Categories
AGENDA PILIHAN MINGGUAN

MB: Lebih banyak karya agung diterjemah ke bahasa Melayu

SHAH ALAM, 1 MAC: Penterjemahan buku ke bahasa Melayu diteruskan pada tahun ini dengan diberi peruntukan untuk usaha itu, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata ia sebagai sokongan kepada perkembangan industri buku tempatan.

“Saya percaya ia mampu mengujakan dan meningkatkan kemahuan masyarakat serta komuniti Melayu khususnya untuk membaca karya serta pemikiran besar yang mampu mencorak, mendidik serta membentuk masyarakat bersedia bertarung di peringkat antarabangsa,” katanya pada perasmian Pesta Buku Selangor 2020 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.

Beliau berkata, perkembangan buku audio terutama untuk karya agung dapat membantu rakyat yang kekurangan masa membaca naskah dicetak malah bermanfaat kepada pelajar audio (audio lerner).

Amirudin berkata format ini turut memberi peluang kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) penglihatan menambah ilmu pengetahuan.

Katanya, setakat ini sebanyak 27 naskah terjemahan sudah diterbitkan Institut Buku Darul Ehsan (IBDE) dan ia bakal teruskan bagi pembudayaan ilmu.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB: Jadikan Pesta Buku Selangor bertaraf antarabangsa

SHAH ALAM, 1 MAC: Penganjuran Pesta Buku Selangor 2020 (PBS2020) diharap melonjakkan prestasinya sebagai acara tahunan bertaraf antarabangsa, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata penganjuran pesta buku itu menjadi salah satu faktor yang mampu menjana ekonomi dan pemangkin kepada budaya ilmu.

Katanya faktor itu menjadi antara sebab utama penganjuran pesta buku setiap tahun bermula pada 2006 di Kompleks PKNS Shah Alam sebelum berpindah ke Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 2011.

“Pertukaran lokasi pesta buku ini titik penting kerana Pesta Buku Selangor terpaksa berdiri di atas kekuatan identitinya sendiri tanpa bergantung kepada keramaian pengunjung ke pusat membeli-belah,” kata Amirudin ketika majlis perasmian PBS2020 di SACC, hari ini.

Beliau berkata kajian dilakukan untuk Pesta Buku Toronto 2012 anggaran pengunjung 75,000 hingga 125,000 menunjukkan pesta buku menyumbang sehingga $39 juta (Canadian Dollar) dalam kesan ekonomi, menambah 600 pekerjaan kepada ekonomi tempatan dan menarik kira-kira 20,000 pelancong.

“PBS diharap sentiasa progresif dengan keperluan semasa masyarakat, menjadi pemangkin, berdaya imaginatif dan menguntungkan pembaca, penerbit serta pengarang dalam mencari semula minat terhadap buku agar ia konsisten sebagai budaya ilmu,” katanya.

Pesta buku kali ke-15 ini anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Kerajaan Negeri membawa tema ‘Jom Baca’ bersempena sambutan KL Ibu Kota Buku Dunia 2020.

Dengan penyertaan 100 pempamer, penganjur menyasarkan kehadiran 500,000 pengunjung sepanjang 11 hari pesta sehingga 8 Mac hadapan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pesta Buku Selangor 2020 tawar hadiah cabutan keseluruhan RM49,500

SHAH ALAM, 12 FEB: Pesta Buku Selangor 2020 (PBS2020) bermula 27 Februari ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM49,500 menerusi cabutan bertuah setiap hari, kata pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Mastura Muhamad berkata dengan pembelian serendah RM30 sahaja, seramai sembilan pengunjung dipilih setiap hari untuk menerima RM500 sepanjang 11 hari pesta buku itu berlangsung.

“Cabutan bertuah ini diumumkan pada 6.30 petang dan 8.30 malam setiap hari dan kami menjangkakan kehadiran 500,000 pengunjung pada pesta buku kali ini,” katanya kepada SelangorKini.

Bertemakan “Jom Baca Buku”, acara perasmian PBS2020 bakal disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada 1 Mac.

Sebanyak 140 gerai jualan disediakan dengan penyertaan 100 pempamer pelbagai syarikat tempatan dan antarabangsa, pesta buku itu bertujuan mendidik masyarakat budaya membaca dan mencintai buku.

Antara aktiviti dijalankan adalah seminar etnosains Melayu, seminar pemikiran Islam, bengkel magik rubik dan cabaran hotmath, selain slot khas bersama Persatuan The Lost Food Project.

PBS2020 berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dari 10 pagi hingga 9 malam dan dilanjutkan kepada 10.30 malam bagi Sabtu dan Ahad.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pesta Buku Selangor bermula 27 Februari

SHAH ALAM, 17 JAN: Orang ramai dijemput memeriahkan Pesta Buku Selangor 2020  yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini mulai 27 Februari hingga 8 Mac ini.

Pesta selama 11 hari anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor bermula pada jam 10 pagi hingga 9 malam manakala bagi Sabtu dan Ahad dilanjutkan hingga jam 10.30 malam.

“Pesta ini bukan sahaja mendidik masyarakat untuk menjadikan budaya membaca gaya hidup wajib tetapi juga pemahaman betapa pentingnya menggunakan pengetahuan di dunia nyata.

“Di sini anda akan menemui pelbagai buku dari dalam dan luar negara,” katanya dalam kenyataan.