Categories
SELANGOR

Tumpuan mula terarah kepada PRK Sungai Kandis

SHAH ALAM, 21 JUL: Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis menyaksikan Calon KEADILAN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, 48, bakal berdepan Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Noor Adam, 45, yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Kurang beberapa jam lagi, kedua-dua calon akan menyerahkan borang pencalonan di Pusat Penamaan Calon di Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, yang ditetapkan bermula jam 9 pagi nanti.

Ia merupakan PRK pertama diadakan selepas Pakatan Harapan (PAKATAN) berjaya menubuhkan kerajaan setelah memperoleh kerusi majoriti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kedua calon mempunyai 14 hari berkempen dan menyatakan janji mereka bagi berkhidmat kepada rakyat dan kawasan pilihan raya itu.

Kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya, Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada PRU-14, Shuhaimi memperoleh sebanyak 23,998 undi, mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518 undi), calon PAS Mohd Yusof Abdullah (7,573 undi) dan Hanafiah Husin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang mendapat 76 undi.

Categories
SELANGOR

Fokus kemenangan PRK, tolak spekulasi boikot calon

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 JUL: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menolak spekulasi pelancaran jentera bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis tidak mendapat sambutan ekoran beberapa pimpinan tertinggi tidak hadir.

Sebaliknya, beliau berkata, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengarah Pilihanraya, Nurul Izzah hadir pada pelancaran itu.

Katanya, manakala, Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali tidak dapat hadir kerana mempunyai program lain.

“Mohamed Azmin secara perlahan memberikan tugas kepada saya untuk mentadbir contohnya mesyuarat Pakatan Harapan (PAKATAN), semalam.

“Ini kerana beliau tidak mahu kelihatan dominan dalam pentadbiran negeri. Kita perlu faham beliau dan juga Xavier Jayakumar (Ketua Cabang Kota Raja) juga tidak hadir kerana mempunyai tugas masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Menyantuni dan Menyemarakkan Inisiatif Peduli Rakyat Dun Sungai Kandis di Padang Rakyat Jalan Kebun, di sini.

Amirudin berkata, pada mulanya beliau hanya melancarkan jentera PRK, namun selepas perbincangan dimuktamadkan dan pengumuman itu dibuat.

“Tidak wajar kita pertikaikan. Apapun kita perlu memfokuskan kemenangan Dun Sungai Kandis,” katanya.

Semalam, Setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (Bippa) serta AJK Biro Pendidikan KEADILAN di peringkat pusat, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dipilih sebagai Calon N49 Sungai Kandis bagi mengantikan Shuhaimi Shafiei yang meninggal dunia akibat kanser limfoma.