Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Sudirman: Aksi memberangsang Malaysia berakhir di tangan Jepun

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Aksi memberangsangkan skuad muda badminton negara pada kejohanan Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland terhenti setakat peringkat separuh akhir selepas tumpas 1-3 kepada Jepun, malam tadi.

Ia kemenangan kedua Jepun ke atas Malaysia dalam edisi kejohanan berpasukan itu kali ini selepas menundukkan skuad negara 4-1 pada aksi terakhir peringkat Kumpulan D, sebelum ini.

Bagi Malaysia pula, kecemerlangan sewaktu menundukkan musuh tradisi Indonesia di suku akhir, semalam, gagal diulangi menyaksikan kemarau kemenangan selama 16 tahun berdepan Jepun gagal ditamatkan. Kali terakhir Malaysia mengatasi Jepun dalam Piala Sudirman ialah pada edisi 2005 Beijing China.

Langkah kiri Malaysia pada pertembungan itu bermula seawal aksi beregu lelaki apabila pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 Aaron Chia-Soh Wooi Yik dikejutkan pasangan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi yang lebih agresif dan tangkas sepanjang 42 minit permainan berlangsung.

Hoki-Kobayashi yang berada di ranking ke-16 dunia mencatat kemenangan 21-15, 21-14 sekali gus menghadiahkan mata pertama kepada Jepun sebelum giliran perseorangan wanitanya Akane Yamaguchi meletakkan pasukannya selesa mendahului 2-0.

Berada di ranking kelima dunia, Yamaguchi ternyata berada di kelas tersendiri apabila mudah mengatasi wakil negara di kedudukan ke-53 dunia S Kisona 21-7, 21-5 dalam masa 26 minit.

Meskipun keadaan semakin tegang dan tekanan mula dirasai kem Malaysia selepas dua kekalahan pertama itu, suasana di venue pertandingan tetap riuh dengan sorakan penonton yang hadir memberikan sokongan padu kepada skuad negara.

Pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia yang juga kapten pasukan tampil menyekat momentum Jepun apabila menumbangkan pemain nombor satu dunia Kento Momota dengan bergaya untuk mengutip mata sulung Malaysia.

Pada aksi penuh mendebarkan itu, Zii Jia yang ketinggalan 7-11 pada satu ketika bangkit mempamerkan persembahan bertenaga untuk mendahului 15-14 dan mengikat kedudukan 20-20 sebelum memastikan dua mata terakhir menjadi miliknya untuk menoktahkan kemenangan 22-20 di set pertama.

Zii Jia semakin berkeyakinan di set kedua apabila mendahului 11-7, namun Momota mempamerkan taring mengikat kedudukan 12-12 sebelum perlawanan menjadi sengit dengan kedua-dua pemain saling berjaya mencuri mata sehingga kedudukan terikat 19-19.

Seakan tanpa sebarang tekanan, Zii Jia mudah mematahkan pukulan Momota untuk mengutip dua mata berturut-turut sekali gus menoktahkan keputusan 21-19 dan beliau meraikan kejayaan bermaknanya itu dengan membuka dan mencampakkan bajunya ke udara.

Bagaimanapun, harapan meraih mata penyamaan tidak berjaya ditunaikan pasangan beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah yang mempamerkan semangat juang tinggi menyaingi kehebatan gandingan Mayu Matsumoto-Misaki Matsumoto sebelum tumpas 19-21, 17-21 dalam tempoh 55 minit.

Walaupun ditunjukkan jalan keluar, skuad muda negara sebenarnya telah melepasi sasaran mara ke suku akhir yang ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Selepas ini perjuangan Malaysia akan diteruskan pada kempen Piala Thomas dan Piala Uber 2021 yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 17 Okt di Aarhus, Denmark.

Dalam saingan Piala Thomas, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, England dan Kanada sementara Skuad Piala Uber bakal berhadapan China, pasukan tuan rumah, Denmark dan Kanada dalam Kumpulan D.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Malaysia mara saingan separuh akhir Piala Sudirman

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Pasukan muda negara terus menceriakan seluruh peminat badminton negara awal pagi ini apabila mereka berjaya menundukkan Indonesia, untuk melangkah ke saingan suku akhir Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland.

Apa yang membanggakan adalah semangat juang ditunjukkan oleh pemain Malaysia, yang berhempas pulas dalam saingan yang berlarutan selama hampir enam jam, sebelum dapat menundukkan musuh ketat dalam arena badminton, Indonesia, dengan keputusan 3-2.

Ini merupakan kejayaan pertama Malaysia menundukkan Indonesia dalam Piala Sudiman selepas tiga pertemuan, sejak pertembungan pertama dalam peringkat kumpulan pada edisi 1999 di Copenhagen, Denmark, yang menyaksikan pasukan negara jiran itu menewaskan pasukan negara 4-1.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, memulakan langkah kemenangan negara dengan menewaskan pilihan nombor satu dunia Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dalam perlawanan pertama, dengan straight set 21-12, 21-15, dalam masa 33 minit.

Bagaimanapun dalam perlawanan kedua, juara perseorangan wanita Sukan SEA 2019 S.Kisona gagal meneruskan kehebatan apabila ditewaskan oleh pemain nombor 21 dunia Gregoria Mariska Tunjung dengan 22-20, 18-21, 21-19 dalam masa 67 minit.

Kemudian tiba giliran pemain harapan negara, juara All England 2021 Lee Zii Jia untuk mempamerkan kehebatan dan menceriakan peminat badminton negara apabila berjaya menumpaskan Anthony Sinisuka Ginting dalam straight set 21-11, 21-16, sekali gus mencatatkan kemenangan pertama beliau menundukkan pemain itu selepas empat pertemuan sebelum ini.

Seterusnya pasangan beregu wanita negara Pearly Tan-M.Thinaah jelas mempamerkan semangat juang yang tinggi dalam aksi mereka, namun ia tidak cukup untuk mengenepikan pemenang pingat emas Olimpik Tokyo Greysia Polii-Apriyani Rahayu.

Pasangan Greysia-Apriyani berjaya memberikan sinar harapan kepada Indonesia apabila menundukkan pasangan negara dengan 22-20, 17-21, 21-18, menjadikan kedudukan kini 2-2.

Dalam perlawanan penentuan pasangan campuran negara Hoo Pang Ron-Cheah Yee See mempamerkan aksi hebat, terutama dalam perlawanan ‘rubber set’ untuk mengejutkan pilihan keempat dunia Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti, dengan 21-16 untuk memuktamadkan kemenangan Malaysia.

Terdahulu Hoo-Cheah memenangi set pertama dengan 21-19 namun disebabkan banyak kesilapan, set kedua dimenangi Praveen-Melati dengan 21-9.

Malaysia dijangka berhadapan dengan cabaran sengit dalam saingan berikutnya apabila dijadualkan bertembung sekali lagi dengan pasukan pasukan Jepun di peringkat separuh akhir pada pukul 9 malam 3 Okt ini (4 petang waktu Finland).

Sebelum ini pasukan negara ditewaskan oleh Jepun 1-4 dalam saingan peringkat Kumpulan D.

Jepun mara ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan Taiwan, 3-1.

Sementara itu dalam perlawanan lain di saingan peringkat suku akhir, penyandang juara China menewaskan Denmark 3-2 untuk menempah pertemuan dengan Korea Selatan nanti, selepas Korea Selatan menundukkan Thailand, 3-2.

Dalam saingan peringkat Kumpulan D sebelum ini pasukan negara mencatatkan kemenangan keatas England 3-2 pada 27 Sept, disusuli dengan kemenangan 5-0 menundukkan Mesir pada hari berikutnya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Sudirman: Malaysia tumpas di tangan Jepun peringkat kumpulan

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Lapan belas tahun berlalu, badi kekalahan kepada Jepun masih menghantui Malaysia apabila pasukan negara terus tewas kepada pasukan dari negara matahari terbit itu 1-4 dalam Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia menduduki tempat kedua dalam Kumpulan D, manakala Jepun menerajui Kumpulan.

Pemenang pingat gangsa beregu lelaki Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih kemenangan pertama Malaysia apabila pasangan itu menundukkan pilihan ke-16 dunia Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, 22-20, 14-21, 21-16, dalam perlawanan sengit yang berlarutan sehingga 67 minit.

Dalam perlawanan berikutnya pemain perseorangan wanita negara S Kisona tumpas buat kali kedua dalam kejohanan, kali ini di tangan pemain pilihan kelima dunia Akane Yamaguchi menerusi straight set, 14-21, 14-21.

Perlawanan hebat yang dinantikan ramai peminat badminton menyusul kemudiannya apabila pemain nombor satu dunia Kento Momota berhadapan dengan perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, yang pernah menumpaskan pemain dari Jepun itu dalam saingan peringkat suku akhir kejohanan All England 2021.

Selepas ketinggalan enam mata di set pertama, Momota terus beraksi dengan baik untuk menundukkan Zii Jia dengan 21-18, dan disusuli dengan kemenangan di set kedua dengan 21-10.

Dalam perlawanan berikutnya Chiharu Shida dan pasangannya Nami Matsuyama menewaskan beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah, 21-16, 21-17, walaupun Shida dikatakan mengalami kecederaan di buku lali kiri.

Pasangan beregu campuran pilihan kelima dunia Yuta Watanabe-Arisa Higashino melengkapkan kemenangan Jepun apabila mereka menumpaskan pasangan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See dengan 21-16, 21-9.

Bagaimanapun Malaysia sudah mengesahkan kedudukan dalam lapan pasukan yang mara ke peringkat berikutnya susulan kemenangan ke atas England, 3-2 Isnin lepas (27 Sept) dan Mesir, 5-0, pada hari berikutnya.

Dalam satu lagi saingan Kumpulan D, England membelasah Mesir 5-0 untuk menamatkan kempen mereka di tempat ketiga Kumpulan.

Sementara itu susulan undian suku akhir sebentar tadi, menyaksikan Malaysia dijadualkan bertemu dengan Indonesia dalam saingan berikutnya, esok 1 Okt pukul 9 malam waktu Malaysia (4 petang waktu Finland), manakala Jepun akan bertemu dengan Taiwan.

Juara bertahan China akan menentang jaguh Eropah, Denmark, manakala Korea Selatan pula akan bertemu dengan Thailand dalam sesi pertama pukul 3 pagi waktu Malaysia (10 pagi waktu Finland).

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Piala Sudirman: China layak ke final

NANNING, 25 MEI: Juara sepuluh kali, China terus menggungguli kejohanan badminton Piala Sudirman dengan menumpaskan Thailand 3-0 untuk mara ke pentas akhir buat kali ke-13 berturut-turut, lapor agensi berita Xinhua, semalam.

China yang melangkah ke final sejak 1995, akan bertemu sama ada Indonesia atau Jepun di perlawanan akhir pada Ahad.

Sebelum itu, China mewaskan India dan Malaysia di peringkat kumpulan masing-masing dengan kedudukan di 5-0 dan menumpaskan Denmark 3-1 di suku akhir.

Ketua jurulatih pasukan badminton China, Xia Xuanze berkata “Kami mengalami beberapa kesukaran namuh tetap berjaya melangkah ke final, terima kasih kepada usaha diberikan semua rakan sepasukan.”

– BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Jepun sekat cabaran Malaysia di Piala Sudirman

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Perjuangan skuad badminton negara pada kejohanan Piala Sudirman 2019 terhenti di suku akhir selepas tewas 0-3 kepada Jepun di Nanning, China, hari ini.

Malaysia terlepas peluang meraih mata berharga apabila gandingan Teo Ee Yi-Ong Yiew Sin yang turun selaku wakil pertama tumpas kepada Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 21-13, 24-26, 21-23.

Pada perlawanan pertama berlangsung selama satu jam 35 minit itu, pasangan negara mempamerkan aksi cemerlang untuk menguasai set pertama 21-13, sebelum gandingan Jepun yang menduduki ranking kedua dunia kembali meraih kemenangan 26-24 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Namun, rentak permainan Ee Yi-Yew Sin yang rancak menyerang dan mematahkan serangan pemain Jepun, terencat apabila Ee Yi mengalami kecederaan di dagu selepas terkena kasut rakannya itu ketika mereka sama-sama rebah di gelanggang pada kedudukan terikat 19-19.

Wakil kedua negara, Soniia Cheah yang turun selaku pemain perseorangan wanita turut memberi tentangan sengit kepada pemain nombor dua dunia, Nozomi Okuhara sebelum tewas 16-21, 13-21.

Pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia turut membuktikan beliau mampu bersaing dengan pemain terbaik dunia apabila tidak memberi laluan mudah kepada Kento Momota sebelum pemain Jepun itu meraih kemenangan 21-18, 21-16.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, beliau amat berpuas hati dengan pencapaian skuad negara meskipun tewas di tangan pasukan pilihan kedua kejohanan itu.

Katanya, skuad negara yang dibarisi pemain muda tanpa lima Olimpian telah menunjukkan prestasi terbaik dan membuktikan mereka layak diberikan sokongan mencari slot kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beliau berkata skuad negara adalah satu-satunya pasukan yang di luar daripada senarai lapan pasukan pilihan yang layak ke suku akhir.

“Saya kecewa kerana tuah tidak bersama kita…mungkin keadaan sedikit berbeza sekiranya pasangan negara (Ee Yi-Yew Sin) menang. Tapi kita harus akur faktor kecederaan dialami Ee Yi mungkin sedikit mengganggu mereka untuk sumbang mata pertama.

“Namun saya puji semangat juang tinggi pemain beregu lelaki negara, serta permainan yang ditunjukkan Lee Zii Jia,” katanya kepada Bernama.

Mengenai kecederaan dialami Ee Yi, Mohamad Norza berkata, pemain kelahiran Muar, Johor itu telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kekalahan skuad negara pada edisi kali ini, menyaksikan Malaysia mengulangi pencapaian dua tahun lepas di Gold Coast, Australia apabila mara ke suku akhir sebelum tewas 1-3 kepada Jepun. – BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Piala Sudirman: Malaysia gagal saingi China

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Seperti diduga, skuad badminton negara gagal menyaingi kehebatan juara bertahan China apabila tewas 5-0 dalam saingan pembukaan Piala Sudirman 2019 di Nanning, China, hari ini.

Meskipun turun dengan semangat juang, namun barisan muda negara gagal memenangi satu perlawanan dengan juara 10 kali itu dalam saingan Kumpulan D.

Dalam aksi pertama, beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Woon Yik memberi sedikit harapan apabila mengejutkan juara dunia, Li Junhui-Liu Yen 21-18 pada set pertama tetapi gagal 14-21 pada set berikut dan tunduk 22-24 pada set penentuan.

Peluang negara untuk menyamakan kedudukan menerusi perseorangan wanita, Soniia Cheah turut gagal selepas tewas 15-21, 23-21 dan 14-21 pada set penentuan kepada pemain nombor tiga dunia, Chen Yufei.

China meraih mata ketiga menerusi naib juara dunia, Shi Yuqi yang tidak menghadapi masalah untuk menjinakkan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dalam straight set 21-12, 21-11.

Beregu wanita negara, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen turut mengalami kekalahan straight set apabila tunduk kepada Du Yue-Lin Yinhui 18-21, 14-21.

Beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut gagal mengutip mata apabila kalah kepada juara dunia Huang Yaqiong-Zheng Siwei 16-21, 12-21.

Malaysia kini perlu mengalahkan India dalam perlawanan terakhir kumpulan, Selasa ini, untuk memburu tempat ke peringkat suku akhir.

– BERNAMA