Categories
AGENDA NASIONAL

Pakar: Berisiko buka sempadan ketika kes tinggi, langkah kurang tepat

SHAH ALAM, 20 FEB: Pembukaan semula sempadan negara ketika jangkitan Covid-19 memuncak dianggap keputusan kurang tepat kerana berisiko melonjakkan lagi kes, kata pakar perubatan.

Meskipun langkah itu penting bagi menjana semula ekonomi, namun kemampuan pengurusan kesihatan juga perlu diambil kira, jelas Prof Madya Dr Rosnah Sutan dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Kes positif meningkat dari hari ke hari disebabkan impak varian Omicron, selain sikap sambil lewa masyarakat. Jika sempadan dibuka, apa yang dibimbangkan keupayaan kesihatan kita pula tidak mampu menampung kapasiti pesakit,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau menambah kenaikan kes akan menyebabkan negara lewat menuju endemik malah kerajaan terpaksa
menanggung kos kesihatan yang tinggi untuk keperluan perubatan dan kuarantin.

“Keperluan pembukaan sempadan antarabangsa tidak dinafikan kepentingannya, namun kita perlu pastikan penularan tempatan ini dikawal terlebih dulu,” kata Dr Rosnah.

Sebelum ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya optimis Malaysia dapat membuka pintu sempadan dalam masa terdekat dengan keutamaan diberikan kepada negara jiran dan Asia.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM tingkat pengawasan di pintu sempadan kesan varian Omicron

SHAH ALAM, 29 NOV: Kementerian Kesihatan (KMM) akan meningkatkan pengawasan genomik di pintu masuk antarabangsa untuk memastikan kewujudan varian baharu Omicron dapat dikesan dengan cepat.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata setakat ini kerajaan berjaya meningkatkan kapasiti analisis jujukan genom penuh kepada 1,500 sampel sebulan.

“Dengan adanya varian membimbangkan (VOC) ini saya akan memohon kepada Kementerian Kewangan untuk tambah lagi peruntukan agar kita dapat tingkatkan lagi kapasitinya bagi melaksanakan pengawasan genomik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Petugas Covid-19 Institut Kesihatan Negara hari ini.

Beliau berkata jujukan genom penuh itu penting kerana melalui cara tersebut pihaknya akan dapat mengesan jenis varian yang berada di Malaysia.

“Melalui jujukan genom penuh, kita mengesan varian Delta telah ada di Malaysia dan analisis itu juga penting sekiranya varian baharu, Omicron juga wujud di Malaysia.

“Setakat hari ini melalui KKM, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pengajian Tinggi yang membentuk konsortium bagi meningkatkan kapasiti penjujukan genom Covid-19, belum lagi menerima laporan mengenai varian Omicron di Malaysia,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Imigresen sudah sedia jika pintu sempadan dibuka semula

PUTRAJAYA, 6 OKT: Jabatan Imigresen (JIM) sudah bersedia dari segi sistem, stok buku pasport dan tenaga kerja untuk pembukaan semula sempadan negara, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

“Sekiranya kerajaan membuat keputusan membuka pintu sempadan negara dalam masa terdekat ini, JIM telah bersedia melaksanakan keputusan itu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata JIM mempunyai simpanan sebanyak 1.2 juta buku pasport yang mampu menampung permintaan sehingga Jun tahun depan.

Selain itu, katanya persediaan di pintu masuk negara telah dilaksanakan dengan semua sistem ‘autogate’ telah diaktifkan semula setelah ‘direhatkan’ kira-kira kurang dua tahun setengah.

“Dari segi tenaga kerja, pegawai dan kakitangan telah digerakkan semula untuk memulakan tugas seperti mana sebelum Covid-19,” katanya.

Khairul Dzaimee hari ini turut memantau pelaksanaan projek rintis permohonan pembaharuan pasport Malaysia antarabangsa (PMA) secara dalam talian di Ibu Pejabat Imigresen di sini, yang menyediakan kemudahan kaunter layan diri serta pegawai untuk membantu pemohon menggunakan sistem tersebut bermula 1 Okt lalu.

Menurutnya, permohonan pasport secara dalam talian telah meningkat tahun ini dengan jumlah 69,371 setakat September lepas, berbanding 52,016 yang dikeluarkan JIM pada 2020.

Beliau berkata peningkatan permohonan pasport dilihat bermula pertengahan tahun ini ekoran beberapa kelonggaran dalam kategori permohonan ‘MyTravelPass’ dan jumlah dijangka terus meningkat sekiranya kerajaan mengumumkan pembukaan semula sempadan dalam masa terdekat.

Pada 3 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan rakyat Malaysia dibenarkan ke luar negara tanpa perlu memohon ‘MyTravelPass’ selepas program vaksinasi negara melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mencapai kadar 90 peratus.

Khairul Dzaimee berkata kaunter khas seperti dalam projek perintis secara dalam talian itu akan diperluaskan ke pejabat Imigresen di seluruh negara untuk membolehkan orang ramai memanfaatkan sistem itu dalam urusan pembaharuan pasport.

Sementara itu seorang seorang pemohon pasport yang ditemui hari ini Amira Syahirah Mohd Zulkefli berkata proses dalam talian untuk urusan pembaharuan pasport itu amat mudah, dan masa yang terlibat sehingga mengambil pasport tidak sampai 30 minit.

“Pengalaman membuat permohonan pembaharuan ini amat menyenangkan bagi saya. Saya datang dan terus isi maklumat secara dalam talian di kaunter khas yang disediakan dan tidak sampai 30 minit, pasport saya siap.

“Saya kini menunggu pengumuman kerajaan berhubung pembukaan semula pintu sempadan negara kerana perlu ke Belgium untuk melatih kuda,” kata jurulatih muda berumur 27 tahun itu.

Seorang lagi pemohon yang memperbaharui pasportnya Azhar Marzuki pula berpendapat urusan melalui sistem dalam talian perlu dikembangkan kepada agensi yang lain, kerana ia bukan sahaja mudah malah memberi kesenangan kepada mereka yang bekerja.

“Sistem dalam talian yang diwujudkan JIM ini amat bagus dan mudah kerana kita hanya perlu mengisi segala maklumat melalui telefon pintar atau komputer riba di mana-mana sahaja.

“Lepas itu kita hanya memilih tarikh dan waktu yang sesuai untuk mengambil pasport dan ia memakan masa tidak sampai 30 minit. Ia memudahkan orang yang bekerja yang tidak mengambil cuti sehari untuk urusan pembaharuan pasport,” katanya yang perlu ke luar negara atas urusan perniagaan.

– BERNAMA