Categories
AGAMA NASIONAL

Serantau Muslim ke Palu bantu mangsa musibah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 OKT: Seramai lima sukarelawan dari Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) dan Da’i, Nur Afiqah Mahmud ke Palu, Sulawesi bagi membantu mangsa gempa bumi dan Tsunami, di sana.

Rombongan bantuan ke sana turut disertai bersama Kerajaan Malaysia dan dua Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain.

Sukarelawan Serantau Muslim, Al Iddin berkata, mereka dibahagikan kepada dua pasukan iaitu perubatan dan bantuan mengagihkan bekalan asas seperti makanan dan minuman kepada mangsa.

“Sepanjang mengikuti misi bantuan itu saya merasakan banyak lagi masalah yang membelenggu penduduk di kawasan gempa bumi dan tsunami tersebut.

“Mereka mungkin memerlukan sejenis alat yang dapat menapis air bersih berikutan mereka tiada bekalan air bersih di sana,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Serantau Muslim optimis misi bantuan yang disertai wakil Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mountain of Mercy (MOM), 40 Anggota Pertahanan Awam (APM) dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dapat pulang dalam keadaan selamat ke tanah air.

“Kebanyakan mangsa di daerah tersebut ditempatkan di kem penempatan sementara seperti sekolah dan padang yang tidak terjejas selepas rumah mereka ranap kesan daripada gempa bumi dan hentaman tsunami.

“Ramai penduduk memerlukan bekalan makanan asas untuk mengalas perut dan bekalan air bersih,” katanya.

Serantau Muslim juga ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia yang berbesar hati menghulurkan sumbangan, boleh melayari laman sesawang airmatasulawesi.com atau menghubungi 010-8659407 bagi keterangan lanjut.

 

 

Categories
NASIONAL

Nadma nafi hantar SMS Tabung Gempa Bumi Sulawesi

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) hari ini menafikan menghantar mesej ringkas mengenai Tabung Bencana Gempa Bumi dan Tsunami (TBGBTS) melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi WhatsApp.

Dalam kenyataannya hari ini, Nadma menegaskan mesej ringkas yang tersebar atas nama Tabung Bencana Gempa Bumi NADMA yang didepositkan kepada Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (221191183544) adalah bukan daripada agensi itu.

Sebaliknya, menurut agensi itu mereka yang ingin menderma boleh berbuat terus ke TBGBTS.

Sumbangan juga boleh disalurkan ke akaun Bank Muamalat bernombor 16010000882-71-8 atau melalui cek atas nama Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara.

Bukti transaksi berkenaan perlu dihantar ke nombor 012-6519563 atau 012-2344048 untuk tujuan rekod.

Kerajaan pada 4 Okt lepas telah meluluskan penubuhan TBGBTS bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami Sulawesi dan tempoh operasi tabung berkenaan adalah selama sebulan sehingga akhir bulan ini.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
GLOBAL

Kawasan terjejas pencecairan tanah ditukar kepada tugu peringatan

JAKARTA 10 OKT: Kerajaan wilayah Sulawesi Tengah memutuskan untuk menukar kawasan yang terjejas akibat pencecairan tanah ketika gempa bumi dahsyat bulan lalu kepada taman peringatan atau tapak bersejarah, ketika mayat mangsa yang tertimbus akibat banjir lumpur tidak dapat ditemui sebelum operasi mencari tamat esok.

“Pengeluaran mangsa bencana akan dihentikan menjelang tarikh akhir bantuan bencana. Kawasan seperti Perusahaan Umum Pembangunan Perumahan Nasional (Perumnas) Balaroa, Petoboa dan Jonooge akan ditukar kepada taman peringatan atau tapak bersejarah dan tugu akan dibina di lokasi berkenaan,” kata Gabenor Sulawesi Tengah, Longki Djanggola di Palu kelmarin.

Agensi Pencegahan Bencana Nasional (BNPB) berkata, pencarian ribuan mangsa yang masih hilang di kawasan itu ditutupi pencecairan tanah ketika gempa magnitud 7.5 dan tsunami 28 September lalu akan dihentikan berikutan kebimbangan keselamatan berhubung potensi bahaya kepada kesihatan.

Bagaimanapun, keputusan itu mencetuskan kemarahan di kalangan keluarga mangsa, yang menuntut kerajaan meneruskan usaha menyelamat bagi mencari orang tersayang.

“Jika kita terus cuba mengeluarkan mayat, bukan hanya mengenal pasti mangsa menjadi sukar, ia berpotensi menyebabkan bahaya wabak penyakit dan tempat kepada mereka yang masih hidup,” kata ketua BNPB, Willem Rampangilei dalam sidang media di sini, kelmarin.

Angka kematian dalam bencana berganda di Palu, Donggala, Sigi dan Parigi Moutong meningkat kepada 2,100 semalam, menurut Reuters.

Lebih 10,600 orang cedera dan hampir 75,000 hilang tempat tinggal, selain 66,000 rumah musnah, menurut data terbaharu BNPB.

Anggaran 5,000 orang dilaporkan hilang di perkampungan Balaroa dan Petobo, walaupun BNPB berkata, angka itu berdasarkan maklumat ketua kampung dan justeru perlu disahkan.

Seorang penduduk di Perumnas Balaroa, Renald Refai memberitahu Jakarta Globe di Palu minggu lalu, kira-kira satu pertiga penduduk di kompleks perumahan itu terselamat.

Gegaran gempa mencetuskan pencecairan tanah, yang menimbus keseluruhan kompleks perumahan dan kawasan sekitar perkampungan Balaroa.

Pemimpin agama mencadangkan kepada kerajaan supaya berhenti mengeluarkan mayat daripada kompleks perumahan itu yang menempatkan kira-kira 800 isi rumah atau anggaran 5,000 orang.

Ketika mesyuarat diketuai Longki di Palu kelmarin, pemimpin agama mencadangkan, kawasan terjejas ditukar kepada kubur besar dan mangsa terselamat dipindahkan ke lokasi selamat.

Ketua daerah kecil Palu Selatan, Ashar Yotomaruangi, berkata, kira-kira 13,000 orang terjejas akibat gempa di Petobo namun nasib hanya kira-kira 4,900 orang disahkan, sementara bakinya masih hilang.

SUMBER: AGENSI

 

Categories
NASIONAL

TLDM sedia gerak aset ke Sulawesi, Indonesia

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sedia menggerakkan aset pasukan bagi bantuan misi kemanusiaan di Palu, Sulawesi, Indonesia sekiranya diperlukan, kata Panglimanya Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Beliau berkata Kapal Auksiliari Tun Azizan (KA TAZ) sudah bersedia di perairan negara untuk digerakkan pada bila-bila masa.

“Setakat ini, kita sudah menyediakan kapal Tun Azizan dan berada dalam keadaan siap siaga dalam tempoh 24 jam untuk digerakkan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pemakaian Pangkat Anggota Lain-lain Pangkat (LLP) TLDM, di KD Sri Gombak di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini TLDM masih belum menerima permohonan daripada negara jiran itu untuk tujuan berkenaan.

Setakat ini, pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) merupakan antara pesawat antarabangsa yang berjaya menghantar bantuan terus ke Palu dari Pangkalan Udara Halim Perdana Kusuma Jakarta manakala pesawat C130H milik TUDM pula dari Balikpapan.

Terdahulu pada majis berkenaan, 28 anggota TLDM daripada pelbagai bidang dan kepakaran menerima kenaikan pangkat masing-masing sebagai penghargaan terhadap tanggungjawab yang dilaksanakan dalam perkhidmatan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Kota Palu: Jaringan komunikasi di beberapa tempat kembali pulih

KOTA PALU (Sulawesi), 7 OKT: Jaringan komunikasi yang terjejas di beberapa tempat di Kota Palu, bandar paling teruk mengalami kemusnahan akibat gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter dan tsunami di Sulawesi pada 28 Sept lepas, kini mulai pulih.

Tinjauan Bernama mendapati talian telefon serta kemudahan internet sudah kembali pulih seperti biasa di beberapa tempat di bandar berkenaan, namun di kawasan yang mengalami kemusnahan teruk seperti di Patebo dan Donggala, keadaan sistem komunikasinya masih tidak berubah.

Selain itu, Bernama difahamkan syarikat telekomunikasi (telco) tempatan turut memberi panggilan percuma selama seminggu kepada mangsa yang berada di bandar itu untuk menghubungi keluarga masing-masing.

Seorang mangsa, Kamilah Entu, 29, berkata dia bersyukur talian komunikasi telah kembali pulih seperti biasa di Kota Palu selepas terhenti sejurus kejadian itu berlaku.

“Selepas tsunami serta gempa berlaku, talian komunikasi tidak stabil, ada di beberapa kawasan terus tiada talian menyebabkan kami terputus hubungan selama dua hari dengan dunia luar. Sekarang Alhamdullilah, keadaan jaringan komunikasi sudah kembali pulih…saya dimaklumkan rakan, kabel komunikasi banyak putus serta tiangnya tumbang ketika bencana itu,” katanya ketika ditemui di sini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Ribuan mangsa gempa dan tsunami belum ditemui di Sulawesi

PALU, Indonesia 6 OKT: Lebih 1,000 orang dipercayai masih hilang selepas gempa bumi dan tsunami dahsyat melanda Indonesia, kata pihak berkuasa semalam sekali gus meningkatkan jumlah mangsa yang belum ditemui selepas seminggu bencana berlaku.

Bandar Palu di Pulau Sulawesi musnah setelah dilanda gempa bumi kuat dan tembok air yang mengakibatkan rumah-rumah ranap dan kenderaan terbalik, manakala angka korban yang disahkan meningkat kepada 1,558 orang.

Kebimbangan juga semakin meningkat bahawa ramai mangsa masih tertimbus di bawah kompleks perumahan kerajaan di Balaroa di mana gempa tersebut mengubah struktur tanah menjadi lembik dan berair.

“Kami menganggarkan terdapat lebih 1,000 rumah tertimbus, jadi, mungkin lebih 1,000 orang masih hilang.

“Bagaimanapun, kami tidak dapat mengesahkan angka tersebut kerana ada kemungkinan sebahagian mangsa mungkin berjaya menyelamatkan diri” kata jurucakap agensi mencari dan menyelamat Indonesia, Yusuf Latif kepada agensi berita AFP.

Pihak berkuasa sebelum ini menganggarkan hanya sekitar 100 orang masih hilang.

Sementara itu, Bernama memetik Pengarah Informasi dan Media Kementerian Luar Indonesia, Acmad Ramadan sebagai berkata bahawa dianggarkan seramai 152,000 mangsa masih tertimbus di seluruh kawasan dilanda gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter dan tsunami di bandar Palu, Sulawesi Tengah, Jumaat lepas. Pada masa yang sama katanya, sejumlah 65,733 kediaman turut musnah akibat bencana itu.

Dalam perkembangan berkaitan, selepas mengalami kelewatan selama beberapa hari, bantuan antarabangsa akhirnya mula tiba di zon bencana di mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberitahu bahawa hampir 200,000 orang amat memerlukan bantuan kemanusiaan.

Situasi di Palu tidak banyak berubah dengan penduduk terus menggeledah kedai dan lori bekalan bagi mendapatkan barangan keperluan asas. Aktiviti mencuri itu mendorong pasukan keselamatan menahan berpuluh-puluh orang dan memberi amaran bahawa mereka akan menembak pencuri.

Pihak berkuasa menetapkan semalam sebagai tarikh akhir untuk mencari penduduk yang terperangkap walaupun peluang menemui mangsa yang terselamat hampir tiada.

SUMBER: AFP/ Bernama

Categories
GLOBAL

Gempa Sulawesi: 800 jemaah berada di Masjid Baiturrahman sebelum tsunami

KOTA PALU 4 OKT: Sekitar Masjid Baiturrahman yang terletak di tengah bandar Kota Palu menjadi antara kawasan teruk terjejas akibat gempa bumi bermagnitud 7.4 pada skala Richter dan kejadian tsunami di sini, Jumaat lalu.

Dianggarkan 800 jemaah sedang bersiap menunaikan solat maghrib ketika musibah melanda.

Seorang mangsa, Sultami Abdul Rohim, 31, yang ketika kejadian berada berhampiran masjid itu berkata sebelum ombak naik, berlaku satu gegaran kuat hingga berlaku retakan pada bangunan.

“Gegaran itu sangat kuat sehingga ada yang menunggang motosikal jatuh dan semua orang panik cuba menyelamatkan diri masing-masing.

“Selepas gegaran itu, secara tiba-tiba datang satu arus ombak setinggi tiang elektrik terus membadai bangunan masjid serta pusat beli-belah berhampiran,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sultami berkata dalam kekalutan itu, beliau sempat menyelamatkan diri dengan naik ke bangunan kedai berhampiran.

Menurutnya, kawasan masjid itu turut menempatkan sekolah agama namun semua pelajarnya selamat kerana ketika kejadian waktu sekolah telah tamat.

“Jumlah mayat yang dijumpai di kawasan berhampiran masjid itu antara yang paling ramai, sekitar 300 orang,” katanya.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, jumlah mangsa korban gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah meningkat kepada lebih 1,424 orang.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Serantau Muslim lancar tabung gempa bumi & Tsunami Palu

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 OKT: Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) mengambil langkah drastik dengan melancarkan Tabung Bantuan Kecemasan Gempa Bumi dan Tsunami kepada mangsa bencana itu di Palu dan Donggala, Sulawesi Tengah, Indonesia.

Pengurus Besarnya, Mohd Hakim Mohd Nor berkata, Serantau Muslim melahirkan rasa sedih atas kejadian yang tidak diingini yang berlaku di negara tersebut.

Katanya, tabung bantuan kecemasan itu dibuka akibat pihaknya difahamkan kebanyakan penduduk di sana tidak mendapat bekalan makanan, air bersih dan lain-lain kemudahan harian kerana laluan darat, laut dan udara masih tergendala.

“Malah, kita difahamkan ramai penduduk terpaksa keluar dari kawasan tersebut ekoran kekurangan bekalan asas dan kemudahan awam jalan raya, sekolah serta bekalan elektrik juga tidak dapat diakses.

“Ia amat menyedihkan apabila melihat ratusan penduduk yang terselamat terpaksa tidur di landasan akibat kehilangan tempat tinggal dan menyebabkan situasi di lapangan tersebut menjadi huru-hara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Hakim berkata, keadaan itu menyebabkan penerbangan dari Lanud AU Makassar terpaksa dihentikan kerana orang ramai berebut-rebut ingin keluar dari Palu dan hanya bantuan kemanusiaan sahaja boleh beroperasi.

“Kami juga merasakan keadaan di Palu kini berada sangat parah kerana mayat mangsa terkorban dalam bencana alam itu ada di merata tempat, walaupun proses menyelamat masih diteruskan.

“Malah, keadaan ini mungkin mendedahkan penduduk terselamat dengan masalah kesihatan lain sekiranya mayat tersebut tidak diurus dengan cepat,” katanya.

Katanya, orang ramai yang ingin membantu boleh melayari laman sesawang berikut, https://www.billplz.com/TabungSulawesi atau menghubungi 010-8659407 untuk mendapat keterangan lanjut.

Terdahulu, penduduk di sana dikejutkan dengan kejadian gempa bumi bermagnitud 7.7 skala richter dan tsunami setinggi tiga meter di pantai Palu.

Kejadian alam yang berlaku pada Jumaat lalu itu telah menggoncangkan Sulawesi Tengah dan menyebabkan lebih 1,400 orang kehilangan nyawa.

Categories
GLOBAL

Angka korban 1,374, hampir 200,000 perlu bantuan segera

PALU 3 OKT: Hampir 1,400 penduduk terbunuh dalam bencana gempa bumi disusuli tsunami di pulau Sulawesi, dengan pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mangsa terselamat dan pasukan penyelamat memerlukan bantuan besar-besaran.

Hampir 200,000 orang memerlukan bantuan segera, kata pegawai kemanusiaan PBB, antara mereka ialah puluhan ribu kanak-kanak, dengan anggaran 66,000 rumah musnah atau rosak susulan gempa bumi berukuran 7.5 dan tsunami yang dicetuskan gegaran itu.

Mangsa terselamat bergelut dengan dahaga dan kelaparan, dengan kekurangan bekalan makanan dan air bersih, dan hospital tempatan dipenuhi penduduk yang cedera.

“Satu yang dirasakan pasukan yang bekerja di situ adalah amat kecewa.

“Penyelamat masih tidak dapat sampai ke kawasan besar yang teruk terjejas dan mereka terus berusaha, melakukan apa yang terdaya,” kata jurucakap pejabat kemanusiaan badan dunia itu, Jens Laerke, kepada wartawan di Geneva lewat semalam.

Di Palu yang paling teruk dilanda bencana itu, menyaksikan penduduk, kereta dan rumah dihanyutkan, polis melepaskan tembakan amaran dan gas pemedih mata semalam untuk menghalang orang ramai menggeledah kedai.

Ketika mangsa terselamat diselamatkan daripada kawasan kejiranan yang musnah, mereka menemui lebih banyak mayat.

“Angka kematian kini 1,374, dengan 113 lagi hilang.

“Masih ada mayat terperangkap di bawah runtuhan. Kami tidak tahu berapa banyak.

“Keutamaan adalah mencari dan menyelamatkan penduduk,” kata ketua agensi bencana kebangsaan Indonesia, Willem Rampangilei.

Pihak berkuasa menjangkakan angka kematian akan terus meningkat ketika penyelamat berjaya menghubungi kawasan yang terputus sebelum ini.

Pusat Penyelamatan Bantuan Kemanusiaan ASEAN yang beribu pejabat di Indonesia berkata, lebih banyak beg mayat diperlukan segera ketika kebimbangan memuncak mayat yang mula reput akan menjadi tempat merebak penyakit bahaya.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Indonesia hanya terima bantuan bukan tunai

JAKARTA 3 OKT: Kementerian Luar Indonesia memaklumkan kepada wakil negara asing yang menawarkan bantuan susulan gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah Jumaat lalu, negaranya akan menerima bantuan dalam bentuk bekalan, kepakaran dan jentera namun mencadangkan sumbangan tunai disalurkan terus kepada Palang Merah Indonesia (PMI).

Petang kelmarin, duta dari kira-kira 20 negara dan perwakilan pertubuhan antarabangsa bertemu Timbalan Menteri Luar AM Fachir yang berkata, Indonesia bersedia menerima bantuan asing.

“Ada sekurang-kurangnya tiga bentuk bantuan, bekalan, kepakaran dan jentera, justeru kami mengenal pasti mereka dan jika mereka mahu membantu, mereka boleh maklumkan kami apa yang boleh ditawarkan,” kata Fachir kepada media selepas pertemuan itu menerui laman berita Jakarta Post.

Bantuan asing, sebaik dikumpulkan dalam inventori oleh pasukan yang melaporkan kepada Menteri Hal Ehwal Politik, Perundangan dan Keselamatan Wiranto, akan diagihkan menerusi saluran relevan kementerian ke rantau itu, dengan sejumlah pegawai menegaskan perlunya menapis apa yang sebenarnya diperlukan.

Sementara itu, beliau berkata, PMI adalah pilihan terbaik untuk menyalurkan sumbangan langsung tunai.

“PMI boleh dipercayai dalam mengagihkan bantuan menurut keperluan,” katanya.

Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNOCHA) dalam satu penilaian diterbitkan Isnin lalu berkata, hampir 200,000 orang terdesak memerlukan bantuan kemanusiaan selepas gempa bumi magnitud 7.5 dan tsunami Jumaat lalu.

Menurut angka agensi bencana negara, gempa yang diikuti tsunami dan gegaran susulan serta pencecairan tanah, meratakan bangunan dan mengorbankan lebih 1,200 orang.

SUMBER: AGENSI

Categories
GLOBAL

Angka korban gempa dan tsunami meningkat 1,234 mangsa

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

PALU, INDONESIA 2 OKT: Angka korban terbaharu kejadian gempa bumi dan tsunami di Indonesia meningkat kepada 1,234 mangsa.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan Jurucakap agensi Sutopo Purwo Nugroho mengemas kini angka tersebut di sidang akhbar di Jakarta pada Selasa petang.

Nugroho berkata seramai 799 mangsa cedera parah. Beliau berkata komuniti Sigi dan Balaroa belum lagi dikira, bermakna angka jumlah korban mungkin meningkat.

Salah satu penerbangan membawa pemindahan sejumlah mangsa pertama dari rantau gempa di Indonesia tengah telah mendarat di Jawa Timur.

Pesawat pengangkutan tentera C130 yang tiba di lapangan terbang tentera pada Selasa membawa puluhan orang, termasuk mangsa yang cedera yang memerlukan penjagaan dan rawatan lanjut.

Andi Wijaya, komander pangkalan lapangan terbang di Jawa Timur, berkata tujuh pesawat sudah siap untuk berpindah tetapi para kru perlu dipanggil untuk membuat penerbangan.

Keadaan ini semakin terdesak di kawasan-kawasan yang sangat rosak di pulau Sulawesi tengah di mana orang ramai mengalami kekurangan makanan, bahan bakar dan keperluan lain.

Gempa bumi magnitud 7.5 magnitud dan tsunami yang dijana menyebabkan lebih 1,200 kematian tetapi beberapa kawasan di luar Palu masih belum dapat dimasuki.

 

Categories
GLOBAL

3 faktor buat kesan bencana Sulawesi bertambah parah

JAKARTA 2 OKT: Sistem amaran tidak mencukupi, kekurangan pendidikan bagaimana menghadapi gempa bumi dan keadaan teluk sempit yang membantu memperkuat ombak tsunami dikenal pasti sebagai faktor menyebabkan kesan bencana di Sulawesi bertambah parah.

“Tiada maklumat mengenai tsunami direkodkan stesen pemantau aliran pasang surut di Palu kerana ia tidak berfungsi,” kata pakar tsunami Indonesia, Widjo Kongko.

Stesen itu memeriksa perubahan aliran arus dan sepatutnya dapat mengesannya jika ombak besar menuju ke bandar itu.

Selepas gempa berlaku, agensi geofizik Indonesia yang memantau aktiviti seismik, mengeluarkan amaran tsunami tetapi menarik balik amaran tidak lama selepas itu.

Pakar lain, bagaimanapun, berkata jika sekalipun ia berfungsi, penduduk masih tidak ada banyak masa untuk lari ke tempat selamat kerana ombak itu hanya dikesan dekat pantai.

Usaha memperbaiki sistem dihantui masalah termasuk gagal menyelenggara peralatan hinggalah birokrasi.

Selepas bencana gempa dan tsunami pada 2004 dekat pulau Sumatera menyebabkan 220,000 maut di Asia, 22 boya (pelampung) amaran awal dipasang sekitar perairan Indonesia bagi mengesan tsunami.

Tetapi, pegawai mengakui mereka tidak lagi berfungsi selepas menjadi mangsa vandalisme selain kekurangan dana untuk senggaraan.

Dalam satu lagi kes, projek besar yang mendapat dana daripada Yayasan Sains Kebangsaan Amerika Syarikat meletak pengesan tsunami berteknologi tinggi di kawasan kerap dilanda gempa di barat Indonesia, pula telah ditunda.

Louise Comfort, pakar bencana alam dari Universiti Pittsburgh, berkata projek itu ditangguhkan selepas tiada persetujuan antara agensi kerajaan manakala pembiayaan juga ditunda.

Pihak lain meminta fokus ditekankan kepada mendidik penduduk segera ke tempat tinggi selepas gempa melanda.

“Bagi Indonesia untuk cuba mempertahankan kesan buruk kepada kawasan pantainya, pendidikan lebih utama daripada teknologi,” kata Adam Switzer, pakar tsunami dari Jabatan Pemantau Bumi, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.

“Semua kanak-kanak di Indonesia perlu diajar apa yang mereka patut buat ketika berada di pantai apabila gempa berlaku.”

Pakar lain pula percaya tsunami kali ini berpunca daripada tanah runtuh di dasar laut selepas gegaran berlaku.

Bentuk geografi unik Palu tidak membantu, kata mereka, kerana tsunami biasanya meluncur laju apabila melalui selat sempit dekat kota itu.

SUMBER: AFP