berkata kes terkini “menekankan bahawa Katwa, sebuah bandar di timur DRC, kekal sebagai pusat penularan semasa Ebola.”

CIDRAP juga menyatakan bahawa sejak Ogos tahun lalu, lebih 80,000 orang di DRC dan negara jiran telah diberi vaksin.

Pusat itu turut melaporkan kebimbangan berhubung isu keselamatan susulan keganasan yang semakin meningkat di rantau berkenaan.

Categories
NASIONAL

Serantau Muslim desak PBB siasat bom napalm, Syria menderita

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 FEB: Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) mendesak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyiasat penggunaan bom napalm yang menjadi punca kanak-kanak dan orang awam Syria menderita.

Pengerusinya, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob berkata, bom napalm adalah campuran daripada agen gel dan petroleum sehingga boleh menyebabkan kebakaran yang parah apabila melekat pada kulit manusia.

Katanya, penggunaan bom napalm itu jelas melanggar tatacara etika penggunaannya dan salah daripada sudut konsumernya.

“Kami melahirkan rasa sedih dan empati terhadap nasib kanak-kanak serta orang awam di Syria kerana dibom tentera rejim Israel tanpa belas kasihan.

“Serantau Muslim merasakan tindakan sebegini harus diambil perhatian pihak dunia dan wajar menghukum tentera yang melancarkan serangan terbabit kerana ia jelas melanggar hak asasi manusia sejagat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, katanya, Serantau Muslim mengutuk keras tindakan pembekal bom itu kerana ia termasuk dalam kategori 10 senjata paling dahsyat di dunia dan tidak sepatutnya diguna terhadap kanak-kanak juga orang awam.

Terdahulu, tentera Israel membunuh 11 tentera rejim Syria termasuk dua orang awam dan turut mensasarkan beberapa kemudahan tentera di Iran sehinggakan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) menyatakan ia serangan paling dahsyat dilancarkan tentera Israel ke atas Syria sejak Mei tahun lalu.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi membantu penduduk Syria, boleh menyumbang melalui akaun Maybank 5641 0042 3082 (Tabung Kemanusiaan Syria Serantau Muslim).

Categories
GLOBAL

Serangan militan Islam punca 10 anggota pengaman PBB terbunuh

MALI, 21 JAN: Sepuluh anggota pengaman Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dilaporkan terbunuh dan sekurang-kurangnya 25 lagi cedera dalam serangan ke atas kem PBB di utara Mali, semalam.

Sumber Berita Al Akhbar melaporkan, insiden terbabit disifatkan antara yang terburuk pernah berlaku terhadap misi PBB di negara Afrika Barat dengan pihak militan Islam Al Qaeda di Maghreb Islamik (AQIM) mengaku bertanggungjawab.

Reaksi ditunjukkan ke atas perkara itu dikatakan sebagai tidak berpuas hati dengan kawatan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke Chad.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengutuk sekeras-kerasnya serangan berlaku ke atas kem di Aguelhok dalam rantau Kidal dan mendesak penyerang dibawa ke muka pengadilan.

“Sepuluh anggota pengaman dari Chad terbunuh dan sekurang-kurangnya 25 lagi cedera,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric, lapor AFP.

Sumber rapat misi Misi Kestabilan Integrasi Pelbagai Dimensi PBB di Mali (MINUSMA) berkata, serangan terbabit berlaku awal pagi semalam di pangkalan Aguelhok, 200 kilometer di utara Kidal, menuju ke sempadan Algeria.

Dujarric tanpa merujuk jumlah kematian sebenar berkata, MINUSMA memberi tentangan sengit dan sejumlah besar kumpulan penyerang berjaya dibunuh.

Wakil PBB ke Mali, Mahamat Saleh Annadif pula berkata, pihaknya menyifatkan apa berlaku sebagai ganas dan satu jenayah serta mengutuk serangan itu.

“Pasukan pengaman MINUSMA di Aguelhok berdepan satu serangan canggih oleh militan yang datang dengan beberapa kenderaan bersenjata,” katanya.