Categories
SELANGOR

Pesara polis didakwa tembak kucing, lepas tembakan di tempat awam

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Seorang pesara polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang hari ini atas dua pertuduhan melakukan khianat iaitu menembak seekor kucing jantan dan melepaskan tembakan di tempat awam.

Zainol Abidin Md Zain, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nik Fadli Nik Azlan.

Dia didakwa dengan sengaja membunuh haiwan itu menggunakan selaras senapang patah di kawasan kebunnya di Kampung Setia, Kuang, Selangor pada 6.40 petang 1 Julai tahun lepas mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa melepaskan tembakan di tempat awam menggunakan senjata sama pada masa dan di tempat sama mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 (Akta 206) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 43 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan namun peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan M. Mariappan merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan Zainol Abidin seorang pesara dan menanggung isteri serta tujuh anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 24 Feb 2022 untuk sebutan kes.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pesara polis Tan Sri JJ Raj meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Bekas Pengarah Pengurusan Bukit Aman Tan Sri J.J Raj yang terkenal menyelamatkan warga Balai Polis Bukit Kepong, Johor satu masa dahulu, meninggal dunia hari ini di Pusat Perubatan Ara Damansara, Petaling Jaya, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata mendiang meninggal dunia pada usia 100 tahun pada 1.55 pagi tadi akibat Cardiac Arrhythmia, semasa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Beliau berkata jasad mendiang akan dibawa ke Nirvana Memorial Park, Shah Alam, untuk diberikan penghormatan terakhir oleh ahli keluarga dan orang ramai, pada petang ini.

“Mendiang sebelum ini, terkenal selaku Ketua Polis Daerah Pagoh dalam mengetuai Skuad Harimau menyelamatkan warga Balai Polis Bukit Kepong yang diserang pengganas Komunis, sewaktu era Darurat tahun 1950.

“Kemuncak karier mendiang dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ialah apabila dilantik sebagai Pengarah Pengurusan, Bukit Aman pada tahun 1974 sebelum menjalani persaraan wajib pada tahun 1976 dengan pangkat Komisioner Polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Acryl Sani berkata sesungguhnya jasa dan bakti yang pernah dicurahkan mendiang sangat besar, dan pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada PDRM dan negara.

Beliau bersama timbalannya Datuk Seri Mazlan Lazim dan seluruh warga PDRM mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

Mendiang J.J. Raj dilahirkan pada 27 Julai 1921 di Chemor, Perak dan mendapat pendidikan awal di Sekolah St. Michael’s Institution Ipoh, sebelum berkahwin dengan Puan Sri Irene Raj pada tahun 1952, dan dikurniakan dengan empat anak serta tiga cucu.

Beliau mula menyertai PDRM sebagai Inspektor Pelatih pada tahun 1946 dan menjadi Ketua Polis Daerah Pagoh pada tahun 1950 semasa tragedi serangan Balai Polis di Bukit Kepong, sewaktu darurat di Tanah Melayu pada 23 Feb 1950.

Sepanjang perkhidmatan beliau dalam PDRM, beberapa jawatan penting pernah disandang beliau iaitu Ketua Polis Daerah Tangkak (1952), Ketua Polis Daerah Kuala Lumpur (1958) (sebelum KL menjadi Wilayah Persekutuan), Ketua Polis Pahang (1961), Ketua Polis Negeri Sembilan (1967) dan Pengarah Pengurusan Bukit Aman pada tahun 1974 serta bersara pada tahun 1976.

Beliau mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang dalam pasukan PDRM dan berkhidmat dengan jayanya selama 30 tahun.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 130,000 pesara polis era darurat layak terima bantuan RM500

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Seramai 136,655 orang terdiri daripada pesara, bekas polis dan petugas polis era darurat yang merupakan penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) layak menerima bayaran sekali bayar (one-off) RM500, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Pemberian itu sebagai menghargai jasa pengorbanan dan kebaktian golongan berkenaan kepada negara termasuk ketika era darurat dalam Perkhidmatan Persekutuan Tanah Melayu bagi tempoh 12 Julai 1948 hingga 31 Julai 1960.

“Inilah namanya frontliners (petugas barisan hadapan)…jadi disebabkan itu sepatutnya, kita rasa bangga kerana waktu mana sekali pun asal namanya darurat, petugas barisan hadapan yang sebenar adalah anggota polis itu sendiri.

“Sebelum ini, kita dimaklumkan hanya 40,000 penerima tetapi angkanya dinaikkan sehingga melebihi 100,000 namun hari ini, kita dimaklumkan lebih 136,000 yang akan menerima wang RM500 ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian One-Off RM500 PJPN di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata pemberian itu jelas membuktikan kerajaan sentiasa mengambil berat tentang hal ehwal pesara polis, bekas polis serta petugas polis dalam era darurat dengan berusaha mencari ruang dan peluang membantu mereka.

“Pembayaran bagi fasa pertama akan diagihkan kepada 10,000 penerima dengan jumlah peruntukan RM5 juta dan dimasukkan terus ke akaun penerima secara berperingkat sehingga Disember 2022 manakala bagi perwira-perwira yang meninggal dunia, bayaran akan disalur kepada pasangan atau waris masing-masing,” katanya.

Pada Februari, kerajaan mengumumkan bayaran secara ‘one off’ RM500 yang disalurkan kepada pesara dan bekas polis yang menerima PJPN serta petugas polis yang berkhidmat pada zaman darurat.

Terdahulu pada majlis itu seramai 79 penerima PJPN yang menetap di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor menerima bayaran one-off berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Elaun pegawai bomba bantuan naik kepada RM8 sejam

SHAH ALAM, 6 NOV: Lebih 1,900 pegawai bomba bantuan menerima kenaikan kadar elaun dari RM6 kepada RM8 sejam mulai Januari depan.

Menteri kewangan berkata kerajaan juga bersetuju memberi bantuan sekali bayar (one-off) bernilai RM500 kepada 40,000 pesara polis yang menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara.

“Kerajaan turut memperkenalkan Skim Perlindungan Kemalangan Diri percuma sehingga RM100,000 kepada peminjam baharu Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam bagi 2021 dan 2022.

“Langkah ini sebagai menambah baik kemudahan anggota perkhidmatan awam yang berkorban menjaga rakyat demi kesejahteraan negara,” kata Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021.