Categories
GLOBAL

Bekas hakim terbabit rasuah lari ke Sepanyol

LIMA, 18 OKT: Bekas hakim Mahkamah Agung Peru, Cesar Hinostroza dilaporkan sudah meninggalkan negara itu, walaupun mendapat perintah larangan perjalanan dari Cawangan Kehakiman.

Memetik laporan BERNAMA, beliau yang berlepas pada 11 Oktober lalu, dipercayai berada di Sepanyol bersama isterinya, Gloria Gutierrez Chapa.

Menurut akhbar El Comercio, Hinostroza masuk ke Sepanyol melalui Lapangan Terbang Barajas Madrid, pada Rabu.

Pengerusi Kongres, Daniel Salaverry berkata, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Dalam satu siri rakaman audio dikeluarkan TV Panorama dan laman sesawang kewartawanan penyiasatan IDL-Reporteros, Hinostroza didakwa berunding dengan seorang individu serta menerima habuan untuk mengurangkan hukuman ke atas pesalah rogol kanak-kanak.

Pada 4 Oktober lalu, Kongres Peru meluluskan pemecatan Hinostroza selain dilarang memegang jawatan awam selama 10 tahun serta dituduh terbabit dalam jenayah terancang.

Categories
GLOBAL

WC2018: Jaringan tunggal Yussuf Poulsen lebur kesungguhan Peru

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 17 JUN: Denmark melakar kemenangan penuh berharga apabila menewaskan Peru 0-1 dalam aksi Kumpulan C awal pagi tadi.

Peru menguasai babak pertama dengan menggerakkan serangan mencari jaringan awal dan peluang terbaik hadir menerusi percubaan Luis Advincula pada minit ke-13 tetapi penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel bertindak cemerlang merebahkan badan untuk menepis bola keluar.

Jefferson Farfan turut berpeluang untuk menguji gawang Denmak tetapi rembatannya hasil lorongan Andre Carrillo berjaya dihalang pertahanan di minit ke-29.

Denmark yang sesekali menyerang berjaya memperoleh peluang terbaik menerusi rembatan Lasse Schiene pada minit ke-40 tetapi penjaga gol Peru, Pedro Gallese berjaya mengawal keadaan.

Di penghujung babak pertama, Peru memperoleh sepakan penalti apabila Yussuf Poulsen mengasari Christian Cueva selepas pengadil, Bakary Papa Gassama melihat ulang tayang menerusi sistem VAR.

Cueva yang mengambil sepakan itu gagal menemui penyudah sebaliknya merembat bola melepasi gawang gol bagi mengakhiri babak pertama tanpa sebarang jaringan.

Denmark akhirnya dihadapan 0-1 pada minit ke-59 hasil jaringan Yussuf Poulsen selepas tenang melepasi perangkap offside hasil umpanan Christian Eriksen.

Peru cuba bangkit seminit kemudian menerusi Edison Flores hasil satu serangan balas pantas tetapi Schmeichel lebih cemerlang menghalang percubaan itu.

 

Farfan mempunyai sekurang-kurangnya dua peluang dalam tempoh lima minit tetapi gagal menemui penyudah yang diharapkan.

Jose Paolo Guerrero turut berpeluang merobek gawang Denmark tetapi kuisan bola ke belakangnya sedikit melepasi sasaran.

Farfan sekali lagi melepaskan peluang terbuka di hadapan gawang Denmark apabila rembatannya di minit ke-84 berjaya dikeluarkan di atas garisan gol.

Eriksen hampir menggandakan jaringan 0-2 buat Denmark terapi Gallese bertindak cemerlang menghalang rembatannya.

 

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup