Categories
SELANGOR

Haniza optimis rakyat undi Aiman, Rumah SelangorKu terus diperluas

OLEH SHEEDA FATHIL

SEMENYIH, 2 MAC: Rakyat di Selangor akan terus berpeluang memiliki kediaman Rumah SelangorKu sekiranya memilih kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) mentadbir.

Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Talha berkata, beliau optimis rakyat akan memilih Muhammad Aiman Zainali pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

“Sekiranya anda memilih Muhammad Aiman pada PRK, saya berani menyatakan bahawa penduduk di Semenyih terutamanya akan terus berpeluang menikmati Rumah SelangorKu.

“Sehingga kini, banyak projek Rumah SelangorKu sedang berjalan di DUN Semenyih yang rata-ratanya serendah harga RM42,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Grand Finale di Bandar Tasik Kesuma, Taman Permainan Pangsapuri Baiduri, di sini, malam tadi.

Beliau yang juga EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar berkata, kerajaan PAKATAN komited dalam menjaga kebajikan rakyat sejak dulu lagi.

“Kita sentiasa memastikan rakyat memiliki kediaman selesa dengan harga berpatutan yang mempunyai tiga bilik dan dua tandas malahan tidak kurang daripada itu,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan pengundi untuk keluar mengundi hari ini dan mengundi calon yang tepat.

Aiman, 30, bapa kepada seorang anak, kini bertugas sebagai seorang jurutera dan juga Bendahari BERSATU bahagian Hulu Langat.

PRK Semenyih bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Muhammad Aiman Zainali (PAKATAN), Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan calon bebas, Kuan Chee Heng.

Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57 ekoran serangan jantung pada 11 Januari lalu.

PRK Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU-14.

Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan tiga PRK masing-masing di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

 

Categories
SELANGOR

PRK Semenyih: Dua pusat undi awal dibuka esok

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 FEB: Dua pusat pengundian awal akan dibuka esok bagi membolehkan 858 pengundi awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih menunaikan tanggungjawab mereka.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, 761 anggota Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan akan mengundi di Pusat Mengundi di Dewan Serbaguna Batallion 4 PGA Semenyih.

Katanya, 97 anggota keselamatan lagi mengundi di Discress Room, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

“Sebahagian lagi iaitu 93 orang pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis PGA sudah mengundi secara pos,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Keseluruhan 951 orang pengundi awal dan pos berada di DUN Semenyih, majoritinya adalah anggota keselamatan.

Azhar berkata, pusat pengundian awal dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5 petang, namun bagi pusat mengundi di Discress Room, IPD Kajang waktu pengundian ditutup jam 2 petang.

“Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh setiap agen calon yang bertanding.

“Di samping itu, pemerhati pilihan raya daripada wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR juga akan menyaksikan proses berkenaan,” katanya.

Categories
SELANGOR

SPR jangka 70% keluar mengundi

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 16 FEB: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Bagi memudahkan urusan proses mengundi, SPR turut menambah 31 saluran baharu menjadikan 119 saluran di pusat mengundi sekali gus mencatatkan bilangan pengundi tinggi.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, penambahbaikan petak undi di saluran mengundi turut dilaksanakan iaitu sejumlah tiga berbanding dua sebelum ini.

“Pengundi Orang Kelainan Upaya (OKU) akan mengundi di saluran satu. Seramai 741 pengundi OKU ini dikenal pasti dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya selepas penamaan calon PRK DUN Semenyih, hari ini.

Pada masa sama, katanya, SPR akan menghantar sejumlah 54,471 kad pengundi bagi PRK DUN Semenyih bagi memudahkan pengundi berdaftar menyemak segala maklumat.

Katanya, kad itu mengandungi maklumat penting seperti pusat mengundi, saluran, bilangan dan masa mengundi.

Sementara itu, Azhar optimis semua parti politik bertanding mematuhi peraturan dan undang-undang pilihan raya dengan tidak melakukan kesalahan seperti terkandung dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

 

Categories
SELANGOR

DAP komited bantu calon PAKATAN

OLEH NORHAYATI UMOR

KAJANG, 16 FEB: Parti Tindakan Demokratik (DAP) komited membantu calon Pakatan Harapan (PAKATAN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih ketika ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, komitmen itu termasuk ke kawasan majoriti Melayu sekiranya calon PAKATAN mahu mereka berbuat demikian.

“Tiada masalah. Kalau perlu ke kawasan Melayu pun kita boleh. Kita akan bantu seberapa yang boleh.

“DAP akan masuk apa-apa kawasan yang diminta oleh pihak calon kerana kita bekerjasama dalam PAKATAN,” katanya ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), di sini.

Pada masa sama, Guan Eng berkata, PRK itu penting untuk melihat sokongan terkini rakyat terhadap kepimpinan PAKATAN.

Beliau turut berharap rakyat akan terus memberi peluang kepada PAKATAN untuk menjalankan tugas.

“Ini termasuk untuk kami akan melaksanakan janji dalam manifesto PAKATAN, dan kami memerlukan sedikit masa ekoran kewangan tidak menentu akibat skandal itu,” katanya.

Categories
SELANGOR

Penyokong BN meninggal dunia

OLEH NORHAYATI UMOR

KAJANG, 16 FEB: Seorang penyokong Barisan Nasional (BN) meninggal dunia di luar Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, pagi tadi.

Difahamkan, mangsa dipercayai rebah dan meninggal dunia ekoran kesukaran bernafas, di luar Dewan Seri Cempaka, di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof mengesahkan menerima maklumat awal itu.

“Saya masih menunggu maklumat lanjut, tetapi maklumat awal yang di terima menunjukkan bahawa penyokong itu berusia 50an dipercayai mengalami sesak nafas,” katanya ketika ditemui.

Ahmad Dzaffir berkata, pihak polis menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 9.30 pagi dan mayatnya dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat.

Categories
SELANGOR

Proses penamaan calon PRK Semenyih berjalan lancar

OLEH NORHAYATI UMOR

KAJANG, 16 FEB: Proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih berlangsung lancar tanpa sebarang pergaduhan atau provokasi.

Ketika ini, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), masih menunggu borang pencalonan sehingga jam 10 pagi.

Empat calon yang menyatakan kesediaan bertanding selesai menghantar borang pencalonan.

Terdahulu, ribuan penyokong tiga parti iaitu Pakatan Harapan (PAKATAN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) memenuhi perkarangan Dewan Sri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang.

Seawal jam 7 pagi, penyokong sudah mula tiba dengan kibaran bendera dan sepanduk dibawa bagi menyatakan sokongan kepada calon masing-masing.

Turut hadir menyatakan sokongan Dato’ Menteri Besar, Amiruddin Shaari, Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Azmin Ali dan Presiden Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya dari PAKATAN, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Kajang, pada 11 Januari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, Allahyarham Bakhtiar menewaskan penyandangnya daripada BN Datuk Johan Abdul Aziz serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan mewakili PSM.

Categories
SELANGOR

Cuaca cerah pada penamaan calon PRK Semenyih

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 16 FEB: Cuaca pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pagi ini, berada dalam keadaan baik.

Berdasarkan tinjauan SelangorKini, lebih 100 penyokong mula hadir seawal jam 7.30 pagi di Dewan Sri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, di sini.

Penamaan calon dijangka bermula seawal jam 9 pagi ini.

Terdahulu, Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia Hulu Langat, Muhammad Aiman Zainali diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PAKATAN).

Pengumuman itu dibuat Timbalan Presiden PAKATAN merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhammad Aiman, 30, seorang jurutera yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah dalam Bidang Kejuruteraan Elektrik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Manakala, Barisan Nasional (BN) menamakan Pengerusi Tetap Umno Cawangan Kampung Sesapan Kelubi, Zakaria Hanafi sebagai calon.

Zakaria, 58, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan (Kepujian) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

PRK DUN Semenyih pada 2 Mac ini adalah PRK keenam diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Januari).

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung.

 

Categories
SELANGOR

Proses penamaan calon PRK Semenyih bermula pagi ini

OLEH NORHAYATI UMOR

KAJANG, 16 FEB: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih bermula pada jam 9 pagi ini di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), di sini.

Calon-calon mempunyai tempoh selama sejam iaitu sehingga 10 pagi ini untuk mengemukakan borang pencalonan masing-masing sebelum Pegawai Pengurus PRK, Datuk Mohd Sayuthi Bakar mengumumkan nama calon yang layak bertanding.

Sebanyak 13 kertas pencalonan setakat Jumaat dibeli.

Ia merangkumi tiga oleh Pakatan Harapan (PAKATAN), Barisan Nasional (BN) lima dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) satu borang.

Turut dijual empat lagi borang pencalonan untuk calon Bebas.

PAKATAN mempertaruhkan jurutera muda, Muhammad Aiman Zainali, 30, manakala BN mempertaruhkan pemimpin tempatan, Zakaria Hanafi, 58.

Selain itu, PSM pula menamakan Nik Aziz Afiq Abdul sebagai calon.

Manakala, Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia, Kuan Chee Heng, juga dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’, turut menyatakan kesediaan bertanding.

Seramai 1,115 pegawai dan anggota polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang akan dikerah untuk bertugas sempena PRK itu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, sebanyak 385 anggota bantuan sumber luar juga akan bertugas pada PRK berkenaan.

Terdahulu, kerusi DUN Semenyih kosong berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.

Allahyarham memperoleh 23,428 undi sekali gus mengetepikan Datuk Johan Abdul Aziz daripada BN, Mad Shahmidur Mat Kosim (PAS) dan S. Arutchelvan (PSM).

Allahyarham menang dengan majoriti 8,964 undi.