Categories
AGENDA GLOBAL

Denmark negara pertama Eropah henti guna vaksin AstraZeneca

SHAH ALAM, 15 APRIL: Denmark muncul negara pertama di Eropah yang menghentikan penggunaan vaksin
AstraZeneca pada Selasa, berikutan bimbang terhadap kesan sampingannya.

Pengarah pihak berkuasa kesihatan Denmark tekad mengambil keputusan itu meski Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Agensi Perubatan Eropah (EMA) mengesyorkan vaksin berkenaan.

“Kempen suntikan vaksin Denmark akan diteruskan tanpa penggunaan vaksin AstraZeneca,” kata Soren Brostrom seperti dilapor AFP.

Vaksin yang dihasilkan oleh Universiti Oxford dilapor ada kesan sampingan iaitu pembekuan darah dalam kalangan penerima.

Lebih 12 negara turut mengikuti langkah Denmark, namun kebanyakan menggunakan semula vaksin terbabit selepas EMA mengesyorkan ia selamat dan berkesan.

Sejak menggantung penggunaan vaksin AstraZeneca pada Mac, Denmark meneruskan pelan imunisasi bersandarkan bekalan Pfizer-BioNTech dan Moderna.

Berdasarkan rekod semasa, hanya lapan peratus daripada keseluruhan 5.8 juta penduduk negara itu sudah menerima vaksin sepenuhnya, manakala 17 peratus lagi sekadar memperoleh dos pertama.

Categories
GLOBAL

WC2018: Jaringan tunggal Yussuf Poulsen lebur kesungguhan Peru

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 17 JUN: Denmark melakar kemenangan penuh berharga apabila menewaskan Peru 0-1 dalam aksi Kumpulan C awal pagi tadi.

Peru menguasai babak pertama dengan menggerakkan serangan mencari jaringan awal dan peluang terbaik hadir menerusi percubaan Luis Advincula pada minit ke-13 tetapi penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel bertindak cemerlang merebahkan badan untuk menepis bola keluar.

Jefferson Farfan turut berpeluang untuk menguji gawang Denmak tetapi rembatannya hasil lorongan Andre Carrillo berjaya dihalang pertahanan di minit ke-29.

Denmark yang sesekali menyerang berjaya memperoleh peluang terbaik menerusi rembatan Lasse Schiene pada minit ke-40 tetapi penjaga gol Peru, Pedro Gallese berjaya mengawal keadaan.

Di penghujung babak pertama, Peru memperoleh sepakan penalti apabila Yussuf Poulsen mengasari Christian Cueva selepas pengadil, Bakary Papa Gassama melihat ulang tayang menerusi sistem VAR.

Cueva yang mengambil sepakan itu gagal menemui penyudah sebaliknya merembat bola melepasi gawang gol bagi mengakhiri babak pertama tanpa sebarang jaringan.

Denmark akhirnya dihadapan 0-1 pada minit ke-59 hasil jaringan Yussuf Poulsen selepas tenang melepasi perangkap offside hasil umpanan Christian Eriksen.

Peru cuba bangkit seminit kemudian menerusi Edison Flores hasil satu serangan balas pantas tetapi Schmeichel lebih cemerlang menghalang percubaan itu.

 

Farfan mempunyai sekurang-kurangnya dua peluang dalam tempoh lima minit tetapi gagal menemui penyudah yang diharapkan.

Jose Paolo Guerrero turut berpeluang merobek gawang Denmark tetapi kuisan bola ke belakangnya sedikit melepasi sasaran.

Farfan sekali lagi melepaskan peluang terbuka di hadapan gawang Denmark apabila rembatannya di minit ke-84 berjaya dikeluarkan di atas garisan gol.

Eriksen hampir menggandakan jaringan 0-2 buat Denmark terapi Gallese bertindak cemerlang menghalang rembatannya.

 

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup

Categories
SUKANKINI

Denmark belasah Ireland 5-1 layak ke Piala Dunia

GLOBAL 15 NOV: Denmark membelasah Ireland 5-1, dalam aksi kedua playoff sekali gus layak ke Piala Dunia di Rusia tahun depan.

Selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Copenhagen, minggu lalu, Ireland memperoleh permulaan sempurna apabila tandukan Shane Duffy meletakkan mereka mendahului perlawanan seawal minit keenam, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Begitupun, Denmark membalasnya dengan dua gol sebelum babak pertama berakhir dan menjaringkan tiga lagi gol pada babak kedua untuk menempah tiket ke Russia, tahun depan.

Selepas 19 minit Ireland mendahului, Denmark meraih gol penyamaan, tetapi ironinya ia menerusi jaringan sendiri Cyrus Christie, susulan percubaan Andreas Christensen.

Kelebihan itu kemudian pantas digandakan oleh Eriksen, tiga minit kemudian selepas rembatan padunya gagal diselamatkan penjaga gol Ireland, Darren Randolph.

Memerlukan dua gol untuk ke Russia, jurulatih Ireland, Martin O’Neill membuat dua pertukaran pada rehat babak pertama dengan memasukkan Aiden McGeady dan Wes Hoolahan.

Begitupun, percaturannya tidak menjadi apabila Eriksen yang juga pemain Tottenham Hotspurs kemudian menambah dua lagi gol, bermula pada minit ke-63 sebelum melengkapkan hatrik, 10 minit kemudian.

Pemain gantian, Nicklas Bendtner melengkapkan kemenangan bergaya Denmark menerusi penalti selepas dia dijatuhkan James McClean pada minit ke-90.

Kekalahan itu menyaksikan O’Neill yang sudah pun bersetuju membimbing Ireland bagi kelayakan Euro 2020 berdepan kritikan, susulan tindakannya tidak menyenaraikan Hoolahan dalam kesebelasan utamanya.

Pemain berusia 35 tahun itu adalah antara tonggak Ireland yang menyinar dan menjadi satu daripada empat pemain yang dijangka akan bersara daripada pentas antarabangsa.

Kekalahan jelas satu lagi situasi mengecewakan buat Ireland yang tewas pada aksi playoff ketika Piala Dunia 2010 kepada Perancis.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MBI, Kedutaan Denmark jalin kerjasama jaya bandar mampan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 SEPT: Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) akan mengadakan perbincangan bersama Kedutaan Denmark dalam usaha mewujudkan kerjasama ke arah menjayakan program bandar mampan di Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Raja Shahreen Raja Othman berkata, bersesuaian dengan misi MBI bagi menjayakan agenda #SmartSelangor digariskan Kerajaan Negeri, kesediaan Kedutaan Denmark berkongsi idea menerusi konsep bandar mampan dilaksanakan di Copenhagen boleh dicontohi mengikut kesesuaian.

“Kita akan mengadakan perbincangan susulan bersama mereka tidak lama lagi. Bulan depan akan ada satu lagi perbincangan sebelum persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS),” katanya.

raja-shahreenKedutaan Denmark dengan kerjasama Kerajaan Negeri mengadakan Seminar Copenhagen Solutions For Sustainable Cities, di sini, pada 7 September lalu.

Sehubungan itu, Raja Shahreen berkata, perbincangan ringkas sudah dijalankan antara kedua pihak selepas seminar itu dengan MBI berminat terhadap ‘blue print’ program berhubung perkara yang dijalankan pihak berkenaan.

Katanya, sistem dipraktikkan di Copenhagen mencerminkan kesungguhan pihak berkuasa tempatan di sana memelihara alam sekitar dan menangani masalah pemanasan global.

“Mereka merancang sistem pengangkutan awam dan yang lain seperti membina laluan bagi penunggang basikal, memelihara kawasan sungai dan menyediakan kawasan pembuangan sampah di tempat tertentu.

“Keadaan itu memang bagus dan kita sendiri sedang melihat perkara sebegitu,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Denmark sedia bantu Selangor jayakan projek bandar mampan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 SEPT: Perkongsian idea dan inspirasi antara Denmark dan Selangor serta pihak berkaitan boleh dijalin bagi menjayakan pelan tindakan teknologi hijau dan bandar mampan.

Duta Denmark ke Malaysia, Nicolai Ruge, berkata pihaknya bersedia dalam usaha itu seperti mana dizahirkan dengan penganjuran Seminar Copenhagen Solutions For Sustainable Cities melalui kerjasama Kerajaan Negeri di sini, 7 September lalu.

“Objektif kita dalam menganjurkan seminar ini adalah mengenai pembelajaran, perkongsian dan inspirasi.

“Maka dengan ini, marilah kita terus berkongsi pengetahuan dan idea mengenai bagaimana untuk mewujudkan bandar mampan dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata, lebih separuh daripada penduduk dunia tinggal di kawasan bandar dan warga Copenhagen juga semakin meningkat serta menghadapi cabaran seperti pelepasan karbon, kesesakan lalu lintas dan pengumpulan sisa.

Katanya, di Copenhagen, pihak berkuasa tempatan (PBT) berhadapan cabaran itu dengan inisiatif menangani pencemaran udara, meningkat kesedaran untuk kesihatan lebih baik dan kitar semula dioptimumkan dalam merealisasikan wawasan: Bandar Sifar Sisa Pepejal.

“Mengurangkan pelepasan karbon adalah hanya sebahagian kecil daripada usaha ke arah bandar mampan.

“Fokus seminar ini adalah untuk berkongsi pengalaman di Copenhagen dengan harapan ia memberi inspirasi kepada anda menjalankan projek baru ke arah bandar raya lestari pada masa hadapan,” katanya.

EZY