Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Johor: Pengundi dinasihat undi ikut masa dicadangkan MySPR Semak.

JOHOR BAHRU, 10 MAC: Seramai 2,539,606 pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu ini, dinasihatkan keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan seperti yang tertera dalam aplikasi MySPR Semak.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak menerusi kenyataan berkata maklumat masa keluar mengundi yang digalakkan untuk setiap pengundi, dipaparkan menerusi aplikasi itu.

Beliau berkata bagi pengundi yang tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, mereka masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa bermula dari pukul 8 pagi hingga 6 petang, atau waktu yang telah diwartakan di pusat mengundi masing-masing.

Namun demikian, pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan khas pencegahan COVID-19 pada hari mengundi nanti,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengundi supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian, serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran, bagi memudahkan semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

“Selain itu, pengundi juga dinasihatkan untuk menyimpan kad pengenalan mereka dengan selamat dan tidak menyerahkannya kepada pihak lain, kecuali petugas pilihan raya di pusat mengundi masing-masing,” katanya.

Ikmalrudin pada masa sama menyeru kepada semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka dan menyarankan agar semakan maklumat pengundian dibuat lebih awal sebelum hari mengundi, sama ada menerusi portal pengundi.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak atau Hotline SPR di talian 03-88927018.

Seramai 2,539,606 orang pengundi biasa daripada 2,597,742 orang pengundi berdaftar, layak mengundi pada Sabtu ini, manakala 21,407 orang merupakan pengundi awal dan 36,729 pula mengundi secara pos.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar gesa kerajaan laksana gaji mimumum, tidak layan bantahan syarikat besar

KOTA TINGGI, 3 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan persekutuan supaya segera melaksanakan gaji minimum tanpa tunduk kepada keengganan syarikat besar.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menegaskan pentadbiran Putrajaya tidak harus melayan bantahan syarikat yang merekod keuntungan tahunan berbilion ringgit.

“Saya tanya perdana menteri mengenai gaji minimum, dia jawab syarikat-syarikat besar tidak mahu bagi sebab susah. Dia (syarikat) untung tiga, empat bilion setahun tetapi kata tak boleh.

“Kena tanya orang bawah, kena tanya pekerja kilang, jangan tanya tauke. Untung berbilion ringgit, apa untungnya bagi pekerja? Kerajaan ini jaga orang kaya sahaja,” katanya.

Ketua pembangkang itu berkata demikian dalam siri jelajah Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook beliau hari ini.

DUN berkenan menyaksikan calon KEADILAN Omar Mokhtar A Manap berdepan saingan empat penjuru dengan Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Pejuang.

Anwar juga menyifatkan kerajaan sedia ada tidak mempeduli rintihan rakyat bawahan sebaliknya lebih senang mendengar pandangan syarikat besar sahaja.

“Sebab itu, apabila kita cakap soal harga barang naik, kerajaan tak kesah (sedangkan) menteri di Malaysia paling banyak di dunia, jadi tidak boleh kata tidak ambil tahu,” katanya.